Nostalgia zaman silam, zaman kanak-kanak, ketika riuh berlari kesana sini meredah hutan dan belukar, alur dan denai; memanjat bukit dan mandi disungai, menahan lukah dan mengail haruan ditapak sawah, sering mengimbau kembali setiap kali aku menjenguk kedesa. Teratak buruk peninggalan arwah ayah dan bonda walau pun telah tiada, masih terasa segar dalam ingatan, seolah-olah ianya masih berdiri gagah ditapak yang lama. Walaupun kini ditapak tersebut telah didirikan dengan yang baru sebagai ganti, namun ianya tidak dapat menghindar nostalgia dan kenangan yang bertalu-talu datang dikotak fikiran setiap kali menjejak kaki dikampong.
Masih terbayang jelas diingatan kenakalan dan kedegilanku sewaktu kecil berlari bebas dibatas bendang, menjenguk joran yang ditahan dialur sawah yang keruh airnya. Masih terngiang ditelinga tiupan seruling batang padi yang melagu nyaring irama syahdu dipetang hening ketika matahari berlabuh dihujung senja.
Mana pergi tapak kaki kecilku yang dulu tidak bersepatu lincah betah berlari diatas kerikil tajam dijalan raya yang tidak diturap dan berdebu? Mana perginya tubuh kerdilku yang dulu tidak berbaju dan tidak pernah menghiraukan debu merah berterbangan dari kenderaan yang lalu dijalanraya?. Mana perginya kekuatan diri menahan kesejukan embun pagi walaupun terpaksa meredah belukar diawal pagi atas nama mencari rezeki? Semuanya telah hilang........dan tidak ku temui lagi.
Sedangkan masa dan usia telah merubah segala. Desa yang ku tinggalkan hampir 40 tahun lalu kini telah berubah wajah. Tidak banyak lagi kicauan burung diwaktu pagi dihapuskan dek deruan injin motor dan kereta yang lalu lalang dijalanraya yang sudah bertar. Kabus pagi sudah tidak setebal dulu, dan hawa sejuk pagi juga sudah tidak sedingin dulu. Diwaktu malam pula silau lampu letrik berselangseli disetiap pelusuk rumah dan gerai ditepi jalan. Tiada lagi gelap malam sepekat dulu yang ku tempuhi. Dan heningnya tidak lagi seperti dulu. Tiada lagi irama bunyi cengkerik dan unggas malam bersahutan bagaikan berlagu syahdu.
Maka sedarlah aku. Aku kini bukan aku yang dulu lagi. Sudah tidak merasakan diri sebagai anak desa yang riang bermain tanpa mengira masa dan penat. Sedarlah juga bahawa aku kini telah meniti kehujung senja. Pengalaman lalu telah lama ku tinggalkan dan tak mungkin akan muncul kembali. Biarlah usia merubah segalanya ...............
No comments:
Post a Comment