Sunday 11 March 2012

Kulim Yang Ku Kenali...........

Deretan kedai lama Pekan Kulim

Sudah agak lama tidak menjejak kaki kepekan kecil diutara semenanjung ini. Walau pun sekali sekala balik kampong, tapi disebabkan kesibukan masa, dan adanya jalan pintas yang menghubungkan lebuhraya terus kekampong, maka seringkali tiada lagi keperluan memasuki pekan kecil ini.  Disebalik kepesatan pembangunan dan perubahan yang berlaku terhadap pekan ini, ianya tidak pernah meluntur kenangan dan memori lama sewaktu menjadi penghuni didaerah ini suatu ketika dulu. Setiap kali menjejak kaki, terasa bagai 'menyusuri semula denai-denai kenangan' sewaktu zaman remaja dan zaman persekolahan dulu. Sejak memasuki kelas SMC (Special Malay Class) di Sekolah Tunku Abdul Malik, Kilang Lama, Kulim sekitar tahun 1962 dulu, dan seterusnya mengharungi zaman persekolahan menengah di Sekolah Sultan Badlishah dari  tahun 1965 hingga 1969, daerah ini tidak pernah terasa asing. Ianya banyak melakar kisah suka duka ketika mengharungi hidup sebagai seorang pelajar sekolah. Disinilah kami hidup, dan dipersekitaran inilah kami bermain dan belajar. Pekan kecil dan kawasan-kawasan persekitarannya adalah laksana 'padang permainan'  yang mencatat seribu kenangan.
Simpang menghgala kepasar sekarang


Pengkisahan ini akan dibataskan hanya untuk sekitar era tahun-tahun 60an sahaja, kerana selepas era ini saya sudah tidak menghuni didaerah ini lagi.  Bermula dengan menumpang dirumah bapa saudara dikuarters polis (belakang balai polis sekarang) dan kemudiannya menyewa rumah bersama kawan-kawan disekitar Kpg Tunku Putera, Kpg Syed Sheikh, Sg. Badak dan Sg. Limau (apabila bapa saudara bertukar kedaerah lain), daerah kecil ini sudah tidak asing lagi bagi kami. Pekan kecil ini menjadi tumpuan  penduduk kampong dari daerah-daerah berdekatan apabila keluar berbelanja seperti mendapatkan keperluan harian, menjual getah atau hasil pertanian lain, membeli barangan dan pakaian, menjamu selera, berhibur sehinggalah kepada keperluan berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.


Kulim, dipercayai mendapat nama dari sejenis pokok yang banyak terdapat didaerah ini suatu ketika dulu. Ianya dibuka oleh sekumpulan orang-orang dari Patani, Thailand yang menghuni kawasan itu sejak awal abad ke19 lagi. Kemudian, sekumpulan pelombongan Cina datang kesitu disebabkan tertarik dengan hasil bijih timah yang terdapat disitu dan membuka beberapa buah lombong. Antara kawasan terawal pemusatan lombong ini ialah kawasan Belakang Tebuk, Bukit Awi dan Keladi.. Awal tahun-tahun 1900an juga menyaksikan berlakunya 'Perang Nyonya Cantik' atau 'Perang Nonya' antara beberapa taukeh lombong berbangsa Cina di Kulim (akibat merebut perempuan simpanan). Mereka ini menggunakan pekerja-pekerja lombong masing-masing untuk bergaduh sesama sendiri. Hampir 3 tahun peperangan berlaku, akhirnya, pihak British masuk campur dan berjaya menteramkan keadaan. Kulim terus diletak dibawah pentadbiran kerajaan British selepas itu dengan meletakan seorang pegawai polis British. Sewaktu pendudukan tentera Jepun, Kulim menjadi salah satu markas dengan beberapa ketumbokan infantri Jepun berpusat disitu. Sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kulim terus ditadbirkan oleh British  melalui beberapa pegawai daerahnya dimana salah seorangnya ialah YTM Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj, bapa kemerdekaan kita.

Jam Besar

Bangunan jam besar, sebagai mercu tanda Kulim suatu ketika dulu, diresmikan pembukaannya pada bulan September 1957, beberapa minggu selepas negara mencapai kemerdekaan. Ianya dibina khusus bagi memperingati hari yang bersejarah itu.  Bersebelahan jam besar terletak padang Kulim dimana acara-acara besar dan warna-warni diadakan saban tahun seperti sambutan hari kemerdekaan, perhimpunan, acara sukan daerah hingga ke pertunjukan pentas disebelah malam. Antara bangunan-bangunan lama yang masih berdiri megah sehingga kini disekitar Kulim ialah bangunan pasar lama Kulim (1946), Sekolah St. Patrick (1933), Sekolah Sultan Badlishah (1948) dan hospital lama Kulim (1954).

Padang Kulim

Masih ku ingat antara kawasan yang menjadi tumpuan sewaktu zaman remaja dulu ialah stesyen bas Kulim yang terletak betul-betul diengah pusat bandar, bersebelahan bangunan pasar dan gerai buah2an. Deretan gerai menjual air-tebu, kacang rebus dan apam balik, serta mainan kanak-kanak terdapat dibersebelahan stesyen bas ini yang menjadi pusat tumpuan penumpang-penumpang bas dari luar daerah seperti Mahang, Baling, Padang Serai dan Serdang. Terdapat 3 panggung wayang ketika itu untuk melepas gian menonton wayang: Panggung Coronation, Cathay dan Kapitol (asalnya Lai Wah). Panggung-panggung ini menjadi tumpuan kami ketika itu, terutama apabila mendapat tiket percuma yang diedarkan kesekolah-sekolah ketika menyambut sesuatu perayaan. Kalau tidak pun, tayangan "cheapmatinee" (tiket harga murah) setiap pagi Sabtu menjadi tumpuan kami pelajar-pelajar sekolah ketika itu. Apa tidaknya dengan harga tiket hanya 25 sen bagi kelas 3 (barisan hadapan sekali) dapatlah kami menikmati filem-filem lama yang diulangtayang terutama filem-filem klasik inggeris termasuk filem-filem "cowboy".

'Nasi kandaq' terbaik waktu itu letaknya berhampiran stesyen bas, berhampiran tokong Cina. Tapak tersebut terletak berhampiran arked MARA sekarang (asalnya Sekolah Lelaki, Kulim yang kemudiannya dipindahkan ketempat lain).  Rasanya waktu itu kalau datang ke pekan Kulim dan tidak 'pekena nasi kandaq' disitu rasanya macam tak sah. Entah apa bahan yang diletaknya, bila rasa sekali lain lagi mahu lagi..... Mee rebus pulak yang tersohor terletak dideretan kedai berhadapan panggung Coronation, dan tidak jauh dari perhentian teksi.
Gereja Catholic Kulim dan disebelahnya pasaraya Yawata


Sebagai pelajar, tempat 'shopping' pakaian kami waktu itu ialah deretan kedai ala-bazar yang membarisi tepi jalan menghala kepanggung Kapitol. Disamping menyediakan kemudahan membeli pakaian, gerai-gerai bazar ini menawarkan harga yang berptutan dan boleh tawar-menawar. Terdapat juga kedai menjual ais-kacang tempat kami lepak-lepak waktu petang dipenghujung deretan kedai-kedai ini dibawah pohon-pohon 'cherry' yang rendang. Manakala satu-satunya kedai alattulis yang sering dikunjungi waktu itu tidak jauh dari situ ialah "The Night Book Store". Hanya terdapat 2 kedai gambar disekitar pekan waktu itu iaitu Chew Wah Photo dan Liew Chin Photo.

Dari pekan Kulim ke sekolah di Kilang Lama, tambang bas kuning ' The Kulim-Baling Transport  Co.' cuma 15 sen. Itu pun kalau turun betul-betul depan sekolah. Kalau nak jimat duit, turun saja di pekan Kilang Lama cuma bayar 10 sen. Pekan Kilang Lama mempunyai 'round-about' terkecil didunia (kini telah diganti lampu isyarat). Turun bas boleh lepak-lepak dulu dikedai mamak bawah pokok 'cherry' ditepi simpang  tiga sambil makan ais-kacang, atau singgah kedai mamak Hamzah pekena roti canai. Kemudian baru jalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 500 meter.


Demikian sedikit gambaran Kulim sewaktu dulu-dulu. Tapi kini, segalanya telah banyak berubah.  Wajah pekan kecil yang aman damai seperti dulu telah banyak 'hilang' dihambat arus kepesatan pembangunan. Saya hanya mampu mendongak dan memandang menerusi tingkap kereta setiap kali lalu didaerah ini, kerana apa yang saya cari dan 'rindu' seperti dulu semuanya telah hilang ditelan arus masa.............

Friday 2 March 2012

HALATUJU UMNO DAN KEMANAKAH ORANG MELAYU HENDAK DIBAWA..................

UMNO sedang 'mengelupor' (kata orang-orang utara), atau sedang 'berhempas pulas' mencari ruang dan nafas untuk menghadapi asakan dan serangan bertubi-tubi dari Pakatan Rakyat (PR), dan rakyat keseluruhannya terutama jenerasi muda. Masakan tidak, saban hari kita melihat ramai anak muda termasuk pelajar-pelajar IPT meluahkan perasaan dan pendapat melalui maya 'cyber' seperti dilaman-laman 'facebook' dsbnya, tentang kekecewaan mereka terhadap parti yang memerintah. Pekikan dan laungan 'ABU' (Asal Bukan UMNO} telah banyak kedengaran disana sini. Dan dalam setiap perhimpunan yang diadakan oleh pihak pembangkang, ratusan malah ribuan anak muda keluar beramai-ramai menyertainya, berbanding program-program pemerintah sendiri. Contoh terbaik yang dapat kita lihat ialah himpunan Bersih 2.0 tahun lalu dan himpunan Hijau (Anti Lynas) yang diadakan baru-baru ini.

Apakah petunjuk ini tidak menyakinkan kita bawa gelombang anak muda kini sudah berubah hala tujunya dan tidak lagi menyokong UMNO dan parti pemerintah? Walaupun  DS Najib dan barisan kepimpinannya sering menyatakan yang UMNO sudah pulih dan sokongan orang Melayu terhadap UMNO sudah kembali seperti dulu, sebenarnya kenyataan seperti ini hanyalah sekadar 'penyedap rasa' semata. Hakikat dan realiti didepan mata memberi gambaran yang amat berbeza. Kalau DS Najib begitu yakin yang UMNO sudah pulih dan orang Melayu sudah kembali berbondong-bondong kepangkuan UMNO, mengapa masih tercari-cari tarikh PRU13?  Bukankah elok diadakan sekarang sebelum mereka berbondong bondong pula 'lari' meninggalkan UMNO!!

Jika diteliti, sebenarnya dukongan dan sokongan tegar terhadap UMNO yang masih bersisa hanyalah dari gulongan tua, orang-orang kampong, makcik pakcik FELDA, serta kakitangan kerajaan dan penjawat awam yang 'terkunci' kebebasan mereka, serta gulongan yang masih bergantung 'talian hayat' untuk meneruskan kesinambungan hidup dengan bergantung kepada UMNO atau kerajaan. Mereka inilah yang masih setia memberikan UMNO nafas untuk terus hidup. Sedangkan gulongan muda, para profesional dan cerdikpandai dan intelek Melayu nampaknya sudah lama 'beralih arah' menjauhi UMNO.

Mengapakan hal ini berlaku? Sebenarnya rata-rata orang Melayu melihat bahawa UMNO sudah parah dan 'nazak'. Ianya umpama penyakit kudis bernanah yang telah merebak menjadi busong, yang tidak boleh diubati lagi serta perlu 'dibuang' saja. Penyakit-penyakit seperti rasuah, kronisma, penyelewengan, salahguna kuasa dan macam-macam lagi sudah jauh merebak dan sukar diubati. Lihatlah sahaja apa yang berlaku disekeliling kita. Kes-kes penyelewengan dan scandal yang bermacam-macam dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis berlaku tanpa ada jalan penyelesaian.. Terkini adalah kes NFC (pinjaman 250 juta), FTZ (kerugian 12 billion), MAS (kerugian 8.8 billion), Proton (kerugian 88 juta) dan penyelesaian Danaharta keatas kes tuntutan Tajaudin Ramli (MAS) yang tidak diumumkan jumlahnya. Malah kerugian kerajaan dizaman Dr. Mahathir menjadi PM saja sudah dianggarkan sebanyak RM100 billion!!!. Itu belum termasuk kerugian dizaman Pak Lah dan Najib. Semuanya ini duit siapa kalau bukan duit rakyat.

Tapi, orang Melayu masih ramai menyokong UMNO. Apakah mereka ini tidak tahu apa yang berlaku, atau sengaja tidak mahu tahu. Mereka masih berterusan menyokong UMNO kononnya atas dasar menjaga maruah dan hak-hak orang Melayu! Hak apa lagi yang tinggal jika hutang sudah 'berbukit' dan semua kemegahan Melayu (seperti bahasa Melayu, kedudukan bumiputera, ekonomi dan hak raja raja dan Perlembagaan Negara) telah lama dirobek dan 'dilacurkan'..

Tidakkah kita sendiri melihat dengan jelas bahawa UMNO itu sendiri kini sudah banyak yang 'rosak'. Ianya bukan lagi gagasan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar pada tahun 1946 dulu. UMNO itu telah berkubur dalam tahun 1987. Dikuburkan dan ditalkinkan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Yang ada sekarang adalah 'UMNO ciptaan baru' diera Dr. Mahathir yang samasekali mempunyai citarasa dan semangat juang yang berlainan dengan UMNO dizaman Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak dan Tun Hussin Onn dulu.

Walaupun begitu, orang Melayu, khususnya diluar bandar, dikampong-kampong kebanyakannya masih setia bersama UMNO ini. Bagi mereka ini UMNOlah segalanya yang memberi nafas dan rezeki untuk terus hidup. Bagi mereka ini, jika diberi seringgit dua, atau diberi sehelai kain batik atau pelikat ketika hendak mengundi, maka UMNOlah yang akan mereka undi. Mereka langsung ditutup mata dan telinga terhadap kejijikan yang banyak berlaku oleh UMNO terhadap rakyat. Tidak menghairankan kita kerana sumber maklumat mereka amat terbatas. Hanya media arus perdana yang dikawal kerajaan sahaja yang menjadi wadah penyampai berita kepada mereka sejak dulu, kini dan selamanya. Mereka 'menutup' samasekali minda mereka dari  alternatif berita lain, selain apa yang dipaparkan oleh Utusan, Berita Harian, RTM, TV3 dan media-media lain yang sewaktu dengannya. Begitu juga dengan kakitangan dan penjawat awam.. Kebanyakan mereka disampok syaitan bisu dan tidak berani berbuat apa-apa teguran atas alasan menjaga kedudukan, pangkat dan periuk nasi, walaupun tahu banyak kemungkaran yang UMNO lakukan dihadapan mata mereka. Mereka hanya akan berani bersuara selepas bersara atau tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan..

Dan kini apabila didapati sokongan orang Melayu sudah jauh merudum, kepercayaan sudah banyak terhakis, barulah UMNO mula bangkit dengan janji-janji manis dan 'gula-gula' politik pilihanraya terutama menjelang PRU13 yang akan datang. Malah taktik bermain kotor dengan menyerang pakatan pembangkang (PR) dengan menggunakan 'samseng' dan mengugut rakyat agar tidak keluar memberi sokongan kepada PR nampaknya sudah mula berlaku. Atas alasan mengekalkan 'survival' dalam politik, mereka saunggup menggunakan pelbagai helah dan taktik kotor, hatta sampai menggunakan video lucah dan fitnah memfitnah sesama Islam.

Orang Melayu harus bijak dan berfikiran matang. Jangan lagi biarkan diri 'diperbodohkan' dengan janji-janji manis dan umpan 'gula-gula pilihanraya'. Kita sudah memberi mereka 54 tahun untuk mentadbir dan memerintah negara. Tapi nampaknya mereka hanya mengambil kesempatan keatas kita. Yang kaya raya hanyalah kaum keluarga, sahabat handai dan kroni mereka sahaja sedangkan rakyat marhaen macam kita semua 'dok macam tu la jugak...'.  Mereka tidak berupaya memberi kita lebih dari apa yang selalu mereka laung-laungkan, iaitu mereka telah berjasa dengan ' membina jalanraya, membina jambatan, mendirikan hospital dan memberikan kita bekalan air dan letrik........' Itulah lagu yang selalu mereka dendangkan dari dulu sampai sekarang. Setelah 54 tahun merdeka, kita sepatutnya mendapat lebih dari itu.

Seperti kata seorang kawan kepada saya, sampai bila orang Melayu nak di'perbodohkan'.......... .Cukup lah tu !!!.