Wednesday, 30 March 2011

Selingkar kisah secebis memori...............

Selingkar kisah secebis memori..........

by Mohd Salleh Hashim on Monday, 21 March 2011 at 01:02
SELINGKAR KISAH SECEBIS MEMORI.........

( Tahun 1949, negara sedang dalam kancah kacau-bilau. Sana sini keganasan berlaku akibat serangan pengganas kominis yang berhasrat mengambilalih kerajaan dengan cara kekerasan. Banyak estet dan ladang-ladang getah diserang dan dimusnahkan oleh gerombolan pengganas ini. Tidak terkecuali juga rangkaian jalanraya, jalan keretapi dan jembatan turut menjadi sasaran bom kominis. Beberapa pegawai British juga turut diseranghendap dan ditembak mati, terutama di Selangor dan Perak. Keadaan mejadi kacau-bilau. Kedudukan ekonomi kucar-kacir. Perniagaan dan peluang pekerjaan menjadi sukar. Rakyat terutama dikampong-kampong terpaksa hidup dalam ketakutan. Keadaan ini memaksa kerajaan British waktu itu mengisytihar perintah dharurat diseluruh Tanah Melayu.  Perintah berkurung juga dikenakan diwaktu malam. Pihak British bertindak balas dengan memperkuatkan pasokan Polis, Tentera dan Home-Guard dan membuat serangan balas bagi mengesan, memburu  dan menghancurkan gerakan bersenjata itu. British juga melaksanakan catuan dan sekatan makanan bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan harian tidak sampai ketangan gerombolan yang memberontak. Sekatan pergerakan juga diadakan bagi memastikan agar penduduk-penduduk kampong, khususnya kaum Cina, diawasi . Mereka ini dipindahkan dan diberi penempatan baru agar kedudukan mereka lebih terkawal dan mudah diawasi.

Kampong Bikan, dalam  mukim Bagan Sena di Daerah Kulim, Kedah adalah antara kampong-kampong yang terlibat dengan penguatkuasaan perintah berkurung yang diisytiharkan. Dengan lokasinya yang agak strategik dan berhampiran dengan Ladang Bagan Sena, Kg. Sedim, Kg. Badang, dan Mahang disebelah barat, serta Ladang Pelam, Kg. Seratus, Bakai dan Kejai disebelah timur, menjadikan ianya mudah ditembusi gerombolan pengganas. Ini ditambah lagi dengan adanya hutan tebal yang melingkari Banjaran Gunung Bintang disebelah timur, dan hutan simpan Sedim dan Gunung Pongsu disebelah selatan  sentiasa menjadi kubu bagi  membayangi gerakan bersenjata kominis. Selingkar kisah secebis memori ini adalah detik-detik rasa sukaduka dan denyut nadi segelintir penduduk dikawasan tersebut........ )


*     *     *     *


Terbeliak mata Lebai Husin memandang tepat anak lelakinya yang sedang duduk dianak tangga paling bawah. Anak muda itu tunduk tanpa mahu bertentang mata ayahnya. Hujung kakinya mengais sesuatu ditanah. Dia tahu ayahnya begitu marah mendengar permintaannya tadi.  Dalam hatinya sudah menjangka kata-kata yang akan disembur keluar dari mulut ayahnya

"Betul apa yang kamu cakap ni Abdullah?" sergah ayahnya macam tidak percaya. Merah padam wajah Lebai Husin. Dahinya berkerut. Bibir dan misai kecilnya bergerak-gerak seolah dia ingin meneruskan sesuatu. Dalam hatinya tuhan saja yang tahu. Dikibas-kibasnya kain basahan pengelap peluh yang meliputi batang tubuh keringnya yang tidak berbaju. Perlahan-lahan diletaknya bakul berisi alat-alat bertukang kayu yang dibawanya ketanah. Anaknya Abdullah, yang baru berusia 18 tahun itu ditenungnya dengan rasa marah.

Namun begitu sekelumit rasa simpati dan sayu bermain dibenaknya. Lebai Husin sedar anaknya yang sedang meningkat dewasa itu perlu pekerjaan.  Setakad lulus darjah 5 sekolah melayu, apalah sangat pekerjaan yang boleh dibuatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergolak seperti sekarang. Dia sedar dirinya tidak punya apa-apa selain pondok buruk yang didiami sekarang. Manakan boleh dibanding dengan rakan-rakan lain sekampong yang berharta dan kaya seperti Haji Dollah, Awang Let dan Senapi. Mereka mempunyai kebun getah berekar-ekar. Sawah bendang berelung-relung. Anak-anak mereka tiada masaalah untuk mencari sesuap nasi. Tapi dirinya hanya sebagai tukang membuat rumah, dan guru mengaji al-quran dikampong yang tidak seberapa pendapatannya.

"Betul ayah" Abdullah tiba-tiba memecah kesunyian petang. "Tadi sewaktu kami mandi disungai dekat masjid, Ah Hock dan Ah Sang datang." Abdullah bersuara. Terketar-ketar nada suaranya menahan takut. Dia sedar renungan tajam mata ayahnya seolah-olah mahu membahamnya ketika itu.

"Apa katanya?" Lebai Husin terus menyergah.

"Ah Hock bagi tahu pasukan kominis berkehendakkan orang baru. Dia pelawa kami ikut serta. Jadi Kami...... kami...." Abdullah seakan tergugup untuk meneruskan.

"Kami apa?  Apa lagi katanya?" Lebai Husin mencelah. Nada suaranya tinggi. Tidak diberi peluang anaknya itu meneruskan kata-kata.

" Dia kata kami akan dibayar gaji lima-ringgit setengah seorang. Uniform akan diberi. Makan tanggung. Katanya juga kami senang boleh dapat beras dan ubi "  Abdullah cuba menerangkan lebih lanjut, dan cuba mereda kemarahan ayahnya. Dalam benaknya teringat peristiwa siang tadi sewaktu dia sedang mandi di sungai Sedim bersama Awang Lah, Mat Piah dan Wahab. Beriya-iya benar Ah Hock bersama rakan karibnya Ah Sang mengajak dan mempelawa mereka masuk menjadi gerila.

"Lu jangan takutlah Lah. Nanti kita kasi lu senapang. Kita mau lawan itu orang putih. Ini negara kita punya. Kita mau hambat itu orang putih balik dia punya negeri!" kata-kata Ah Hock bersemangat masih terngiang-ngiang ditelinganya. "Kalau kita menang, ini negara akan jadi hak kita. Kita akan merdeka!" Ah Hock bersuara lagi penuh semangat. Tangan kirinya menggenggam tangan Abdullah erat, manakala sebelah tangan lagi menepuk-nepuk bahu Abdullah.

Lepas mandi, mereka bertiga seperti biasa diajak oleh Ah Hock kerumahnya yang terletak dilereng Bukit Ha. Rumah kongsi tiga deret itu didiami oleh lima keluarga Cina yang rata-rata mengerjakan tanaman padi huma dan ubi kayu. Seminggu sekali hasil tanaman ubi kayu akan diangkut menggunakan kereta lembu ke kilang ubi di Labu Besar untuk diproses membuat tepung. Dirumah kongsi dan disekitar bukit itulah mereka selalu bermain bersama anak-anak Cina kenalan mereka. Kadang-kadang meredah hutan mencari burung; dan kadangkala pula menahan lukah dan mandi bersama disungai. Pergaulan mereka amat rapat dan sudah macam adik-beradik. kerapkali mereka diberi makan ubi rebus, kacang goreng dan biskut oleh keluarga Cina tersebut.

"Kamu tahu tak gerila tu ialah pasukan komunis. Komunis sedang bergerak menentang Kerajaan sekarang! Apa kamu nak lawan Kerajaan?. Apa kamu tak takut ditangkap?" sergah Lebai Husin lagi memecah kesunyian. Mata anaknya ditenung tajam. "Melawan Kerajaan ertinya menderhaka. Kita orang Melayu pantang datuk nenek kita menderhaka. Kamu tau tak?" Lebai Husin menyoal. Garang dan tegas bunyi suaranya.

"Tapi ayah.....kalau duduk dikampong, apa kerja yang saya boleh buat?. Saya nak tolong ayah cari rezeki." Abdullah bersuara lagi. Tiba-tiba dirasanya ada sedikit kekuatan. "Saya nak tolong ayah bertukang buat rumah, ayah tak benarkan. Nak buat bendang, kita tak ada sawah. Kalau setakad nak tolong Abang Li dan Abang Mael motong getah di Bagan Sena, berapa sangat pendapatan. Harga getah sekarang murah" Abdullah memberanikan diri bersuara. Kali ini dia bagaikan mendapat kekuatan menentang mata ayahnya.

Lebai Husin terdiam sebentar. Dalam fikirannya terbayang susuk tubuh anaknya itu bersalut baju dan seluar panjang hijau lusuh dan bertopi hijau berbucu lima sedang meredah hutan belantara diburu tentera British. Dia juga terbayang bagaimana jika nanti mayat anaknya diusung keluar dari trak tentera dan diletakkan dihadapan Balai Polis Kulim untuk pemecaman. "Ah!!!" dia mengeluh sendirian didalam hati. Tidak dapat dibayangkan itu semua.

"Tapi, kerja yang kamu nak buat tu bukan kerja baik. Nak jadi pengganas melawan Kerajaan. Ayah tak restu!" bentak Lebai Husin. Kali ini agak mendatar suaranya. Nada suaranya mula menurun. "Biar kita susah tak makan, Abdullah. Untuk nak jadi pengganas kominis menentang kerajaan ayah tak rela. Selama ni pun kita susah, tetapi cukup makan dan pakai. Kita tak pernah meminta-minta dari orang!" Lebai Husin terus mendengus.

Abdullah diam seketika. Muka ayahnya ditenung lama-lama.  Betul juga cakap ayahnya tu, bisik hati kecilnya. Dia tahu benar sikap dan pendirian ayahnya. Kalau bercakap pasal melawan pemerintah atau derhaka, dialah yang akan menentang habis-habisan. Baginya hanya pemerintah yang zalim sahaja perlu ditentang. Tapi, British tidak zalim seperti Jepun. Mereka mentadbir dengan baik. Mengapa mereka mesti ditentang?  Malah mereka yang kembali kenegara ini selepas Jepun menyerah kalah telah berusaha gigih memulihkan ekonomi. Hanya pihak kominis yang zalim menhancurkan segala kemakmuran rakyat yang baru berputik. Oleh itu, kominis harus diperangi habis-habisan.

"Sudahlah Abdullah. Ayah tak mahu dengar lagi permintaan kamu sepeti itu. Cukup !" bentak Lebai Husin tegas. Nada suaranya seolah-olah tiada kompromi lagi. " Ayah tidak suka, dan ayah tidak izinkan!" Tegas dan muktamad sekali pendirian Lebai Husin. "Esok, Abang Mael kamu balik. Kamu boleh ikut dia tolong dia motong getah di Ladang Bagan Sena. Dapat juga sikit-sikit duit untuk belanja. Sekarang kamu pergi mandi. Hari sudah hampir magrib" perintah Lebai Husin, sambil dia sendiri mengangkat bakul barangan yang dibawa tadi untuk naik kerumah.

Abdullah terkebil-kebil memandang ayahnya yang berlalu dari situ.  keputusan ayahnya adalah muktamad. Dan dia benar-benar faham bahawa keputusan ayahnya tidak boleh dibantah.


*     *     *     *


Hujan lebat yang turun bagaikan mencurah-curah sejak tadi sudah reda.  Namun, masih terdapat titik-titik hujan yang beterusan jatuh ke permukaan air yang bergenang dilopak-lopak kecil dihadapan kedai. Longkang dikiri kanan jalan sudah hampir penuh dilimpahi air yang mengalir laju menuju kehujung sebelah sana. Jalan raya masih basah dan setengah-tengah tempat masih digenangi air. Orang ramai sudah mula berpusu-pusu keluar dari kaki lima kedai tempat mereka berteduh sebentar tadi menuju destinasi masing-masing. Ada yang berpayung dan setengahnya melangkah laju tanpa memperdulikan rintik-rintik hujan yang turun. Jalanraya masih lengang. Tidak banyak lalulintas yang lalu dihadapan kedai itu.

Ismail yang sejak tadi tumpang berteduh dikaki lima kedai itu kelihatan resah. Sekali sekala matanya menjeling jam dinding yang terletak didinding kedai basikal 2 tingkat di hujung Jalan Asaad, Kulim itu. Pada masa yang sama juga matanya tidak lepas memandang kearah Balai Polis yang terletak beberapa meter sahaja disebelah hujung deretan kedai itu. "Ah, belum nampak batang hidungnya. Kenapa lama sangat?" Bisik hati kecilnya. Punggungnya yang sudah sekian lama diletak diatas pelantar basikal tua yang ditongkat dikaki lima itu dikibas-kibas. Terasa sudah kebas.

"Kawan, lu tunggu sapa?"  Cina kedai basikal yang berseluar pendek dan hanya bersinglet putih itu cuba menegur Ismail dengan ramah. Wajahnya tersengih, sambil tangannya sibuk memutar skru pada rim basikal yang dibaikinya.

"Saya tunggu adik. Dia pergi ke balai polis " jawab Ismail.

"Polis panggil dia ambik statement  ke? Apa kes?" tokey Cina itu bertanya lagi, seolah-olah ingin tahu lebih lanjut.

"Tarak la tokey. Dia pergi interview. Dia nak masuk polis."

"Oh, itu macam ke. Baguslah kalau dia boleh dapat masuk polis Sikalang mau cari keleje pun susah!" rungut Cina itu dengan pelatnya. Timbul sedikit penyesalan dalam hati Ismail. Kenapa harus dia beritahu tokey Cina ini.  Hatinya gusar kerana banyak juga cerita yang didengarnya tentang orang-orang Cina dari Kulim yang menyertai dan bersimpati dengan perjuangan kominis secara diam-diam. Setiap kali ada anggota kominis yang ditembak mati dibawa keluar dari trak dan diletakkan dihadapan balai polis, ramai yang mengecam mereka sebagai cina-cina yang berniaga disekitar pekan kecil itu juga. Mana tahu tokey Cina dihadapannya ini juga salah seorang dari mereka. Tentu susah adiknya nanti kalau diketahuinya Abdullah mahu masuk polis.

Jam didinding sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Ismail sedar dia cuma ada sejam setengah lagi sebelum perintah berkurung berkuatkuasa pada jam 7.00 malam. Perjalanan dengan basikal dari Kulim ke Ladang Bagan Sena akan mengambil masa sejam lebih. " Harap-harap tidak ada apa-apa aral ditengah jalan" bisik hati kecilnya. Tiba-tiba difikirannya terbayang wajah Setapa, rakan karibnya dari Ladang Bagan Sena yang ditahan pengganas kominis beberapa hari lalu sewaktu berbasikal pulang kerumah selepas waktu maghrib, selepas menziarahi saudaranya di Batu Putih. Sewaktu menuruni bukit di Gunung Sayang, sekumpulan tiga orang lelaki berunifom hijau siap bersenjata senapang telah menahannya. Bukan main kecut perutnya. Selepas bertanya beberapa soalan dalanm pelat cina, lelaki bersenjata itu merampas baju, kasut dan basikalnya. Setapa dipaksa berjalan kaki balik kerumah tanpa baju dan berkaki ayam. "Harap harap kejadian serupa itu tidak berlaku pada kami petang ini"  bisik hati kecilnya.

Dari jauh Ismail memerhatikan Abdullah melangkah laju masuk ke kawasan kaki lima kedai dimana dia sedang menunggu. Wajahnya nampak berseri-seri dan ada sedikit senyuman terukir dibibirnya ketika memandang abangnya yang duduk dipelantar basikal tua dikaki lima itu.

"Aku dapat le bang. Aku dipilih jadi polis. Abang macam mana?" Abdullah nampak tergesa-gesa memberitahu abangnya walau pun tidak ditanya.

"Tak ada rezeki le Lah. Aku tak lulus waktu pemeriksaan badan tadi. Jadi, lepas keluar dari kawasan balai tadi aku tunggu la disini." terang Ismail dengan nada yang sedikit mendatar. Di benaknya terbayang wajah pegawai polis berbangsa Inggeris yang memeriksanya tadi. "Kamu punya tangan sebelah kiri tidak boleh lurus. Cuba tengok, kalau lurus pun masih nampak bengkok" pegawai itu bersuara dalam bahasa Melayu dengan baik, walau sedikit pelat sambil memegang dan memicit bahagian siku lengan kirinya. "Tapi, tidak mengapa. Saya akan beri surat supaya kamu boleh pergi periksa di hospital. Untuk jawatan ini, maaflah kamu tidak terpilih" Tegas dan selamba pegawai polis itu menerangkan. Ismail lantas teringat peristiwa dia jatuh dari basikal sewaktu berusia 6 tahun dulu. Selama hampir 2 bulan juga dia menanggung sakit yang berpanjangan walau pun setelah diurut dan dibalut oleh dukun Pak Da'ie di Padang Patong. Kata Pak Da'ie tulang bahagian lengannya retak. Selepas kejadian itu dia sedar tangan kirinya tidak boleh diluruskan seperti sediakala, dan jika digagahi juga, rasa sakitnya datang seperti menyucuk-nyucuk.

"Jadi, bila kamu kena lapor diri?" Ismail  bertanya.

"Minggu depan 16 haribulan" Abdullah menjawab rengkas. "Aku kena bertolak ke Kuala Lumpur minggu depan. Ni surat pemeriksaan doktor, dan warrant tiket keretapi sudah diberi" kata Abdullah sambil menunjukkan sampul putih ditangannya.

Walau pun sedikit rasa hampa, Ismail turut bersyukur kerana tidak terpilih. Sejak melangkah kaki keluar dari rumah di Ladang Bagan Sena pagi tadi, sebenarnya hatinya berbelah bagi. Dia kurang berminat dengan jawatan itu.  Dia tidak menaruh apa-apa harapan. Baginya, dapat pun tak mengapa, dan tak dapat pun tak mengapa. Apa yang paling difikirkan ialah bagaimana isterinya Halimah akan meneruskan kerja seorang diri menoreh di Ladang Bagan Sena. Dan bagaimana pula nasib 2 orang anaknya Hamid dan Mohd Yusof yang masih kecil yang perlu ditinggalkan sekiranya dia terpilih untuk menjalani latihan pasukan polis. Baginya, apa yang penting ialah hasrat dan azam adiknya Abdullah yang beriya-iya sangat ingin memohon menjadi anggota pasukan polis. Dan atas desakan Abdullah jugalah dia sanggup membawa adiknya itu berbasikal dari Bagan Sena ke Kulim hanya untuk memohon jawatan kosong tersebut.

Ismail masih ingat kata-kata Penghulu Awang Malim ketika dia bersama adiknya berjumpa penghulu tersebut dikedai kopi Kg. Bikan 2 hari lalu. Penghulu itu jugalah yang memberitahu mereka tentang pengambilan orang baru sebagai anggota Polis.  "Jadi polis ni kerja mulia. Kita menunaikan tanggungjawab kita pada negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang dimana negara dalam kacau-bilau. Khidmat kita amat diperlukan" Penghulu itu cuba berceloteh sambil menghirup kopi panas pada petang yang hening itu. Wajahnya tersengih menampakkan gigi hadapannya yang sedikit rongak. Dijari kanannya tersepit rokok Rough Rider yang masih berasap. Kepulan asap putih keluar bergulung dari mulutnya selepas setiap kali rokok itu dihisap dan asapnya dilepaskan secara perlahan-lahan keudara.

Kini apa yang ditakutinya berlaku telah berlaku. Abdullah telah terpilih jadi polis, sedangkan dia tidak berjaya. Terbayang difikirannya nanti apabila Abdullah berangkat ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney. Kata orang latihan menjadi anggota polis amat lasak. Peraturannya ketat. Selama 6 atau 7 jam setiap hari kena berjemur dibawah panas terik matahari  bagi menjalani latihan kawad. Kulit akan bertukar gelap berkilat. Selama 6 bulan badan akan terkurung dikem latihan. Tahan ke Abdullah menempuh itu semua? Kadangkala timbul rasa kesalnya membawa adiknya untuk temuduga itu. Terasa bersalah pula dia. Mungkin ada orang yang akan menuduh dia tergamak 'membuang' adiknya begitu sahaja untuk menjalani sengsara latihan lasak pasukan polis. Merampas kebebasan adiknya yang selama ini tidak pernah bekerja teruk untuk mencari sesuap nasi.

"Tapi, ah.......pedulikan itu semua!" bentak hati kecil Ismail. Bukankah ini untuk masa depan adiknya juga. Kalau tinggal dikampong pun belum ada jaminan masa depan untuknya. Ismail terus berfikir memujuk hati kecilnya.

Senja sudah begitu larut sewaktu dua beradik itu berbasikal pulang ke Ladang Bagan Sena. Jalanraya sudah sunyi sepi. Sebentar lagi perintah berkurung akan bermula. Tiada kenderaan lain yang lalu lalang. Yang kedengaran hanyalah bunyi tayar basikal meredah aspal jalan dan bunyi rantai basikal tua yang berkeriut-keriut memutar piring giar setiap kali pedal dikayuh.

Sepanjang jalan kedua-dua beradik itu tidak banyak bercakap. Ismail yang mengayuh basikal sekali-sekala kedengaran mendengus kecil dan menghela nafas panjang. Banyak yang bermain difikirannya ketika itui. Bagaimana penerimaan ayahnya Lebai Husin apabila mendapat tahu anaknya Abdullah telah diterima masuk polis? Dia bimbang kerana sejak lahir Abdullah tidak pernah berpisah lama dengan keluarganya di kampong. Kini dia harus merantau jauh untuk menjalani kehidupan sebagai anggota polis.

Abdullah pula yang duduk dipelantar belakang diam menyepi. Difikirannya terbayang masa depannya yang beransur cerah. Namun begitu, wajah Ah Hock dan Ah Sang sempat juga menjengah difikirannya. Bagaimana perasaan mereka nanti apabila mendapat tahu dirinya sudah diterima masuk menjadi anggota polis. Dia juga tidak dapat mengelak membayangkan bagaimana dirinya nanti yang terpaksa berjuang menentang kumpulan Ah Hock, Ah Sang serta kuncu-kuncunya yang menentang pemerintah British sebagai pengganas kominis.

"Tapi, tugas yang akan ku lakukan ini tugas mulia" hati kecil Abdullah berbisik. " Demi maruah bangsa dan negara, perjuangan suci ini akan ku mulakan....." bentak hati kecilnya.

Azan maghrib sudah berkumandang dari surau berdekatan sebaik-baik sahaja mereka melepasi simpang masuk ke Ladang Bagan Sena. Dalam hati masing-masing terasa lega.

*     *      *      *

( Abdullah bin Lebai Husin kini telah bersara dari Pasukan Polis dan menetap di kampong halamannya di Kg. Bikan, Kulim, Kedah. Selingkar kisah secebis memori ini adalah nukilan rasa dan catatan perbualan dengannya pada 12 hb September, 2010  (hari raya ketiga) sewaktu pengarang menziarahinya dirumah beliau. Semoga Allah memberi  kesihatan yang baik dan melanjutkan usianya...........Amin!!   -  Pengarang )

Landasan keretapi menjadi sasaan bom pengganas

Pusat kawalan pergerakan dikampong-kampong baru

Pasukan tentera British mengatur serangan hendap

Pengganas yang tewas dan yang cedera

Lambang kemerdekaan yang diimpikan

Kpl. Abdullah b. Lebai Husin segak sewaktu masih bertugas

2 comments:

  1. Bangcik dpt cerita ni direct dari pakteh ka? Cerita pasai tawaran masuk gerila kominis tu tk pernah dgr seblum ni....tp tulah yg menariknya.

    ReplyDelete
  2. Memang cerita ini dapat dari mulut pak teh sendiri. Kemudian digarap dan diolah semula untuk dijadikan sebagai catatan kemudian hari......terima kasih kerana memberi komen - Pengarang.

    ReplyDelete