Wednesday, 22 October 2014

Siri 1 - Menyusuri Salasilah Keluarga Keturunan LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB

Siri  1

Siri pengkisahan keluarga ini adalah mengenai asal-usul dan salasilah keturunan keluarga saya disebelah datuk lelaki saya bernama LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.  Beliau merupakan penduduk lama yang bermastautin di Kampong Bikan, dalan kareah Bagan Sena, Kulim, Kedah. Kalau ada orang-orang lama yang pernah menetap atau berurusan di kampong ini sekitar tahun-tahun 20an hingga ke 60an, tentu mengenali beliau.  Siri pengkisahan sejarah keluarga ini adalah mengenai sejarah keluarga beliau, sejarah dizamannya, dan juga warisan anak-cucu cicit beliau yang ada hingga kehari ini.

Saya membahagikan siri pengkisahan ini kepada 9 siri; tiap-tiap satu khusus mengenai setiap anak beliau.  Jikalau ada sebarang pertanyaan, komentar atau kemusykilan mengenai siri pengkisahan ini harap dapat di masukkan dipenghujung setiap siri itu untuk perhatian saya.

Saya bernama MOHD SALLEH BIN HASHIM, kini seorang persara Kerajaan dan  tinggal di Rawang, Selangor. Siri pengkisahan ini adalah mengenai keluarga saya yang bernasabkan disebelah datuk saya iaitu LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.  Ibu saya bernama HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN adalah salah seorang anak kepada LEBAI HUSSIN.  Mengikut salasilah keturunan ini saya adalah dari jenerasi ketiga jika dikira selepas LEBAI HUSSIN.  Ikutilah siri pengkisahan seterusnya :-


ASAL-USUL HJ. TAIB DAN KEDATANGAN BELIAU KE SEMENANJUNG

1.1      Siri pengkisahan mengenai salasilah keluarga ini saya mulakan bermula dengan moyang saya yang bernama HJ. TAIB @ TAYIB, iaitu bapa kepada LEBAI HUSSIN.  Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai beliau. Apa yang diketahui ialah HJ. TAIB berasal dari Tanah Jawa (sekarang dikenali sebagai Pulau Jawa, Indonesia). Beliau dikatakan merantau dan 'membawa diri' dari kampong halamannya di Jawa ketika masih muda disebabkan sedikit 'perselisihan' keluarga, kemudian merantau ke semenanjung Tanah Melayu (Malaya, waktu itu). Punca perselisihan faham sepertimana saya dimaklumkan oleh arwah LEBAI HUSSIN sewaktu saya masih kecil ialah atas pembahagian harta pusaka, dan kemudian meleret sehingga isu naik haji, dimana mengikut ceritanya HJ. TAIB (sewaktu di Tanah Jawa masih belum haji lagi) dikatakan telah disisih keluarganya dan tidak berpuashati diatas layanan keluarganya keatas dirinya, lantas beliau mengambil keputusan membawa diri kenegara seberang (Semenanjung Tanah Melayu). Peritiwa ini berlaku pada sekitar awal kurun ke19 iaitu sekitar awal tahun-tahun 1800an.

1.2       Bagaimana pun, ada pelbagai teori dan pendapat yang memberikan sebab musabab lain mengapa
Gambar illustrasi wajah Pengeran Dipenegoro (anak kepada Sultan Hamangkubowono III)
Ilustrasi wajah Pengeran Diponegoro
HJ. TAIB 'lari' meninggalkan Pulau Jawa dan bukan disebabkan perselisihan keluarga semata. Dan terdapat juga asas-asas yang kukuh dari penceritaan orang-orang yang terdahulu tentang teori yang mengaitkan beliau sebagai seorang anak raja berketurunan ningrat dari kesultanan Hamangkubuwono III yang bersemayam di daerah Jogja, Jawa Tengah. Sekitar tahun 1820 berlaku penaklukan Belanda keatas tanah-tanah jajahan kesultanan ini. Jika kita lihat dari sudut sejarah Jawa, memang terdapat pergelutan dikalangan keluarga diraja Jawa sekitar waktu itu, selepas Sultan Hamangkubuwono III dijatuhkan oleh penjajah Belanda yang mula mengambil-alih kuasa di Jawa. Anak lelaki beliau Pengeran Diponegoro bangun memberontak untuk mengembalikan takta dan tanah jajahan yang dirampas. Beliau melancarkan perang keatas Belanda dan perang ini dinamakan Perang Diponegoro yang berlangsung dari tahun 1825 hingga 1830. Perang ini antara perang yang memakan korban paling banyak dalam sejarah Jawa. Diponegoro akhirnya tewas, ditangkap dan dibuang ke Makasar dan kemudian mangkat disana. Seluruh keluarga diraja menghadapi suasana cemas ketika itu, ramai yang melarikan diri, kaum keluarga terutama anak-anak lelakinya seramai 17 orang ramai yang bercempera lari membawa diri, akibat diburu pihak Belanda. Ada kemungkinan HJ. TAIB salah seorang darinya, menyamar sebagai orang biasa dan melarikan diri ke Semenanjung bagi mengelak asakan pihak Belanda dan memberi pelbagai alasan bagi 'menutupi' rahsia sebenar. Bagaimana pun, semua ini hanyalah teori yang masih tidak dapat dibuktikan dengan kukuh berdasarkan fakta-fakta sejarah yang boleh dipercayai.


1.3      Di Semenanjung, HJ. TAIB dikatakan pada awalnya bertapak di daerah Sabak Bernam, Selangor; kemudian merantau ke daerah Tg. Piandang, Perak dan akhirnya terus menetap di Yan, Kedah. Beliau berkahwin dengan wanita tempatan (tidak diketahu namanya) dan memperolehi 4 orang anak lelaki. Beliau diberitakan hanya berjaya ketanah suci Mekkah untuk menunaikan fadhu haji selepas menetap di Semenanjung. Anak-anak lelakinya seramai 4 orang bernama AHMAD, MOHAMMAD, HASSAN dan HUSSIN.  Dari anak-anak lelakinya inilah sebenarnya nasab saya bermula.


ANAK-ANAK HJ. TAIB

1.5      Anak lelaki sulongnya AHMAD dikatakan menetap di daerah Tg. Piandang, Perak. Ramai anak/cucu/cicitnya merantau dan bermustautin sekitar Tg. Malim, Perak hingga ke daerah Sg. Choh, di Selangor. Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai salasilah keturunan keluarga ini, sehinggalah baru-baru ini saya berjaya menemui beberapa individu yang boleh dikaitkan dengan salasilah keturunan AHMAD ini. Antaranya ialah rakan di Facebook saya MOHD ZUHRI BIN ZAID, dan seorang lagi bernama ZAWAWI BIN ZAID; kedua-duanya adalah anak kepada ZAID dan cucu kepada AHMAD, dan merupakan anak-saudara kepada LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.

1.6      Manakala MOHAMAD berkahwin dengan seorang wanita di daerah Seberang Perai (SOFIAH BT MOHD NAJIB @ UDOH), dan menetap disana. Mereka dikurniakan 6 orang anak; dimana yang sulongnya seorang perempuan bernama MAZNAH (a.k.a MAK CHAQ) dikalangan saudara-mara dan pernah tinggal di Labu Besar, Kulim. MAZNAH berkahwin sebanyak 2 kali; kali pertama dengan suami bernama WAHAB dan mendapat 2 orang anak iaitu DIYAH dan seorang lagi lelaki bernama SAAD @ HASIM. Perkahwinan kedua dengan suami bernama HASHIM dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama KHATIJAH. Selain MAZNAH, adik-beradiknya yang lain ialah SALMA (menetap di Taiping, Perak); OSMAN; SALLEH; dan SELASIAH semuanya menetap di Seberang Perai khususnya di kawasan Samagagah, Permatang Pauh; Seberang Perai, manakala yang bongsu ZAINAB mengikuti suaminya yang bekerja sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM) merantau; dan akhir sekali menetap di Taman Sri Serdang, Selangor. Dari salasilah ZAINAB ini saya berjaya mengesan 4 orang anak-anaknya, ZAINAL ABIDIN, ISMAIL, NORELAH dan FADZILAH. Anak sulong FADZILAH bersama suami bernama SHAHIDAN adalah seorang rakan di Facebook saya bernama FATIN BELLA. Anda yang mempunyai akaun FB boleh 'add' nama ini dalam senarai 'friends' anda untuk meluaskan jaringan saudara-mara kita.

1.7     Anak HJ. TAIB yang ketiga HASSAN masih tidak dapat kami jejakki sehingga kini. Tidak ada sebarang petunjuk dimana keluarga ini bertapak ketika ini. Dan, jika ada sesiapa diantara kita yang ada maklumat mengenai salasilah keturunan HASSAN, bolehlah berkongsi di FB agar kita semua dapat sama-sama mengenali mereka lebih dekat.

LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB  (1987  -  1969)

1.8      Anak HJ. TAIB yang bongsu LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB adalah merupakan datuk dan
Gambar Arwah Che Nah binti Hj. Deraeh ketika dilanjut usia
Gambar CHE NAH sewaktu dihujung usia
moyang  dalam salasilah keluarga saya hari ini. Beliau merupakan fokus saya untuk siri pengkisahan sejarah ini. LEBAI HUSSIN dikatakan lahir disekitar tahun 1887 di Yan, Kedah. Sewaktu zaman mudanya beliau banyak mengikuti bapanya bekerja sebagai nelayan pantai, bertani dan bertukang rumah ketika waktu-waktu tidak kelaut. Beliau bertemu jodoh dengan CHE NAH BINTI HJ. DERAEH dari kampong yang sama, iaitu anak kepada guru Quran ditempat dia belajar mengaji. Beliau bersama CHE NAH kekal sehingga keakhir hayat, dan dikurniakan seramai 8 orang anak terdiri dari 5 lelaki dan 3 perempuan.


1.9      LEBAI HUSSIN mempunyai bentuk tubuh badan yang agak tinggi, tegap dan berkulit cerah. Beliau memilikki raut wajah yang sirius tetapi mudah tersenyum dengan bahagian rambut yang agak nipis dibahagian depan. Sayang sekali, saya sebagai cucu-cicitnya tidak ada menyimpan gambar wajahnya. Jika ada sesiapa yang menyimpan gambar atau kelibat wajahnya sekali pun harap dapat 'download' disini untuk tatapan kita semua. Apa yang kita ada sekarang hanyalah gambar dari keratan akhbar Berita Harian bertarikh Sept, 1957 yang menyiarkan gambar beliau melakukan upacara 'membasuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman Putera (Perdana Menteri Malaya, waktu itu) yang diadakan di Kulim selepas YTM Tunku kembali ketanah air dengan jayanya selepas misi menuntut kemerdekaan dari Kerajaan British.

  (Gambar sebelah keratan akhbar Berita Harian            Gambar dari keratan akhbar Berita Harian tahun 1957 menunjukkan Arwah Lebai Hussin sedang melaksanakan upacara 'membasuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman Putra AlHaj di Kulim, Kedah selepas YTM Tunku selamat pulang dengan jayanya dalam misi menuntut kemerdekaan dari kerajaan British.
    terbitan tahun 1957, yang menunjukkan
    Allahyarham Lebai Hussin sedang melaksanakan
    upacara 'basuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman)


 1.10     LEBAI HUSSIN bersama isteri tinggal di Yan, Kedah sehingga mendapat anak yang kelima. Selepas itu timbul keinginan pasangan ini untuk berhijrah mencuba nasib dirantau orang. Tempat pertama yang menjadi persinggahan mereka ialah di Sg. Punti, dalam daerah Serdang, Kedah. Saya tidak tahu tahun berapa mereka berpindah, tetapi mengikut cerita dari nenek saya (CHE NAH) sendiri, mereka mula merantau dengan berjalan kaki dan waktu itu bangunan Stesyen keretapi Sungai Petani sedang dalam pembinaan. Saya membelek-belek lipatan sejarah dan terjumpa fakta yang menunjukkan bangunan stesyen keretapi Sungai Petani hanya siap dan dibuka pada tahun 1914.

BERPINDAH KE KAMPONG BIKAN, KULIM

1.11    Di Serdang, Kedah pasangan ini membuka perniagaan kedai makan dengan dibantu beberapa orang anak yang sedang membesar. Bagaimana pun perniagaan ini tidak dapat kekal lama dan hanya dapat bertahan sekitar hampir 3 tahun sahaja. Kemudian mereka mendapat berita bahawa di Kpg. Bikan, Kulim, Kedah, penduduk-penduduk disana amat memerlukan seorang guru Al-Quran bagi mengajar anak-anak mengaji. Pasangan ini kemudiannya menyahut panggilan ini dan berpindah ke Kpg. Bikan, dan diberikan sebidang tanah berhampiran jalan masuk kekampong tersebut bagi mendirikan rumah.

1.12     Bertolak dari situ bermulalah kehidupan mereka sebagai penduduk di Kpg. Bikan dengan kedua-dua suami isteri ini berperanan sebagai guru mengajar Al-Quran setiap petang dan malam. Setiap hari dan setiap malam rumah yang baru didirikan dipenuhi dengan meriah oleh ramai anak-anak yang belajar mengaji. Disamping mengajar mengaji, LEBAI HUSSIN juga menjadi tukang-rumah secara sambilan; membuat kerja-kerja kampong, bertani dan juga mengubati penyakit-penyakit ringan yang dialami oleh penduduk-penduduk kampong dengan berkat jampi dari ayat-ayat Al-Quran.

ANAK-ANAK LEBAI HUSSIN DAN CHE NAH

1.13    Perkongsian hidup LEBAI HUSSIN dengan isterinya CHE NAH telah dianugerahi Allah dengan 8 orang anak; 5 lelaki dan 3 perempuan. Senarai nama anak-anaknya seperti berikut:
1) ABD. SAMAD
2) ISMAIL
3) RAMLI
4) RAMLAH
5) HALIJAH
6) ABDULLAH
7) HASHIM
8) PUTEH

1.14     Dari 8 orang anak ini, 2 orang anaknya meninggal sewaktu masih muda. RAMLAH meninggal sewaktu melahirkan anak ketiga, manakala HASHIM meninggal sewaktu berusia diawal 20an dan masih bujang, dalam suatu tragedi berdarah yang berlaku pada tahun 1953 dimana beliau terkena tembakan pengganas komunis sewaktu keluar memburu ayam-hutan bersama beberapa orang rakan. Insya Allah, episod ini akan diceritakan dengan lebih detail dalam siri-siri yang akan datang.............

1.15    LEBAI HUSSIN meninggal dunia pada 15 Oktober 1969 dalam usia hampir 80 tahun, manakala isterinya CHE NAH meninggal pada tahun 1991 dalam usia yang mencecah hampir 95 tahun..........AL-FATEHAH KEPADA KEDUANYA !!!


Bersambung di Siri 2. -   SALASILAH KELUARGA ABD. SAMAD BIN LEBAI HUSSIN

Friday, 19 September 2014

Kenapa wanita banyak bercakap..........



Wanita rata-rata memang suka bercakap. Suatu kenyataan yang harus kita terima dalam hidup ini. Cuba lihat disekeliling kita, baik isteri kita, anak perempuan, saudara mara, jiran atau rakan-rakan wanita dipejabat. Dari 10 orang wanita yang kita kenali, mungkin seorang atau 2 sahaja yang bersifat agak pendiam dan kurang bercakap. Yang lain selalunya bermulut becok, lebih-lebih lagi jika bertemu 'partner', atau kenalan rapat yang boleh diajak berborak.

Kita melihat wanita bercakap semasa menonton tv. Mereka masih boleh terus berbual dengan orang disebelahnya sambil menonton dengan tidak terlepas sedikit pun jalan cerita di tv. Kadangkala sambil melipat kain yang diangkat dari ampaian atau sambil menyediakan lampin anak. Sambil memasak pun mereka masih boleh terus bercakap, dan masakan tidak terjejas dan siap mengikut jadual juga. Begitulah hebatnya wanita. Mereka berkebolehan membuat 2 atau 3 kerja serentak dalam suatu masa. Selalu juga kita lihat wanita masih terus-terusan menceceh dalam telefon berjam-jam lamanya dengan rakan karibnya walaupun baru sahaja berjumpa seminggu yang lalu. Masih ada bahan yang boleh dibual dan digosipkan. Sebab itu kata orang, jika ada masalah lebih elok tidak diberikan kepada wanita. Nanti mereka akan terus bercakap dan bercakap mengenainya. Sebelum masalah diselesaikan, satu dunia sudah tahu masalah itu.

Biasanya, wanita cenderung bercakap untuk melepaskan beban masalahnya kepada orang lain, bukan mahu mencari penyelesaian mahupun rumusan terhadap masalah itu. Kadangkala dengan bercakap itu mereka merasakan beban masalah yang ditanggung akan menjadi lebih ringan. Jadi mereka akan terus bercakap dan bercakap. Sehinggakan jika ada lelaki yang suka bercakap dan bergosip, orang akan segera menegurnya, 'kau ni macam perempuanlah!'.

Mengikut pakar saikoloji, secara purata wanita bercakap sebanyak 6,000 hingga 8,000 patah perkataan dalam sehari. Mereka juga berkebolihan mengguna 2,000 hingga 3,000 nada suara dan intonasi yang berbeza, serta 8,000 hingga 10,000 pergerakan (tangan, muka, kepala dan bahasa badan lain) dalam sehari. Begitu hebatnya wanita. Adalah penting para lelaki (atau suami) mengetahui perkara ini dan menerima hakikat tentang anugerah semulajadi wanita yang dianugerahi Allah.

Dari segi pemikiran pula, menurut pakar lagi, otak wanita tidak dapat menyimpan maklumat secara khusus. Contohnya, apa yang difikirkan di pagi hari akan terus berlegar-legar dalam fikirannya dan perlu diluahkan segera. Otak wanita amat cenderung menggunakan pertuturan sebagai cara meluahkan perasaan. Ini adalah kekuatan dan kehebatan merteka. Berbanding otak lelaki yang mampu mengetepikan dan pada masa sama menyimpan maklumat. Mereka masih boleh relaks walaupun sedang dihimpit dengan pelbagai masalah dan tekanan. Masalah boleh disimpan untuk difikirkan pada waktu lain.

Jadi untuk wanita, kerana tidak mampu menyimpan maklumat, satu-satunya ruang mengetepikan masalah mereka ialah dengan cara bercakap mengenai masalah itu. Bercakaplah mereka sehingga selalunya tidak fokus untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mereka akan bercakap kepada siapa sahaja yang dirasakan boleh dicakapkan masalah tersebut. Demikian hebatnya percakapan wanita, sehingga kadangkala kalau tiada manusia disekeliling, mereka boleh bercakap hatta kepada kucing, ayam-itik atau burung sekali pun.

Bagi wanita pula, janganlah cepat melenting jika dikatakan suka bercakap. Ini adalah lumrah kejadian dan kelebihan yang diberikan Allah kepada kaum hawa.. Ada juga kebaikan sebenarnya. Wanita selalunya menggunakan peluang bercakap untuk membina hubungan dan keakraban dalam pergaulan. Dengan banyak bercakap mereka berkebolehan meluah isi hati dengan lebih berkesan, serta lebih nampak mesra dan jujur dalam pergaulan. Contohnya, wanita menggunakan telefon untuk mengeratkan hubungan sebaliknya lelaki bercakap untuk hanya menyampaikan fakta dan maklumat kepada orang lain. Jadi tiada hairanlah wanita boleh 'bergayut' berjam-jam lamanya ditelefon, sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh lelaki.......

Jika diperhatikan, kebanyakan wanita juga mampu bercakap banyak perkara dalam satu masa. Malah bukanlah aneh wanita mampu memberitahu banyak perkara dalam satu ayat. Otak wanita berkebolehan memikirkan banyak perkara pada satu-satu ketika. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah kita memasang telinga dan mendengar apa butir yang dibualkan mereka apabila berjumpa rakan sesama wanita. Topiknya boleh melompat-lompat tanpa ada hubungan yang jelas. Contohnya, mereka boleh bercerita soal menjaga anak pada suatu ketika, kemudian melompat pula cerita pasal siri tv yang diminati ramai; kemudian bab masakan pula, kemudian soal membeli belah dipasar, melompat pula mengenai kerenah jiran tetangga yang bermasalah dan kemudian kembali kepada bab menjaga anak lagi. Mereka mampu dengan serta-merta mengubah topik perbualan dan kemudian menyambung balik perbualan atas topik asal dengan 'penyambungan' (continuity) yang begitu baik sekali. Uniknya mereka dapat pula mengingati setiap butiran perbualan.

Jadi amaran kepada lelaki, jangan sesekali dekati wanita yang sedang asyik berbual sesama mereka. Kita akan jadi 'confius' dan tidak mudah untuk mengikuti pucuk pangkal perbualan mereka kerana topik perbualan selalunya melompat-lompat. Otak lelaki agak sukar menerima perlakuan seperti itu dan akhirnya kita akan kebingungan sendiri.

Bagi wanita yang bekerjaya, mereka mungkin kurang menghadapi masalah kerana banyak peluang bercakap dan berinterksi dengan rakan-rakan atau pelanggan ditempat kerja. Selepas pulang dari kerja mereka agak keletihan dan  sudah kurang daya bercakap. Tapi, bagaimana pula wanita dan para isteri yang tidak bekerja? Siapa yang mahu melayan mereka bercakap? Bagaimana kuota kata-kata sehari (6,000 hingga 8,000 patah perkataan) perlu dihabiskan? Perkara inilah yang perlu difikirkan, terutama oleh para suami, ibubapa atau saudara-mara wanita yang tidak bekerjaya. Kehilangan peluang bercakap seperti ini boleh menyebabkan "emotional stress" yang boleh mengundang masalah lain jika tidak ditangani dengan betul. Kecenderungan wanita yang tidak bekerjaya dalam mencari jalan keluar permasalahan ini ialah dengan perbanyakan interaksi / perbualan dengan anak-anak, bagi yang ramai anak, menganggotai / mengaktifkan diri dengan persatuan-persatuan setempat atau paling tidak menyibukkan diri menghadiri kelompok " ahli mesyuarat tingkap" dikampung atau taman perumahan masing-masing.............











Monday, 12 May 2014

Menyusuri bakat kurniaan Allah ketika muda.............



Gambar hiasan

Dunia muzik tanahair begitu hampir dengan saya sejak kecil lagi. Entah mengapa, dan saya tidak tahu  apa sebenar puncanya.  Masih ku ingat waktu kecil dulu, mak selalu menegur. “Hang ni hewan sangat aihhh!”.  Ini berlaku bila saya suka sangat ketuk-ketuk lantai, meja atau apa saja ketika duduk-duduk berehat, dengan mulut yang sering menyanyi entah apa-apa lagu. Selalu sangat suka bergendang, kata orang-orang utara!. Saya faham ‘hewan’ yang dimaksudkan disini bukanlah haiwan (binatang) tapi suatu bahasa kiasan orang-orang utara kepada sesaorang yang suka sangat berlagu atau sukakan hiburan. 

Tapi, itulah saya.  Muzik amat dekat dijiwa saya sejak kecil. Tidak tahu macam mana boleh jadi begini kerana setahu saya dalam keluarga, baik disabelah emak atau ayah, tiada seorang pun yang bergiat dalam muzik kalau nak dikatakan ada faktor keturunan. Majoriti mereka orang kampong biasa, manalah ambil tahu sangat mengenai muzik.  Seingat saya sejak dari kecil amat meminati lagu dan muzik. Apa sebenarnya yang mendorong, saya kurang pasti. Mendengar radio dan menikmati lagu-lagu menjadi kegemaran saya . Walaupun ketika itu tiada radio dirumah, saya boleh tunggu berjam-jam dalam semak tepi rumah jiran semata-mata mahu mendengar rancangan pilihan diradio. Radio jiran pula dibuka kuat-kuat, jadi tiada masalah untuk tumpang mendengar. Saya boleh menghafal setiap bait dan senikata lagu yang sering berkumandang dicorong radio tanpa masaalah. Sebut sahaja lagu apa, siapa penyanyinya semuanya saya ikuti dengan teliti. 

Kalau ada pertunjukan pentas, pancaragam ke, ghazal pati ke, atau pertunjukan dirumah kenduri disekitar kampong, saya tidak akan lepas peluang. Siap duduk melangut bawah pentas lagi!. Masih ku ingat sewaktu awal tahun-tahun 60an dulu, sewaktu itu usia baru menjangkau sekitar 13 – 14 tahun, saya mula berjinak belajar bermain gitar secara sendiri-sendiri walaupun hanya dengan gitar buatan sendiri.. 

Secara kebetulan demam pop yeh yeh sedang  melanda negara waktu itu. Saya juga tidak terkecuali melibatkan diri dalam arus yang melanda itu bersama rakan-rakan sebaya dikampong.  Biasalah, sebagai anak-muda yang sedang meningkat dewasa ketika itu, saya begitu cepat terpengaruh dengan apa jua 'genre' muzik waktu itu.  Dengan berbekalkan peralatan muzik seperti  gitar dan drum buatan sendiri, kami menubuhkan ‘band’ atau kumpulan muzik sendiri.  Gitar diperbuat dari barang-barang buangan seperti papan/papan lapis yang dibentuk serta disapu cat atau ‘varnish’; serta talinya dari dawai brek basikal yang dipintal halus. Manakala untuk ‘drum’ pula kami menggunakan tong drum lama yang disapu cat dan dialas kain atau guni dibahagian dalam bagi mengurangkan bunyi gemerincingnya apabila dipalu.  Setiap malam bila ada kelapangan kami akan berlatih muzik dibawah pokok rambutan didepan rumah. Anda boleh bayangkan dengan keadaan serba kekurangan dan kedhaifan, ketiadaan peralatan dan bekalan letrik, kami masih berupaya menyerikan suasana dan pernah dijemput membuat pertunjukan dirumah-rumah kenduri sekitar kampong.  Sungguh lucu! Tapi, itulah hakikatnya.    

Allahyarham ayahanda saya (Hj. Hashim Abdullah)  melihat perkembangan ini dengan teliti. Mungkin atas rasa simpati atau kasihan melihat anaknya yang amat meminati muzik  dalam keadaan yang begitu dhaif dan serba kekurangan, lantas dia sendiri berusaha menghasilkan sebuah gitar untuk saya. Sebenarnya, kalau nak dibelikan sebuah gitar baru, gitar “kapok” atau jenis “akaustik” di ‘The Night Bookstore’, Kulim harganya  adalah sekitar RM98 sahaja. Tapi, waktu itu mana mampu mengeluarkan wang sebanyak itu. Atas rasa kasih sayang seorang ayah, yang dia sendiri pun tidak begitu arif tentang alat muzik itu apa lagi untuk bermain, tetapi mengambil inisiatif dan berusaha gigih membuatkan sebuah gitar untuk saya.  Saya masih ingat hampir seminggu lamanya arwah ayah bertungkus lumus dibantu oleh saya dan kekanda Ibrahim  memotong dan membentuk sebatang kayu pulai hingga menjadi sebuah gitar , siap di’varnish’ dan dipasang tali. Dan inilah kali pertama saya memasang tali gitar yang sebenar.  Dan dengan gitar inilah saya berlatih bersama kawan-kawan, dan membawa kesana kemari memperdengarkan muzik saya.   

Apabila saya meningkat dewasa dan bersekolah menengah di Kilang lama, Kulim langkah menjadi lebih panjang. Sewaktu diTingkatan 4, saya menyertai berapa rakan sekelas menganggotai sebuah band yang dianggotai oleh beberapa orang anak anggota  polis di Jalan Panchor, Kulim yang diberi nama D’SATRIA.  Band ini adalah merupakan bank ke-2 (2nd liner) kepada band utama Kulim waktu itu THE VAGABOND, yang agak terkenal dan pernah membuat rakaman beberapa kali di Radio Malaysia Pulau Pinang,  Dengan band ini saya sempat untuk beberapa ketika membuat pertunjukan pentas dibeberapa majlis kenduri  didaerah Kulim. Antara tempat yang saya masih ingat ialah diJunjong, Naga Lilit, Bagan Sena dan Sungai Ular. Tapi, usia band ini tidak bertahan lama kerana selepas habis tingkatan 5, semua anggota bercempera membawa haluan masing-masing. Saya sendiri berhijrah ke Kuala Lumpur selepas itu dan tiada mempunyai peluang dan ruang lagi untuk meneruskan hobi ini.  

Seorang rakan pernah memberitahu saya sewaktu kami berbual mengenai hobi ini: “ Kamu ni silap aliran le! Sepatutnya kamu tidak ambil kursus pengangkutan (transport study), tetapi kursus seni muzik atau seni “performing arts” dimana2 pusat pengajian dulu........” Mungkin ada juga kebenarannya. Tapi, waktu dulu mana ada pusat pengajian yang menawarkan kursus ini seperti sekarang. 

Bakat yang ada pada saya mungkin kini diambilalih oleh anak ketiga saya, Mohd Shahril Izat bin Salleh yang kini bergiat secara  sepenuh masa sebagai pemuzik profesional di Kuala Lumpur.  Kata pepatah Melayu: “Kemana tumpah kuah kalau tidak kenasi.......”

Thursday, 13 February 2014

ASAL NAMA LABU BESAR........

LABU BESAR ialah nama sebuah pekan kecil (ala pekan "cowboy") terletak dalam Mukim Bagan Sena,
Pekan Labu Besar
didaerah Kulim, Kedah. Pekan ini mempunyai penduduk anggaran 5000 orang termasuk yang menghuni kampong-kampong dan kawasan perumahan sekitarnya. Ianya terdiri dari dua bahagian: pekan : iaitu pekan lama disebelah atas bukit menghala Ladang Bukit Sedim berdekatan pondok Polis dan pekan ini sudah menjadi pekan "mati", dan pekan baru yang letaknya dibahagian bawah dimana terdapat ramai penduduk dan aktiviti perniagaan. LABU BESAR disempadani oleh Ladang Bukit Sedim (disebelah barat); Kpg Bagan Sena & Kpg Jubai (disebelah utara), Kpg Padang Ah Tau (Bukit Chempedak)( disebelah timur) dan Kpg Padang Bola, Kpg Padang Ubi dan Kpg Bikan (disebelah selatan). Pekan kecil ini juga dihubungi oleh rakaian jalanraya negeri (K166) yang cantik dari bandar Kulim yang melalui pekan ini hingga kepekan Malau di daerah Baling. Ianya juga mudah dihubungi melalui Lebuhraya Baling-Kulim Expressway (BKE) (67) yang mempunyai jalan susur keluar/masuk dan merupakan salah satu pintu utama kekawasan ini.

Pada asalnya kawasan ini percayai telah diterokai oleh sekumpulan orang-orang Melayu keturunan Pattani dari daerah Merbau Pulas dan Kuala Ketil sekitar penghujung abad ke18 dan awal abad ke19 Kemudiannya sekumpulan peniaga-peniaga Cina juga datang untuk berniaga dan mencari bijih timah pada awal 1800an. Satu-satunya jalan masuk kekawasan ini pada waktu itu ialah melalui sungai Sedim yang mengalir tidak jauh dari pekan ini . Dipercayai pada waktu itu terdapat suatu alor atau anak sungai yang menghubungi Sungai Sedim kekawasan pekan Labu Besar. Kawasan berpaya yang masih terdapat ditepi jalan ditengah pekan sekarang ini menyediakan alor yang agak dalam dan berupaya menampong kemasukkan jong serta perahu-perahu kecil dari para peneroka dan peniaga kekawasan ini. Mereka akan berlabuh ditebing-tebing untuk aktiviti perniagaan dan dalam sekelip mata kawasan ini tumbuh dan pesat membangun. Nama asal LABU BESAR sebenarnya adalah dari perkataan LABUH BESAR bermakna pelabuhan atau tempat persinggahan bot atau tambatan. Orang-orang Cina agak sukar menyebut LABUH BESAR, dan akhirnya LABUH bertukar mejadi LABU dan kekallah LABU BESAR sehingga sekarang.

Kawasan alor ini sekarang sudah tidak ujud lagi disebabkan terkambus akibat hakisan dan aktiviti pertanian khususnya tanaman getah dan bersawah padi. Bagaimana pun bagi jenerasi lama yang masih ingat, suatu ketika dulu terdapat sebuah kawasan paya dan tasik ditepi jalan utama berhampiran dewan orang ramai yang dipenuhi teratai dan dalam airnya. Tasik ini adalah sebahagian dari alor dan anak sungai tersebut yang sudah berubah alirannya.


Penduduk-penduduk Melayu Pattani ini banyak mendirikan penempatan di kawasan Bagan Sena, Bukit Chempedak dan sehingga Padang Ubi dan Padang Patong. Aktiviti utama ialah bercucuk tanam dan bersawah padi, manakala orang-orang China mendirikan penempatan sekitar pekan Labu Besar. Mereka meneroka tanah baru hingga ke Padang Ubi, Kpg. Bikan dan Bukit Hangus dan mengusahakan tanaman ubi kayu sebagai tanaman utama disamping jagung dan tanaman2 lain. Masyarakat Cina ini kian berkembang dengan pesatnya sehingga timbul keperluan mengujudkan sebuah sekolah Cina di pekan Labu Besar. Sebuah kilang bagi memperoses ubi-kayu juga didirikan disuatu kawasan tidak jauh dari sekolah tersebut.


Sewaktu zaman pendudukan Jepun (1940 - 1945), pemerintah Jepun telah meletakan satu ketombokan tentera dan markasnya di sekolah Cina, Labu Besar bagi menjalankan pentadbirannya. Ramai pemimpin dan penduduk Cina ditangkap dan ditahan dan kemudiannya hilang begitu saja. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, aktiviti "bintang tiga" pula mengambil alih. Penempatan-penempatan Cina ini disyakki telah memainkan peranan besar membantu pihak "bintang tiga" dengan gerakan ideoloji komunis, dan memulakan gerakan gerila menentang kerajaan British waktu itu. Akhirnya, dharurat diisytiharkan pada tahun 1948. Kerajaan British menjalankan langkah  memindah dan memusatkan semula penempatan orang-orang Cina yang berselerak dimerata tempat kesuatu tempat khusus yang dipagar dan dikawal iaitu dikawasan dipekan Labu Besar (pekan lama sekarang ini). Selepas era ini tiada lagi penempatan orang-orang Cina dikawasan-kawasan luar pekan kecuali dikawasan pekan Labu Besar.

Selepas merdeka, kawasan ini turut membangun dengan pesat. Pekan kecil ini juga turut berkembang terutama dibahagian bawah (pekan baru) dimana rumah-rumah kedai baru didirikan seiring penempatan-penempatan baru seperti kawasan perumahan KEDA bagi penduduk sekitarnya. Pekan lama dibahagian atas tinggal sepi sekarang ini dan sudah menjadi "pekan mati".

Monday, 21 January 2013

MOHONLAH, ALLAH AKAN MAKBULKAN……..


 Kata orang bijak-pandai, doa adalah senjata orang mukmin. Apabila berhadapan dengan masalah, atau menemui jalan buntu dalam sesuatu perkara, kita disaran berdoa dan berserah kepada Allah. Insyaallah permintaan kita akan dikabulkan. Allah berfirman: “Mohonlah kepada Ku nescaya Aku akan makbulkan…….” Begitulah Allah menyuruh kita meminta kepadanya. Berdoa dan berserah kepadaNya dalam apa jua masaalah yang kita hadapi lebih-lebih lagi ketika menemui jalan buntu dan tidak ada sebarang daya upaya kita untuk menyelesaikannya. Pengalamanku seperti dibawah menguatkan keyakinan bahawa Allah tetap membantu asal saja kita berdoa dan berserah kepadaNya.

Tanggal 22hb. Disember 2012, kira-kira jam 9.10 malam aku bersama isteri dan anak perempuanku Syafikah, bertolak dari Bandar Tasik Puteri, Rawang menuju ke Telok Panglima Garang, Selangor. Hajat hendak bermalam dirumah anakku Nurazreen disana kerana besok ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Hujan telah mula turun mencurah-curah sewaktu kami bertolak dari rumah. Oleh kerana aku masih kurang sihat, dan baru saja makan ubat petang tadi, isteri meminta untuk memandu. Walau pun hati berat dan bimbang juga kerana keadaan jalan dan hujan lebat, namun ku gagahi juga mengizinkannya. Sepanjang jalan melalui Lebuhraya LATAR, kemudian memasukki Lebuhraya Guthrie, hujan semakin lebat hingga kadangkala tidak nampak jalan dihadapan. Aku berpesan kepada isteri agar berhati-hati memandu kerana dalam keadaan hujan lebat sebegini macam-mcam boleh berlaku. Pada masa yang sama ku lihat meter minyak di’dashboard’ dihadapan jarum sudah hampir ke ‘E’.  Alamak! Macam mana ni?. Memang kesilapan ku, bisik dihati seorang diri. Sepatutnya aku telah siap isi minyak siang tadi sebelum bertolak. Mana nak cari stesyen minyak dikawasan ini, terutama dalam keadaan hujan lebat begini. Aku menunjuk meter minyak kepada isteri. Nampak sedikit kebimbangan diwajahnya. “Kita gagahlah sampai masuk lebuhraya PLUS kerana dekat tol Bukit Raja nanti ada Petronas“ aku memberitahu isteri. Dia mengangguk. Dalam pada itu aku sering juga mengerling meter minyak dihadapan. “Boleh lagi ni”  bisik hati kecilku seorang diri menyedapkan hati.

Jam 9.30 malam kami hampir sampai dipenghujung lebuhraya Guthrie dekat persimpangan Bukit Jelutong, Shah Alam sebelum menyusur ke lebuhraya PLUS menuju ke Klang. Dari jauh lagi nampak kenderaan lain berbalam-balam berhenti dihadapan. “Apa pulak dah ni? Ada accident ke?. Jem teruk nampak didepan?”. Ujarku apabila kami menghampiri deretan kenderaan yang sudah mula bertali arus. Jangkaan kami tepat sekali. Lebuhraya Guthrie sudah jem teruk. Kiri kanan kami bersesak-sesak kenderaan lain. Perjalanan kami terbantut. Pergerakan amat perlahan, dan sudah jadi “bumper-to-bumper”. Kenderaan kami macam mengesot sahaja. 

“Mungkin ada accident didepan kot?” aku mengagak.

“Lampu minyak dah menyala ni” tiba-tiba isteriku memecah kesunyian. Alamak!, apa pula bala ni?. Macam mana nak buat?. Aku memandang meter minyak. Memang lampu insyarat telah menyala, dan selagi tidak diisi minyak, lampu itu tak akan padam. Ku lihat jarum penunjuk pun telah jatuh kegarisan merah paras bawah. Kalau jem macam ni sekejap lagi habislah minyak dan kereta akan tersadai. Aku memandang muka isteri. Nampak jelas kerisauan diwajahnya.

“Takpalah, kita jalan lah pelan-pelan. Insyaallah boleh sampai ke Tol Bukit Raja ni” aku memberitahunya untuk menyedapkan hati.

Kami terus menyusuri bersama arus kenderaan lain yang bergerak perlahan bagaikan bertali arus. Hampir 20 minit baru kami sampai dipersimpangan susur masuk kelebuhraya PLUS untuk ke Klang dan satu lagi ke Shah Alam. Malangnya, semua kenderaan menghala ke Klang diarah oleh petugas lebuhraya supaya menukar arah ke Shah Alam. Jalan susur ke arah Klang juga diletaknya deretan kon menanda jalan ditutup kepada semua lalu-lintas. 

“Apa hal encik?” aku bertanya pekerja PLUS yang sedang bertugas.

“Persimpangan Bukit Jelutong dinaikki air!”  ujarnya. Ya Allah!. Ini masaalah besar ni. Bermakna kami terpaksa masuk mengharungi jem menghala Shah Alam melalui Jalan Batu Tiga untuk mencari stesyen minyak yang terdekat. Tapi, dengan lampu isyarat minyak yang sudah menyala, bolehkah kami bertahan? Aku tahu benar jalan menghala ke Shah Alam yang kami masukki itu memang selalu jem teruk! Dalam keadaan biasa pun sesak terutama waktu petang sewaktu orang balik kerja, ditambah pula bila keadaan hujan macam ni dan ada jalan lain yang ditutup. Aduhhhh….

Aku melihat isteriku diam. Mulutnya berkumat-kamit. Mungkin berdoa agaknya. Anakku si Syafikah ditempat duduk belakang mungkin tidak merasai kerisauan ini. Dah lama terlelap agaknya. Siap kedengaran berdengkur lagi! Aku juga tidak putus-putus berdoa kepada Allah minta supaya dicukupkan bekalan minyak sehingga kestesyen minyak dihadapan sana. Juga minta agar kami dijauhi dari sebarang masaalah dan kesulitan yang boleh merencatkan perjalanan kami. Apa juga ayat yang ku ingat terus ku baca, dan habis saja satu ayat disambung ayat lain, diselang-selangi zikir pendek bagi menenangkan kerisauan dihati. Minta agar Allah permudahkan segala urusan kami……..
Gambar hiasan

Jam sudah menunjukan hampir 10.00 malam ketika kami masih bersesak dalam deretan kenderaan menuju Shah Alam. Hujan masih lagi turun walau pun sudah tidak selebat tadi. Tiba-tiba isteri menjerit: “Eh, lampu isyarat minyak dah padam, dan jarum pun naik balik sedikit!” Aku terus memerhati meter minyak. Betul seperti kata isteri. Selepas hampir setengah jam lampu isyarat menyala tadi tiba-tiba padam balik. Ajaib jugak!. Aku memandang isteri, dan dia juga memandang balik seolah-olah tiada jawapan. Dalam hati aku terus berdoa: “Ya Allah, Engkau tolonglah kami. Jangan kau biarkan kami tersadai ditepi jalan ini!”. 

Jam 10.20 malam kami masih lagi tersekat-sekat ditengah aliran arus kenderaan menghala Shah Alam. Jalan sikit, berhenti. Masih ada kira-kira 1 kilometer lagi sebelum sampai persimpangan lampu isyarat berhampiran Bangunan Syabas untuk membelok ke kanan.  Banyak kenderaan yang tidak sabar memotong dari kiri akhirnya terhenti juga dihadapan akibat jalan sempit. Beberapa buah kenderaan juga kelihatan tersadai ditepi jalan akibat masalah injin ‘overheating’. Kami masih ditengah deretan beratus kenderaan yang sedang terperangkap dalam kesesakan paling teruk.

Tiba-tiba isteri memberi tahu: “Lampu minyak dah menyala balik!” Aku mengerling meter. Hati kembali risau, sambil mulut terus berkumat-kamit membaca apa yang patut. Agak lama kami terdiam. Apabila sampai dipersimpangan lampu isyarat dekat bangunan SYABAS, kami melencong kekanan masuk ke Shah Alam. Hati kecil ku berkata, biarlah kalau nak tersangkut ke apa ke, sekurang-kurangnya kami sudah masuk area Shah Alam.

“Lampu dah padam balik!” ujar isteri sekali lagi dengan nada gembira ketika sampai persimpangan Giant. Aku mengerling meter dan terus bersyukur. Aku rasa kembali bersyukur walaupun 10 minit masa berlalu rasa macam 10 jam. Kini kami melalui jalan disebelah Giant dan kira-kira 500 meter kehadapan kami lihat kesemua kenderaan yang masuk terpaksa berpatah balik.

“Ah, jalan tutup lagi!.Mesti banjir lagi disini” ujarku. Kami berpatah balik mengikut deretan kereta yang terpaksa membuat pusingan ‘U’ mengambil jalan menongkah arus untuk sampai laluan dihadapan bangunan Kolej PTPL. Untuk sampai kesitu, kami harus masuk kekawasan deretan rumah-rumah kedai dan pejabat, dan kemudian membelok keluar kekiri menghala ke Jalan Stadium. Sewaktu sampai disini jam sudah menunjukkan pukul 10.40 malam dan hujan pun sudah reda. Aliran kenderaan sudah tidak sesak seperti tadi lagi. Baru rasa lega dan boleh bernafas sikit. Aku berkira-kira, stesyen minyak paling hampir rasanya ialah selepas Bulatan Kayangan, di Lebuhraya Persekutan sebelah kiri menghala ke Klang.  Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati kami melalui bulatan Stadium menuju arah Bulatan Kayangan dan kemudian memasukki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang.

Akhirnya tepat jam 10.55 malam kami sampai ke stesyen Petronas di Lebuhraya Persekutuan. Fuhh….syukur! Alhamdullallah!. Rasa lega tidak terkata. Mulut tidak putus-putus menyebut ‘Alhamdulillah!’ sebagai puji-pujian kepadaNya yang telah memakbulkan permintaan kami dan menghindarkan kami dari mendapat kesulitan yang tidak diingini akibat kehabisan minyak ditengah jalan. Baru ku sedar rupanya kami telah memandu hampir 1 jam 25 minit dalam kesesakan dengan lampu isyarat minyak yang sekejap menyala dan sekejap padam, dan akhirnya kami sampai juga kestesyen minyak! Dari situ setelah mengisi minyak, kami terus memecut laju ke Klang. Singgah sebentar di Bukit Tinggi untuk makan nasi ayam di Restoran Andalas Corner kerana perut pun telah terasa lapar kerana kami belum makan sewaktu keluar dari rumah tadi. Jam hampir 12.00 tengah malam baru kami sampai dirumah Nurazreen di Telok Panglima Garang.

Aku sebenarnya merasa pelik. Sepanjang pengalaman  memandu kereta ini, sejak 6 tahun lalu, belum pernah aku alami keadaan semacam ini. Apabila lampu isyarat minyak sudah menyala, ianya tidak pernah padam lagi sehingga minyak diisi. Berdasarkan pengalaman juga itu tandanya kita ada kurang lebih setengah jam atau 40 minit sahaja untuk mengisi tangki. sebelum injin mati akibat kehabisan minyak. Tapi, mengapa dalam kejadian ini, kami yang memandu hampir satu setengah jam tanpa henti, dalam keadaan kesesakan jalan pulak, tidak pula menghadapi injin mati, malah meter minyak yang menyala boleh padam pula dan jarum penunjuk yang tadi sudah turun dibawah garisan merah tiba-tiba boleh naik pulak melebihi garisan bawah. Pelik juga jika memikirkan. Apa-apa pun aku bersyukur padaMu ya Allah kerana melancarkan perjalanan ku pada malam itu tanpa sebarang masalah yang tidak diingini. Sesungguhnyalah…..ENGKAU MAHA BESAR!!! Amin ya rabbal alamin!!