Thursday, 19 May 2011

Kemana Tumpahnya Kuah.............


Sesekali melihat kelibat anak lelakiku bermain muzik dan buat 'live performance' dipentas terbuka, dihadapan ramai pengunjung-pengunjung yang memenuhi ruang restoran Bukit Bintang Bistro (BB BIstro) pada suatu malam Sabtu, hati turut tercuit pelbagai rasa. Rasa kasihan pun ada, kagum dan bangga pun ada. Apa tidaknya hati bagai terdetik melihat kegigihan anak sendiri 'mencipta nama mencari rezeki', disamping kebolehan dan keupayaannya bermain alat muzik dan menyampaikan beberapa buah lagu dengan baik dan sungguh menghiburkan, bersama 4-piece band yang dianggotainya.

Walau pun telah berkerjaya tetap, namun mamat yang seorang ini nampaknya cukup gigih menunjukkan bakat, minat dan kebolehannya dalam bidang yang begitu diminatinya, iaitu muzik. Walaupun aktiviti ini dibuat secara "part time" bagi menambah pendapatan katanya, namun diukur dari sambutan yang diberi oleh pengunjung-pengunjung BB Bistro, nampaknya beliau bersama kumpulannya telah berjaya memberikan suatu persembahan yang mantap, bertenaga dan menghiburkan. Apatah lagi jika dilihat dari segi sambutan ramai dan tepukan gemuruh oleh penonton dan pengunjung yang memenuhi buang BB Bistro setiap kali sesebuah lagu itu selesai disampaikan. Sambutan juga boleh dilihat dari mereka yang sedang menjamu selera disitu dengan kad permintaan yang bertalu-talu datang, hatta kepada meeka yang berdiri atau menonton dari pinggir-pinggir jalan sambil duduk-duduk diatas motorsikal yang diletakkan dikawasan itu.

Hati berdetik bangga juga apabila mendengar alunan beberapa buah lagu lama yang dipersembahkan dengan begitu bertenaga dan cukup menghiburkan. Dalam remang cahaya yang samar-samar diruang Bistro yang sesak dengan pengunjung, beberapa lagu buah lagu evergreen telah diperdengarkan, seperti Country Road (John Denver), Black Magic Woman (Santana), It's Now Or Never (Elvis), Words (Bee Gees), Zunika (A.Romzi), Widuri (Bob Tutipoli), serta beberapa lagu hits yang dipopularkan oleh M. Nasir; antaranya Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mustika, Hati Emas dan Mentera Semerah Padi.

Sewaktu menikmati alunan lagu-lagu merdu yang diperdengarkan, kenangan terasa mengimbau kembali kenostalgia zaman silam sewaktu diri masih muda remaja. Pernah juga bergiat dalam dunia muzik, walau pun secara kecil-kecilan di sekitar daerah Kulim, serta dikampung kelahiran di Kulim, Kedah. Pernah juga turut terlibat dengan band kumpulan gitar rancak (kugiran), yang mendominasi persada hiburan tanah air sekitar zaman enam-puluhan dulu. Masih terngiang-ngiang ditelinga alunan muzik yang dibawa waktu itu dengan peralatan yang serba kekurangan. Lagu-lagu kegilaan anak muda zaman itu menjadi ikutan kami,. termasuk band pengiring (kugiran) yang mengiringi penyanyi-penyanyi tersebut waktu itu, antaranya A.Ramlie (The Rythmn Boys), Jeffydin (The Siglap Five), A.Karim Jais (Les Fentones), Hasnah Harun (The Clifters), A.Rahman Onn (The Strangers), A.Rahman Hassan (Orkes Nirwana) A.Romzi (The Hooks), J.Kamisah (The Wisma), L.Ramlee  (Orkes Teruna Ria) dan ramai lagi.

Bagaimana pun ternyata corak permainan dan genre muzik yang dimainkan pada zaman dulu dan zaman kini telah jauh berbeza, terutama dari segi bentuk dan susunan muziknya. Banyak perubahan dan evolusi telah berlaku sesuai dengan perubahan zaman dan peralatan yang digunakan.. Muzik kegilaan anak-anak muda juga sudah jauh berubah dan akan terus berubah.

Kini, setelah hampir 40 tahun berlalu, siapa sangka masih ada dari keturunanku yang mewarisi bakat dan minat dalam bidang muzik. Si mamat ini telah membuktikan bahawa dengan sedikit bakat yang ada, jika digilap, dapat membawa kita jauh dalam bidang yang ingin kita terokai ini dengan sedikit daya-usaha dan ketekunan yang ada. Bagi saya, minat beliau tidak boleh dihalang, dan saya hanya boleh mengucapkan syabas, dan berdoa untuk kejayaannya dimasa hadapan..

Benarlah seperti kata orang tua-tua: "Kuah tidak akan kemana tumpahnya, kalau tidak ke nasi........"

No comments:

Post a Comment