Wednesday, 22 June 2011
Memori Zaman Sekolah, Sepantas Masa Yang Berlalu................
Sesekali berpeluang bertemu semula rakan-rakan lama dibangku sekolah dulu, hati bagai terusik mengingati pelbagai nostalgia lama. Dikotak fikiran bagai tertayang skrin gergasi yang memutar kembali kisah-kisah pahit manis, suka-duka ketika bersama dialam persekolahan; sama-sama meredah ranjau dan duri, sama-sama merasa pahit maung mengejar cita-cita; sama-sama berlari dan bekejaran dipadang dan sama-sama berdiri diatas meja setelah didenda guru kelas. Dunia terasa bagai dihias indah dengan ragam tersendiri waktu itu. Kini setelah hampir 40 tahun belalu, tanpa pernah bersua muka, atau pernah berselisih dipersimpangan kehidupan setelah masing-masing membawa haluan sendiri, tiba-tiba kelibas wajah-wajah lama itu muncul semula. Tapi sayangnya, mereka itu bukan lagi wajah-wajah ceria anak remaja yang ditinggalkan dulu. Telah hilang entah kemana wajah-wajah ceria anak remaja yang pernah kita dampingi dulu. Mereka kini adalah insan-insan dewasa yang telah jauh berubah mengikut peredaran masa. Dihadapan kita kini adalah insan-insan dewasa yang telah matang seusia kita, dan penuh pengalaman setelah diuji pelbagai badai kehidupan. Rata-rata mereka adalah manusia yang telah mencapai pelbagai tahap kejayaan dalam kehidupan masing-masing. Mereka kini adalah orang-orang penting yang mengepalai kelompok atau unit dalam masyarakat mereka yang tersendiri.
Jadi, sedarlah kita sebenarnya masa begitu pantas berlalu tanpa kita sedari. Walau sepantas mana pun kita turut berlari mengejar masa yang belalu, namun tidak akan terkejar masa-masa silam yang telah berlalu dan kini terlipat indah dalam album kenangan.
Imaginasi sering rasa bagai tertipu setiapkali bertemu mereka. Walaupun difikiran kita masih terbayang wajah rakan-rakan yang sama sepertimana kita tinggalkan 40 tahun dulu. Sebenarnya, itu hanya impian dan khayalan kita semata. Wajah rakan-rakan, seperti juga kita, sudah jauh berubah, dan tidak lagi rakan-rakan seperti yang kita kenal dulu. Tiada lagi tawa riang anak-anak sekolah seperti dulu. Mereka sudah menjelma menjadi orang-orang dewasa yang mempunyai keperibadian dan riakmuka tersendiri dan bukan lagi suara riang sukaduka anak-anak sekolah seperti dulu.
Kita sebenarnya sedang menghadapi realiti kehidupan dan bukan lagi igauan fantasi masa silam. Walau sejauh mana sekali pun perjalanan kehidupan yang kita lalui, hakikatnya kita akan pulang kesatu jalan yang telah ditetapkan, iaitu jalan meniti batas-batas hari tua yang menuju kesudut senja.....Tidak ada perjuangan yang tidak ada noktahnya, dan tidak ada pelayaran yang tidak berakhir dihujung pelabuhannya.
Oleh itu amatlah elok kalau ketika kita menghampiri kehujung senja penghidupan ini, kita mengambil kesempatan ini bertemu semula insan-insan lama yang pernah kita dampingi suatu ketika dulu; pernah bermain, pernah belajar dan pernah bersendaloka bersama disuatu ketika dulu. Sekurang-kurangnya kita dapat duduk berbual dan bercerita tentang pengalaman masing-masing ketika dalam 'pelayaran'; bercerita tentang ombak. tentang badai yang pernah kita tempuhi, serta tentang istana ratu dan gunung mutiara yang pernah kita temui ketika dalam 'pelayaran' dulu. Kita akan bercerita tentang berapa ramai rakan karib kita yang telah 'karam' ketika dalam pelayaran itu. Tentang berapa ramai juga yang telah 'tenggelam' dipukul ombak badai dan tidak lagi dapat bersama kita dihari ini. Sekurang-kurangnya secangkir doa dan sekalung Al-Fatihah dapat kita sumbangkan untuk mereka.
Demikianlah tentang hakikat kehidupan. Ada baiknya peluang yang secebis ini kita gunakan sebaik mungkin bersama dengan mereka yang pernah bersama kita suatu ketika dulu. Bukan untuk bercerita dan mendabik diri dengan pencapaian masing-masing, atau mencanang kemegahan diri untuk tontonan orang lain. Tetapi untuk muhasabah diri dan mengirat silaturrahim sesama kita agar perjalanan seterusnya meniti sisa-sisa hidup dihujung senja ini akan menjadi lebih bermakna.........
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment