Saturday, 2 July 2011

BERSIH 2.0....., APA YANG TAKUT SANGAT ???..........


Keadaan sudah macam kelam kabut. Kerajaan nampak macam tenggelam punca. Suasana tidak semena-mena sudah menjadi panas dan tegang. Sana sini orang bercakap pasal Perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan pada 9hb Julai nanti. Belum apa-apa lagi polis sudah memulakan siri tangkapan. Ramai aktivis dan ahli-ahli politik khususnya pembangkang telah ditahan. Dipihak kerajaan pula, ramai ahli-ahli politik yang sudah bersiap untuk bersilat dan bergusti. Media dokongan kerajaan juga telah siap menyerang gerakan ini secara habis-habisan. Semuanya bertujuan hendak menggagalkan perhimpunan ini. Apa yang ditakuti sangat sebenarnya tentang perhimpunan ini? Penganjur BERSIH 2.0 telah berulang kali menyatakan perhimpunan ini akan diadakan secara aman. Mereka akan turun berarak secara aman. Tujuannya hanya untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong berkaitan ketidakpuashatian rakyat terhadap perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR selama ini. Itu saja. Tidak lebih dari itu.

Tapi, kenapa kerajaan, khususnya UMNO/BN takut sangat? Sampai mengelabah dan meroyan tak tentu pasal. Ibarat 'kucing mati anak' kata pepatah Melayu, 'berlari kesana tak kena, berlari kesini juga tak menjadi.' Apakah BERSIH 2.0 itu dilihat laksana 'lembaga hudoh' atau 'hantu jerangkung' yang paling digeruni? Sampai segala macam cara telah mula dibuat untuk menghalangnya?  Tidak cukup dengan asakan dari media arus-perdana agar rakyat menjauhi perhimpunan ini, berbagai kempen 'memomokkan' perhimpunan ini juga telah dilancar. Pihak polis pula terus beraksi menangkap dan menahan aktivis-aktivis perhimpunan yang rata-rata hanya memperjuangkan kebersihan dan reformasi pada sistem pilihanraya yang ada. Itu saja. Paling terakhir kini, mereka yang pakai baju kuning pula menjadi sasaran. Seolah-olah kerajaan 'fobia' dengan warna kuning yang menjadi lambang gerakan BERSIH!.


Bagi saya, perhimpunan ini hanyalah sekadar suatu manifestasi suara rakyat yang ingin berarak menunujukkan rasa tidak puashati terhadap kerajaan, teutamanya SPR tentang sistem perjalanan pilihanraya dinegara ini. Ianya tidak lebih dari itu. Ianya dianjurkan oleh sebuah NGO yang non-partisan, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. BN juga telah dijemput untuk turut serta, tetapi telah menolak jemputan tersebut dan kini nampak seolah-olah hanya disertai oleh parti-parti politik pembangkang sahaja. Kerana matlamatnya baik kepada semua pihak, ianya sudah tentu mendapat sokongan hebat dari rakyat, terutama parti-parti  pembangkang yang telah lama memperjuangkan isu ini. Matlamatnya tidak lain dari menyatakan rasa tidak puashati rakyat agar dilakukan reformasi segera keatas perjalanan sistem piliharaya dinegara ini yang harus lebih bebas, adil dan telus. Sebanyak 8 perkara dasar di perjuangkan, antaranya reformasi undi pos; pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat jari kekal bagi pengundi,, agihan peluang dan akses kepada media yang lebih bebas dan telus, dan beberapa tuntutan lagi.

Semua tuntutan ini adalah bersifat universal. Ianya bukan sesuatu yang luar-biasa atau bermotifkan politik seperti didakwa oleh kerajaan. Malah banyak negara-negara lain telah melanksanakannya. Jadi apa yang kita takutkan. Kita patut sokong, asal saja semua tuntutan ini memang sesuatu yang fitrah dan patut sangat diadakan dari dulu lagi. Kenapa kita mesti berhempas pulas menentangnya? Kenapa kita mesti desak agar perhimpunan ini dibatalkan kalau ianya adalah demi kebaikan bersama?

Tak perlulah PERKASA melalak tak tentu pasal menentang perhimpunan ini. Begitu juga Pemuda UMNO tak perlu bersilat sakan untuk menyatakan penentangan terhadap gagasan ini. Maha Guru Omar Din juga tidak perlu mengeluarkan ugutan dan ancaman yang berbaur hasutan, kononnya akan ada 'darah mengalir' jika perhimpunan ini diteruskan.

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran matang, berpendirian dan berpengetahuan luas, saya rasa kita patut menyokong gerakan yang dibuat oleh BESIH. Memang menjadi matlamat kita selama ini pun ingin agar piliharaya diMalaysia diadakan dalam keadaan yang telus, bersih dan adil. Bila pilihanraya diadakan dalam keadaan bersih, telus dan adil, pemilihan kepimpinan yang dibuat menerusi pilihanraya itu akan menjadi lebih 'legitimate' dan berintegeriti. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini ada pemimpin yang hanya menang disaat-saat akhir 'melalui saluran undi pos' yang entah dari mana datangnya. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini setiap kali piliharaya diadakan, penyalahgunaa kuasa oleh parti pemerintah mengekspolitasikan jentera dan jabatan-jabatan Kerajaan melobi undi dari rakyat. Hampir semua akses kepada media perdana dibolot oleh parti kerajaan sedangkan parti pembangkang tidak langsung diberi peluang bercakap dan menyampaikan matlamat perjuangan mereka kepada rakyat walau dengan sebaris ayat pun menerusi media perdana yang dibiayai dari wang rakyat.. Ugutan, rasuah dan sogokan menjadi teras dimana-mana pilihanraya. Parti politik pemerintah dengan sewenang-wenangnya menawarkan habuan dan janji manis bagi mendapatkan sokongan dan undi rakyat. Ini belum termasuk bab memperbaikki jalanraya, membersih longkang, membaikpulih bangunan dan mendirikan surau dan kuil yang selalu sibuk nak dibuat waktu nak adakan pilihanraya.....

Rakyat sedang memerhatikan ini semua. Rakyat bukan lagi bodoh dan kurang berpelajaran macam rakyat ditahun-tahuan 50an dan 60an dulu. Rakyat kini terdedah kepada pelbagai maklumat. Rangkaian 'internet' merintasi pelbagai lapisan masyarakat dan kini rakyat lebih  'berilmu' dan sudah boleh menilai apa yang betul dan apa yang salah.

Dengan mempamerkan sikap mengelabah dan ketakutan yang amat sangat seperti itu, pihak kerajaan sebenarnya menunjukkan kepada rakyat bahawa 'kerajaan itu lemah'. Sikap kurang cermat, berfikiran fakir sepeti itu boleh menghilangkan rasa hormat dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apa salahnya kalau BERSIH nak lakukan perhimpunan? Biarkanlah mereka berarak menunjukkan demonstrasi dan rasa tak puashati mereka. Pihak polis hanya perlu jaga ketenteraman dan kawal lalu-lintas. Itu saja.. Bukan lama  sangat pun. Selepas 2 atau 3 jam sebaik-baik sahaja serah memorandum, perhimpunan akan bubar dengan sendiri dan selesailah acara. Habis cerita. Yang dok bersilat sakan tu buat apa?

Dengan cara mengelabah dan ambil tindakan yang bukan-bukan sebegini, rakyat mula berfikir apakah benar pilihanraya selama ini penuh dicemari kekotoran, tidak adil dan tidak telus seperti yang didakwa oleh BERSIH. Rakyat mula menjadi syak wansangka, lebih-lebih lagi dengan tiadanya penjelasan konkrit dari kerajaan dan SPR tentang tuntutan-tuntutan ini? Adakah kerajaan selama ini menjalankan pilihanraya dengan "ada udang disebalik batu"? Adakah tindakan kerajaan bermati-matian menentang perhimpunan ini bermotifkan untuk 'menyembunyikan' sesuatu dari pengetahuan rakyat selama ini? Apakah kuasa yang diperolehi dari rakyat selama ini tidak 'legitimate' dan diperolehi 'menerusi pintu belakang?'

Alasan kerajaan yang perhimpunan bakal mengundang padah dan kerosakan ekonomi negara tidak lagi boleh diterima. Begitu juga alasan keselamatan. BERSIH 1.0 tahun 2007 dulu tidak ada pulak apa-apa kerosakan atau pergaduhan yang tercetus. Perarakan selesai dalam keadaan aman dan lancar. Jadi apa yang ditakutkan sangat? Ketakutan yang melanda kerajaan berkaitan isu perhimpunan ini sebenarnya menyakinkan kita tentang banyak sangat 'kotoran' yang sedang berlaku setiapkali pilihanraya diadakan. Rakyat merasai bahawa dipihak kerajaan kalau boleh 'kekotoran; ini mahu dikekalkan demi kesinambungan kuasa politik mereka. 

Seperti kata pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana bersalah".  Kalau kita takut kita akan nampak sangat macam orang bersalah, dan akan cepat mengelabah. Fikir-fikirkan lah............

No comments:

Post a Comment