Monday, 30 May 2011

P.Ramlee - Hilangnya tiada pengganti................


" Dimanakan ku cari ganti, serupa denganmu,
  Tak sanggupku berpisah dan berhati patah,
  Hidup gelisah..........."

Demikian antara bait-bait lagu "Dimanakan ku cari ganti ' hasil ciptaan dan nyanyian Allahyarham P. Ramlee, serta lirik oleh S. Sudarmaji, yang dipetik dari filem Ibu Mertuaku terbitan tahun 1960
 
Semalam 29 Mei 2011, adalah ulangtahun kembalinya kerahmatullah seniman agung kita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei, 1973. Entah kenapa setiap kali tiba tarikh itu saban tahun,  hati bagai berdetik sayu dan dikotak fikiran akan berputar kembali kenangan mengimbau filem-filem lama lakonan dan arahan Allahyarham. Kebetulan sewaktu era filem-filem ini berada dipawagam, saya masih dalam usia belasan tahun, dan sentiasa meminati dan mengikuti perkembanagn filem-filem Allahyarham. Nostalgia tentang masa silam akan tambah terasa sesekali apabila melihat filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham masih diputarkan di kaca tv serta lagu-lagu beliau juga masih berkumandang diradio-radio, khususnya stesyen Klasik Nasional. Walaupun sudah hampir 37 tahun meninggalkan kita, namun khazanah seni peninggalan Allahyarham kepada kita, teutama filem-filem arahan dan lakonan beliau masih sering dimainkan di tv, serta lagu-lagu beliau masih terasa dekat dihati kita. Ternyata pemergian seniman agung ini amat sukar dicari ganti. Sehingga kini kita masih belum melihat kelibat seorang pun anak seni yang dapat menyamai ketokohan dan kehebatan beliau terutama dari segi kaliber dan daya kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu dan meningkatkan mertabat industri filem tanahair.

Saya tidak bercadang memutar kembali sejarah dan latar-belakang kehidupan beliau sepanjang menjadi anak seni yang ada pasang surutnya. Ada manis dan pahitnya, dan ada suka-dukanya. Namun disepanjang hampir 30 tahun penglibatan beliau dalam industri filem tanahair, beliau telah berjaya memertabatkan industri filem Melayu dan telah meletakkan filem Melayu sebaris dengan filem-filem agung dari negara-negara lain diperingkat antarabangsa.

Hati masih teringat dan tercuit rasa dengan filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham seperti Anakku Sazali, Hang Tuah, Sumpah Orang Minyak, Musang Berjanggut, Nujum Pak Belalang, Madu Tiga, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Labu Labi,  Do Re Mi, Masam-Masam Manis dan banyak lagi. Lagu-lagu ciptaan, gubahan dan nyanyian beliau yang evergreen sehingga kehari ini seperti Engkau Laksana Bulan, Azizah, Berkorban Apa Saja, Itulah Sayang, Gelora, Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku, Dengar Ini Cerita, Puteri Bunian, Jeritan Batinku serta banyak lagi sering memukau kita. Anak-anak kecil sehingga kehari ini turut meminati filem-filem lakonan beliau dan dapat menghafal bait-bait lagu serta dailog dailog filem beliau, walaupun ketika filem itu diputar dipawagam-pawagam mereka masih belum lahir kedunia lagi.

Begitulah hebatnya sentuhan seni serta kesan dari karya-karya beliau. Tidak hairanlah semasa hayatnya, filem-filem arahan dan lakonanm beliau telah beberapa kali memenangi award di Pesta Filem Asia (Asian Film Festival) dan mendapat pengiktirafan diperingkat antarabangsa. Filem-filem lakonan beliau seperti Hang Tuah dan Anakku Sazali dikhabarkan pernah ditayangkan hingga ke Kaherah dan London.

Sebagai anak muda yang serba sederhana, beliau tidak berpendidikan tinggi, dan hanya belajar beberapa tahun di Penang Free School sehinggalah pelajarannya terhenti akibat meletusnya Perang Dunia Kedua dalam tahun 1941. Bermula dengan bakat seni yang digilap secara kecil-kecilan dengan menganggotai beberapa pencaragam (band) dikampongnya di Pulau Pinang, beliau telah berjaya dikesan oleh seorang 'talent scout' dari syarikat filem Shaw Brothers sewaktu membuat persembahan pentas di Bukit Mertajam sekitar tahun 1948. Bermula dari situ, beliau telah diundang menjalani ujian bakat di Singapura dan seterusnya diterima berlakun dalam filem pertamanya 'Chinta' terbitan tahun 1948. Dari situlah bakatnya berkembang, dan semenjak itu beliau tidak menoleh kebelakang lagi dan terus menapak dan menempa nama sebagai pelakun, pengarah, penyanyi, pemuzik dan pengubah lagu sehingga ke zaman kegemilangannya diawal tahun 60an. Selepas penghijrahannya ke Kuala Lumpur pada tahun 1964, filem-filem arahannya kurang dapat bertahan dan bermulalah zaman kemerosotannya sehingga beliau menghembus nafas terakhir pada tahun 1973 dalam situasi yang amat menyayatkan.

Apa yang ingin saya sentuh disini ialah pandangan luas serta mesej yang diselitkan dalam setiap filem-filemnya, menjadikan kita hari ini terpukau dengan kebolihan dan kehebatan beliau dalam berkarya. Sebagai seorang yang tidak berpendidikan tinggi, kita sebenarnya kagum dengan kehebatan beliau menyelitkan mesej-mesej murni dan sejagat dalam karya-karya beliau. Adalah tepat sekali tanggapan banyak pihak bahawa manusia P.Ramlee ini sangat istimewa, mempunyai bakat besar, mempunyai visi tinggi dan ahli pemikir masyarakat yang mendahului zamannya... Bukannya calang-calang manusia yang ketika dikelilingi oleh pelbagai cabaran seperti kurangnya peralatan dan kepakaran dalam bidang yang diceburinya, telah dapat menghasilkan katya-karya besar berbentuk filem. Antaranya, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Madu Tiga, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Sumpak Orang Minyak, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab, Masam Masam Manis dan banyak lagi. Apa lagi apabila karya-karya tersebut diterima diperingkat antarabangsa.

Bagi saya, disamping melihat bakat anugerah Allah kepadanya, saya lebih gemar melihat filem-filem P. Ramlee ini dari sudut mesej yang bersifat universal values disampaikan dengan gaya bersahaja dalam filem-filemnya. Siapa yang tidak akan ketawa melihat telatah lucu bersahaja 3 bujang terlajak dalam siri Bujang Lapuk. Walaupun secara bersahaja dan membuat orang ketawa tak kering gusi, beliau juga membawa mesej masyarakat menerusi filem-filem tersebut. Mesej penindasan orang kaya terhadap gulongan miskin; kepincangan masyarakat dan keruntuhan akhlak anak muda misalnya dalam Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok. Mesej mengagung-agungkan darah keturunan dalam Antara Dua Darjat. Mesej tamak haloba dan perebutan harta sesama keluarga dalam Tiga Abdul; perselisihan faham antara menantu dan mertua disebabkan darjat keturunan dalam filem Ibu NMertuaku; serta permusuhan sesama manusia yang mementingkan rupa paras serta merasa jijik terhadap rupa paras yang huduh dalam Sumpah Orang Minyak.

Saya masih teringat suatu babak beliau dalam filem Anak Bapak (tahun 1968) dimana beliau berlakon sebagai anak kepada seorang tuan punya ladang yang kaya (lakonan Allahyarham AR Tompel) sedang meronda dalam kawasan ladang bersama pembantunya. Mereka terserempak seorang pekerja ladang yang sedang sakit dan berbaring ditempat keja . Beliau lantas bertanya kenapa sakit dan masih datang bekerja. Pekerja tua itu menjawab "Saya gaji hari, tuan. Kalau tak kerja apa keluarga saya nak makan." Beliau lantas menyeluk sakunya dan menghulur wang, serta menyuruh pekerja itu balik mendapatkan rawatan. Beliau juga mengarahkan mandor ladang supaya sepanjang cuti-sakit yang dimbil nanti, gaji pekerja itu hendaklah dibayar.....". Tersentak saya. Begitu cantik dan murni falsafah kehidupan yang digarap dalam karyanya yang sukar didapati dialam nyata.

Dalam suatu babak filem Antara Dua Darjat pula, beliau menggambarkan perselisihan pendapat  mengenai darjat dan keturunan, antara Tengku Mukri (lakonan Allahyarham S. Kadarisman) dengan Tengku Aziz (lakonan Allahyarham Yusof Latif). Saya teringat dialog Tengku Aziz ketika berdepan dengan Tengku Mukri yang amat mementingkat darah dan keturunannyai seperti berikut : " Tengku, hanya gelaran dan pangkat keturunan. Apa ada pada gelaran. Engku. Kan sebagai manusia darah kita sama saja.........."

Dalam filem Ibu Mertuaku pula, dialog yang dituturkan oleh Mak Dara yang melakonkan watak sebagai Nyonya Mansur, seorang wanita hartawan yang ingin tahu siapa bakal menantunya, amat berkesan dihati kita. "Siapa itu Kassim Selamat?....... Lawyer? Majistrate?..", dan apabila diberitahu yang Kassim Selamat itu ahli muzik "Pantang datuk nenek aku ahli muzik....." menggambarkan pandangan serong masyarakat terhadap ahli muzik.

Begitulah hebatnya manusia agung yang bernama P. Ramlee. Begitu besar jiwa dan falsafah yang ditunjuk dalam karya-karya seninya. Sebagai orang Melayu kita turut merasa bangga kerana ada anak Melayu yang mempunyai kehebatan seperti ini dan kehilangannya sehingga kini masih tiada pengganti........

Benarlah seperti kata pepatah Melayu : "Manusia mati meninggalkan nama" P. Ramlee pergi meninggalkan kita dengan suatu nama yang besar, yang ditinggalkan bersama hasil karyanya yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.....

Amin...dan Al-Fatihah untuknya...........

No comments:

Post a Comment