Monday 12 May 2014

Menyusuri bakat kurniaan Allah ketika muda.............



Gambar hiasan

Dunia muzik tanahair begitu hampir dengan saya sejak kecil lagi. Entah mengapa, dan saya tidak tahu  apa sebenar puncanya.  Masih ku ingat waktu kecil dulu, mak selalu menegur. “Hang ni hewan sangat aihhh!”.  Ini berlaku bila saya suka sangat ketuk-ketuk lantai, meja atau apa saja ketika duduk-duduk berehat, dengan mulut yang sering menyanyi entah apa-apa lagu. Selalu sangat suka bergendang, kata orang-orang utara!. Saya faham ‘hewan’ yang dimaksudkan disini bukanlah haiwan (binatang) tapi suatu bahasa kiasan orang-orang utara kepada sesaorang yang suka sangat berlagu atau sukakan hiburan. 

Tapi, itulah saya.  Muzik amat dekat dijiwa saya sejak kecil. Tidak tahu macam mana boleh jadi begini kerana setahu saya dalam keluarga, baik disabelah emak atau ayah, tiada seorang pun yang bergiat dalam muzik kalau nak dikatakan ada faktor keturunan. Majoriti mereka orang kampong biasa, manalah ambil tahu sangat mengenai muzik.  Seingat saya sejak dari kecil amat meminati lagu dan muzik. Apa sebenarnya yang mendorong, saya kurang pasti. Mendengar radio dan menikmati lagu-lagu menjadi kegemaran saya . Walaupun ketika itu tiada radio dirumah, saya boleh tunggu berjam-jam dalam semak tepi rumah jiran semata-mata mahu mendengar rancangan pilihan diradio. Radio jiran pula dibuka kuat-kuat, jadi tiada masalah untuk tumpang mendengar. Saya boleh menghafal setiap bait dan senikata lagu yang sering berkumandang dicorong radio tanpa masaalah. Sebut sahaja lagu apa, siapa penyanyinya semuanya saya ikuti dengan teliti. 

Kalau ada pertunjukan pentas, pancaragam ke, ghazal pati ke, atau pertunjukan dirumah kenduri disekitar kampong, saya tidak akan lepas peluang. Siap duduk melangut bawah pentas lagi!. Masih ku ingat sewaktu awal tahun-tahun 60an dulu, sewaktu itu usia baru menjangkau sekitar 13 – 14 tahun, saya mula berjinak belajar bermain gitar secara sendiri-sendiri walaupun hanya dengan gitar buatan sendiri.. 

Secara kebetulan demam pop yeh yeh sedang  melanda negara waktu itu. Saya juga tidak terkecuali melibatkan diri dalam arus yang melanda itu bersama rakan-rakan sebaya dikampong.  Biasalah, sebagai anak-muda yang sedang meningkat dewasa ketika itu, saya begitu cepat terpengaruh dengan apa jua 'genre' muzik waktu itu.  Dengan berbekalkan peralatan muzik seperti  gitar dan drum buatan sendiri, kami menubuhkan ‘band’ atau kumpulan muzik sendiri.  Gitar diperbuat dari barang-barang buangan seperti papan/papan lapis yang dibentuk serta disapu cat atau ‘varnish’; serta talinya dari dawai brek basikal yang dipintal halus. Manakala untuk ‘drum’ pula kami menggunakan tong drum lama yang disapu cat dan dialas kain atau guni dibahagian dalam bagi mengurangkan bunyi gemerincingnya apabila dipalu.  Setiap malam bila ada kelapangan kami akan berlatih muzik dibawah pokok rambutan didepan rumah. Anda boleh bayangkan dengan keadaan serba kekurangan dan kedhaifan, ketiadaan peralatan dan bekalan letrik, kami masih berupaya menyerikan suasana dan pernah dijemput membuat pertunjukan dirumah-rumah kenduri sekitar kampong.  Sungguh lucu! Tapi, itulah hakikatnya.    

Allahyarham ayahanda saya (Hj. Hashim Abdullah)  melihat perkembangan ini dengan teliti. Mungkin atas rasa simpati atau kasihan melihat anaknya yang amat meminati muzik  dalam keadaan yang begitu dhaif dan serba kekurangan, lantas dia sendiri berusaha menghasilkan sebuah gitar untuk saya. Sebenarnya, kalau nak dibelikan sebuah gitar baru, gitar “kapok” atau jenis “akaustik” di ‘The Night Bookstore’, Kulim harganya  adalah sekitar RM98 sahaja. Tapi, waktu itu mana mampu mengeluarkan wang sebanyak itu. Atas rasa kasih sayang seorang ayah, yang dia sendiri pun tidak begitu arif tentang alat muzik itu apa lagi untuk bermain, tetapi mengambil inisiatif dan berusaha gigih membuatkan sebuah gitar untuk saya.  Saya masih ingat hampir seminggu lamanya arwah ayah bertungkus lumus dibantu oleh saya dan kekanda Ibrahim  memotong dan membentuk sebatang kayu pulai hingga menjadi sebuah gitar , siap di’varnish’ dan dipasang tali. Dan inilah kali pertama saya memasang tali gitar yang sebenar.  Dan dengan gitar inilah saya berlatih bersama kawan-kawan, dan membawa kesana kemari memperdengarkan muzik saya.   

Apabila saya meningkat dewasa dan bersekolah menengah di Kilang lama, Kulim langkah menjadi lebih panjang. Sewaktu diTingkatan 4, saya menyertai berapa rakan sekelas menganggotai sebuah band yang dianggotai oleh beberapa orang anak anggota  polis di Jalan Panchor, Kulim yang diberi nama D’SATRIA.  Band ini adalah merupakan bank ke-2 (2nd liner) kepada band utama Kulim waktu itu THE VAGABOND, yang agak terkenal dan pernah membuat rakaman beberapa kali di Radio Malaysia Pulau Pinang,  Dengan band ini saya sempat untuk beberapa ketika membuat pertunjukan pentas dibeberapa majlis kenduri  didaerah Kulim. Antara tempat yang saya masih ingat ialah diJunjong, Naga Lilit, Bagan Sena dan Sungai Ular. Tapi, usia band ini tidak bertahan lama kerana selepas habis tingkatan 5, semua anggota bercempera membawa haluan masing-masing. Saya sendiri berhijrah ke Kuala Lumpur selepas itu dan tiada mempunyai peluang dan ruang lagi untuk meneruskan hobi ini.  

Seorang rakan pernah memberitahu saya sewaktu kami berbual mengenai hobi ini: “ Kamu ni silap aliran le! Sepatutnya kamu tidak ambil kursus pengangkutan (transport study), tetapi kursus seni muzik atau seni “performing arts” dimana2 pusat pengajian dulu........” Mungkin ada juga kebenarannya. Tapi, waktu dulu mana ada pusat pengajian yang menawarkan kursus ini seperti sekarang. 

Bakat yang ada pada saya mungkin kini diambilalih oleh anak ketiga saya, Mohd Shahril Izat bin Salleh yang kini bergiat secara  sepenuh masa sebagai pemuzik profesional di Kuala Lumpur.  Kata pepatah Melayu: “Kemana tumpah kuah kalau tidak kenasi.......”