Sunday, 10 July 2011

BERSIH 2.0.........KINI KEBENARAN TELAH TERSERLAH........

Saya hanya mengikuti dari jauh perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan semalam. Diusia seperti sekarang saya tidak mempunyai kudrat lagi untuk turun bersama orang ramai kejalanraya bagi menuntut pembersihan sistem piliharaya dinegara ini, seperti mana yang dibuat oleh anak-anak muda semalam. Bagaimana pun, saya merasakan perjuangan itu amat dekat dihati saya. Walau pun tidak ikut serta, saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan ynag berlaku. Rasa saya, BERSIH 2.0 telah berjaya mencapai hasrat dan matlamatnya. Perhimpunan aman telah berjaya diadakan ditengah-tengah hambatan, hiruk-pikuk dan tindakan keras pihak kerajaan melalui polis untuk menggagalkan usaha ini. Polis dilihat telah menggunakan segala kekuatan yang yang ada semata-mata mahu menggagalkan suatu gagasan dari rakyat yang mahukan suatu reformasi dan pembersihan sistem piliharaya yang lebih adil. telus dan bersih. Apa pun semua pihak tahu polis tidak boleh dipersalahkan 100%. Mereka hanya memainkan peranan dan dipergunakan oleh  pihak kerajaan dan UMNO/BN dengan menggunakan 'kawalan jauh' (remote control) dimana kekunci remotenya hanya ada pada kerajaan dan PM Najib sendiri.


Melalui gambar-gambar yang tersiar, saya dapati perhimpunan yang diadakan amat berkesan dan besar impaknya terhadap demokrasi dinegara ini. Dalam deretan puluhan ribu manusia yang hadir berhimpun, saya dapati bukan sahaja anak muda Melayu yang turun, malah ramai juga anak muda dari keturunan Cina dan India yang turut serta. Bagi saya ini suatu petanda baik yang harus diakui semua pihak. Suatu sikap permaufakatan yang amat irat telah terjalin, kesemuanya untuk satu matlamat - menghidup demokrasi di Malaysia, khususnya pembaikpulihan sistem piliharaya. Saya jadi tergamam seketika apabila melihat barisan anak-anak muda Cina turut turun berduyun-duyun (sila rujuk gambar yang dilampirkan). Tidak kurang juga anak muda India. Hatta, melalui gambar video 'you tube' saya juga melihat amoi dan nyonya penjual buah ditepi jalan, dan apek tua pembawa teksi juga turut serta. Bukan sahaja anak muda Melayu yang keluar, seperti sangkaan kita, bahkan semua bangsa turun berdemonstrasi tanpa mengenal batas agama dan perbezaan kaum. Wajah-wajah inilah sebenarnya yang amat ditakuti oleh kerajaan BN. Kelibat 1 Malaysia yang turun kejalanraya akan menjadi igauan ngeri, lebih-lebih lagi ianya tidak menjelma dalam bentuk seperti yang dicanangkan oleh kerajaan, tapi wajah 1 Malaysia yang mahukan suatu sistem piliharaya yang adil, bersih dan telus dilaksanakan. Wajah-wajah yang kita lihat ini juga menafikan samasekali tomahan yang kononnya orang Melayu digunakan sebagai 'alat' untuk pihak lain, sedangkan pada realitinya semua yang turun berdemo adalah 1 Malaysia.

Puluhan ribu rakyat yang terun berduyun turun menceritakan segala-salanya. Bukan setakad 5,000 atau 6,000 orang seperti yang didakwa oleh Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam sidang medianya petang semalam selepas perhimpunan berakhir. Mengikut telahan dan pengamatan saya, angka sebenar yang keluar melebihi 50,000 orang sepertimana yang dilaporkan oleh phak BERSIH sendiri, Ini sudah tentu belum mengambilkira laporan dari ajensi berita Aljazeera yang disiarkan di TV semalam yang menyebut hampir 100,000 orang didakwa telah turun berhimpun dan berarak.

Bagi saya ini suatu persoalan yang baik untuk difikirkan bersama. Disebalik segala hambatan yang dikenakan oleh polis, sekatan-sekatan jalanraya yang diadakan dimerata tempat; penutupan jalan-jalan utama dan jalan masuk ke KL kawalan dan penutupan beberapa stesyen LRT; kempen menahan dan menangkap mereka yang berpakaian baju T dengan logo BERSIH, sekatan pengeluaran permit bas oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) serta dinafikan hak untuk mengggunakan Stadium Merdeka, perhimpunan masih dapat diteruskan dengan jumlah melebihi 50.000 orang yang hadir, bagi saya adalah suatu pencapaian besar. Ini belum diambilkira ugutan, ancaman dan tangkapan yang dilakukan oleh polis beberapa hari sebelum perhimpunan diadakan. Saya cuma tertanya, bagaimana rupanya kalau polis tidak buat sekatan dan hambatan dari awal. Sudah tentu target 300,000 seperti yang dinyatakan oleh BERSIh akan dapat dicapai.

Apa-apa pun, pihak kerajaan tidak harus berdiam diri dan seharusnya mengambil  iktibar dari perhimpunan yang telah diadakan ini. Kehendak dan aspirasi rakyat tidak harus dibiarkan begitu saja. Ibarat air yang mencurah turun dari lurah bukit, tidak boleh disekat atau bendung dengan tembok walau sekukuh mana sekalipun. Sampai masa sekatan dan tembok akan terburai pecah juga dek asakan air yang kian melimpah.

Begitulah kuasa rakyat. Suara keramat yang gemanya kini sudah mula mengimbau keseluruh pelusuk dunia. Khabarnya rakyat kita di Singapura, Melbourne, Sydney, Perth, Wellington, Seoul, Kaherah dan beberapa bandaraya utama dunia juga telah mula bangun menunjuk perasaan ditempat masing-masing. Kuala Lumpur tidak lagi bersendirian seperti tahun 2007 dahulu.........

No comments:

Post a Comment