Monday 30 May 2011

P.Ramlee - Hilangnya tiada pengganti................


" Dimanakan ku cari ganti, serupa denganmu,
  Tak sanggupku berpisah dan berhati patah,
  Hidup gelisah..........."

Demikian antara bait-bait lagu "Dimanakan ku cari ganti ' hasil ciptaan dan nyanyian Allahyarham P. Ramlee, serta lirik oleh S. Sudarmaji, yang dipetik dari filem Ibu Mertuaku terbitan tahun 1960
 
Semalam 29 Mei 2011, adalah ulangtahun kembalinya kerahmatullah seniman agung kita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei, 1973. Entah kenapa setiap kali tiba tarikh itu saban tahun,  hati bagai berdetik sayu dan dikotak fikiran akan berputar kembali kenangan mengimbau filem-filem lama lakonan dan arahan Allahyarham. Kebetulan sewaktu era filem-filem ini berada dipawagam, saya masih dalam usia belasan tahun, dan sentiasa meminati dan mengikuti perkembanagn filem-filem Allahyarham. Nostalgia tentang masa silam akan tambah terasa sesekali apabila melihat filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham masih diputarkan di kaca tv serta lagu-lagu beliau juga masih berkumandang diradio-radio, khususnya stesyen Klasik Nasional. Walaupun sudah hampir 37 tahun meninggalkan kita, namun khazanah seni peninggalan Allahyarham kepada kita, teutama filem-filem arahan dan lakonan beliau masih sering dimainkan di tv, serta lagu-lagu beliau masih terasa dekat dihati kita. Ternyata pemergian seniman agung ini amat sukar dicari ganti. Sehingga kini kita masih belum melihat kelibat seorang pun anak seni yang dapat menyamai ketokohan dan kehebatan beliau terutama dari segi kaliber dan daya kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu dan meningkatkan mertabat industri filem tanahair.

Saya tidak bercadang memutar kembali sejarah dan latar-belakang kehidupan beliau sepanjang menjadi anak seni yang ada pasang surutnya. Ada manis dan pahitnya, dan ada suka-dukanya. Namun disepanjang hampir 30 tahun penglibatan beliau dalam industri filem tanahair, beliau telah berjaya memertabatkan industri filem Melayu dan telah meletakkan filem Melayu sebaris dengan filem-filem agung dari negara-negara lain diperingkat antarabangsa.

Hati masih teringat dan tercuit rasa dengan filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham seperti Anakku Sazali, Hang Tuah, Sumpah Orang Minyak, Musang Berjanggut, Nujum Pak Belalang, Madu Tiga, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Labu Labi,  Do Re Mi, Masam-Masam Manis dan banyak lagi. Lagu-lagu ciptaan, gubahan dan nyanyian beliau yang evergreen sehingga kehari ini seperti Engkau Laksana Bulan, Azizah, Berkorban Apa Saja, Itulah Sayang, Gelora, Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku, Dengar Ini Cerita, Puteri Bunian, Jeritan Batinku serta banyak lagi sering memukau kita. Anak-anak kecil sehingga kehari ini turut meminati filem-filem lakonan beliau dan dapat menghafal bait-bait lagu serta dailog dailog filem beliau, walaupun ketika filem itu diputar dipawagam-pawagam mereka masih belum lahir kedunia lagi.

Begitulah hebatnya sentuhan seni serta kesan dari karya-karya beliau. Tidak hairanlah semasa hayatnya, filem-filem arahan dan lakonanm beliau telah beberapa kali memenangi award di Pesta Filem Asia (Asian Film Festival) dan mendapat pengiktirafan diperingkat antarabangsa. Filem-filem lakonan beliau seperti Hang Tuah dan Anakku Sazali dikhabarkan pernah ditayangkan hingga ke Kaherah dan London.

Sebagai anak muda yang serba sederhana, beliau tidak berpendidikan tinggi, dan hanya belajar beberapa tahun di Penang Free School sehinggalah pelajarannya terhenti akibat meletusnya Perang Dunia Kedua dalam tahun 1941. Bermula dengan bakat seni yang digilap secara kecil-kecilan dengan menganggotai beberapa pencaragam (band) dikampongnya di Pulau Pinang, beliau telah berjaya dikesan oleh seorang 'talent scout' dari syarikat filem Shaw Brothers sewaktu membuat persembahan pentas di Bukit Mertajam sekitar tahun 1948. Bermula dari situ, beliau telah diundang menjalani ujian bakat di Singapura dan seterusnya diterima berlakun dalam filem pertamanya 'Chinta' terbitan tahun 1948. Dari situlah bakatnya berkembang, dan semenjak itu beliau tidak menoleh kebelakang lagi dan terus menapak dan menempa nama sebagai pelakun, pengarah, penyanyi, pemuzik dan pengubah lagu sehingga ke zaman kegemilangannya diawal tahun 60an. Selepas penghijrahannya ke Kuala Lumpur pada tahun 1964, filem-filem arahannya kurang dapat bertahan dan bermulalah zaman kemerosotannya sehingga beliau menghembus nafas terakhir pada tahun 1973 dalam situasi yang amat menyayatkan.

Apa yang ingin saya sentuh disini ialah pandangan luas serta mesej yang diselitkan dalam setiap filem-filemnya, menjadikan kita hari ini terpukau dengan kebolihan dan kehebatan beliau dalam berkarya. Sebagai seorang yang tidak berpendidikan tinggi, kita sebenarnya kagum dengan kehebatan beliau menyelitkan mesej-mesej murni dan sejagat dalam karya-karya beliau. Adalah tepat sekali tanggapan banyak pihak bahawa manusia P.Ramlee ini sangat istimewa, mempunyai bakat besar, mempunyai visi tinggi dan ahli pemikir masyarakat yang mendahului zamannya... Bukannya calang-calang manusia yang ketika dikelilingi oleh pelbagai cabaran seperti kurangnya peralatan dan kepakaran dalam bidang yang diceburinya, telah dapat menghasilkan katya-karya besar berbentuk filem. Antaranya, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Madu Tiga, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Sumpak Orang Minyak, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab, Masam Masam Manis dan banyak lagi. Apa lagi apabila karya-karya tersebut diterima diperingkat antarabangsa.

Bagi saya, disamping melihat bakat anugerah Allah kepadanya, saya lebih gemar melihat filem-filem P. Ramlee ini dari sudut mesej yang bersifat universal values disampaikan dengan gaya bersahaja dalam filem-filemnya. Siapa yang tidak akan ketawa melihat telatah lucu bersahaja 3 bujang terlajak dalam siri Bujang Lapuk. Walaupun secara bersahaja dan membuat orang ketawa tak kering gusi, beliau juga membawa mesej masyarakat menerusi filem-filem tersebut. Mesej penindasan orang kaya terhadap gulongan miskin; kepincangan masyarakat dan keruntuhan akhlak anak muda misalnya dalam Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok. Mesej mengagung-agungkan darah keturunan dalam Antara Dua Darjat. Mesej tamak haloba dan perebutan harta sesama keluarga dalam Tiga Abdul; perselisihan faham antara menantu dan mertua disebabkan darjat keturunan dalam filem Ibu NMertuaku; serta permusuhan sesama manusia yang mementingkan rupa paras serta merasa jijik terhadap rupa paras yang huduh dalam Sumpah Orang Minyak.

Saya masih teringat suatu babak beliau dalam filem Anak Bapak (tahun 1968) dimana beliau berlakon sebagai anak kepada seorang tuan punya ladang yang kaya (lakonan Allahyarham AR Tompel) sedang meronda dalam kawasan ladang bersama pembantunya. Mereka terserempak seorang pekerja ladang yang sedang sakit dan berbaring ditempat keja . Beliau lantas bertanya kenapa sakit dan masih datang bekerja. Pekerja tua itu menjawab "Saya gaji hari, tuan. Kalau tak kerja apa keluarga saya nak makan." Beliau lantas menyeluk sakunya dan menghulur wang, serta menyuruh pekerja itu balik mendapatkan rawatan. Beliau juga mengarahkan mandor ladang supaya sepanjang cuti-sakit yang dimbil nanti, gaji pekerja itu hendaklah dibayar.....". Tersentak saya. Begitu cantik dan murni falsafah kehidupan yang digarap dalam karyanya yang sukar didapati dialam nyata.

Dalam suatu babak filem Antara Dua Darjat pula, beliau menggambarkan perselisihan pendapat  mengenai darjat dan keturunan, antara Tengku Mukri (lakonan Allahyarham S. Kadarisman) dengan Tengku Aziz (lakonan Allahyarham Yusof Latif). Saya teringat dialog Tengku Aziz ketika berdepan dengan Tengku Mukri yang amat mementingkat darah dan keturunannyai seperti berikut : " Tengku, hanya gelaran dan pangkat keturunan. Apa ada pada gelaran. Engku. Kan sebagai manusia darah kita sama saja.........."

Dalam filem Ibu Mertuaku pula, dialog yang dituturkan oleh Mak Dara yang melakonkan watak sebagai Nyonya Mansur, seorang wanita hartawan yang ingin tahu siapa bakal menantunya, amat berkesan dihati kita. "Siapa itu Kassim Selamat?....... Lawyer? Majistrate?..", dan apabila diberitahu yang Kassim Selamat itu ahli muzik "Pantang datuk nenek aku ahli muzik....." menggambarkan pandangan serong masyarakat terhadap ahli muzik.

Begitulah hebatnya manusia agung yang bernama P. Ramlee. Begitu besar jiwa dan falsafah yang ditunjuk dalam karya-karya seninya. Sebagai orang Melayu kita turut merasa bangga kerana ada anak Melayu yang mempunyai kehebatan seperti ini dan kehilangannya sehingga kini masih tiada pengganti........

Benarlah seperti kata pepatah Melayu : "Manusia mati meninggalkan nama" P. Ramlee pergi meninggalkan kita dengan suatu nama yang besar, yang ditinggalkan bersama hasil karyanya yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.....

Amin...dan Al-Fatihah untuknya...........

Monday 23 May 2011

Undang-Undang Sadiq Sigaraga.........


Saya tertarik dengan tulisan disebuah blog yang menyamakan undang-undang negara sekarang ini sama seperti 'undang-undang Sadiq Sigaraga'. Rasa gelihati jugak bila undang-undang negara kita yang sepatutnya berdaulat dan dihormati disamakan dengan undang-undang lucu dalam filem lawak TIGA ABDUL, arahan Allahyarham P. Ramlee sekitar tahun 1964 dulu. Apa tidaknya undang-undang yang boleh dimanupulasi ikut suka hati sendiri. Konsepnya: "Kalau akau buat tak salah, tapi kalau kamu buat, kamu akan didapati bersalah dan dihukum....".

Cuba kita renung kembali babak berikut yang terdapat dalam filem TIGA ABDUL :

"Sadiq Sigaraga, seorang hartawan yang kaya raya, serta kaki penipu dan putar belit dalam cerita itu sedang menemuramah Abdul Wahub, salah seorang anak bekas rakan karibnya Ismet Ulamraja, dengan tujuan untuk menipu dan merampas harta-harta peninggalan Ismet ::


Sadiq Sigaraga : Anakanda boleh memperisterikan anak hamba Qasidah, tetapi dengan satu syarat.
                           Anakanda tidak boleh marah. Kalau anakanda marah, 
                           anakanda akan dijual dan harta anakanda seluruhnya akan dirampas.


Abdul Wahub :  Bagaimana pula kalau ayahanda yang marah?

Sadiq Sigaraga : Oh......Kalau ayahanda marah, tak ada apa-apa....hehehe (ketawa)

Abdul Wahub : Itu namanya perjanjian berat sebelah.
                        (Sambil mengeluarkan dokumen dari poket kotnya) Anakanda juga ada membawa   
                        surat perjanjian. Dalam surat ini ada dinyatakan sekiranya anakanda marah, 
                        anakanda akan dijual dan harta benda akan diampas. Begitu jugak kalau ayahanda 
                        marah, ayahanda juga akan dijual dan seluruh harta benda akan dirampas. 
                        Ayahanda setuju?.


Sadiq Sigaraga : (Sambil membelek surat perjanjian yang dihulurkan) Bagi ayahanda lima minit.......! "

Situasi begini sedang berlaku sekarang dalam kontek politik negara. Pihak-pihak yang memerintah, khususnya UMNO/BN sedang memanupulasi undang-undang negara mengikut cita-rasa dan kepentingan sendiri. Kesalahan yang cukup jelas dibawah undang-undang negara (Kanun Acara Jenayah) seperti merompak, mencuri, merogol dan membunuh tuidak dianggap kesalahan jika dilakukan oleh  juak-juak UMNO/BN, dan diberi perlindungan lagi. Begitu juga menerbit, memapar, dan mengedar akhbar yang mengandungi isu-isu sensitif berkaitan agama juga  dianggap 'normal' dan tiada sebarang kesalahan jika dilakukan oleh juak-juak ini. Paling terkini ialah kesalahan menerbit, mengedar dan menayang video lucah sudah boleh dibiarkan berleluasa berlaku tanpa sebarang tindakan. Tapi, kalaulah mereka ini dipihak pembangkang, secepat kilat pihak penguiatkuasa akan bertindak dan sepantas kilat  pula mereka ini akan dihukum.


Inilah keadaan politik negara hari ini yang nampaknya sudah semacam gawat dan bercelaru. Sudah jadi carca-marba, hingga rakyat bertambanh bingung dan menyampah. Seperti kata orang-orang utara : "Dah naik meluat dan cemuih nak dengaq......"

Rakyat yang menjadi mangsa keadaan seperti ini. Tidak tahu lagi mana yang betul mana yang salah. Undang-undang sudah boleh ditolak ketepi. Dalam kerakusan mengejar dan mempertahan kuasa, apa saja boleh dibuat. oleh pihak yang memerintah Yang dulunya dianggap salah disisi undang-undang, kini dianggap tidak salah lagi. Yang dulunya dianggap isu sensitif kini tidak sensitif lagi. Apa yang lebih menghairankan yang dulunya dianggap lucah, kini tidak lucah lagi...... Tapi, awas pembangkang jangan ikut sama. Kalau kamu ikut sama dan buat seperti apa yang kami buat, kamu terimalah balasan nanti.........

Betul tak ubah seperti 'undang-undang Sadiq Sigaraga........". Hahahaha.........

Thursday 19 May 2011

Kemana Tumpahnya Kuah.............


Sesekali melihat kelibat anak lelakiku bermain muzik dan buat 'live performance' dipentas terbuka, dihadapan ramai pengunjung-pengunjung yang memenuhi ruang restoran Bukit Bintang Bistro (BB BIstro) pada suatu malam Sabtu, hati turut tercuit pelbagai rasa. Rasa kasihan pun ada, kagum dan bangga pun ada. Apa tidaknya hati bagai terdetik melihat kegigihan anak sendiri 'mencipta nama mencari rezeki', disamping kebolehan dan keupayaannya bermain alat muzik dan menyampaikan beberapa buah lagu dengan baik dan sungguh menghiburkan, bersama 4-piece band yang dianggotainya.

Walau pun telah berkerjaya tetap, namun mamat yang seorang ini nampaknya cukup gigih menunjukkan bakat, minat dan kebolehannya dalam bidang yang begitu diminatinya, iaitu muzik. Walaupun aktiviti ini dibuat secara "part time" bagi menambah pendapatan katanya, namun diukur dari sambutan yang diberi oleh pengunjung-pengunjung BB Bistro, nampaknya beliau bersama kumpulannya telah berjaya memberikan suatu persembahan yang mantap, bertenaga dan menghiburkan. Apatah lagi jika dilihat dari segi sambutan ramai dan tepukan gemuruh oleh penonton dan pengunjung yang memenuhi buang BB Bistro setiap kali sesebuah lagu itu selesai disampaikan. Sambutan juga boleh dilihat dari mereka yang sedang menjamu selera disitu dengan kad permintaan yang bertalu-talu datang, hatta kepada meeka yang berdiri atau menonton dari pinggir-pinggir jalan sambil duduk-duduk diatas motorsikal yang diletakkan dikawasan itu.

Hati berdetik bangga juga apabila mendengar alunan beberapa buah lagu lama yang dipersembahkan dengan begitu bertenaga dan cukup menghiburkan. Dalam remang cahaya yang samar-samar diruang Bistro yang sesak dengan pengunjung, beberapa lagu buah lagu evergreen telah diperdengarkan, seperti Country Road (John Denver), Black Magic Woman (Santana), It's Now Or Never (Elvis), Words (Bee Gees), Zunika (A.Romzi), Widuri (Bob Tutipoli), serta beberapa lagu hits yang dipopularkan oleh M. Nasir; antaranya Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mustika, Hati Emas dan Mentera Semerah Padi.

Sewaktu menikmati alunan lagu-lagu merdu yang diperdengarkan, kenangan terasa mengimbau kembali kenostalgia zaman silam sewaktu diri masih muda remaja. Pernah juga bergiat dalam dunia muzik, walau pun secara kecil-kecilan di sekitar daerah Kulim, serta dikampung kelahiran di Kulim, Kedah. Pernah juga turut terlibat dengan band kumpulan gitar rancak (kugiran), yang mendominasi persada hiburan tanah air sekitar zaman enam-puluhan dulu. Masih terngiang-ngiang ditelinga alunan muzik yang dibawa waktu itu dengan peralatan yang serba kekurangan. Lagu-lagu kegilaan anak muda zaman itu menjadi ikutan kami,. termasuk band pengiring (kugiran) yang mengiringi penyanyi-penyanyi tersebut waktu itu, antaranya A.Ramlie (The Rythmn Boys), Jeffydin (The Siglap Five), A.Karim Jais (Les Fentones), Hasnah Harun (The Clifters), A.Rahman Onn (The Strangers), A.Rahman Hassan (Orkes Nirwana) A.Romzi (The Hooks), J.Kamisah (The Wisma), L.Ramlee  (Orkes Teruna Ria) dan ramai lagi.

Bagaimana pun ternyata corak permainan dan genre muzik yang dimainkan pada zaman dulu dan zaman kini telah jauh berbeza, terutama dari segi bentuk dan susunan muziknya. Banyak perubahan dan evolusi telah berlaku sesuai dengan perubahan zaman dan peralatan yang digunakan.. Muzik kegilaan anak-anak muda juga sudah jauh berubah dan akan terus berubah.

Kini, setelah hampir 40 tahun berlalu, siapa sangka masih ada dari keturunanku yang mewarisi bakat dan minat dalam bidang muzik. Si mamat ini telah membuktikan bahawa dengan sedikit bakat yang ada, jika digilap, dapat membawa kita jauh dalam bidang yang ingin kita terokai ini dengan sedikit daya-usaha dan ketekunan yang ada. Bagi saya, minat beliau tidak boleh dihalang, dan saya hanya boleh mengucapkan syabas, dan berdoa untuk kejayaannya dimasa hadapan..

Benarlah seperti kata orang tua-tua: "Kuah tidak akan kemana tumpahnya, kalau tidak ke nasi........"

Sunday 15 May 2011

Selamat Hari Guru...........




Tanggal 16 hb Mei setiap tahun disambut khas bagi mengingati peranan para guru. Guru sebagai insan istimewa dalam hidup kita. Orang yang mengasuh, mendidik serta mentarbiahkan hidup kita sehingga menjadi orang yang berpelajaran dan beradap susila. Insan-insan kerdil ini perlu diingati dan dikenang jasa mereka walaupun mereka sendiri tidak meminta dibuat demikian. Keluhuran jiwa raga yang telah disemadikan untuk mendidik kita dan seluruh anak bangsa supaya menjadi insan yang beguna. Tanpa warga pendidik ini tidak akan lahir insan-insan murni yang berilmu pelajaran tinggi, berakhlak dan bertata-susila tinggi dalam kehidupan kita kini.

Guru tidak harus dibatasi hanya kepada mereka yang mendidik kita secara formal disekolah-sekolah. Malah merangkumi juga mereka yang mengasuh, mendidik, memberi tunjuk-ajar dan memperkenalkan kita dengan sesuatu yang baru dalam hidup. Sejak bayi lagi, ibu-bapa menjadi guru kita. Mengajar kita bertatih dan berjalan; mengajar kita bercakap dan berbahasa, serta memberi tunjuk ajar semasa kita melalui proses tumbesaran. Saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga, serta rakan sepermainan kemudian menjadi guru kita secara tidak langsung dalam mengajar kita erti kehidupan. Mengenal apa yang baik dan yang buruk. Apabila menjejak kaki kealam persekolahan, tugas guru membimbimng kita, mengajar apa jua pelajaran yang tidak kita fahami sehingga kita menjadi pandai. Setelah meningkat dewasa, rakan-rakan sebaya pula mengambil-alih menjadi guru pembimbing dan mengajar kita selok-belok mengenal kehidupan. Apabila memasuki alam pekerjaan pula, rakan-rakan sekerja, penyelia dan para majikan pula menjadi guru mengajar dan membimbing apa yang kita tidak tahu sehingga kita menjadi seorang pekerja yang baik, berkemahiran dan produktif. Seluruh anggota masyarakat disekeliling kita sebenarnya adalah guru kita yang mengajar, memberi petunjuk dan menasihatkan kita sewaktu menlalui liku-liku kehidupan.

Peranan guru tidak hanya terbatas sehingga kita dewasa. Malah selagi kita masih terus belajar, masih terus memerlukan pengetahuan dan kemahiran untuk terus meniti kehidupan, para guru adalah orang yang akan berada disekeliling kita bagi membantu, menasihati, membimbing dan memberi tunjuk-ajar dan panduan-nasihat.

Oleh itu, warga guru ini amatlah wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Letaklah mereka disuatu sudut yang lebih wajar dalam jiwa kita diatas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada kita selama ini. Sewajarnyalah satu hari dalam setahun kita sama-sama duduk bertefakur, berdoa dan menghargai sumbangan mereka ini. Bagi kita guru adalah sesiapa saja walaupun mereka ini hanya mengajar kita "dengan sebaris ayat sahaja........".

Sekian, dan selamat hari guru untuk semua yang telah berjasa mendidik, serta mentarbiahkan hidup kita sehingga kita menjadi apa yang kita capai dihari ini...............

Saturday 14 May 2011

Bila BN sedang gila janda lama bernama PAS..............



BN sejak akhir-akhir ini nampaknya sudah macam gila meroyan terhadap 'janda lama'nya, PAS. Nak kata gila meroyan ke atau gila talak, saya tak pasti. Apa yang pasti, 'isteri' yang telah diceraikan dalam tahun 1978 dulu dengan talak tiga, kini sedang diintainya kembali. Apa tidaknya cerita mengenai usaha nak rujuk kembali dengan PAS telah lama kita dengar sejak pilihanraya 2008 lagi. Banyak pihak mencadangkan, terutama dikalangan BN, supaya BN kembali bersatu dengan PAS, demi untuk 'perpaduan orang-orang Melayu' kata mereka. Bagimana pun, PAS tidak memberikan sebarang response positif setakad ini. PAS juga dikatakan kurang berminat untuk kembali kepangkuan 'bekas suami' lamanya disebabkan berlainan pendirian dan prinsip hidup. Apatah lagi, sekarang PAS sedang "bahagia" bersama "partner" yang baru, DAP  dan PKR dalam Pakatan Rakyat dan sedang mengukir gelombang kehidupan yang lebih bermakna.

Sejak mutakhir ini ada suara-suara yang mahu mereka kembali bergabung. Paling terkini yang bersuara ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato Dr. Fuad Zakarshi yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, dan juga Dato Seri Najib sendiri selaku PM mengusulkan agar PAS 'minta cerai' dan keluar saja dari pakatan pembangkang itu. Beliau mendakwa penyatuan PAS dibawah PR sekarang ini menguntungkan DAP. Katanya " kalau tak mahu rujuk balik dengan BN pun tak apa, asal keluar dari PR pun sudah cukup......." Begitu sekali, bunyi "rindu" dan "luahan perasaan" BN terhadap PAS. Keluhan seorang "bekas suami" yang tidak mahu bekas isterinya terus dikongkong dan dibelai dalam pelukan orang lain....  Tapi, sisuami harus redho kerana siisteri kena melalui proses "cina buta" terlebih dahulu sebelum boleh dirujuk balik......

Bagi mereka yang sudah lupa, atau yang tidak tahu, PAS sebenarnya pernah bersama dalam satu gagasan sewaktu BN ditubuhkan sekitar tahun 1971 dulu. Selepas kemelut politik akibat peristiwa 13 Mei 1969, timbul usaha Parti Perikatan selaku parti pemerintah waktu itu, untuk menggabungkan lebih ramai parti politik dibawahnya bagi menstabilkan keadaan politik dan mengurangi pergeseran yang ada. BN pun ditubuhkan dan terus melamar PAS. PAS nmenerima pinangan dan bernaung bersama BN hampir 7 tahun sehinggalah krisis politik Kelantan yang berlaku dalam tahun 1978. Akibat percakaran politik yang berlaku ketika itu, PAS di "ceraikan" dari BN dan ditendang-jkeluar untuk menentukan hala tuju sendiri. Sejak tarikh tersebut tinggallah PAS terkontang-kanting seorang diri meneruskan perjuangan sendiri. Banyak pahit maung yang dilalui sendirian sebagai seorang "janda muda" ketika itu, sehinggalah dilamar masuk kedalam Barisan Alternatif, dan kemudiannya ditukarkan nama Pakatan Rakyat (PR) sehingga sekarang.

Sejak 'bersatu' dalam Pakatan Rakyat, PAS bersama DAP dan PKR telah menempah sejarah baru yang lebih gemilang. Sokongan rakyat kian bertambanh, dan dalam pilihanraya umum 2008, PAS berjaya mengemudi kerajaan Kedah dan Perak, disamping Kelantan yang telah sdia berada dalam kawalannya sejak 1980. Perak bagaimana pun berjaya ditawan balik oleh BN, dalam suatu drama rampasan kuasa pada tahun 2009. Rakan PAS dalam PR, DAP pula berjaya menerajui Pulau Pinang, manakala Selangor pula merampas Selangor dari tangan BN. Semua petunjuk ini menunjukkan dengan jelas bahawa pengaruh PR sedang berkembang pesat. Parti-parti pembangkang, terutama PAS telah berjaya menempah pengaruh yang kian bertambah, terutama dikalangan jenerasi muda dan ahli-ahli profesional.

Oleh itu BN melihat PAS hari ini bukan lagi PAS yang dulu yang pernah di'ceraikan' dengan talak tiga. PAS hari ini dilihat laksana 'janda muda' yang amat menggairahkan, punyai 'aura' tersendiri dan menjadi kegilaan terutama dikalangan jenerasi muda. Ramai gulongan muda hari ini dilihat lebih selesa mendampingi PAS bebanding UMNO atau BN.  Mungkin BN melihat PAS sekarang sudah "bertambah lawa atau cun kata orang sekarang", berbanding dulu dengan jumlah peminat yang semakin bertambah. Bagaimana pun sikap 'isteri-ieteri' lain BN agak dingin terhadap PAS, terutama MCA dan Gerakan yang dilihat merasa sangsi jika jalinan lama BN/PAS berjaya tertaut semula.

Tindakan BN ini sudah macam terdesak. Kalau "orang tak mahu, janganlah macam hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong....". Bukankah dulu kamu juga yang menendang PAS keluar? Dah lupa ke? Sekarang bila dah nampak PAS makin glamour, bertambah solid dan peminat pun bertambah ramai, kamu nak rujuk balik. Apa ni? Sedarlah suatu waktu dulu PAS pernah tidur sebantal bersama kamu. Tapi kamu yang tidak setia. Dalam diam kamu bersekongkol dengan isteri lain dan menendang PAS keluar. Waktu itu kamu melihat PAS mungkin dalam keadaan yang amat huduh, tiada pengaruh dan tiada masa depan langsung.

Bagi saya, biarlah PAS terus kekal dan selesa dalam PR, dan berjalan seiringan dengan PKR dan DAP. Walaupun penyatuan mereka tidak didaftar secara sah, namun mereka sedang menuju matlamat yang sama. Masing-masing dilihat sedang menempa pengaruh disebalik 'cerca-nista' dan 'maki hamun' yang dilemparkan oleh BN saban hari. PAS seharusnya melupakan sebarang lamaran dari BN, kerana sejarah telah membuktikan bawah 'jodoh' PAS bukan dengan BN, sebaliknya dengan PR. Biarkan lah BN terus menerus 'gila talak' terhadap janda lamanya...............

Tuesday 10 May 2011

Kristian akan jadi agama resmi Malaysia........???

Negara sedang meniti jurang bahaya. Ramai yang sedang bermain dengan api. Isu agama sedang rancak diperkatakan disana sini. Puncanya, ada pihak yang dituduh sedang merancang menjadikan agama Kristian sebagai agama resmi negara. Beberapa pihak dikatakan terlibat, termasuk pihak gereja dan ahli-ahli parti politik, khususnya DAP. Akhbar Utusan Melaysia menyiarkan dengan gahnya dimuka depan pada hari Sabtu lalu mengenai 'rancangan' ini, dan ianya disambut dengan rasa marah oleh ramai ahli-ahli politik yang ingin bersuara, termasuk Pedana Menteri sendiri. PERKASA, selaku badan badan yang kononnya memperjuangkan ketuanan Melayu pun apa lagi terus melompat 'membuka silat'. Ramai NGO  turun padang buat laporan polis, Dengar khabarnya Pemuda UMNO Pulau Pinang juga mengadakan demonstrasi secara aman beberapa hari lalu di Butterworth bagi menentang 'komplot' ini.

Disuatu pihak yang lain ramai NGO dan badan politik mengesa Kerajaan mengambil tindakan segera keatas akhbar Utusan. Parti Gerakan, sebagai komponen BN juga turut menggesa Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Utusan kerana menyentuh sensitiviti beragama, dan menyemai bibit-bibit kebencian terhadap Kristian.  DAP pula melalui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng telah  mengeluarkan kenyataan menafikan pembabitan parti itu dalam 'rancangan ' ini dan menegaskan partinya sentiasa mendukong Perlembagaan negara dan selesa menerima Islam sebagai agama resmi negara. DAP juga menurutnya, tidak samasekali berhasrat memperjuangkan Kristian sebagai agama resmi negara.

Apa nak jadi ni? Selepas isu '1Melayu, 1`Bumi' dimainkan, sekarang timbul isu agama resmi pula. Apakah kita sudah ketandusan idea untuk menyatupadukan umat Melayu?  Apakah kita mahu melihat kehidupan harmoni dan sikap toleransi antara agama yang ujud pada hari ini hancur lebur? Lupakan kita pada peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dimana kita sesama rakyat bertelagah sesama sendiri atas nama perkauman sempit?. Sekarang kita hendak bawa isu agama pula?.

Ironinya, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan isu ini dimuka depan pada hari Sabtu lalu, dan menyatakan sumber beritanya adalah dari laporan yang ditulis oleh 2 blogger pro-UMNO. Bagaimana boleh Utusan terus 'melatah' dan 'melompat dengan pantas' dan menyiarkan berita ini secara besar-besaran dimuka depan? Sudahkah diselidiki asal usul laporan ini serta kesahihannya? Dari sudut etika pemberitaan, adakah boleh kita memetik begitu sahaja berita dari sumber yang kurang sahih (blooger UMNO) dan kemudian terus siarkan sebagai berita utama dimuka depan? Mana dia autoriti dan kredibiliti berita sedemikian?

Yang anehnya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya diam membisu. Tiada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap Utusan.  Kalau akhbar-akhbar lain yang buat begitu, dah sah kena tindakan serta merta. Kalau akhbar Harakah atau Suara Keadilan sudah tentu sepantas kilat mereka bertindak. Sudah tentu lesen penerbitan kena gantong. Tapi, dalam kes Utusan ini, tak ada pula tindakan..........

Bagi saya, dan saya rasa ramai lagi pembaca diluar sana bersetuju dengan saya, isu ini sengaja dimainkan oleh sesuatu pihak tertentu dengan niat untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Sejak PRU 12 dulu lagi orang Melayu rata-rata nampak sudah berpecah. Satu puak masih setia menyokong BN, manakala suatu puak lagi sudah beralih arah menyokong pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat. Dengan adanya isu ini, diharap orang-orang Melayu akan bersatu kembali. Sejarah telah membuktikan yang orang Melayu, apabila rasa terancam akan cepat bertaut kembali bersatu padu sepertimana berlaku dalam tahun 1948 dulu sewaktu menentang gagasan Malaysan Union anjuran British waktu itu.

Tapi senario kali in amat berbeza. Orang-orang Melayu berpecah bukan kerana ancaman dari luar, tetapi bahana sikap jengkel dan meluat mereka terhadap parti yang memerintah. Ramai orang Melayu sudah melihat Kerajaan dibawah BN sudah melencung jauh dari landasan sebenar. Penyalahanguna kuasa, rasuah, pembolotan harta kekayaan dan kronisma begitu menjadi-jadi. Ramai yang telah mengubah arah tidak mahu lagi bersekongkol dibawah BN dan mencari alternatif pada Pakatan Rakyat (PR). Ramai terutama gulongan muda sudah hilang keyakinan kepada BN. Dan hakikat ini amat disedari oleh BN. Jika tidak dibuat sesuatu, tentunya kemaraan PR akan menjadi bertambah lancar, sedangkan kedudukan BN terutama UMNO menjadi bertambah parah menjelang PRU 13 nanti. Hakikat inilah yang menyebabkan BN begitu gusar dan perlu berbuat apa saja bagi mengekalkan kuasa. Hatta , sehingga orang Melayu perlu di'takut'kan sekali pun dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya ditakutkan. Tapi, apakah orang Melayu boleh di'momok'kan sehingga begitu rupa agar mereka dapat bersatu kembali dibawah BN seperti dulu?  Apakah tiada cara lain untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan politik BN sekarang yang sudah kelihatan goyah?

Bagi saya, soal Kristian menjadi agama resmi Malaysia memang tiada asas langsung. Soal DAP menerajui kempen dan gagasan ini juga tidak timbul. Malah Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP telah mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa DAP tetap menyanjung tinggi Perlembagaan negara dan agama Islam sebagai agama resmi negara. Para paderi bishop sendiri turut membuat kenyataan yang mereka amat selesa dengan Islam sebagai agama resmi Malaysia, dan tiada berhasrat uintuk menjadikan agama Kristian sebagai agama resmi.

Nah, siapa yang sebenarnya bermain api?  Penduduk Malaysia terdiri dari hampir 68% orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Mana mungkin agama lain diterima sebagai agama resmi.sedangkan Islam telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama resmi negara, disamping hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Sepertimana ucapan PM Dato Seri Najib sendiri sewaktu membuat ucapan penangguhan ketika Persidangan Agung UMNO yang lalu bahawa peruntukan-peruntukan ini telah jelas termaktub dalam Perlembagaan, dan tidak boleh diganggu gugat lagi. Ianya ibarat tersimpan kukuh dalam peti besi dan kuncinya telah dibuamg. Jadi mana mungkin DAP dengan kerjasama paderi-paderi sahaja boleh mengubah Perlembagaan ini. DAP ada berapa kerusi sahaja dalam Parlimen, hatta jika bergabung dibawah PR sekalipun, ianya tidak akan cukup kuota 2/3 untuk meminda Perlembagaan. Jika berjaya meminda Perlembagaan sekali pun, pindaan kena mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu. Mahukan Majlis Raja-Raja memberi kelulusan ini?

Sebenarnya rasa 'takut' seperti yang di'momok'kan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab itu tidak timbul sama sekali. Ianya laksana tegahan yang dibuat oleh seorang ibu tua dikampong kepada anak-anaknya yang leka bermain dihalaman rumah walau pun sudah menjelang senja: "Jangan pergi main jauh-jauh, situ ada momok...eeeiii....takut!!!!" Begitulah resam kita orang-orang Melayu. Siibu sebenarnya tidak mahu anak-anak kita bermain jauh-jauh kerana hari sudah hampir gelap. Macam-macam bahaya yang mungkin ada. Tapi 'momok' yang disebutkan siibu itu sebenarnya tidak ujud, dan siibu sendiri pun tak pernah tengok !!!!...

Monday 9 May 2011

Harga gula naik lagi................

Esok, 10hb. Mei, 2011 harga gula akan naik lagi. Kali ini naik 20 sen menjadikan harga bahan itu RM2.30 sekilogram dipasaran. Pengumuman mengenainya dibuat petang ini. Ini adalah kenaikan kali kedua sejak Desember 2010 lalu dimana waktu itu harga gula telah dinaikkan 10 sen.

Rasional yang diberi oleh Kerajaan ialah untuk mengurangkan subsidi keatas bahan makanan ini.  Kononnya, dengan kenaikan baru ini Kerajaan akan dapat menjimatkan RM119 juta wang subsidi. Rakyat rata-ratanya tentu menerima berita ini dengan sedikit rasa tidak puashati, kecewa, geram dan marah pun ada. Tetapi, sebagaimana biasa, kita rakyat Malaysia ni walau bagaimana marah dan geram sekali pun, hanya bersifat sementara sahaja. Lepas dua-tiga hari hilanglah marah tu. Macam harga minyak yang naik setiap dua-tiga bulan sekali. Kita akan lupa dan keadaan akan balik seperti sediakala. Seperti kata pepatah, "bagai anjing menyalak bukit." Anjing boleh meyalak bagai nak rak, tapi bukit tak akan berubah walau seinci pun. Akhirnya anjing yang penat menyalak. Bukit masih berdiri megah disitu..........

Apa yang kita musykilkan ialah rasional disebalik tindakan Kerajaan ini. Wajarkah Kerajaan mengurangkan subsidi disaat harga barang keperluan asas lain juga melambung naik dan kehidupan rakyat rata-rata terus terhimpit dengan beban hidup masakini? Gula adalah bahan makanan asas yang penting. Tidakkah boleh ditimbangkan agar subsidi yang diberikan hari ini dikekalkan?. Kalau Kerajaan boleh mengeluarkan belanja  besar beli kelengkapan pertahanan sehingga RM7- 8 billion; RM111 juta sahaja untuk program Permata Negara; RM70 juta untuk bayaran perkhidmatan runding nasihat APCO bagi projek 1 Malaysia; yang 'bocor' dalam projek FTZ Pelabuhan Klang pun menjangkau sampai RM12 billion, apalah sangat dengan RM119 juta jika subsidi gula diteruskan?. Apa yang penting Keajaan harus telus dalam mentadbir sumber-sumber ekonomi negara dan mengelakkan  pelbagai 'ketirisan' yang ada.

 Apa yang paling kita bimbang ialah kesan secara langsung terhadap kenaikan harga gula ini.. Bukar sekadar harga teh tarik dikedai mamak naik harga; tetapi merangkumi banyak lagi bahan makanan dan keluaran industri berasaskan gula seperti minuman dalam tin dan kotak, susu pekat dan lain-lain  yang sudah tentu akan turut naik. Kalau tak percaya, anda tunggu dan lihat sendiri kesannya nanti.

Kita sering mendengar sejak akhir-akhir ini Kerajaan mencanangkan kedudukan nilai ringgit bertambanh kukuh berbanding dolar Ameika. Ini suatu nikmat yang negara hadapi dan patut dikecapi bersama. Harga barangan impot sudah tentu akan bertambanh murah. Sudah tentu ada sedikit penjimatan dalam perbelanjaan negara. Tidak bolehkan wang yang dijimat itu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi gula? Saya bukan pakar ekonomi, tetapi dari pengetahuan saya yang ada sedikit banyak mengenai ekonomi, begitulah keadaan sepatutnya berlaku bila tukaran nilai ringgit naik..........


Tapi nikmat dan menafaat seperti ini masih belum kita lihat. Meski pun nilai ringgit kukuh, kedudukan ekonomi bertambah baik, ekspot negara dikatakan masih kukuh, namun habuan untuk rakyat masih tidak kelihatan. Saya rasa sudah sampai masanya Kerajaan harus berfikir sejenak untuk kesejahteraan rakyat umumnya. Bukan setakad melaungkan slogan: "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.... dibawah konsep 1Malaysia.

Kita kena "cakap serupa bikin", baru boleh orang boleh percaya............

Thursday 5 May 2011

APABLA ANAK MUDA BERBAHASA.............

Melihat gelagat anak-anak muda hari ini berbahasa, sama ada lisan atau tulisan, kita kadangkala jadi terkedu. Nak tergelak pun ada; geli-hati pun ada. Kadangkala rasa pelik pun ada. Bahasa komunikasi mereka sudah jadi tak menentu. Walaupun bercakap bahasa Melayu, tetapi cara bertutur dan penggunaan perkataan-perkataan yang disebutkan ternyata sudah lari jauh menyimpang dari tata bahasa Melayu sebenarnya. Apa tidaknya, contohnya penekanan perkara-perkara yang terbaik atau ekstrim telah ditokok dengan 'giler'. Contohnya, kalau sesuatu yang sedap sangat sudah jadi "sedap giler"; panas yang teramat sudah jadi "panas giler",  Maka lahirlah ungkapan-ungkapan "sedih giler", "best giler", "cun giler", "buruk giler", "pedih giler"  dan macam-macam lagi.

Bila bercakap pula mengenai sesuatu yang gagah, hebat atau kuat, mereka akan menggunakan perkataan "power" bagi menunjukkan kehebatan sesuatu pekara. Misalnya "ubat yang power", "minuman power", "cun power", "masakan power", "ayat yang power" dan macam-macam "power' lagi. Dalam pecakapan harian, mereka kerap menggunakan beberapa perkataan (tak pasti sama ada ciptaan baru atau perkataan-perkataan lama) yang diubah maknanya dari yang biasa digunakan. Contohnya, "kantoi", "gerak", "lepak", "bajet", "cilok", "usher", dan banyak lagi perkataan-perkataan yang mungkin dirasa pelik, tetapi digunakan secara meluas.

Tidak diketahui bagaimana perubahan ini bermula. Bagaimana pun saya yakin, ianya berkait rapat dengan alam kehidupan dan persekitaran yang melingkari kehidupan anak-anak muda sekarang. Mungkin zaman sudah berubah. Kata orang, bahasa juga akan berubah-ubah mengikut zamannya. Ianya tidak statik dan akan melalui proses evolusi sepertimana yang kita hadapi dengan hidup ini juga. Mungkin zaman sekarang zaman IT, dimana bahasa juga turut berubah mengikut arus IT dan dunia siber yang bergerak pantas.Cara komunikasi juga bergerak pantas, sepantas mesej sms yang kita hantar. Begitulah natijahnya

Apa yang amat kita bimbangkan ialah sama ada keujudan trend berbahasa seperti ini akan mengugat jatidiri sifat Bahasa Melayu itu sendiri. Apa akan jadi pada norma dan susila berahasa Melayu yang betul yang telah kita anuti selama ini?  Adakah ini merupakan trend berbahasa bagi masa hadapan jenerasi kita, khususnya untuk beberapa dekad yang akan datang? Sudah tentu kita memerlukan orang bijak pandai dan ahli bahasa untuk menilai arah dan halatuju cara berbahasa anak-muda masakini.


Jika cara berbahasa Melayu sudah jelas perubahannya, bagaimana pula dengan penggunaan bahasa Inggeris? Tinjauan yang saya buat sendiri menunjukkan cara berkomunikasi dalam bahasa Inggeris juga pada keseluruhannya, tidak mencapai tahap yang dikehendaki; rata-rata masih lemah walaupun anak-muda yang bertaraf graduan sekali pun. Sudahlah struktur ayat tidak betul, penggunaan perkataan (vocubulary) yang tidak  tepat, grammer pula lari lintang pukang. Past tense dan present tensenya, singular dan plural, verb, adverb dan adjectives serta preposition berterabur dan jadi tidak menentu, Bila tersangkut, mereka akan "melompat" kembali ke bahasa Melayu untuk mencapai  maksud yang hendak diterangkan. Kadangkala, sewaktu bercakap Melayu pun mereka gemar menyelit perkataan "so" sebagai penyambung ayat supaya untuk nampak "keinggerisannya".

Sewaktu bertugas sebagai pengamal Sumber Manusia dengan beberapa syarikat swasta sedikit masa dulu, saya berkesempatan meneliti cara berbahasa anak-anak muda terutama ketika mengendalikan temuduga pengisian jawatan, termasuk jawatan-jawatan eksekutif. Rata-rata para graduan yang saya temui, tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, kecuali segelintir kecil dari IPT-IPT tertentu sahaja. Komunikasi bahasa Inggeris mereka lemah dan kurang bertenaga langsung.  Dalam hati selalu bertanya bagaimana mereka ini hendak menghadapi tuntutan dan keperluan hidup dalam dunia komersial hari ini, terutama jika bekerja disektor swasta. Jika gaya berbahasa Melayu pun tidak ikut gaya berbahasa sebenar, dan ketika berbahasa Inggeris juga tidak mencapai tahap yang dikehendaki, saya khuatir apa akan jadi tentang trend berbahasa anak muda masakini. Takut jadi "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran...."

Saya masih teringat beberapa contoh cara anak muda berbahasa Inggeris yang dapat saya kutip. Contohnya, bila diminta menerangkan hal keluarga sendiri dalam bahasa Inggeris, mereka gemar memulakan ayat seperti berikut : "In my family, there are 4 people. I, my father, my mother and my sister". Tidak kurang juga yang gemar memulakan ayat dengan "This is the because............." bila diminta menerangkan sesuatu sebab yang terjadi. Seorang anak muda pula ketika ditanya apa langkah keselamatan yang diambil, selamba menjawab: "Don't worry, I have cutted the wire already..........."


Bagaimanapun, saya masih tidak lupa percakapan seorang anak muda yang saya 'terdengar' diperhentian bas ketika menyapa rakannya dalam loghat Kelantan: " Guanamu....Where have you been?. I wetek wetek for you so long, you din ke !!!! (bayangkan bercakap bahasa Inggeris dalam loghat Kelantan!!).

Saya terus terkedu............