Thursday, 20 November 2014

Pesanan kepada jenerasi selepasku......



Pesanan kepada jenerasi selepasku......


Kadang-kala hati menjadi terkedu melihat gelagat anak-anak muda jenerasi sekarang yang walaupun
berpelajaran tinggi, menikmati status kehidupan yang selesa serta mencapai taraf hidup yang baik, tapi langsung tidak mahu menghormati orang-orang yang lebih tua pangkatnya dalam salasilah keluarga mereka. Entah dirasuk syaitan apa, kebanyakan jenerasi sekarang ku lihat mudah lupa adap sopan berkeluarga, pegangan turun temurun sejak dari orang tua-tua dulu. Yang tua mesti dihormati dan diberi layanan yang sewajarnya dalam masyarakat kita.  Ini tidak. Yang muda merasa diri sudah begitu hebat dan tidak mahu memperdulikan jenerasi tua lagi. Bagi mereka ini, orang tua sudah tua, nyanyuk dan patut diketepikan saja. Biarkan mereka hidup bersendirian dengan dunia mereka, dan kami dengan dunia kami...

Adakah mereka sedar tentang putaran kehidupan ini sebenarnya. Yang muda akan menjadi tua, dan yang tua akan menjadi lebih tua dan meninggalkan dunia ini. Yang bayi dan kanak-kanak akan mengambil tempat orang-orang yang muda sekarang, manakala yang muda sekarang pula akan mengambil tempat orang tua.

Jadi, dimana kita sebenarnya.. Janganlah merasa sombong menjadi orang muda sehingga lupa diri dan tidak tahu langsung menghormati orang yang lebih tua. Kalau tidak mahu disanjung pun atas sifat apa sekali pun sekurang-kurangnya hormatilah usia dan pengalaman orang-orang yang telah 'dulu makan garam' dari kita!

Saya menjadi terkedu apabila ada anak-anak muda pangkat anak saudara sendiri yang 'malas' dan amat berat untuk berjumpa kita yang tua-tua ni. Kalau ada pun terserempak hanyalah ketika hari raya atau dimajlis-majlis kenduri-kendara. Itu pun salam, jangan kata orang kurang beradab pulak. Tapi hakikatnya mereka ini nampak culas dan tidak mahu langsung bersama orang tua. Apa kah sebab agaknya? Kita tidak menyuruh mereka datang berjumpa kita selalu. Tak suruh pun salam cium tangan selalu. Juga tidak mengharap mereka menghulurkan duit ringgit pun. Cukuplah bila berada disesuatu kawasan yang kebetulan diketahui ada bapak atau mak saudara tinggal disitu, apa salahnya meluangkan masa barang sejam dua menjenguk mereka. Bukan kena buang duit banyak pun!. Tak rugi banyak mana pun duit minyak kereta kalau menyimpang sekejap bertemu mereka. Sekurangnya bertanya khabar. Sihat kah orang tua ni?  Ini tidak. Rasa mereka macam membuang masa berjumpa orang-orang tua ni. Kalau jumpa nanti banyak pulak soal-jawab dan songeknya. Nak tanya itu dan ini pulak!

Saya masih ingat sewaktu kecil-kecil dahulu ayah dan ibu sering mengingatkan. Selalulah balik kampong menjenguk orang tua. Kalau berada diakawasan yang hampir dengan mak saudara, pak saudara atau makcik pakcik, jenguklah mereka walau barang seketika. Jangan jenguk mereka bila ada hal saja. Kalau tak ada apa hal pun apa salahnya menjenguk mereka.

Sekarang ibu ayah sudah tiada. Kita sendiri sudah naik pangkat menjadi orang tua. Ingatan ibu ayah ini masih segar dikepala. Tetapi mengapa jenerasi hari ini amat culas untuk menjenguk kita. Kami bukan meminta duit ringgit kamu. Bukan nak minta kamu belikan beras atau barang dapur. Kalau datang menjenguk sekali sekala pun sudah cukup. Tak perlulah buang duit minyak kereta atau motor datang dari jauh semata-mata nak jumpa kami. Cukup kalau sekali sekala berada didaerah yang sama, luanglah masa sekejap menjenguk kami. Ini tidak. Kalau di jemput kenduri pun tak datang. Masa lain (masa tak ada kenduri) lagilah susah nak nampak muka dan batang hidung!.

Dalam agama kita pun dituntut agar yang muda menghormati yang tua. Nabi sendiri pernah ditanya oleh sesaorang tentang bagaimanakah harus dia berbuat baik kepada ibu-bapanya yang telah meninggal dunia. Kata Nabi, selain banyakkan berdoa dan bersedekah, ziarahlah mereka-mereka yang rapat dengan ibu bapamu sewaktu hayat mereka dulu. Siapakah orang yang rapat dengan ibu bapamu sewaktu mereka masih hidup? Tentunya, rakan taulan mereka termasuk juga saudara-mara yang sezaman dengan mereka yang masih ada sehingga kini. Perlu diingat kita yang muda-muda ini suatu hari nanti akan menjadi dewasa dan tua juga. Kitaran hidup ini akan terus berputar. Pepatah juga ada menyebut: “Jika pelepah yang dibawah jatuh, pelepah yang diatas jangan ketawa, kerana masa akan tiba pelepah yang diatas juga akan jatuh kebumi...”

Perbidalan Inggeris juga sering di sebut: “ You get what you sow.....” Maksudnya, kamu akan dapat hasil buah apa yang kamu tanam hari ini. Jika kamu melayan warga tua kamu dengan cara yang baik, maka cara yang baik jugalah yang akan kamu perolehi apabila kamu memasukki usia tua nanti.......

Fikir-fikir dan renung-renunglah selalu...........

No comments:

Post a Comment