Sunday, 4 December 2011

Perhimpunan Keluarga......Suatu Wadah Memperiratkan Silaturrahim Keluarga


Sudah lama saya tidak menulis diruangan ini. Hampir 3 bulan. Terlalu sibuk dengan urusan harian terutama hal perpindahan tempat kediaman, termasuk juga soal perpindahan rumah anak-anak.  Disamping itu, saya sekeluarga juga terlibat sebagai penganjur perhimpunan keluarga kali ini. Agak sibuk juga menguruskan hal-hal berkaitan persediaan perhimpunan tersebut, yang telah berjaya diadakan pada 26.11.2011 dan 27.11.2011 yang lalu. Alhamdullillah !. Sekarang semuanya sudah selesai. Sudah boleh bernafas kembali, kata orang.

Walaupun baru kembali dari perhimpunan keluarga di Pulau Pangkor, Perak, namun rasa letih dan sengal-sengal urat masih teraasa. Bagaimana pun, hati tercuit rasa gembira dan bangga, walaupun penat, melihat kehadiran seramai 96 orang ahli keluarga diperhimpunan tersebut, walaupun pada jangkaan awal kehadiran hanya sekitar 70 orang sahaja

Pada seluruh ahli keluarga yang telah turut hadir dan memberi sumbangan dan dan memeriahkan perhimpunan kali ini, pihak saya dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga. Anda sesungguhnya telah memperlihatkan semangat kekeluargaan yang sihat dan kental.  Tanpa kerjasama dan penglibatan anda semua tidak mungkin perhimpunan ini dapat dijalankan dengan lancar dan meriah sekali. Bagi mengadakan majlis perhimpunan yang besar sebegini, sudah tentulah akan terdapat pelbagai kelemahan dari segi penganjuran, serta perkara-perkara remeh yang sukar dijangkakan, terutamanya dari segi.penginapan, makanan & lojistik. Apa-apa pun, sebagai penganjur saya telah mengusahakan yang terbaik mungkin. Dan kami juga memohon ampun dan maaf jika masih terdapat apa-apa kekurangan atau perkara-perkara yang tidak memuaskan hati semua pihak.


Bagi saya perhimpunan tahunan seperti adalah wadah yang amat berharga untuk seluruh kaum keluarga. Masakan tidak. Bukannya senang hendak dikumpulkan seluruh ahli keluarga pada suatu masa dan disuatu tempat secara serentak. Kalau ada pun yang lepas-lepas perhimpunan kecil yang dapat diadakan hanyalah dimajlis-majlis kenduri kahwin atau jika ada kematian ahli keluarga. Tapi, perhimpunan yang diadakan pada kali ini, telah berjaya mengumpulkan ramai saudara mara, dari pelbagai pelusuk tanah-air i.e dari Perlis diutara, sehinggalah Johor diselatan. Semuanya datang dengan suatu hajat untuk bertemu dan bersantai bersama-sama disamping memgiratkan tali-silaturrahim sesama keluarga.

Bagi ahli keluarga generasi muda, inilah masa untuk berkenal mesra diatara adik-beradik, saudara-mara, pak saudara mak saudara dan sepupu-sepapat. Kalau tidak diperiratkan sebegini, pertalian keluarga akan menjadi rapuh dan renggang dan semakin jauh. Lama kelamaan, antara keluarga tiada langsung mengenali antara satu sama lain. Dan langsung timbul kesedaran tentang kaitan dan pertalian  sesama keluarga.



Disamping berjumpa dan beriadah bersama, seluruh ahli keluarga juga dapat bersama-sama mensedekahkan bacaan Yasin dan Tahlil kepada arwah-arwah saudara mara yang telah pergi mendahului kita. Sessi ceramah motivasi keluarga dan sessi pengkisahan sejarah keluarga juga dapat merapatkan silaturrahim dan memperjelaskan kefahaman tentang letak-duduk salasilah keluarga.

Disebelah siangnya, aktiviti 'out-door' seperti sukaneka kanak-kanak, dan aktiviti pantai diadakan. Kemuncak aktiviti pantai diadakan peraduan tarik-tali yang dipecahkan kepada 2 pasukan :, i.e kumpulan dari utara (mewakili saudara mara dari Kedah, Pulau Pinang & Perlis), melawan pasukan keluarga dari selatan (terdiri dari ahli keluarga yang datang dari Perak, Selangor, Wilayah Persekutan, Negeri Sembilan dan Johor). Keputusannya pasukan dari utara telah muncul sebagai juara.



Apa-apa pun, perhimpunan tahunan yang telah diadakan sejak 3 tahun berturut-turut ini, telah berjaya menanam kesedaran pada seluruh ahli keluarga tentang pentingnya kita kenal-mengenali antara satu sama lain, disamping menyemai dan memupuk persaudaraan dan kasih-sayang sesama keluarga. Jelas terpancar dari air-muka masing-masing pada hari terakhir perhimpunan, rasa gembira dan kepuasan, serta kenangan manis yang dibawa balik sebagai bingkisan kenangan untuk disimpan sebagai memori.......

Kita juga berharap kalau tiada aral merintang, kita akan berjumpa lagi ditahun hadapan ditempat dan persekitaran yang lain pula....................Insya Allah !!!

No comments:

Post a Comment