Thursday, 14 July 2011

YANG LOREK ITU KENDI, YANG MERAH ITU SAGA.................


Saya telah mengikuti dengan penuh minat pelbagai polimik dan diskusi sejak beberapa minggu lalu mengenai Perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan baru-baru ini, terutama di laman Facebook. Pendapat pro dan kontra telah diluahkan oleh pelbagai pihak dilaman tersebut, terutama tentang 'kawajaran' perhimpunan ini PATUT diadakan disuatu pihak, dan 'kewajaran' kenapa perhimpunan ini TIDAK HARUS diadakan disuatu pihak yang lain. Bagaimana pun, perhimpunan telah selesai diadakan. Tidak perlulah kita panjangkan polimik ini. Terpulanglah pada persepsi anda sendiri samaada mentakrifkan ianya berjaya atau sebaliknya. Saya telah menyatakan pendirian saya menerusi tulisan-tulisan saya yang lalu diblog ini, dan saya tidak berhasrat mempengaruhi anda untuk bersama saya menyokong pendirian saya itu.

Tujuan saya menulis kali ini bukanlah untuk memperkatakan tentang BERSIH 2.0. Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang polimik yang telah terpapar dilaman-laman Facebook, dan komen-komen yang diberi berikutan dengan tulisan-tulisan pro dan kontra dipelbagai blog di internet. Ada yang menyokong dan memuji melangit mengenai perhimpunan yang diadakan itu, dan ramai juga yang menghentam dan mengkeji serta melepaskan rasa geram kenapa perhimpunan itu diadakan. Pelbagai alasan diberi oleh kedua-dua pihak. Tidak mengapa. Itu adalah pendapat dan pendirian masing-masing. Tidak kisahlah apa pun pendapat dan pendirianm anda. Tapi saya amat tersentuh cara mana penulisan itu dibuat. Banyak sangat serangan berbentuk peribadi dengan maki-hamun dan kata-kesat dan lucah dilekuarkan dilaman Facebook. Kenapakah hal ini jadi ? Adakah ini sudah menular menjadi budaya kita?.

Bukankah kita rata-rata berbangsa Melayu dan berugama Islam. Sebagai orang Melayu dan berugama Islam, rasa saya, kita tidak pernah pun diajar oleh ibu-bapa kita untuk mencemuh, dan memaki hamun orang lain, hanya kerana orang itu tidak sehaluan dengan pendirian kita. Bukankah kita bangsa Melayu yang sepatutnya amat halus dan tinggi budi pekertinya. "Bangsa Melayu itu jika bergaduh pun, santunnya masih terpelihara..." kata Sasterawan Negara Usman Awang, sewaktu membicarakan tentang ragam manusia Melayu. Apakah kita sudah hilang punca dan berlagak serba tahu sehingga kita sanggup mencerca orang lain. Sanggup memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar? Hilangkah sudah pertimbangan rasional kita dek marah yang teramat sangat hingga bersikap demikian?

Laman Facebook adalah suatu wadah baru yang diujudkan dialam siber untuk kita sebagai umat manusia menggunakannya secara bijaksana dan berhemah. Kita boleh berinteraksi, bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran untuk meluaskan pandangan dan pemikiran kita. Bukan untuk dijadikan wadah dan medan untuk menghentam orang yang tidak sealiran dengan kita. Bukan untuk mencaci, dan memaki hamun sesama manusia. Saya jadi pelik dan sedih bila ada orang yang tergamak sehingga sanggup menggunakan bahasa-bahasa kotor dan maki hamun seperti "f....k"(4 letter word), disamping perkataan-perkataan lain yang tidak kurang kesatnya, seperti : "GTH", "HJ"; "PM"; "Bodoh"; "Babi", "Bangang", dan entah apa-apa lagi. Maaf, saya sendiri tidak sanggup menulis kembali perkataan-perkataan kotor tersebut dan terpaksa hanya menggunakan "abbreviation" sahaja disini. Anda kena faham-faham sendiri le........

Berlainan pendirian dan berbeza pendapat adalah perkara biasa dan lumrah kehidupan. Sejak kecil lagi kita sesama kawan dan rakan juga sering berselisih faham dan berbeza pendapat. Dengan ibu bapa dan kaum keluarga juga kita sering berselisih pendapat, malah dengan rakan taulan, rakan sekolej dan rakan sekerja juga kita sering mempunyai pendapat berbeza. Tapi, janganlah jadikan perbezaan pendapat itu suatu perkara sirius sehingga 'mengizinkan' kita melafazkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kita tuturkan terhadap mereka.

Kalau kita tidak setuju BERSIH 2.0 diadakan, itu adalah pendapat kita. Orang lain mungkin tidak sependapat dengan kita. Mungkin bagi mereka BERSIH 2.0 itu suatu yang wajar diadakan. Masing-masing sudah tentu ada alasan sendiri. Begitu juga jika ada orang yang marah-marah kepada Pasukan Polis atas tindakan  yang dikatakan "agak keras" dan "keterlaluan" terhadap penunjuk perasaan. Biarkanlah. Itu hak mereka mengeluarkan pendapat. Kita juga ada hak kita "mempertahankan" pasukan polis atas sebab-sebab tersendiri, mungkin ada saudara mara kita, kaum kerabat kita berkhidmat dalam pasukan ini. Bukan semuanya polis tu jahat. Pepatah Inggeris ada menyatakan "One swallow doesn't make a summer...." Kalau betul pun polis yang bertindakan ganas hari itu, bukannya semua polis terlibat, Ramai lagi polis yang "baik" dan menjaga keselamatan kita terutama mengekang jenayah sehingga ada yang sanggup mengadai nyawa mereka sendiri! Tak perlulah kita marah-marah, dan maki hamun orang yang menghentam polis itu dengan kata-kata yang kesat dan keterlaluan. Bagi saya semua orang ada hak diatas pendapat masing-masing. Itu perkara biasa. Kita tidak boleh memaksa orang lain berpendirian sama dengan kita. Kalau dia bependirian berbeza dengan kita, hormatilah pendapatnya. Jangan diserang dengan kata-kata kesat dan maki hamun. Siapa kah kita yang berhak menuturkan kata-kata begitu kepadanya ??

Saya teringat kata-kata seorang bijak pandai: "We can always argue......., but don't quarrel. When we argue, we actually focus on facts, and not on personalities. When we quarrel, we lose focus on facts but hit on personalities..." Bagi saya kata-kata ini amat tepat sekali. Kita boleh berpolimik dan berdiskusi dan memberi pendapat, walau panjang berjela mana sekali pun.   "Until the cows come home......." kata perpatah Inggeris. Tapi selagi kita tidak menyentuh peribadi sesaorang, kita masih dianggap insan mulia yang berperibadi tinggi. Tapi kalau kita mula menggunakan taktik menyerang dengan menggunakan kata-kata kesat,  mencarut dan memaki orang lain, kita sebenarnya telah menampakkan diri kita sebagai kurang matang, tidak cerdik dan lemah pendirian. Jauh sekali menempatkan diri kita sebagai manusia Melayu yang penuh berhemah serta sopan santun. Ingatlah seperti pantun Melayu :

"Yang lorek itu kendi;
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi;
Yang indah itu bahasa..........."

Sunday, 10 July 2011

BERSIH 2.0.........KINI KEBENARAN TELAH TERSERLAH........

Saya hanya mengikuti dari jauh perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan semalam. Diusia seperti sekarang saya tidak mempunyai kudrat lagi untuk turun bersama orang ramai kejalanraya bagi menuntut pembersihan sistem piliharaya dinegara ini, seperti mana yang dibuat oleh anak-anak muda semalam. Bagaimana pun, saya merasakan perjuangan itu amat dekat dihati saya. Walau pun tidak ikut serta, saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan ynag berlaku. Rasa saya, BERSIH 2.0 telah berjaya mencapai hasrat dan matlamatnya. Perhimpunan aman telah berjaya diadakan ditengah-tengah hambatan, hiruk-pikuk dan tindakan keras pihak kerajaan melalui polis untuk menggagalkan usaha ini. Polis dilihat telah menggunakan segala kekuatan yang yang ada semata-mata mahu menggagalkan suatu gagasan dari rakyat yang mahukan suatu reformasi dan pembersihan sistem piliharaya yang lebih adil. telus dan bersih. Apa pun semua pihak tahu polis tidak boleh dipersalahkan 100%. Mereka hanya memainkan peranan dan dipergunakan oleh  pihak kerajaan dan UMNO/BN dengan menggunakan 'kawalan jauh' (remote control) dimana kekunci remotenya hanya ada pada kerajaan dan PM Najib sendiri.


Melalui gambar-gambar yang tersiar, saya dapati perhimpunan yang diadakan amat berkesan dan besar impaknya terhadap demokrasi dinegara ini. Dalam deretan puluhan ribu manusia yang hadir berhimpun, saya dapati bukan sahaja anak muda Melayu yang turun, malah ramai juga anak muda dari keturunan Cina dan India yang turut serta. Bagi saya ini suatu petanda baik yang harus diakui semua pihak. Suatu sikap permaufakatan yang amat irat telah terjalin, kesemuanya untuk satu matlamat - menghidup demokrasi di Malaysia, khususnya pembaikpulihan sistem piliharaya. Saya jadi tergamam seketika apabila melihat barisan anak-anak muda Cina turut turun berduyun-duyun (sila rujuk gambar yang dilampirkan). Tidak kurang juga anak muda India. Hatta, melalui gambar video 'you tube' saya juga melihat amoi dan nyonya penjual buah ditepi jalan, dan apek tua pembawa teksi juga turut serta. Bukan sahaja anak muda Melayu yang keluar, seperti sangkaan kita, bahkan semua bangsa turun berdemonstrasi tanpa mengenal batas agama dan perbezaan kaum. Wajah-wajah inilah sebenarnya yang amat ditakuti oleh kerajaan BN. Kelibat 1 Malaysia yang turun kejalanraya akan menjadi igauan ngeri, lebih-lebih lagi ianya tidak menjelma dalam bentuk seperti yang dicanangkan oleh kerajaan, tapi wajah 1 Malaysia yang mahukan suatu sistem piliharaya yang adil, bersih dan telus dilaksanakan. Wajah-wajah yang kita lihat ini juga menafikan samasekali tomahan yang kononnya orang Melayu digunakan sebagai 'alat' untuk pihak lain, sedangkan pada realitinya semua yang turun berdemo adalah 1 Malaysia.

Puluhan ribu rakyat yang terun berduyun turun menceritakan segala-salanya. Bukan setakad 5,000 atau 6,000 orang seperti yang didakwa oleh Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam sidang medianya petang semalam selepas perhimpunan berakhir. Mengikut telahan dan pengamatan saya, angka sebenar yang keluar melebihi 50,000 orang sepertimana yang dilaporkan oleh phak BERSIH sendiri, Ini sudah tentu belum mengambilkira laporan dari ajensi berita Aljazeera yang disiarkan di TV semalam yang menyebut hampir 100,000 orang didakwa telah turun berhimpun dan berarak.

Bagi saya ini suatu persoalan yang baik untuk difikirkan bersama. Disebalik segala hambatan yang dikenakan oleh polis, sekatan-sekatan jalanraya yang diadakan dimerata tempat; penutupan jalan-jalan utama dan jalan masuk ke KL kawalan dan penutupan beberapa stesyen LRT; kempen menahan dan menangkap mereka yang berpakaian baju T dengan logo BERSIH, sekatan pengeluaran permit bas oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) serta dinafikan hak untuk mengggunakan Stadium Merdeka, perhimpunan masih dapat diteruskan dengan jumlah melebihi 50.000 orang yang hadir, bagi saya adalah suatu pencapaian besar. Ini belum diambilkira ugutan, ancaman dan tangkapan yang dilakukan oleh polis beberapa hari sebelum perhimpunan diadakan. Saya cuma tertanya, bagaimana rupanya kalau polis tidak buat sekatan dan hambatan dari awal. Sudah tentu target 300,000 seperti yang dinyatakan oleh BERSIh akan dapat dicapai.

Apa-apa pun, pihak kerajaan tidak harus berdiam diri dan seharusnya mengambil  iktibar dari perhimpunan yang telah diadakan ini. Kehendak dan aspirasi rakyat tidak harus dibiarkan begitu saja. Ibarat air yang mencurah turun dari lurah bukit, tidak boleh disekat atau bendung dengan tembok walau sekukuh mana sekalipun. Sampai masa sekatan dan tembok akan terburai pecah juga dek asakan air yang kian melimpah.

Begitulah kuasa rakyat. Suara keramat yang gemanya kini sudah mula mengimbau keseluruh pelusuk dunia. Khabarnya rakyat kita di Singapura, Melbourne, Sydney, Perth, Wellington, Seoul, Kaherah dan beberapa bandaraya utama dunia juga telah mula bangun menunjuk perasaan ditempat masing-masing. Kuala Lumpur tidak lagi bersendirian seperti tahun 2007 dahulu.........

Tuesday, 5 July 2011

ASALKAN JADI.....STADIUM PUN, STADIUM LAH..............


Keputusan yang dibuat oleh pihak penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan agenda perhimpunan rakyat secara aman didalam stadium dilihat suatu keputusan yang bijak. Keputusan ini dibuat setelah penganjur mengadap DYMM Yang Di Pertan Agong di Istana Negara petang ini.  Majoriti menyambut baik keputusan ini, manakala segelintir lagi rakyat ada yang kurang berpuashati manakala segelintir lagi besikap berkecuali.  Bagi saya, keputusan ini patut diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka sebagai menghormati titah perintah DYMM Yang DiPertuan Agong yang mahukan agar kedua-dua pihak, BERSIH dan kerajaan, kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan sebarang kekusutan.

Apa yang penting kita harus melihat perkembangan ini sebagai suatu yang bersifat 'menang-menag' (win-win situation). Kesediaan DYMM berjumpa perwakilan dari BERSIH menunjukkan kesungguhan dan pengiktirafan baginda keatas kumpulan penganjur BERSIH ini. Ini adalah suatu penghormatan sebenarnya dan mempamerkan sikap bijak pihak istana yang amat jarang dapat kita lihat. Tindakan ini secara tidak langsung meletakkan Perdana Menteri dan kerajaan dalam suatu keadaan yang serba-salah. Mana tidaknya jika Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan BERSIH sebagai kumpulan haram. Mana mungkin DYMM sudi menerima rombongan perwakilan dari kumpulan haram? Bagi saya ini suatu kemenagan besar perjuangan rakyat!

Perwakilan BERSIH yang mengadap Agong juga dilihat amat sederhana dan dibuat menerusi pemilihan yang bijak. Ianya dianggotai oleh Dato' S. Ambiga, selaku Pengerusi BERSIH, Sasterawan Negara A. Samad Said (Pak Samad), dan Pengerusi JIM (Jemaah Islamiah Malaysia) Zaid Kamarudin. Tidak ada seorang pun wakil parti politik yang turut serta. Ini suatu langkah bijak dan dapat menjauhi sama sekali sebarang tomahan terutama dari pihak kerajaan bahawa tuntutan BERSIH berbau politik.

Paling penting bagi saya, keputusan yang dibuat menggambarkan kemenangan kepada rakyat, Perhimpunan akan diteruskan juga, walau pun dibuat dalam stadium, pada tarikh yang telah ditetapkan. Dengan ini 'momentum' kemaraan rakyat dilihat tidak terjejas, dan suara keramat rakyat akan terus bergema juga walau pun dari dalam stadium. Seluruh dunia akan menyaksikan nanti suara dari hati nurani rakyat yang mahukan perubahan terhadap sistem pilihanraya dinegara ini.

Perhimpunan ini sudah tentu dapat diadakan dalam keadaan yang lebih selesa dan tidak lagi diganggu polis. Peserta boleh memakai baju kuning untuk datang beramai-ramai ke stadium. Ini suatu perkembangan yang boleh memberi makna dan ruang yang lebih luas terhadap percambahan domokrasi BERSIH dan tuntutan reformasi piliharaya sepertimana yang dihajatkan.


Jauh sekali seperti sangkaan banyak pihak, terutama pihak kerajaan dan media massa arus perdana bahawa dengan perkembangan terbaru ini, kerajaan telah berjaya mengekang arus perhimpunan haram (kononnya) dari melanda Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini. Mereka meletakkan ini sebagai suatu kejayaan kerajaan. Mereka harus sedar bahawa obor tuntutan 8 perkara yang telah dinyalakan bagi menuntut sistem pilihan raya yang lebih adil, telus dan bersih sebenarnya akan terus menyala dan meniup semangat rakyat yang inginkan perubahan. Suara keramat rakyat kini akan terus mengimbau seseluruh dunia.

PM Najib nampaknya telah terperangkap dalam dilema sendiri apabila pihak istana bersetuju berjumpa wakil-wakil dari BERSIH. Ada juga pihak yang melihat ini sebagai suatu 'face saving device' (pelindung air muka) kepada pihak kerajaan yang nampaknya telah "tenggelam punca" dan tidak bermaya lagi menangani kemelut BERSIH ini sejak 2 minggu yang lalu sehingga memerlukan campurtangan DYMM Yang Dipertuan Agong. Apa tidaknya, pelbagai usaha 'kotor' telah dibuat seperti kempen 'memomokkan' BERSIH melalui media arus-perdana, melabelkan BERSIH sebagai haram, menggunakan polis untuk tindakan menahan dan menangkap aktivis dan ahli politik pembangkang, disamping menggunakan provokasi dari PERKASA dan Pemuda UMNO sendiri semata-mata untuk menggagalkan perhimpunan ini. Bagaimana pun hanya dengan sedikit kebijaksanaa keBawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung, semua ini telah dapat diatasi. Suatu pengajaran berharga kepada pihak kerajaan sebenarnya.

Kita tunggu perkembangan lanjut pada hari Sabtu ini, dan mungkin kita akan dapat melihat sendiri suara dan laungan keramat rakyat yang inginkan perubahan terhadap sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih yang terus bergema dari stadium nanti. Laungannya nanti akan terus bergema keseluruh pelusuk tanahair. Sama sama kita tunggukan. Insya Allah.............

Saturday, 2 July 2011

BERSIH 2.0....., APA YANG TAKUT SANGAT ???..........


Keadaan sudah macam kelam kabut. Kerajaan nampak macam tenggelam punca. Suasana tidak semena-mena sudah menjadi panas dan tegang. Sana sini orang bercakap pasal Perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan pada 9hb Julai nanti. Belum apa-apa lagi polis sudah memulakan siri tangkapan. Ramai aktivis dan ahli-ahli politik khususnya pembangkang telah ditahan. Dipihak kerajaan pula, ramai ahli-ahli politik yang sudah bersiap untuk bersilat dan bergusti. Media dokongan kerajaan juga telah siap menyerang gerakan ini secara habis-habisan. Semuanya bertujuan hendak menggagalkan perhimpunan ini. Apa yang ditakuti sangat sebenarnya tentang perhimpunan ini? Penganjur BERSIH 2.0 telah berulang kali menyatakan perhimpunan ini akan diadakan secara aman. Mereka akan turun berarak secara aman. Tujuannya hanya untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong berkaitan ketidakpuashatian rakyat terhadap perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR selama ini. Itu saja. Tidak lebih dari itu.

Tapi, kenapa kerajaan, khususnya UMNO/BN takut sangat? Sampai mengelabah dan meroyan tak tentu pasal. Ibarat 'kucing mati anak' kata pepatah Melayu, 'berlari kesana tak kena, berlari kesini juga tak menjadi.' Apakah BERSIH 2.0 itu dilihat laksana 'lembaga hudoh' atau 'hantu jerangkung' yang paling digeruni? Sampai segala macam cara telah mula dibuat untuk menghalangnya?  Tidak cukup dengan asakan dari media arus-perdana agar rakyat menjauhi perhimpunan ini, berbagai kempen 'memomokkan' perhimpunan ini juga telah dilancar. Pihak polis pula terus beraksi menangkap dan menahan aktivis-aktivis perhimpunan yang rata-rata hanya memperjuangkan kebersihan dan reformasi pada sistem pilihanraya yang ada. Itu saja. Paling terakhir kini, mereka yang pakai baju kuning pula menjadi sasaran. Seolah-olah kerajaan 'fobia' dengan warna kuning yang menjadi lambang gerakan BERSIH!.


Bagi saya, perhimpunan ini hanyalah sekadar suatu manifestasi suara rakyat yang ingin berarak menunujukkan rasa tidak puashati terhadap kerajaan, teutamanya SPR tentang sistem perjalanan pilihanraya dinegara ini. Ianya tidak lebih dari itu. Ianya dianjurkan oleh sebuah NGO yang non-partisan, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. BN juga telah dijemput untuk turut serta, tetapi telah menolak jemputan tersebut dan kini nampak seolah-olah hanya disertai oleh parti-parti politik pembangkang sahaja. Kerana matlamatnya baik kepada semua pihak, ianya sudah tentu mendapat sokongan hebat dari rakyat, terutama parti-parti  pembangkang yang telah lama memperjuangkan isu ini. Matlamatnya tidak lain dari menyatakan rasa tidak puashati rakyat agar dilakukan reformasi segera keatas perjalanan sistem piliharaya dinegara ini yang harus lebih bebas, adil dan telus. Sebanyak 8 perkara dasar di perjuangkan, antaranya reformasi undi pos; pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat jari kekal bagi pengundi,, agihan peluang dan akses kepada media yang lebih bebas dan telus, dan beberapa tuntutan lagi.

Semua tuntutan ini adalah bersifat universal. Ianya bukan sesuatu yang luar-biasa atau bermotifkan politik seperti didakwa oleh kerajaan. Malah banyak negara-negara lain telah melanksanakannya. Jadi apa yang kita takutkan. Kita patut sokong, asal saja semua tuntutan ini memang sesuatu yang fitrah dan patut sangat diadakan dari dulu lagi. Kenapa kita mesti berhempas pulas menentangnya? Kenapa kita mesti desak agar perhimpunan ini dibatalkan kalau ianya adalah demi kebaikan bersama?

Tak perlulah PERKASA melalak tak tentu pasal menentang perhimpunan ini. Begitu juga Pemuda UMNO tak perlu bersilat sakan untuk menyatakan penentangan terhadap gagasan ini. Maha Guru Omar Din juga tidak perlu mengeluarkan ugutan dan ancaman yang berbaur hasutan, kononnya akan ada 'darah mengalir' jika perhimpunan ini diteruskan.

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran matang, berpendirian dan berpengetahuan luas, saya rasa kita patut menyokong gerakan yang dibuat oleh BESIH. Memang menjadi matlamat kita selama ini pun ingin agar piliharaya diMalaysia diadakan dalam keadaan yang telus, bersih dan adil. Bila pilihanraya diadakan dalam keadaan bersih, telus dan adil, pemilihan kepimpinan yang dibuat menerusi pilihanraya itu akan menjadi lebih 'legitimate' dan berintegeriti. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini ada pemimpin yang hanya menang disaat-saat akhir 'melalui saluran undi pos' yang entah dari mana datangnya. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini setiap kali piliharaya diadakan, penyalahgunaa kuasa oleh parti pemerintah mengekspolitasikan jentera dan jabatan-jabatan Kerajaan melobi undi dari rakyat. Hampir semua akses kepada media perdana dibolot oleh parti kerajaan sedangkan parti pembangkang tidak langsung diberi peluang bercakap dan menyampaikan matlamat perjuangan mereka kepada rakyat walau dengan sebaris ayat pun menerusi media perdana yang dibiayai dari wang rakyat.. Ugutan, rasuah dan sogokan menjadi teras dimana-mana pilihanraya. Parti politik pemerintah dengan sewenang-wenangnya menawarkan habuan dan janji manis bagi mendapatkan sokongan dan undi rakyat. Ini belum termasuk bab memperbaikki jalanraya, membersih longkang, membaikpulih bangunan dan mendirikan surau dan kuil yang selalu sibuk nak dibuat waktu nak adakan pilihanraya.....

Rakyat sedang memerhatikan ini semua. Rakyat bukan lagi bodoh dan kurang berpelajaran macam rakyat ditahun-tahuan 50an dan 60an dulu. Rakyat kini terdedah kepada pelbagai maklumat. Rangkaian 'internet' merintasi pelbagai lapisan masyarakat dan kini rakyat lebih  'berilmu' dan sudah boleh menilai apa yang betul dan apa yang salah.

Dengan mempamerkan sikap mengelabah dan ketakutan yang amat sangat seperti itu, pihak kerajaan sebenarnya menunjukkan kepada rakyat bahawa 'kerajaan itu lemah'. Sikap kurang cermat, berfikiran fakir sepeti itu boleh menghilangkan rasa hormat dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apa salahnya kalau BERSIH nak lakukan perhimpunan? Biarkanlah mereka berarak menunjukkan demonstrasi dan rasa tak puashati mereka. Pihak polis hanya perlu jaga ketenteraman dan kawal lalu-lintas. Itu saja.. Bukan lama  sangat pun. Selepas 2 atau 3 jam sebaik-baik sahaja serah memorandum, perhimpunan akan bubar dengan sendiri dan selesailah acara. Habis cerita. Yang dok bersilat sakan tu buat apa?

Dengan cara mengelabah dan ambil tindakan yang bukan-bukan sebegini, rakyat mula berfikir apakah benar pilihanraya selama ini penuh dicemari kekotoran, tidak adil dan tidak telus seperti yang didakwa oleh BERSIH. Rakyat mula menjadi syak wansangka, lebih-lebih lagi dengan tiadanya penjelasan konkrit dari kerajaan dan SPR tentang tuntutan-tuntutan ini? Adakah kerajaan selama ini menjalankan pilihanraya dengan "ada udang disebalik batu"? Adakah tindakan kerajaan bermati-matian menentang perhimpunan ini bermotifkan untuk 'menyembunyikan' sesuatu dari pengetahuan rakyat selama ini? Apakah kuasa yang diperolehi dari rakyat selama ini tidak 'legitimate' dan diperolehi 'menerusi pintu belakang?'

Alasan kerajaan yang perhimpunan bakal mengundang padah dan kerosakan ekonomi negara tidak lagi boleh diterima. Begitu juga alasan keselamatan. BERSIH 1.0 tahun 2007 dulu tidak ada pulak apa-apa kerosakan atau pergaduhan yang tercetus. Perarakan selesai dalam keadaan aman dan lancar. Jadi apa yang ditakutkan sangat? Ketakutan yang melanda kerajaan berkaitan isu perhimpunan ini sebenarnya menyakinkan kita tentang banyak sangat 'kotoran' yang sedang berlaku setiapkali pilihanraya diadakan. Rakyat merasai bahawa dipihak kerajaan kalau boleh 'kekotoran; ini mahu dikekalkan demi kesinambungan kuasa politik mereka. 

Seperti kata pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana bersalah".  Kalau kita takut kita akan nampak sangat macam orang bersalah, dan akan cepat mengelabah. Fikir-fikirkan lah............

Wednesday, 22 June 2011

Memori Zaman Sekolah, Sepantas Masa Yang Berlalu................

                  

Sesekali berpeluang bertemu semula rakan-rakan lama dibangku sekolah dulu, hati bagai terusik mengingati pelbagai nostalgia lama. Dikotak fikiran bagai tertayang skrin gergasi yang memutar kembali kisah-kisah pahit manis, suka-duka ketika bersama dialam persekolahan; sama-sama meredah ranjau dan duri, sama-sama merasa pahit maung mengejar cita-cita; sama-sama berlari dan bekejaran dipadang dan sama-sama berdiri diatas meja setelah didenda guru kelas. Dunia terasa bagai dihias indah dengan ragam tersendiri waktu itu.  Kini setelah hampir 40 tahun belalu, tanpa pernah bersua muka, atau pernah berselisih dipersimpangan kehidupan setelah masing-masing membawa haluan sendiri, tiba-tiba kelibas wajah-wajah lama itu muncul semula. Tapi sayangnya, mereka itu bukan lagi wajah-wajah ceria anak remaja yang ditinggalkan dulu. Telah hilang entah kemana wajah-wajah ceria anak remaja yang pernah kita dampingi dulu. Mereka kini adalah insan-insan dewasa yang telah jauh berubah mengikut peredaran masa. Dihadapan kita kini adalah insan-insan dewasa yang telah matang seusia kita, dan penuh pengalaman setelah diuji pelbagai badai kehidupan. Rata-rata mereka adalah manusia yang telah mencapai pelbagai tahap kejayaan dalam kehidupan masing-masing. Mereka kini adalah orang-orang penting yang mengepalai kelompok atau unit dalam masyarakat mereka yang tersendiri.

Jadi, sedarlah kita sebenarnya masa begitu pantas berlalu tanpa kita sedari. Walau sepantas mana pun kita turut berlari mengejar masa yang belalu, namun tidak akan terkejar masa-masa silam yang telah berlalu dan kini terlipat indah dalam album kenangan.

Imaginasi sering rasa bagai tertipu setiapkali bertemu mereka. Walaupun difikiran kita masih terbayang wajah rakan-rakan yang sama sepertimana kita tinggalkan 40 tahun dulu. Sebenarnya, itu hanya impian dan khayalan kita semata. Wajah rakan-rakan, seperti juga kita, sudah jauh berubah, dan tidak lagi rakan-rakan seperti yang kita kenal dulu. Tiada lagi tawa riang anak-anak sekolah seperti dulu. Mereka sudah menjelma menjadi orang-orang dewasa yang mempunyai keperibadian dan riakmuka tersendiri dan bukan lagi suara riang sukaduka anak-anak sekolah seperti dulu.

Kita sebenarnya sedang menghadapi realiti kehidupan dan bukan lagi igauan fantasi masa silam. Walau sejauh mana sekali pun perjalanan kehidupan yang kita lalui, hakikatnya kita akan pulang kesatu jalan yang telah ditetapkan, iaitu jalan meniti batas-batas hari tua yang menuju kesudut senja.....Tidak ada perjuangan yang tidak ada noktahnya, dan tidak ada pelayaran yang tidak berakhir dihujung pelabuhannya.

Oleh itu amatlah elok kalau ketika kita menghampiri kehujung senja penghidupan ini, kita mengambil kesempatan ini bertemu semula insan-insan lama yang pernah kita dampingi suatu ketika dulu; pernah bermain, pernah belajar dan pernah bersendaloka bersama disuatu ketika dulu. Sekurang-kurangnya kita dapat duduk berbual dan bercerita tentang pengalaman masing-masing ketika dalam 'pelayaran'; bercerita tentang ombak. tentang badai yang pernah kita tempuhi, serta tentang istana ratu dan gunung mutiara yang pernah kita temui ketika dalam 'pelayaran' dulu.  Kita akan bercerita tentang berapa ramai rakan karib kita yang telah 'karam' ketika dalam pelayaran itu. Tentang berapa ramai juga yang telah 'tenggelam' dipukul ombak badai dan tidak lagi dapat bersama kita dihari ini. Sekurang-kurangnya secangkir doa dan sekalung Al-Fatihah dapat kita sumbangkan untuk mereka.

 Demikianlah tentang hakikat kehidupan. Ada baiknya peluang yang secebis ini kita gunakan sebaik mungkin bersama dengan mereka yang pernah bersama kita suatu ketika dulu. Bukan untuk bercerita dan mendabik diri dengan pencapaian masing-masing, atau mencanang kemegahan diri untuk tontonan orang lain. Tetapi untuk muhasabah diri dan mengirat silaturrahim sesama kita agar perjalanan seterusnya meniti sisa-sisa hidup dihujung senja ini akan menjadi lebih bermakna.........

Friday, 10 June 2011

ANAK MUDA DAN POLITIK.........................


Jika ditinjau pendapat, rata-rata anak muda hari ini kurang berminat dalam politik. Bagi mereka politik adalah suatu 'taboo' (pantang) dan langsung tidak berminat hendak ambil tahu, apa lagi untuk memperkatakan mengenainya. Jesteru itu, kita lihat hari ini masih ramai gulongan muda yang telah melepasi umur 21 tahun, tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih (pengundi). Tidak kurang juga ramai yang bukan sahaja langsung tidak mahu ambil tahu, tapi menganggap politik adalah suatu dunia asing bagi mereka. Politik hanya untuk orang tua-tua dan orang yang minat dengan politik sahaja, dan tidak ada kena mengena dengan kehidupan harian mereka.

Cuba kita tinjau kelaman-laman Facebook, misalnya. Amat jarang kita temui anak muda yang mahu menulis sesuatu tentang politik dalam 'status' mereka. Kalau ada yang menulis pun, tidak ramai yang mahu beri komen. Kalau ada yang beri komen pun ramai yang cuba 'play-safe', dan tidak mahu menunjukkan 'kecenderongan' mereka. Apakah mereka takut pendapat mereka didengar orang lain? Atau adakah mereka takut pendapat mereka disanggah oleh pihak lain. Ternyata amat sedikit keberanian dan keyakinan diri untuk memperkatakan sesuatu berkaitan politik semasa.

Realitinya, mereka lebih selesa bercakap tentang dunia mereka sahaja tanpa menyedari yang politik juga sebenarnya adalah sebahagian dari dunia mereka. Mereka lebih selesa bercakap tentang dunia hiburan, misalnya. Siapa yang akan tersingkir dalam Akedemi Fantasia. Siapa yang bakal menang dalam Maharaja Lawak. Siapa yang bakal dinobatkan sebagai Imam Muda dalam siri popular tv. Dalam bidang sukan pula, mereka lebih selesa berbicara tentang keputusan Liga Perdana musim ini. Siapa yang akan menjadi juara. Pasukan mana yang akan mengungguli Liga Inggeris. Bolehkah Manchester United mengalahkan Chelsea?

Apabila saya bercakap mengenai anak muda, saya bermaksud mereka yang berusia diantara 21 hingga 40 tahun, dan telah cukup syarat bagi mendaftarkan diri sebagai pengundi. Apabila ditanya kenapa tidak mendaftar sebagai pengundi, ramai yang menjawab :"Saya tak minat dengan politik...."." Politik itu kotor...."." Politik itu lain tak ada asyik nak hentam orang itu, hentam orang ini; nak jatuhkan orang itu dan jatuhkan orang ini....". Itu persepsi sebahagian anak muda.

Sebenarnya politik ialah asam garam kehidupan kita. Politik adalah sebahagian dari kehidupan anak muda itu sendiri. Parti mana yang memerintah?  Bagaimana cara negara sedang diperintah? Apakah isu terkini yang dihadapi oleh rakyat? Gembirakah rakyat dengan keadaan sekarang? Atau adakah rakyat inginkan perubahan? Parti manakah yang menjadi pembangkang? Apakah pembangkang boleh diberi peluang dan berkeupayaan memerintah? Semuanya ini seolah-olah tidak penting bagi mereka.

Sebenarnya tanpa mereka sedari, politik juga mencakupi soal kehidupan harian mereka juga. Sepertimana mereka makan nasi setiap hari. Walaupun tidak suka nasi, tetapi mereka kena juga makan nasi, kerana itu adalah makanan asasi mereka. Kecualilah mereka tidak mahu lagi jadi orang Malaysia dan ingin pula jadi orang putih dengan makan kentang! Kata mereka juga politik itu kotor! Tapi bukan salah politik. Itu salah ahli politik. Ahli politik dan orang-orang politik yang mengotorkan politik. Sedangkan politik itu sendiri adalah bersih dan suci.

Saya juga sering disoal kenapa asyik-asyik tulis pasal politik dalam blog? Tak ada topik lain ke? Itu pandangan mereka. Tapi saya menulis kerana mengemari politik. Saya tidak mahu bersifat pemerhati bisu dalam politik. Apa orang angguk saya pun kena angguk. Saya juga ingin memberikan pandangan dan tanggapan saya sendiri dalam politik. Sama ada orang suka atau tidak suka dengan pandangan saya, itu soal kedua.


Bagi saya, anak muda hari ini harus belajar untuk menjadi dewasa. Bukan saja menjadi dewasa melalui perubahan fizikal dan tubuh badan, tetapi juga dewasa dari segi mental dan cara berfikir. Sebagai seorang warganegara yang nomal dan dianugerahi pula oleh Allah dengan kesihatan mental yang normal, kita harus berupaya menganalisa dan membuat rumusan berkaitan kedaan politik disekeliling kita. Sebagai penganut agama Islam, kita juga faham bahawa agama adalah 'add-din' (way-of-life). Agama itu mencakupi keseluruh ruang kehidupan. Dalam keseluruhan ruang kehidupan itu termasuklah politik Ianya menggambarkan suatu cara kehidupan kita. Kita berpolitik untuk menentukan cara kehidupan kita sendiri. Kita tentu ingat dalam solat lima waktu setiap hari kita sering membaca doa iftitah diawal solat, dimana salah satu ayatnya berbunyi : " Inna solah ti wanusuki wamah ya yawamama.........(sehingga habis), yang bermaksud :"Sesungguhnaya solatku, ibadahku, hidupku dan mati ku hanyalah untuk jalanMu...." Itu suatu pengakuan yang kita buat 5 kali sehari dihadapan Allah. Kehidupan kita mencakupi hal-hal dunia dan termasuk politik. Oleh itu janganlah kita berfikiran seperti sekular yang mengatakan agama lain dan politik itu lain.

Bila disebut pasal politik, bukanlah bermakna semua orang kena setuju dengan Kerajaan BN yang ada. Atau mesti sokong pembangkang atau PR. Pergunakanlah akal fikiran yang diberi Allah, untuk muhasabah dan analisa sendiri. Kita ada pelajaran. Tak kiralah setakad mana sekalipun pencapaian pelajaran kita, pergunakanlah ketajaman fikiran kita untuk menganalisis situasi disekliling kita. Orang yang bijaksana harus memilikki 'analytical thinking' dan bersifat kritis dalam sesuatu isu agar kita mendapat panduarah yang betul dalam perjalanan hidup kita.

Tak salah kalau kita menyokong parti pemerintah, kalau kita yakin betul yang parti pemerintah sedang memberikan layanan dan perkhidmatan yang baik kepada kita selaku rakyat dan pengundi yang memilih, dan kita yakin dengan kemampuannya. Juga, tidak salah kalau kita memilih parti pembangkang untuk diberi sokongan dan diundi dalam piliharaya. Itu hak kita yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Ini kan negara demokrasi. Apa yang penting ialah keupayaan kita membuat analisa dan mengambil keputusan sendiri.

Jesteru itu anak muda tidak harus bimbang untuk bersuara. Bersuara dan berpesan-pesanlah atas perkara kebaikan, insya Allah kita akan mendapat berkat dan ganjaran dariNya.............Amin!

Tuesday, 7 June 2011

Barisan kepimpinan PAS .....UMNO tak lena tidur.......


Ramai yang terkejut sakan. Saya juga tidak terkecuali, dengan perubahan terbaru barisan kepimpinan PAS yang diumumkan sebaik sahaja selesai muktamar parti itu baru-baru ini. Apa lagi dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang rasa begitu tertekan sekali. Malah sudah ada yang mula rasa mual, dan pening-pening lalat dengan perubahan barisan kepimpinan baru itu. Ada yang menganggap barisan kepimpinan baru ini sebagai memaparkan hasrat dan realiti PAS yang ingin memfokuskan PRU13 sebagai agenda utama mereka. Malah rata-rata dikalangan UMNO mengandaikan bahawa PAS telah 'terkeluar' dari kepompong 'ulama' dan 'negara islam'nya, dan kini ingin bersaing rapat dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi mengembeling tenaga, terutama dari kalangan jenerasi muda dan non-ulama, untuk memperjuangkan keadilan untuk rakya dalam membasmi rasuah, kronisma, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa. Rasa-rasanya ini adalah barisan terbaik PAS dapat sediakan dengan matlamat mengembeling hasrat merampas Puterajaya dalam PRU13 yang akan datang.

Rasa gusar UMNO kian bertambah dengan komen Dato Seri Nik Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang menyifatkan barisan kepimpinan PAS kali ini telah "menunjukkan dengan lebih jelas jalan ke Puterajaya!". Selepas itu ramai pemimpin UMNO yang memberi komen, terutama Dato Seri Nazeri Aziz yang mengandaikan Presiden PAS sebagai sudah berangan mengambilalih kepimpinan PR dan menjadi PM sekiranya PR berjaya memacu ke Puterajaya. Paling akhir, sekali Dato Seri Najib sendiri yang memberi komen dari Karzakstan, bahawa PAS telah 'meninggalkan perjuangan negara islamnya' dan kini sedang mengorak langkah mengujudkan negara kebajikan, sesuatu yang kononnya telah lama dipelopori oleh UMNO sendiri.

Apa pun persepsi yang dibuat, ternyata barisan kepimpinan baru ini lebih segar dan bertenaga apabila dibarisi ramai pemimpin-pemimpin muda dan tenaga profesional yang sudah terbukti berwibawa. Siapa tidak kenal dengan ketokohan kepimpinan muda seperti Sallehudin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar yang kini kekal membarisi saf kepimpinan sebagai Naib Presiden, Mereka ini telah terbukti sebagai 'panglima-panglima perang' PAS yang begitu cekal dan gigih memperjuangkan kebangkitan dan keresahan rakyat. Tidak kurang juga pejuang-pejuang lama seperti Hatta Ramli dan muka baru Mazlan Aliman yang merupakan pejuang dari jenerasi anak-anak Felda. Namun, kejutan yang paling ketara sekali ialah apabila 'ayam tambatan' PAS, Mat Sabu kini berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi menggantikan Nasaruddin Mat Isa yang mendudukki tempat tersebut pada musim yang lalu.

Inilah sebenarnya barisan kepimpinan yang paling di 'geruni' oleh UMNO, terutama pemimpin-pemimpin atasan dan membuatkan mereka ini sudah merasa 'bimbang' dan 'tidur tak lena'. Rasa gusar dan kebimbangan ini jelas kelihatan dari pelbagai reaksi pemimpin UMNO yang rata-rata 'meluahkan' rasa 'terkilan' dengan sikap PAS yang kononnya sudah mula mengubah corak perjuangan. Kalau dulu mereka begitu sinonim dengan corak perjuangan PAS yang meletakkan hasrat mendirikan negara Islam sebagai matlamat perjuangan, tetapi kini dengan barisan kepimpinan baru hasrat itu sudah mula menjadi kabur. Malah PAS sudah terang-terangan menyatakan pendirian mereka untuk melahirkan sebuah negara yang berkebajikan dan bebas dari penindasan kezaliman, rasuah dan salahguna kuasa. Ketokohan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden dilihat boleh mengugat UMNO dan memberi saingan sengit kepada perjuangan parti itu.. Keupayaan dan kejaguhannya berada dibarisan hadapan dalam isu-isu utama rakyat terutama dalam gerakan BERSIH contohnya, masih segar dingatan kita. Kita berharap dengan posisi beliau sebagai Timbalan Presiden, beliau bersama 'team'nya akan lebih berupaya memacu PAS kearah pejuangan yang lebih hebat, mantap dan berkesan demi untuk kesejahteraan rakyat.

Ada orang mengingatkan saya,"Kan Mat Sabu tu pernah ditangkap khalwat di Kota Bharu suatu ketika dulu?" Dia kononnya dilepaskan oleh Kerajaan PAS selepas dibicara di Mahkamah? Mereka manyatakan ini adalah sikap "double standard" Kerajaan Kelantan pimpinan PAS, yang membolehkan apa yang diharamkan dalam Islam. Jawapan saya senang saja. Sejak bila pula Kerajaan negeri diberi kuasa menentukan perjalanan Mahkamah hingga boleh melepaskan Mat Sabu? Setahu saya Mat Sabu pernah didakwa dan dilepaskan apabila tidak cukup bukti untuk mensabitkannya dengan kesalahan tersebut. Tapi, bagaimana pula kes pemimpin yang ditangkap khalwat di Port Dickson? Pemimpin yang 'raba bontot' pelayan bar disalah sebuah bar di Brickfield?. Pemimpin yang didakwa merogol amah? Langsung tak dibawa ke Mahkamah. Terus saja di 'cover-up'. Ini kan lebih teruk dari 'double standard? Begitu juga kes bunuh model Mongolia di Puncak Alam?. Walaupun dibicara di Mahkamah, sipelaku yang memberi arahan untuk membunuh dalam kes itu langsung tak disentuh oleh Mahkamah.  Di beri jawatan istimewa dalam kerajaan pulak tu

Jadi, tak usahlah kita nak meracau tak tentu pasal mengenai kesalahan orang. Kita dianugerahkan daya-fikir dan minda yang sihat oleh Allah s.w.t, maka pergunalah minda itu untuk berfikir dengan rasional dan matang. Jangan terikut-ikut dengan pendapat orang lain.  Perjuangan untuk memartabatkan Melayu dan agama pun ada had dan sempadannya. Cukup-cukuplah tu...................