Thursday 13 February 2014

ASAL NAMA LABU BESAR........

LABU BESAR ialah nama sebuah pekan kecil (ala pekan "cowboy") terletak dalam Mukim Bagan Sena,
Pekan Labu Besar
didaerah Kulim, Kedah. Pekan ini mempunyai penduduk anggaran 5000 orang termasuk yang menghuni kampong-kampong dan kawasan perumahan sekitarnya. Ianya terdiri dari dua bahagian: pekan : iaitu pekan lama disebelah atas bukit menghala Ladang Bukit Sedim berdekatan pondok Polis dan pekan ini sudah menjadi pekan "mati", dan pekan baru yang letaknya dibahagian bawah dimana terdapat ramai penduduk dan aktiviti perniagaan. LABU BESAR disempadani oleh Ladang Bukit Sedim (disebelah barat); Kpg Bagan Sena & Kpg Jubai (disebelah utara), Kpg Padang Ah Tau (Bukit Chempedak)( disebelah timur) dan Kpg Padang Bola, Kpg Padang Ubi dan Kpg Bikan (disebelah selatan). Pekan kecil ini juga dihubungi oleh rakaian jalanraya negeri (K166) yang cantik dari bandar Kulim yang melalui pekan ini hingga kepekan Malau di daerah Baling. Ianya juga mudah dihubungi melalui Lebuhraya Baling-Kulim Expressway (BKE) (67) yang mempunyai jalan susur keluar/masuk dan merupakan salah satu pintu utama kekawasan ini.

Pada asalnya kawasan ini percayai telah diterokai oleh sekumpulan orang-orang Melayu keturunan Pattani dari daerah Merbau Pulas dan Kuala Ketil sekitar penghujung abad ke18 dan awal abad ke19 Kemudiannya sekumpulan peniaga-peniaga Cina juga datang untuk berniaga dan mencari bijih timah pada awal 1800an. Satu-satunya jalan masuk kekawasan ini pada waktu itu ialah melalui sungai Sedim yang mengalir tidak jauh dari pekan ini . Dipercayai pada waktu itu terdapat suatu alor atau anak sungai yang menghubungi Sungai Sedim kekawasan pekan Labu Besar. Kawasan berpaya yang masih terdapat ditepi jalan ditengah pekan sekarang ini menyediakan alor yang agak dalam dan berupaya menampong kemasukkan jong serta perahu-perahu kecil dari para peneroka dan peniaga kekawasan ini. Mereka akan berlabuh ditebing-tebing untuk aktiviti perniagaan dan dalam sekelip mata kawasan ini tumbuh dan pesat membangun. Nama asal LABU BESAR sebenarnya adalah dari perkataan LABUH BESAR bermakna pelabuhan atau tempat persinggahan bot atau tambatan. Orang-orang Cina agak sukar menyebut LABUH BESAR, dan akhirnya LABUH bertukar mejadi LABU dan kekallah LABU BESAR sehingga sekarang.

Kawasan alor ini sekarang sudah tidak ujud lagi disebabkan terkambus akibat hakisan dan aktiviti pertanian khususnya tanaman getah dan bersawah padi. Bagaimana pun bagi jenerasi lama yang masih ingat, suatu ketika dulu terdapat sebuah kawasan paya dan tasik ditepi jalan utama berhampiran dewan orang ramai yang dipenuhi teratai dan dalam airnya. Tasik ini adalah sebahagian dari alor dan anak sungai tersebut yang sudah berubah alirannya.


Penduduk-penduduk Melayu Pattani ini banyak mendirikan penempatan di kawasan Bagan Sena, Bukit Chempedak dan sehingga Padang Ubi dan Padang Patong. Aktiviti utama ialah bercucuk tanam dan bersawah padi, manakala orang-orang China mendirikan penempatan sekitar pekan Labu Besar. Mereka meneroka tanah baru hingga ke Padang Ubi, Kpg. Bikan dan Bukit Hangus dan mengusahakan tanaman ubi kayu sebagai tanaman utama disamping jagung dan tanaman2 lain. Masyarakat Cina ini kian berkembang dengan pesatnya sehingga timbul keperluan mengujudkan sebuah sekolah Cina di pekan Labu Besar. Sebuah kilang bagi memperoses ubi-kayu juga didirikan disuatu kawasan tidak jauh dari sekolah tersebut.


Sewaktu zaman pendudukan Jepun (1940 - 1945), pemerintah Jepun telah meletakan satu ketombokan tentera dan markasnya di sekolah Cina, Labu Besar bagi menjalankan pentadbirannya. Ramai pemimpin dan penduduk Cina ditangkap dan ditahan dan kemudiannya hilang begitu saja. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, aktiviti "bintang tiga" pula mengambil alih. Penempatan-penempatan Cina ini disyakki telah memainkan peranan besar membantu pihak "bintang tiga" dengan gerakan ideoloji komunis, dan memulakan gerakan gerila menentang kerajaan British waktu itu. Akhirnya, dharurat diisytiharkan pada tahun 1948. Kerajaan British menjalankan langkah  memindah dan memusatkan semula penempatan orang-orang Cina yang berselerak dimerata tempat kesuatu tempat khusus yang dipagar dan dikawal iaitu dikawasan dipekan Labu Besar (pekan lama sekarang ini). Selepas era ini tiada lagi penempatan orang-orang Cina dikawasan-kawasan luar pekan kecuali dikawasan pekan Labu Besar.

Selepas merdeka, kawasan ini turut membangun dengan pesat. Pekan kecil ini juga turut berkembang terutama dibahagian bawah (pekan baru) dimana rumah-rumah kedai baru didirikan seiring penempatan-penempatan baru seperti kawasan perumahan KEDA bagi penduduk sekitarnya. Pekan lama dibahagian atas tinggal sepi sekarang ini dan sudah menjadi "pekan mati".