Monday 27 February 2012

KENDURI KAHWIN ORANG DULU-DULU...........




Entah mengapa tiba-tiba saya teringat perihal kenduri kahwin orang dulu-dulu. Dulu-dulu tu bukanlah lama sangat. Sekitar tahun-tahun 50an dan 60an. Waktu itu saya masih dizaman kanak-kanak dan awal usia remaja dikampong. Memandangkan kampong saya agak jauh tersorok dipendalaman dalam daerah Kulim, Kedah, sudah tentu ianya kurang terdedah kepada arus permodenan dan agak terikat kepada adat-adat lama yang dipusakai turun temurun.


Selalunya perkahwinan sesaorang lelaki dengan pasangan pilihannya akan bermula dengan sesi 'menengok' atau 'mengintai' anak dara yang ingin disunting.  Maklumlah zaman dulu mana ada pasangan  'bercinta' macam sekarang.. Pilihan pasangan hanya dibuat melalui pilihan orang tua, atau pun atas cadangan sahabat handai atau ahli keluarga. Sesi 'mengintai' ini adalah semacam 'mengendap' jugalah, dimana bakal pengantin lelaki  atau wakilnya dengan ditemani beberapa orang ahli keluarga akan pergi untuk cuba melihat dari dekat gadis yang bakal disunting tanpa disedari oleh sigadis tersebut atau keluarganya. Ini dilakukan samaada semasa sigadis pulang dari mengaji, membasuh diperigi atau menghadiri sesuatu majlis. Pemilihan gadis selalunya akan berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya selain dari kecantikan fizikal dan tiadanya cacat anggota, ialah 'kesuburan' punggung dan payu-dara. Ini adalah diatas kepercayaan orang dulu-dulu bahawa gadis yang besar punggungnya akan mudah bersalin, dan payu-dara bagi tujuan penyusuan kelak. Maklumlah pada zaman dulu mana ada susu formula bayi macam sekarang!.


Apabila pilihan telah dibuat, maka barulah diadakan majlis merisik, meminang dan sekiranya pinangan diterima seterusnya diadakan bertunang. Semasa majlis bertunang pihak lelaki akan menyerahkan sebentuk cincin sebagai tanda 'jadi' serta barang-barang hantaran lain kepada pihak perempuan. Maka janji pun diikat tentang berapa banyak wang hantaran, mas kahwin, berapa lama bertunang dan tarikh bila akad-nikah dan majlis dilangsungkan (majlis kenduri). Tempuh bertunang selalunya 6 bulan atau setahun bergantuing kepada keupayaan pihak lelaki menyediakan wang hantaran dan belanja perkahwinan. Kadangkala disyaratkan juga sehingga selesai musim menuai (bagi yang bersawah padi).. Sepanjang tempuh pertunangan  silelaki tidak digalakkan sangat berjumpa dengan bakal isterinya kecuali pada hari-hari tertentu seperti hari raya, kenduri kendara dan sebagainya.



Akhirnya tibalah hari kenduri yang ditunggu-tunggu. Seingat saya, pada zaman itu hari kenduri merupakan suatu 'pesta' bagi seluruh kampong. Persiapan memakan masa berbulan-bulan. Malah sebulan sebelum kenduri lagi sanak keluarga tuan rumah sudah berkumpul untuk membantu apa yang patut. Mereka datang bukan dengan tangan kosong. Ada yang bawa beras, ayam, kelapa, gula, kopi, dan kuih-muih untuk meringankan beban tuan kenduri. 


Beberapa hari sebelum kenduri, jiran dan saudara-mara sudah sibuk membantu, terutama pada hari mendirikan balai dan buat kerisek. Maklumlah pada zaman itu bukan ada sistem "catering' atau 'sewa khemah' macam sekarang. Semuanya kena masak dan buat sendiri. Kaum lelaki akan sibuk mendirikan 'balai' untuk para tetamu. 'Balai' selalunya akan didirikan menggunakan batang kelapa sebagai tiang, batang pinang dan batang-batang kayu sebagai strukturnya, berlantaikan papan dan tiada berdinding. Bumbung pula dibuat dari atap rumbia atau kepingan zink. Balai tetamu lelaki dan balai wanita diadakan berasingan. Kalau tiada balai untuk wanita, maka rumah tuan kenduri akan digunakan sebagai tempat hidangan untuk tetamu wanita. Disamping itu bangsal untuk tetamu menunggu (khemah tetamu) dan juga bangsal memasak (gedehok) juga didirikan, selalunya dibahagian belakang rumah, berdekatan dengan perigi atau punca air yang ada..



Sementara itu, kaum wanita juga sibuk menyediakan kerisek (kelapa parut yang digoreng garing dan kemudian ditumbuk halus) sebagai suatu bahan penting untuk memasak gulai dan rendang daging. Disamping kerisek, mereka juga akan sibuk memotong bawang, menggiling cili, menyiang kacang panjang atau umbut pisang untuk dibuat perencah gulai daging.


Sembelihan kerbau atau lembu akan dibuat sehari sebelum kenduri, atau pun diawal pagi kenduri. Dagingnya dilapah dan dipotong halus-halus secara bergotong-royong. Tulangnya dicicang untuk dibuat sup untuk hidangan sampingan. Pada hari kenduri, diawal pagi lagi ketua tukang masak atau dikenali sebagai 'ketua gedehok' sudah sibuk mengaturkan orang-orangnya  memasak. Sebelah pagi masak nasi untuk menyorok (sarapan). Nasi putih dengan gulai daging cicang, bersama ikan tamban kering (tamban tergeliat) goreng, dan sambal belacan serta ulam. Jamuan ini adalah untuk sarapan kaum keluarga dan sahabat handai yang bertugas sebelum majlis kenduri bermula. Selepas selesai, barulah ketua gedehok akan mengarah anak-anak buahnya untuk masak nasi minyak dan lauk kenduri.


Lauk kenduri biasanya terdiri dari 4 atau 5 jenis.  'Main dish' ialah rendang besar (iaitu seketul daging pejal atau 'batang pinang' dimasak dengan kuah pekat). Kemudian rendang kecil (dari daging cincang, urat-urat dan lemak-lemak daging dimasak bersama kacang panjang, umbut batang pisang atau nangka muda, dan dimasak secara berkuah. Selain 2 ' main dish' ini, yang lain selalunya ialah pajeri nenas atau terung, kerabu tawgey atau pucuk paku, dan lain-lain mengikut kemampuan tuan kenduri.



Mulai pukul 12 tengah hari jamuan kenduri pun bermula. Barisan pemuda kampong (dikenali sebagai 'mentara') telah siap berbaris menghantar dulang-dulang berisi makanan dari gedehok ke balai untuk jamuan. Selain itu, tugas mentara ini juga membawa semula pinggan dan bekas yang sudah digunakan ketempat basuh selepas tetamu selesai makan. Semua petugas-petugas, termasuk mentara kakitangan gedehok dan tukang cuci pinggan selalunya diberi makan dahulu sebelum tetamu tiba. Disebelah petang, sebelum pulang mereka selalunya akan dibekalkan sedikit cenderahati oleh tuan rumah sebagai ucapan terima kasih berupa rokok 'sikerit' (cigarette) Rough Rider (rokok tembak), tuala muka atau sedikit kuih..


Makan dibalai ialah secara duduk bersila, 4 orang setalam. Kalau tetamu yang datang belum cukup 4 orang kena tunggu tetamu lain dulu, baru boleh mula makan. Satu talam nasi dan lauk hanya dibekalkan dengan 1 sudu dan 1 gelas sahaja untuk minuman dan ianya perlu dikongsi bersama antara 4 orang tetamu tersebut.  Selepas makan sewaktu hendak pulang, semua tetamu dewasa dibekalkan dengan sebutir bunga telur sebagai tanda terima kasih dari tuan kenduri. Tetamu wanita pula selalunya membawa sedikit buah tangan berupa kuih-muih didalam 'mangkok susun' (mangkok tingkat) untuk sumbangan kepada tuan kenduri. Sebagai balasan sewaktu hendak pulang, pihak tuan kenduri akan memulangkan  mangkok tingkat itu yang diisi dengan sedikit nasi dan lauk-pauk kenduri.  Majlis jamuan ini biasanya berlangsung sampai kemalam. Ketua gedehok akan memastikan nasi ditanak lagi sekiranya didapati sehingga lewat petang masih ramai tetamu yang datang.



Sepanjang majlis kenduri berjalan, sejak awal pagi suasana dibingitkan dengan bunyi 'lospeker' (loud-speaker) yang dipasangkan pada pokok atau tempat tinggi bagi memeriahkan suasana. Sepanjang majlis juga, juruacara akan berceloteh menggunakan 'microphone'. seperti membuat pengumuman, memberi arahan pada mentara, atau mempersilakan tetamu yang hadir. Celoteh ini akan diselangseli dengan lagu-lagu piringhitam yang diputarkan dari bawah rumah. Lagu-lagu 'hits' semasa yang saya masih ingat ialah lagu-lagu R. Azmi, Zainab Majid, Razak Majid, P. Ramlee dan Nona Asiah.


Sebelum masuk waktu zohor, majlis 'marhaban' akan diadakan diatas balai oleh kaum lelaki. Dan disebelah petang (selepas waktu asar) diadakan pula majlis 'pencak silat' dihalaman rumah sambil disaksikan oleh tetamu yang hadir.  Dinegeri-negeri sebelah utara, terutama di Kedah, pencak silat banyak dipengaruhi budaya dari Selatan Thai, terutama Pattani, dimana tetamu akan dihidangkan dengan 'silat pulut' sebagai bahan hiburan yang diiringi paluan gendang dan gong. Kadangkala diselitkan juga pertunjukan 'boxing Thai' atau 'tomoi' sebagai acara selingan.



Ketibaan pengantin lelaki atau perempuan biasanya pada waktu tengah hari disambut dengan meriah sekali. Tidak ada paluan kompang macam sekarang. Yang ada cuma gendang silat atau gendang keling. Biasanya pengantin akan diarak dengan berjalan kaki (jika jarak rumahnya tidak jauh). Atau, jika jalan lecah (becak) pengantin akan diusung diatas tandu khas dan diarak dari kawasan berhampiran (maklumlah zaman itu tidak banyak jalanraya yang elok macam sekarang dan kereta pun tidak banyak). Juga,berbeza dengan amalan sekarang pengantin dulu-dulu tidak bersanding diwaktu siang. Persandingan kedua mempelai hanya akan diadakan pada lewat tengah malam, kadangkala sekitar jam 1 pagi. Sementara menunggu ketika untuk bersanding, selalunya majlis akan diserikan dengan bacaan Al-Quran atau berzanji.. Bagi tuan kenduri yang agak 'berada', majlis kenduri disebelah malam akan diserikan dengan  permainan 'ghazal pati' dari Kepala Batas bersama pelawaknya yang tersohor Hasan Putu Mayam, atau Orkes Zindegi dari Batu Lima, Sik.  Kumpulan-kumpulan pancaragam ini agak popular disebelah utara dan kebanyakan lagu yang dihidangkan adalah ala padang pasir dan hindustan. Tetapi yang menjadi tarikan utama bukannya penyanyi atau lagu, tetapi ialah penari geleknya yang biasanya lelaki yang di'make-up'kan sebagai perempuan. Bila dikenakan bedak, celak dan gincu, ramai juga lelaki yang naik gian.



Demikianlah gambaran majlis kenduri kahwin dulu-dulu yang masih saya ingat. Amat jauh berbeza dengan majlis zaman sekarang. Kata orang 'sekali air bah, sekali pasir berubah'. Banyak amalan-amalan ini telah berubah mengikut peredaran masa dan tidak lagi dipraktikkan sesuai dengan tuntutan dan keadaan semasa.............






















Friday 24 February 2012

Bijakkah Tindakan Najib?


Sejak mengambil alih jawatan perdana menteri dalam bulan Mac 2009, DS Najib Tun Razak dilihat banyak melakukan tindakan-tindakan yang boleh dikategorikan sebagai "kurang bijak". Kalau dikatakan tindakan "bodoh", tentu ramai yang akan melenting. Tapi, bagi saya cukuplah jika dikatakan tindakan-tindakan itu sebagai "kurang bijak" dan "tidak cerdik". Malah bagi sesetengah orang melihat semua tindakan-tindakan ini sebagai suatu sikap kurang cermat atau "flip-flop" yang sebenarnya ada pada diri beliau. Kalau rata-rata kita tanya orang kampong, atau makcik dan pakcik FELDA mungkin ramai yang tidak berapa faham. Dalam bahasa mudah, sikap kurang cermat itu bolehlah dikatakan sebagai "Main ikut sedap cakap saja...", manakala "flip-flop" ini ialah lebihkurang: "Sat kata lagu ni, dan sat lagi kata lagu lain pulak!!!........"

Tapi, wajarkah sebagai seorang Perdana Menteri dan orang nombor satu negara bercakap dan bertindakan sedemikian? Tentu ramai yang tidak suka 'statement' saya. Takkan seorang Perdana Menteri boleh bersikap macam ini? kata mereka. Sebagai Perdana Menteri, setiap cakapnya sentiasa dipegang dan dipercayai. Setiap arahannya dipatuhi dan setiap visinya dihayati. Mana mungkin Perdana Menteri boleh main cakap ikut sedap mulut? Tapi hakikatnya begitulah.........

Kita ambil contoh waktu kemuncak isu Perhimpunan BERSIH 2.0 dulu, Tentu ramai yang masih ingat. Najib pernah menawarkan stadium sebagai alternatif untuk kumpulan BERSIH mengadakan demonstrasi asalkan tidak dibuat dijalan taya, katanya. Buatlah dalam stadium. Kalau nak menjerit pun menjerit lah, katanya, Tak ada siapa yang akan ambil peduli. Tup tup, apabila pihak penganjur menemui DYMM Yang DiPertuan Agong, dan bersetuju untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka, mengapa tidak pulak dibenarkan? Pelbagai alasan pulak diberi untuk tidak meluluskan Stadium Merdeka. Bagi saya ini adalah suatu contoh 'fip-flop' atau dalam kata mudah "cakap tak seruipa bikin".

Begitu juga dengan isu penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Berdegar-degar beliau berucap dan mengumumkan kepada seluruh negara tentang hasrat kerajaan ingin menghapuskan undang-undang ISA suatu ketika dulu yang dipancarkan secara langsung menerusi semua saluran tv. Menurutnya, kerajaan pimpinnya berhasrat menghapuskan terus ISA dan menggantikannya dengan undang-undang baru yang  lebih liberal. Baru tak samapai 6 bulan, tiba-tiba kita dikejutkan dengan tangkapan 13 orang di Sabah yang kesemuanya ditahan dibawah ISA kerana kononnya mengancam keselamatan negara. Bukankah tindakan ini macam main-main dan tidak bijak langsung?

Dalam beberapa perhimpunan UMNO mutakhir ini, beliau dilihat berdegar-degar bercakap mengenai  perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Kita boleh faham bahawa beliau becakap atas kapasiti Presiden parti terbesar Melayu, iaitu UMNO. Tapi, rasanya lebih baik sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri  sebuah negara berbilang kaum, beliau tidak bercakap berdegar-degar sedemikian rupa hanya untuk meraih undi orang Melayu. Biarlah penglima-panglima beliau saja yang menjerit-jerit mempertahankan 'hak' dan 'maruah' Melayu yang kononnya dicabar oleh pihak-pihak lain.

Sewaktu perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, beliau juga dilihat muncul bersama-sama isteri, siap dengan pakaian resmi penganut agama Hindu lagi. Perkara ini telah menimbulkan kontroversi dan dicemuh pelbagai pihak kerana dipercayai boleh 'menggugat akidah' seperti yang disuarakan tokoh-tokoh Islam walaupun ada tokoh Islam yang kemudiannya menarik balik cemuhan itu. Apakan perlu beliau bertindak sehingga sedemikian rupa hanya untuk mendapat undi kaum India? Bukankah perayaan Thaipusam itu suatu amalan ibadat yang dilakukan oleh penganut-penganut Hindu setiap tahun, sama seperti umat Islam melakukan ibadat haji juga. Ia bukannya sekadar seperti perayaan Deepavali atau Tahun Baru China dengan majhlis sosial dan makan-makan sahaja. Perkara seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu. Dizaman Dr. Mahathir dan Pak Lah, mereka hanya sekadar mengucapkan selamat menyambut Thaipusan kepada penganut agama Hindu dan mewakilkan seorang Menteri beragama Hindu bagi pihak mereka di perayaan tersebut. Tapi, Najib hadir sendiri....... Kalau pun ini dilakukan atas nama mencari publisiti dan populariti, bijakkah tindakan seperti itu ?.....

Sewaktu berada di Sabah baru-baru ini, beliau tanpa segan silu mengisytiharkan bahawa Sabah telah bertambah maju dan tidak lagi tertinggal dibelakang, manakala Kelantan adalah negeri termiskin dan tercorot di Malaysia sekarang dari segi kedudukan ekonomi. Adakah wajar sebagai seorang Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan sedemikian? Beliau boleh bercakap buruk dan merendah-rendahkan martabat Kelantan. Tapi lupakah beliau bahawa Kelantan juga adalah sebuah negeri dalam Malaysia dimana beliau menjadi perdana menteri? Kalau pun Kelantan negeri termiskin, salah siapa? Bukankah rakyat Kelantan juga menjadi penyumbang kepada cukai yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan, dan kalau Kelantan tidak maju, sebenarnya kerajaan Persekutuan juga harus disalahkan. Janganlah disebabkan Kelantan diperintah PAS selama 20 tahun, maka Kelantan miskin disebabkan oleh PAS. Adakah wajar pemikiran sebegini datang dari seorang perdana menteri?

Contoh yang paling terkini sekali sikap "ketidakcerdikan" DS Najib ialah apabila beliau memanggil mesyuarat semua Menteri Besar dan Ketua Menteri  negeri-negeri dalam Malaysia baru-baru ini, dan TIDAK menjemput Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, beliau selamba menjawab itu perkara biasa. Mesyuarat itu hanya bertujuan buat "penyelarasan" sahaja, katanya. Lagi pun negeri-negeri Pakatan Rakyat buat mesyuarat tidak pernah pun menjemput wakil kerajaan pusat! Nampak sangat suatu jawapan yang kelakar, dan kadangkala nampak sebiji macam "jawapan budak-budak tadika......."

Alahai PM kita.......................