Siri 6
SALASILAH KELUARGA HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN
Di siri keenam ini saya akan memperkatakan sedikit sebanyak mengenai
salasilah keturunan HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN. Jika dalam Bahagian 5
dulu saya begitu tercabar menulis perihal sesaorang yang tidak pernah
saya temui dan lihat dalam hidup saya, tetapi minggu ini saya akan
menulis mengenai sesaorang yang amat hampir dengan kehidupan saya. Tahu
tentang latarbelakang kehidupannya; sifat dan keperibadiannya; serta
segala keluh-kesah dan tawa-ria dalam kehidupannya yang pernah saya
kongsi bersama. Apa tidaknya!. Beliau adalah ibu saya sendiri, iaitu
Allahyarhamah HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN.....
HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN (1922 - 2005)
|
Gambar HALIJAH |
1. HALIJAH adalah anak kelima pasangan LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB
dan CHE NAH BINTI HJ. DERAEH, dan juga merupakan anak perempuan kedua
pasangan ini selepas RAMLAH. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan
Makndak atau Tokndak LIJAH dalam keluarga, dilahirkan di Yan, Kedah,
sekitar tahun 1922. Dalam usia yang masih kecil (ketika berusia sekitar
7 tahun) telah turut merantau bersama keluarganya sehingga ke Kampong
Bikan, dimana beliau telah dibesarkan. Sepertimana anak-anak gadis
lain, sejak zaman remajanya lagi beliau sibuk membantu ibu dan ayahnya
mengurus rumah-tangga, membantu ibunya didapur dan bermain bersama
kawan-kawan sebaya. Beliau juga turut terlibat membantu ayah-ibu
mengerjakan sawah dan bercucuk tanam dan pernah mengalami gelora hidup
pahit getir sebagai anak kampong yang hidup tanpa kemewahan memandang
ayah dan ibu hanya menjalankan kerja-kerja biasa dikampong. Beliau
tidak berpeluang bersekolah secara formal, dan pelajaran asasi yang
diterima hanyalah dari tunjukajar dan bimbangan kedua-dua orang tuanya
saja dikampong.
2. Tetapi antara ilmu yang paling beliau
menonjol ialah memilikki bakat ayah dan ibunya mengajar Alquran. Sejak
dari zaman kanak-kanak lagi beliau turut serta membantu ayah dan ibu
yang berugas mengajar Alquran kepada anak-anak jiran sekampong. Dan
bakat ini telah beliau warisi sehingga ke zaman tuanya. Tidak hairanlah
sehingga selepas berumah tangga pun, beliau masih giat mengajar Alquran
kepada anak-anak jiran sehinggalah usia tua apabila daya dan kudratnya
untuk mengajar sudah tiada lagi. Saya masih ingat lagi sewaktu zaman
mudanya, beliau boleh menegur bacaan yang salah walaupun tengah memasak
didapur atau sedang membuat kerja lain. Begitu tajam sekali pendengaran
dan tumpuannya apabila mendengar pembacaan Alquran.
PERKAHWINAN PERTAMA
3. HALIJAH bertemu jodoh ketika berusia 18 tahun dengan seorang
pemuda berasal dari Kampong Jangkang, Kulim, Kedah bernama MOHD. NOH.
Selepas berkahwin beliau mengikut suaminya berpindah ke Alor Star dan
menetap disana. Dengan MOHD NOH beliau dianugerahi seorang anak
perempuan bernama SITI MARIAM (atau dikalangan keluarga lebih dikenali
sebagai CHE KAH). Malangnya perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama.
Rumah tangga mereka diserang ribut badai selepas bertahan hanya
lebihkurang 3 tahun. Suaminya dikatakan terlibat dalam suatu kesalahan
jenayah dan ditahan oleh pihak Polis. Hancur-luluh perasaan si isteri
ketika menghadapi saat genting itu. Akhirnya, pasangan ini bercerai, dan
HALIJAH pulang kepangkuan ayah dan ibunya di Kpg. Bikan dalam suasana
yang hiba dan sayu bersama anak perempuan yang ketika itu baru berusia
sekitar 5 tahun.
4. Hampir 1 tahun selepas pulang
kekampong, nasib keluarga beliau kini dirundung malang sekali lagi.
Kakaknya RAMLAH pula kembali kerahmatullah ketika melahirkan anak yang
ketiga, diikuti beberapa hari kemudian oleh anak yang baru dilahirkan.
Bertimpa-timpa nasib malang yang datang. Kesedihan hati HALIJAH
bagaimanapun sedikit terubat kerana RAMLAH ada meninggalkan seorang anak
perempuan, i.e ROKIAH @ ROKIYAH yang ketika itu berusia hampir sebaya
dengan usia anaknya SITI MARIAM. Kedua-dua anak kecil ini amat mesra
sekali bermain bersama, makan bersama malah tidur pun bersama. Keletah
kedua-dua anak menjadi pengubat jiwa laranya.
PERKAHWINAN KALI KEDUA
|
Gambar HALIJAH bersama suami dan anak-anaknya |
|
5. Atas saranan kedua ibu-bapanya, dan dipersetujui oleh abang
iparnya HASHIM yang baru kematian isteri, HALIJAH akhirnya akur dengan
ketentuan Illahi dan kehendak kedua orang tuanya yang mahukan beliau
berkahwin dengan bekas abang-iparnya itu, demi menyelamatkan 2 keluarga
yang sedang kucar-kacir waktu itu. Dengan rela hati HALIJAH menerima
bekas abang-iparnya HASHIM sebagai suami, atau dalam ertikata yang lain
beliau sanggup "bersalin tikar" menggantikan kakaknya yang telah kembali
kerahmatullah meninggalkan suami dan seorang anak yang amat memerlukan
kasih-sayang dari seorang isteri dan seorang ibu. Suatu majlis rengkas
diadakan dirumah LEBAI HUSSIN begi menyatukan pasangan ini, dan ini
berlaku pada penghujung tahun 1947.
6. Selepas berkahwin,
HALIJAH bersama suaminya HASHIM memulakan hidup baru. Si suami telah
meninggalkan kerja lamanya memugar tanah dan berhuma dihutan, dan
memohon untuk bekerja sebagai penoreh getah di Ladang Bagan Sena.
Pasangan ini kemudiannya berpindah untuk tinggal di 'quarters' yang
disediakan oleh pihak ladang. Bagimanapun, pada tahun 1950 dengan
pengisytiharan dharurat oleh Kerajaan British bagi menentang ancaman
komunis yang memuncak pada waktu itu, si suami berjaya dipilih untuk
memasukki perkhidmatan sebagai Special Constable (SC) di Ladang Pelam,
Baling, Kedah bersama beberapa orang lagi anak LEBAI HUSSIN. Sekali lagi
pasangan ini berpindah. Kali ini menetap di "quarters" Ladang Pelam,
dimana HALIJAH meneruskan kerjanya sebagai penoreh getah diladang
tersebut, manakala suaminya bertugas sebagai polis-khas ditempat yang
sama.
7. Tahun 1954 dengan berkurangnya ancaman pengganas
komunis, ramai anggota SC diberhentikan.
Pasangan ini antara yang
terlibat dalam pemberhentian kerja beramai-ramai ini. Bebekalkan
sedikit saguhati yang diperolehi, mereka kemudiannya pulang kekampong
dan mendirikan sebuah pondok di atas sebidang tanah terletak di Kampong
Padang Ubi, Labu Besar. Dari sebuah pondok kecil berdindingkan buloh,
berlantaikan batang pinang dan beratap rumbia, pasangan ini berusaha
mendirikan sebuah rumah yang lebih selesa demi untuk kehidupan masa
depan dan anak-anak yang kian bertambah.
8. Tahun 1955
cita-cita tersebut berhasil berkat doa dan kerjasama LEBAI HUSSIN
sendiri yang membantu mendirikan sebuah rumah yang lebih selesa untuk
mereka. Sejak itu bermulalah era pasangan ini menetap di Kampong Padang
Ubi sehinggalah keakhir hayat mereka. Pelbagai pekerjaan dilakukan oleh
HALIJAH bersama suaminya untuk meneruskan kehidupan dan membesarkan
anak-anak, antaranya bercucuk-tanam, bersawah padi, menoreh getah,
membuka kedai runcit, berjual-jualan secara kecilan, dan menguruskan
kantin sekolah. Banyak pahit maung, perit getir serta liku-liku
suka-duka dilalui oleh pasangan ini dalam membesarkan dan memberi
pelajaran kepada anak-anak. Akhirnya cita-cita mereka tercapai untuk
melihat anak-anak keluar seorang demi seorang dari kepompong kemiskinan
hidup dan menjalani kehidupan sendiri yang lebih selesa dan bermakna.
9. Pasangan HALIJAH dan HASHIM ini berjaya menyahut seruan
ketanah suci pada tahun 1982. Sekembalinya dari menunaikan haji, suaminya HASHIM sudah tidak beapa sihat dan kembali kerahmatullah
pada tahun 1987, manakala HALIJAH menyusul kemudian pada tahun 2005.
ANAK-ANAK HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN
|
HALIJAH bersama sebahagian anak-anaknya (1971) |
10. Menerusi perkahwinannya yang pertama, HALIJAH memperolehi
seorang anak perempuan bernama SITI MARIAM BINTI MOHD NOH. SITI MARIAM
(a.k.a CHE KAH) berkahwin dengan seorang pemuda yang ada pertalian
keluarga di sebelah bapa-tirinya HASHIM bernama MOHD SAAD BIN ABDUL
RAHMAN, berasal dari Kampong Jangkang, Kulim, Kedah. Beliau menetap di
Kampong Jangkang sepanjang hayatnya. Anak-anaknya seramai 7 orang,
terdiri dari 3 lelaki dan 4 perempuan : SOFIAH; SHUIB; SHAARI;
SAODAH; ZAKARIA; HAFIZAH dan HASNAH
11. Manakala menerusi
perkahwinan keduanya pula, HALIJAH memperolehi 6 orang anak, 5 lelaki
dan seorang perempuan : IBRAHIM; MOHD SALLEH; TAMARUN; ZAITON;
BAHARON dan MOHD AYOB.
11.1 Anak pertama IBRAHIM BIN HASHIM
lahir pada tahun 1949, bersekolah menengah hingga Tingkatan 5 di Kulim;
kemudian memasukki perkhidmatan Polis dan menjawat hingga kejawatan
Penguasa Polis, dan kini telah pun bersara dan menetap di Nilai, Negeri
Sembilan. Beliau berkahwin dengan FUZIAH BINTI ABDULLAH yang berasal
dari Johor Bharu, Johor dan telah di kurniakan 4 orang anak; 2 lelaki
dan 2 perempuan : AZARIL ASWAD; AZARUL AZAD; AIZAN AZARINA dan AIZAN
AZURA.
11.2 Anak kedua MOHD SALLEH BIN HASHIM, lahir pada
tahun 1952, bersekolah menengah di Kulim hingga Tingkatan 5, dan
kemudian menyambung pelajaran secara bersendirian di Uitm (ITM waktu
itu) dalam bidang Pengajian Pengangkutan. Bertugas di Pelabuhan Klang
dan kinI sudah bersara dari perkhidmatan, dan jawatan terakhir sebagai
Pengurus Sumber Manusia, di Pelabuhan Klang. Beliau yang kini menetap di
Rawang, Selangor telah berkahwin dengan FARIDAH BINTI HJ. MD. NOR yang
berasal dari Kilang Lama, Kulim dan dikurniakan dengan 6 orang anak; 4
lelaki dan 2 perempuan : MOHD AFFENDI; MOHD FARUL; MOHD IZWAN; MOHD
SHAHRIL; NURAZREEN dan NURSYAFIKAH.
|
SITI MARIAM @ Che" Kah |
11.3 Anak ketiga
TAMARUN BIN HASHIM, lahir pada tahun 1955, bersekolah hingga Tingkatan 5
di Kulim, kini masih bertugas sebagai Merinyu Kapal Kanan dengan
Jabatan Laut Semenanjung di Pelabuhan Kelang. Berkahwin dengan ROHANI
BINTI ISMAIL yang berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, dan telah
dikurniakan dengan 5 orang anak, 2 lelaki dan 3 perempuan : ALIA;
YATI; HAKIM; BARIQ dan ATIKAH.
11.4 Anak keempat ZAITON
BINTI HASHIM, lahir pada tahun 1959, bersekolah hingga Tingkatan 5 di
Kulim, kini suri-rumah sepenuh masa dan menetap di Alor Setar, Kedah.
Berkahwin dengan SAADIN BIN ABDULLAH (yang juga mempunyai pertalian
keluarga - sepupu), dan kini dikurniakan 4 orang anak; 3 lelaki dan
seorang perempuan : SYAFIRUL; AIDIL; IZZATI dan AFNAN.
11.5
Anak kelima BAHARON BIN HASHIM, lahir pada tahun 1961, bersekolah
hingga Tingkatan 5 di Kulim sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab
Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), Tg. Malim. Kini masih bertugas
sebagai seorang guru di Sek. Men. Labu Besar, Kulim, Kedah. Berkahwin
dengan LATIFAH BINTI ZAKARIA (yang juga seorang guru) berasal dari
Kemaman, Terengganu, dan kini menetap di Kampong Padang Ubi, Labu,
Besar, Kulim, Kedah. Pasangan ini dikurniakan 6 orang anak terdiri dari 5
lelaki dan seorang perempuan : ANAS; ZUBAIR; AMMAR; MUSLIM; ILI
HANANI dan AMIN YASIR
11.6 Anak bongsu dan keenam bernama
MOHD AYOB BIN HASHIM, lahir pada tahun 1965 dan telah kembali
kerahmatullah pada tahun 1991 dalam usia 25 tahun dan masih bujang.
Bersambung di Siri 7 - SALASILAH KELUARGA ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN
|
Carta keluarga |