Thursday 18 August 2011

ALAHAI..............SPR !!!


Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengkaji transformasi piliharaya memang disambut baik oleh semua pihak. Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak. Sekurang-kurangnya, secara jujur kerajaan mengakui terdapat beberapa kepincangan yang masih menyelimuti sistem piliharaya kita.

Tapi soalnya sekarang, apakan kerajaan benar-benar jujur ingin melihat transformasi kearah penyucian sistem pilihanraya dibuat? Atau adakah kerajaan hanya ingin 'melepaskan batuk ditangga' dan mengaburi mata rakyat ekoran desakan dan tekanan oleh BERSIH 2.0 baru-baru ini? Rakyat masih skeptikal mengenai usaha ini. Ketelusan dan keikhasan kerajaan mesti dibuktikan dulu jika kerajaan benar-benar mahu menyakinkan rakyat, kerana rata-rata rakyat sudah hilang keyakinan keatas cara kerajaan mengendalikan sesuatu isu, terutama sikap dolak-dalih dan 'flip-flop' yang ditunjukkan oleh PM sendiri sewaktu mengendalikan isu BERSIH 2.0 baru-baru ini..

Masakan tidak, sejak mutakhir ini pelbagai 'kepincangan' dan 'kelemahan' yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) nampaknya telah terbongkar satu demi satu. Hampir saban hari ada saja bukti-bukti baru yang 'terburai' dan 'dilondehkan' oleh parti-parti pembangkang yang telah berusaha secara sendiri meneliti dan menyemak data-data dalam daftar pengundi yang ada demi untuk memastikan daftar pengundi terkini yang dipunyai oleh SPR bersih dari sebarang penyelewengan dan manupulasi.

Pelbagai pendedahan telah dibuat. Bermula dari isu 'pengundi hantu' yang telah lama disuarakan dan sehingga kini masih belum dapat diberi penjelasan yang menyakinkan oleh SPR. Kemudian isu pertindihan nama dalam daftar mengundi, hinggalah kepada pendaftaran dan penggunaan rakyat asing yang turut didaftar sebagai pengundi dibeberapa tempat strategik. Isu seorang pengundi yang mempunyai 2 identiti dan didaftarkan di 2 tempat yang berlainan sering menghantui kita. Jika ini belaku, bermakna si pengudi boleh mengundi 2 kali di 2 tempat berasingan. Juga tentang isu undi pos, dimana bukan sahaja terhad kepada anggota tentera dan polis sahaja, malah melibatkan seuruh kaum keluarga mereka juga didaftarkan sebagai pengundi pos!. Seluruh negara terkejut oleh pendedahan pihak pembangkang baru-baru ini bahawa terdapat bukti-bukti jelas tentang ujudnya komplot terancang untuk memenangkan pihak pemerintah dalam pilihanraya yang akan datang. Masakan tidak, sehingga ada bukti sebuah rumah kecil di Permatang Paun telah digunakan sebagai alamat pendaftaran untuk 16 orang pengundi,yang terdiri dari pelbagai bangsa.

Kemudian muncul pula beberapa orang bekas tentera yang membuat pengakuan bahawa mereka telah membantu mengundi dengan memangkah kertas undi pos sewaktu berkhidmat dulu bagi memenangkan BN. Kerja-kerja ini dilakukan mereka dibawah arahan bos-bos tertentu sehingga 'naik lenguh tangan'. Kemudian pecah pula berita yang menggemparkan seluruh rakyat dimana pemegang kad MyPR telah didaftar sebagai pemilih dan diberikan Mykad dalam keadaan yang amat mencurigakan. Dalam suatu kes di Selangor, seorang yang bernama Mismah yang memegang status penduduk tetap (PR) telah didaftar sebagai pengundi. Apabila kes ini terbongkar, status Mismah tiba-tiba bertukar dalam daftar SPR dari pemegang MyPR kepada Mykad dalam masa tak sampai pun 4 jam pada hari yang sama !.

Nampaknya sudah banyak yang terdedah. Sudah 'kantoi' kata budak-budak sekarang. Macam mana nak sembunyi lagi. Entah sudah berapa lama permainan kotor ini berlangsung, tidak dapat kita pasti. Apa yang pasti pilihanraya umum sudah hampir masuk yang ke13, tapi baru sekarang kita tahu cerita dan rahsia sebenarnya. Sudah lamalah agaknya rakyat negara ini tertipu dek permainan dan muslihat kotor pihak-pihak yang memerintah ini dalam usaha untuk mengekalkan kuasa. Kalaulah pendedahan ini tidak dibuat dan rahsia tidak terbongkar, tentulah semua rakya masih tidak sedar kelicikan dan tipu-muslihat yang sedang berlaku....


Tidak hairanlah para pemimpin BN sering melaungkan "Kita pertahankan Puterajaya!"; "Kita mesti ambil alih kuasa di Selangor walau dengan apa cara sekali pun......walau dengan apa senjata yang ada !". Rupanya inilah senjata mereka......

Pendedahan yang dibuat oleh PAS Selangor baru-baru ini amat mengejutkan kita. Mereka telah dapat membongkar kes dimana hampir 1,100 orang pegenang kad PR telah didaftarkan sebagai pengundi di Selangor, khususnya di Parlimen Ulu Selangor, Sabak Bernam dan Shah Alam. Apa nak jadi kepada negara kita kalau Mat Bangla, Mat Indon, Mat Burma dan Mat Kemboja didaftar sebagai pengundi. yang sah. Bolehkah dibiar mat-mat ini menentukan masa depan negara kita?. Sebenarnya, inilah 'game' yang sedang dimainkan oleh mereka-mereka yang berada ditampok kuasa dengan kerjasama pihak SPR dan JPN sendiri. Perasaan mengelabah takut kehilangan kuasa telah menyebabkan mereka sanggup 'menjual' negara sendiri....

Pihak SPR sebagai badan yang berkecuali sepatutnya memainkan peranan sebagai orang tengah dan berkecuali, nampaknya telah tersasar dari landasan asal dan dipergunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan demi untuk kelangsungan kuasa politik mereka.

SPR sendiri perlu dibangunkan dari tidur dan 'dipulihkan' seberapa segera............

Sunday 14 August 2011

CERITA LAWAK BULAN POSA (2) ..........................


Dua orang pengembara Mat Salleh, seorang lelaki dan seorang wanita,  sedang merayau-rayau dan menikmati keindahan hutan tropika di Malaysia. Bukan main suka lagi mereka dapat melihat keindahan hutan, terutama keindahan flora dan fauna yang belum tercemar, sambil mengambil gambar dan melihat unggas dan burung-burung yang berterbangan.

Tiba-tiba sewaktu menuruni suatu lembah, mereka terserempak dengan dua ekor beruang, seekor jantan dan seekor betina, yang juga sedang merayau mencari makan. Kedua-dua Mat Salleh itu tergamam. Tidak tahu apa nak dibuat. Bagaimana pun pengembara wanita itu masih sempat menyelamatkan diri dengan memanjat sebatang pokok berhampiran, manakala yang lelakinya tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak beruang-beruang itu dengannya sudah terlalu hampir. Lalu dia pun teringat pesan orang tua-tua. Kata mereka kalau terserempak beruang, jangan lari. Tetapi hendaklah berbogel dan mematikan diri seolah-olah tunggul kayu. Beliau lantas melucutkan beg sandang dan pakaian yang dipakai serta merta, dan berdiri  tegak mematikan diri dengan tangan mendepa, seolah-olah sebatang pohon mati.


Kedua-dua ekor beruang tadi terus menghampirinya. Si beruang jantan menghidu-hidu muncungnya kearah tubuh pengembara tadi, membelek-belek dicelah kangkangnya, dan berkata sesuatu kepada si betina. Beginilah kira-kira perbualan mereka:

Beruang jantan :  "Heran!,......tunggul mati yang macam ini pun masih ada buah. Tapi buahnya masih putik. Belum masak lagi. Tengok, masih kecil dan kulitnya pun masih berkedut-kedut........"

Beruang betina : "Tak pa lah, yang.......kita tunggulah sampai buah tu masak. Dua tiga hari lagi masaklah tu......."

Beruang jantan : "Oklah, dalam dua tiga hari lagi kita datang semula untuk petik"

Kedua-dua ekor beruang itu pun kemudian berlalu dari situ.

Si pengembara lelaki tadi menarik nafas lega. Rakannya yang memerhati dari atas pokok dengan cemas juga kemudiannya turn mendapatkannya. Nasib baik tidak diapa-apakan oleh beruang itu, fikir hati kecilnya. Setelah mengenakan balik pekaian dan mengambil beg ditanah, kedua-dua pengembara itu pun meneruskan perjalanan.

Setelah beberapa hari merayau-rayau didalam hutan itu, kedua-dua pengembara itu pun mengambil keputusan untuk keluar. Ketika menuruni lembah yang sama sewaktu dalam perjalanan keluar dari hutan, mereka terserempak sekali lagi dengan dua ekor beruang tadi. Kali ini tanpa membuang masa si pengembara lelaki dengan pantas memanjat pokok berhampiran untuk menyelamatkan diri. Maka tinggallah si pengembara wanita terkial-kial tidak sempat berbuat apa-apa. Tanpa membuang masa, dia pun melakukan  seperti apa yang dilakukan oleh teman lelakinya tempuh hari dengan cara berbogel dan mematikan diri. Terpacak dia berdiri disitu dalam keadaan bogel dengan tangan mendepa seolah-olah sebagai sebatang pohon mati..

Kedua-dua ekor beruang tadi menghampirinya. Si jantan terus menghidu-hidu tubuh wanita tadi dari atas kebawah. Kemudian lantas berkata sesuatu kepada si betina :

Beruang jantan : "Nasib kita kurang baiklah, yang......... Tengok, buah yang dulu sudah dipetik orang....dah tinggal bekas......."

Beruang betina : "Ala....kempunannya saya..."

Beruang jantan : "Tapi, tak pa......cuba tengok diatas ni ada dua biji buah yang baru. Tentu dah masak ranum ni...tengok kulit pun dah cekang !!!!"




( Pengarang :   Hahahaha.............!!!!. Jangan batal puasa............. )

Wednesday 10 August 2011

CERITA LAWAK BULAN POSA (1) ...............


Pak Ya dan Mak Piah tinggal di Sik, Kedah. Suatu hari mereka berdua naik bas ke Sungai Petani. Hajat Pak Ya nak beli kereta. Waktu tu harga getah tengah melambung tinggi. Sebagai penoreh, Pak Ya dengan Mak Piah baru merasa nikmat dari rezeki  yang  melimpah ruah dengan tiba-tiba. Wang hasil jualan getah dah agak banyak tersimpan. Jadi Pak Ya bawa Mak Piah ke Sungai Petani untuk membeli sebuah kereta. Kereta 'second-hand' pun jadilah, bisik hati kecil Pak Ya.

Sampai di Sungai Petani, mereka berdua pun pergilah ke sebuah kedai menjual kereta terpakai. Belek punya belek, dari satu kereta kesatu kereta yang banyak berderet diluar'show-room' kedai itu, Pak Ya tertarik dengan sebuah kereta Volkwagon model 1965. Kereta 'Wak segan" bisik hati Pak Ya. Setelah selesai membayar harga, cina kedai pun menyerah kunci dan Pak Ya bersama Mak Piah pun naiklah kereta untuk pusing-pusing sekitar bandar Sungai Petani. Nasib baik Pak Ya dah ada lesen. Dulu dia pernah kerja bawa lori hantar getah dan sekerap kepunyaan Hj. Ludin dikampongnya.

Dari Sungai Petani, Pak Ya membawa Mak Piah ke Bagan (Butterworth). Disamping makan angin, niat Pak Ya nak bawa Mak Piah bersiar-siar dengan 'kereta baru' mereka. Bukan main suka hati Mak Piah dapat makan angin ke Bagan. Tersengih menampakkan gigi karatnya yang bersentelkan tembakau cap labu.

Mereka berdua bercadang hendak ke Tanjong (Pulau Pinang). Pak Ya teringat waktu muda-muda dulu dia pernah ikut rombongan budak-budak kampong naik bas ke Pulau Pinang. Tapi...itu lama dah. Sampai di Bagan, Pak Ya memberhentikan kereta tepi jeti tunggu feri. Orang kata, kalau nak pi Pulau Pinang kena tunggu feri kat Bagan, bisik hati kecilnya. Maka tunggulah mereka berdua disitu. Setiap feri yang sampai, dieja namanya oleh Pak Ya. Tapi feri Pulau Pinang tidak juga kelihatan. Yang dok sampai feri Pulau Pangkor, Pulau Undan, Pulau Talang-Talang, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi. Mana feri Pulau Pinang?, soal hati kecil Pak Ya.

Setelah hampir 2 jam menunggu, Pak Ya dah rasa cemuih. Lutut pun rasa lenguh dan pungkoq pun dah naik kebaih. Dia lihat muka Mak Piah pun dah berpeluh-peluh. Tiada lagi wajah ceria seperti tadi.

"Jom la kita balik". ujar Pak Ya kepada Mak Piah yang duduk tercakong ditepi tembok. "Tak dak feri kot hari ni yang nak pi Pulau Pinang. Lain kali saja lah kita pi...." arah Pak Ya selamba pada Mak Piah.

Dia pun terus start kereta untuk balik. Sewaktu sampai di Padang Serai, tiba-tiba kereka yang dipandunya menghenjut beberapa kali dan kemudian injinnya mati secara tiba-tiba. Dicubanya hidupkan balik beberapa kali, namun tidak berjaya. Pak Ya jadi mengelabah. "Tadi, dok elok. Kenapa tiba-tiba buat hal pulak.." bisik hati kecilnya. Mak Piah disebelah terkebil-kebil, tak tahu nak kata apa. Setelah keluar dari kereta, Pak Ya berusaha menolak kereta itu ketepi jalan agar tidak mengganggu lalu-lintas. Dengan lagak sebagai seorang mekanik, Pak Ya terus kebahagian depan kereta untuk membuka bonet.

"Mak hang oi.!!!......." jerit Pak Ya dari depan kereta.

"Awatnya pulak?." disambut oleh Mak Piah dari dalam kereta, sambil membuka pintu untuk keluar.

"Aku ingat kita dah kena tipu la...... Celaka punya cina kedai jual kereta tadi !!!" Pak Ya terus merungut.   "Ada ke patut dia jual kat kita kereta yang injinnya tak pasang kuat. Tengok ni !!. Injinnya dah jatuh. Dah tak ada disini........." ujarnya sambil menunjukkan tempat injin dibonet depan. Disamping itu, beliau juga memandang-mandang sekitar kawasan kalau-kalau ada injin yang tercicir.

"Habis macam mana ni ? soal Mak Piah dengan muka cemas.

"Mak hang kena tunggu sini. Aku nak tumpang mana-mana kereta yang lalu untuk ke Sungai Petani nak cari cina penjual kereta tadi" cadang Pak Ya. Merah padam mukanya. Mak Piah kelihatan bertambah cemas.

Tiba-tiba sebuah lori kecil berhenti tidak jauh dari mereka. Pemandu lori itu, seorang lelaki India turun dan menghampiri mereka.

"Apa hal encik ?" tanya si pemandu tadi.

"Tarak la tambi. Ini kereta injin sudah jatuh. Saya tak boleh jalan. Apa macam mau bikin?...." tanya Pak Ya seraya menunjukkan kearah bonet depan yang ternganga.

Si India terpinga-pinga. Beliau lantas meminta kunci dari tangan Pak Ya dan membuka bonet belakang kereta. Setelah beberapa ketika membelek injin kereta tersebut, beliau lantas bersuara. "Ayo yo..... minyak sudah kering la. Apa macam injin mau jalan!!". sergah India itu. Beliau lantas kembali ke lorinya dan mengambil sebuah tong kecil berisi minyak dan menuangkan kedalam tangki kereta itu.

"OK, sekarang cuba start" pemandu India itu mengarahkan Pak Ya. Pak Ya terus masuk kekeretanya dan mencuba menghidupkan injin. Tiba-tiba saja injin kembali hidup. Berderum bunyinya bila pedal minyak di tekan.

" Banyak terima kasih la tambi" tersengih muka Pak Ya. "Kalau awak tarak berhenti tadi, saya pun tak tahu apa mau buat. Saya ingat sudah mau tinggal ini kereta disini. Nasib baik ada INJIN SPARE !!!" .

Si India tersengih...........


Friday 5 August 2011

TERKENANG SEMASA DULU ..................'PUASA ZAMAN KANAK-KANAK DIKAMPONG '......

Pekan Malau

Entah mengapa, setiap kali datang Ramadhan, memori lama sewaktu zaman kanak-kanak ketika menyambut Ramadhan dikampong sering berputar kembali diingatan. Sekitar tahun-tahun penghujung 50an dan awal 60an. Umurku waktu itu baru setahun jagung, dan masih dialam kanak-kanak. Kami sekeluarga tinggal di Kampong Padang Ubi, yang jaraknya lebihkurang 5 kilometer dari pekan Labu Besar, dalam daerah Kulim di Kedah. Ketibaan Ramadhan disambut bagaikan pesta seluruh desa, terutama bagi kanak-kanak sebaya aku. Apa tidaknya waktu itulah kami berpeluang merasa makanan yang enak-enak yang disediakan oleh ibu setiap petang sebagai juadah berbuka.  Tidak seperti dibulan-bulan lain, sewaktu bulan puasa juadah dan masakan ibu akan lebih istimewa. Seri muka, tepung talam, bingka, cucur badak, cucur udang adalah diantara juadah kegenmaran. Letih dan penat berpuasa tiada menjadi masalah asalkan dapat menikmati hidangan juadah istimewa masakan ibu setiapkali azan magrib berkumandang. Waktu itu tidak ada pasar Ramadhan seperti sekarang. Kalau hendak menikmati masakan dan juadah yang sedap-sedap, kenalah tunggu bulan puasa atau hari raya. Kadang kala jiran sebelah menyebelah rumah juga turut menyumbang juadah sepiring-dua. Dan inilah yang memeriahkan suasana berpuasa waktu itu. Amalan murni dan semangat kejiranan yang kental ini telah hampir pupus pada masa kini.

Masih ku ingat, sebagai galakan untuk menghabiskan puasa sehari, ibu dan ayah akan mensyaratkan hanya sesiapa yang lengkap berpuasa sehari suntuk sahaja yang dibenarkan duduk bersama ditempat makan menikmati hidangan berbuka bersama mereka. Sesiapa yang tidak puasa kenalah pergi jauh-jauh dan tidak mengganggu mereka yang berpuasa. Mereka yang tidak puasa kena tunggu sehingga selepas orang berbuka baru boleh menjamah makanan. Kadangkala kena pula buat kerja lain sewaktu orang berbuka seperti memasang pelita, menutup pintu dan jendela, menghalau itik kekandang atau menutup pintu reban. Kami yang berpuasa duduk bersila diatas tikar mengkuang mengelilngi juadah dan masakan yang disediakan. Hati terasa megah sekali dengan 'ganjaran' yang diberi!!. Tidak hairanlah kami adik beradik akan berlumba-lumba mengenapkan puasa setiap hari dan tidak mahu 'disisihkan' ketika waktu berbuka. Begitu hebat sekali ayah dan ibu 'mentarbiyah' serta mendidik kami supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan puasa.......

Meskipun kesempitan hidup dikampung yang diulit serba kekurangan, ibadat puasa tetap dijalani dengan gigih dan tidak kurang meriahnya. Ketiadaan bekalan lektrik waktu itu dengan hanya dicerahi pelita minyak tanah tidak sekali-kali melunturkan suasana bepuasa. Begitu juga bekalan air bersih yang hanya diperolehi dari perigi tua ditepi sawah, tidak pernah meruntun semangat kami untuk menjalani ibadat puasa dengan tabah. Kedatangan Ramadhan masih dapat dinikmati dalam suasana yang segar dan meriah. Masih ku ingat sewaktu hendak berbuka, amat sukar sekali mengenalpasti masuk waktu berbuka. Maklumlah waktu itu tiada jam, juga radio atau tv seperti sekarang untuk mendengar azan maghrib. Juga, tiada kedengaran laungan azan dari surau atau masjid seperti sekarang disebabkan ketiadaan bekalan letrik.Yang menjadi panduan hanyalah bunyi ketuk atau gendang dimasjid yang dipalu sewaktu masuk waktu bagi menandakan waktu berbuka. Itu pun kadang-kadang kedengaran dan kadangkala tidak disebab jarak yang agak jauh. Kadangkala ayah terpaksa meninjau-nijau keufuk barat bagi melihat cahaya matahari yang terbenam dan membuat tafsiran sendiri menentukan waktu berbuka. Ketika cuaca redup atau hari hujan, keadaan akan bertambah kusut. Kami sekeluarga akan terkapai-kapai sendiri mencari titik penentu waktu berbuka atau imsak.......

Suasana kampong yang damai

Waktu persekolahan berjalan seperti biasa walau dibulan puasa. Disebabkan jarak rumah ke Sekolah Kebangsaan Labu Besar agak jauh, kami terpaksa berjalan kaki pergi dan  balik. Masih ku ingat sewaktu darjah 1, disebabkan panas terik dan perit matahari sewaktu berjalan kaki pulang dari sekolah, pernah mencabar juga iman puasa. Dik keletihan dan dahaga yang melampaui hari biasa, pernah juga aku terus keperigi dibelakang rumah sebaik sahaja sampai kerumah dengan alasan mandi dan menyejukkan badan. Tapi, sewaktu mandi, 'seteguk dua air' akan masuk juga kerongga tekak bagi menghilang dahaga...... Bila balik rumah, buat muka selamba sahaja dan pura-pura letih berpuasa.......

Memori juga sering berputar ketika aku bersama abang (Ibrahim) menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual air sirap dan ais ketul dibulan puasa bagi menambah pendapatan dan mencari duit raya. Ketika cuaca panas membahang, minuman ber'ais' merupakan mimpi bagi kami penduduk desa waktu itu. Manakan tidak, dengan ketiadaan bekalan letrik dan peti sejuk, minuman ber'ais' amat sukar diperolehi. Ayah membantu dengan memesan ketulan ais dari Kulim yang dihantar setiap hari melalui perkhidmatan bas Syarikat Lian Hin Kongsi yang beroperasi dari Kulim kepekan Malau melalui kampong kami. Setiap hari, kami akan menunggu ketibaan ketulan ais melalui bas yang akan diturunkan di tepi simpang Kampong Padang Ubi. Bungkusan ais itu diliputi habuk-habuk kayu bagi mengelakkan ianya cair sewaktu dalam perjalanan. Sebaik sampai, ketulan ais itu akan dibawa balik kerumah dan dipotong menjadi ketulan-ketulan kecil untuk dijual. Abang kemudiannya akan mengisi ketulan-ketulan  ais itu kedalam kotak kayu yang diikat dipelantar basikal tua ayah. Kotak kayu itu juga diisi dengan serbuk-serbuk  kayu. Apabila siap, dia akan mengayuh untuk menjaja sekeliling kampung. Seketul ais boleh dijual dengan harga 15 sen. Jika cuaca panas, dagangan akan laris 'macam goreng pisang panas' dalam masa tidak sampai pun 2 jam. Dapat juga hasil jualan dalam 2 atau 3 ringgit sehari. Tapi, masalah akan timbul jika tiba-tiba hari hujan. Tiada siapa yang akan membeli ais ketul, dan abang akan pulang dengan kehampaan, sedangkan dagangan masih banyak dalam kotak. Waktu itulah pelbagai ikhtiar dibuat untuk 'menyelamatkan' ais yang berbaki, termasuk 'menanam'nya bersama serbuk kayu kedalam tanah bawah rumah bagi menghindarkan ianya cair !. Malangnya , selepas beberapa jam sahaja, apabila dikorek kembali, yang tinggal hanyalah serbuk-surbuk kayu sahaja.........

Suasana kemeriahan bulan Ramadhan juga sudah tentu tidak terlepas dari kemeriahan dan memori indah ketika mengerjakan solat terawih samaada di Masjid Kampong Bikan, atau di surau Kpg Padang Ubi yang teletak tidak jauh dari rumah. Kelibas Tok Siak Jusoh dan Abang Pin yang petah dan becok memarahi kami kerana buat bising mengganggu jemaah yang sedang bersolat masih jelas diingatan. Sebagai kanak-kanak, dunia hanya dipenuhi dengan bermain pelbagai maianan sewaktu orang lain sedang khusuk menyembah Allah. Main aci, main kejar-kejar, main 'cak-cilut' dan entah apa-apa lagi, masih segar diingatan hingga kini. Apabila jemaah hampir selesai solat, kami pun berkumpul beramai-ramai di'balai lintang' untuk menikmati hidangan 'moreh'. Pelbagai masakan dihidangkan seperti bihun, laksa,bubur kacang dan sebagainya untuk jemaah yang berterawih. Sebagai kanak-kanak, menu moreh setiap malam lebih penting dari jumlah raka'at terawih yang dikerjakan !!!

Selesai 'moreh', terutama apabila jemaah telah pulang kerumah masing-masing, kami yang tinggal disurau atau masjid akan memulakan pula apa yang dinamakan 'pesta pukul gendang syok'. Kami akan bergilir memukul gendang disurau dan masjid bagi mengingatkan jemaah untuk bersahur Berdentam-dentum gendang kulit kerbau dipalu, dengan tingkah dan alunan tertentu yang menerbitkan irama yang mengasyikan.

Apabila masuk minggu terakhir bulan Ramadhan, ibu akan sibuk pula menyediakan kuih untuk persiapan hari raya. Waktu ini kami sudah jarang kesurau atau kemasjid kerana perlu membantu ibu didapur seperti membakar kuih (menggunakan makeshift oven yang terdiri dari periuk besar yang diletakan bara api diatas dan dibawahnya).; menumbuk telur (untuk buat kuih bahulu) ; menumbuk dan menekan serbuk kacang hijau (untuk buat putu kacang) atau menebar kuih loyang (kuih ros) didalam kuali yang berisi minyak panas!!. Waktu ini, hati sudah pun dibuai riang gembira menanti suasana raya yang akan menjelang tiba. Selain membuat kuih, ibu juga akan membawa kami ke pekan Malau untuk beli kain buat baju untuk raya. Waktu ini kalau dapat sehelai baju baru dan sepasang kasut rubber sudah cukup megah, dan siap bergaya untuk menyambut hari raya.......
Bermain mecun suatu kemestian

Kemeriahan menyambut Syawal juga tidak terkecuali dengan bermain mercun. Setiap malam selepas sahaja waktu berbuka berdentam-dentum bunyi mecun disana sini, diselang-seli dengan dentuman kuat meriam-karbait sekali sekala terutama dari Kpg Bikan, sebagai tanda pesta untuk malam itu telah bermula. Nasib baik waktu itu belum ada lagi larangan bermain mercun seperti sekarang. Maka bebaslah kami bermain tanpa sekatan.

Akhirnya, tibalah hari raya yang ditunggu-tunggu. Diawal pagi lagi kami sudah bangun, siap bersarapan dengan pulut lemang atau ketupat berserta rendang. Kemudian pakai baju baru untuk kemasjid atau surau bagi menunaikan solat hari raya. Lepas solat, kami akan singgah dirumah tok & tokwan di Kampong Bikan atau dirumah kawan-kawan dan saudara mara untuk beraya. Dapat dulit raya  sekupang dua. Lepas itu, tunggu bas dekat simpang untuk ke pekan Malau untuk menonton wayang. Waktu itu di Malau ada sebuah panggung wayang (Federal Theater), satu-satunya panggung wayang yang ada di daerah itu waktu itu. Selesai menonton, singgah dulu dikedai cina penjual ais dipekan Malau untuk pekena ais kacang dan rojak sebelum naik bas balik kerumah.......