Sunday, 15 May 2011
Selamat Hari Guru...........
Tanggal 16 hb Mei setiap tahun disambut khas bagi mengingati peranan para guru. Guru sebagai insan istimewa dalam hidup kita. Orang yang mengasuh, mendidik serta mentarbiahkan hidup kita sehingga menjadi orang yang berpelajaran dan beradap susila. Insan-insan kerdil ini perlu diingati dan dikenang jasa mereka walaupun mereka sendiri tidak meminta dibuat demikian. Keluhuran jiwa raga yang telah disemadikan untuk mendidik kita dan seluruh anak bangsa supaya menjadi insan yang beguna. Tanpa warga pendidik ini tidak akan lahir insan-insan murni yang berilmu pelajaran tinggi, berakhlak dan bertata-susila tinggi dalam kehidupan kita kini.
Guru tidak harus dibatasi hanya kepada mereka yang mendidik kita secara formal disekolah-sekolah. Malah merangkumi juga mereka yang mengasuh, mendidik, memberi tunjuk-ajar dan memperkenalkan kita dengan sesuatu yang baru dalam hidup. Sejak bayi lagi, ibu-bapa menjadi guru kita. Mengajar kita bertatih dan berjalan; mengajar kita bercakap dan berbahasa, serta memberi tunjuk ajar semasa kita melalui proses tumbesaran. Saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga, serta rakan sepermainan kemudian menjadi guru kita secara tidak langsung dalam mengajar kita erti kehidupan. Mengenal apa yang baik dan yang buruk. Apabila menjejak kaki kealam persekolahan, tugas guru membimbimng kita, mengajar apa jua pelajaran yang tidak kita fahami sehingga kita menjadi pandai. Setelah meningkat dewasa, rakan-rakan sebaya pula mengambil-alih menjadi guru pembimbing dan mengajar kita selok-belok mengenal kehidupan. Apabila memasuki alam pekerjaan pula, rakan-rakan sekerja, penyelia dan para majikan pula menjadi guru mengajar dan membimbing apa yang kita tidak tahu sehingga kita menjadi seorang pekerja yang baik, berkemahiran dan produktif. Seluruh anggota masyarakat disekeliling kita sebenarnya adalah guru kita yang mengajar, memberi petunjuk dan menasihatkan kita sewaktu menlalui liku-liku kehidupan.
Peranan guru tidak hanya terbatas sehingga kita dewasa. Malah selagi kita masih terus belajar, masih terus memerlukan pengetahuan dan kemahiran untuk terus meniti kehidupan, para guru adalah orang yang akan berada disekeliling kita bagi membantu, menasihati, membimbing dan memberi tunjuk-ajar dan panduan-nasihat.
Oleh itu, warga guru ini amatlah wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Letaklah mereka disuatu sudut yang lebih wajar dalam jiwa kita diatas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada kita selama ini. Sewajarnyalah satu hari dalam setahun kita sama-sama duduk bertefakur, berdoa dan menghargai sumbangan mereka ini. Bagi kita guru adalah sesiapa saja walaupun mereka ini hanya mengajar kita "dengan sebaris ayat sahaja........".
Sekian, dan selamat hari guru untuk semua yang telah berjasa mendidik, serta mentarbiahkan hidup kita sehingga kita menjadi apa yang kita capai dihari ini...............
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment