Friday 16 December 2011

Ibulah syurga............


Tercuit juga rasa apabila membaca blog Aliah Abdullah bertajuk: KAKAK DUA DUA, yang memaparkan pengalaman beliau bersama kakak menerima layanan dan gelaran khusus dari bonda tercinta : KAKAK DUA DUA. Gelaran itu kini menjadi kenangan kepada mereka berdua sehingga kehari ini. Sebagai anak dan orang yang rapat dengan Allahyarhamah, gelaran yang asalnya usikan mesra begitu sebenarnya bukanlah suatu yang pelik dari Allahyarhamah bonda. Beliau semula jadi bersifat penyanyang dan sukakan kanak-kanak, terutama dari kalangan anak-cucu dan cicit serta saudara mara terdekat.

HALIJAH BT. LEBAI HUSIN, atau lebih mesra dipanggil Makndak Lijah dikalangan saudara-mara dan sahabat handai, adalah seorang wanita kampung anak kelima dari pasangan suami isteri LEBAI HUSIN BIN TAIYEB dan CHE NAH BT. HJ. DERAEH. Wanita yang berasal dari seorang gadis kampong ini tidak pernah menjejakkan kakinya dimana-mana juga sekolah. Pelajaran 'formal' yang pernah diikutinya hanyalah setakat belajar mengaji Quran dari bapanya LEBAI HUSIN dan ibunya CHE NAH yang   mengajar Quran di Kpg. Bikan, Kulim, Kedah pada era tahun-tahun 40an dan 50an. Pengalaman awal hidup wanita ini dalam keadaan serba-kekurangan dan kesempitan, ditambah lagi kegagalan pada perkahwinan pertamanya, menjadikan wanita ini begitu sabar, gigih, dan tabah dalam kehidupannya, dan tidak pernah mengenali erti putus-asa. Setiap liku-liku kehidupan ditempuhnya dengan tekun dan sabar disamping sentiada pasrah pada takdir dan ketentuanNya.

Paling ku ingat prinsip hidupnya tentang pelajaran. Walaupun diri sendiri tidak pernah kesekolah, Allahyarhamah sentiasa mengambil berat tentang pelajaran kepada anak-anaknya. Saban hari kami diperingatkan oleh Allahyarhamah supaya rajin belajar. Rajin baca buku. Katanya, pelajaran itu yang akan menjmin hidup kamu dimasa depan. Masihku ingat sewaktu sedang tekun mentela'ah pelajaran bagi menduduki peperiksaan SRP (LCE waktu itu) dan SPM (Senior Cambridge sewaktu ditingkatan 5), Allahyarhamah turut berjaga malam bersama-sama saya dan abang. Beliau akan menyediakan kopi panas untuk kami. Walau pun kami sudah tidur, beliau tetap berjaga malam, kadangkala membetulkan bantal atau selimut kami, atau menyuluh dan menyucuh nyamuk yang kekenyangan yang hinggap didinding setelah menghisap darah kami.....

Dalam menjaga keperluan asas dan makan minum kami, beliau tidak pernah putus asa untuk berusaha walaupun hidup sentiasa dibelenggu kekurangan dan kemiskinan. Pernah sewaktu kami balik sekolah dalam hujan lebat dengan pakaian yang basah lencun dan dalam kelaparan, beliau bersusah payah kebelakang rumah mencabut ubi kayu untuk direbus, buat makanan kami dicicah dengan kelapa parut bersama kopi panas........ Beliau pernah bangun tengah malam sekitar jam 3.00 pagi hanya bagi menyediakan roti canai yang diuli dan ditebarkan diatas belakang dulang yang diterbalikkan hanya kerana anak-anak yang baru pulang dan tetamu yang dibawa bersama belum makan.  

Dari segi pekerjaan membantu suami menyara keluarga, beliau tidak memilih kerja. Apa saja kerja pernah dibuatnya. Dari menoreh-getah, mengusahakan sawah mulai mencabut semaian, menanam, merumput dan seterusnya mengetam padi biasa saja dilakukannya. Pernah juga membuat kuih untuk jualan, mengambil upah mengayam tikar mengkuang, membuat bakul, sehingga kepada berniaga secara kecil-kecilan, menjual kain ke kawasan perumahan estet dan sebagainya. Semuanya dibuat demi menyara dan menyekolahkan anak-anaknya.

Masih ku ingat suatu ketika sewaktu kami bersekolah menengah di Kilang Lama, Kulim. Perbelanjaan bulanan agak tinggi. Apa tidaknya, bukan setakat belanja persekolahan perlu ditanggung, tapi bayaran pas bulanan untuk tambang bas berulang-alik dari kampong ke Kilang Lama sebanyak RM13 seorang sebulan harus juga disediakan. Kadangkala hampir seminggu kami tidak dapat pergi sekolah kerana tiada duit tambang sedangkan pas harus dibeli dulu sebelum boleh menaikki bas. Allahyarhamah dengan gigih berusaha agar kami terus dapat bersekolah dengan menjual anak-anak ayam (yang belum sempat membesar), atau kadangkala terpaksa menjual kepingan getah yang masih basah (hasil menoreh dikebun orang) kerana bimbang pelajaran anak-anaknya terjejas.

Limpahan kasih sayangnya kepada anak-menantu, termasuk cucu-cucu dan juga sanak-saudara bagaikan air yang mengalir dan tidak pernah terputus. Masih saya ingat ketika menjelang hari raya, beliau sibuk mengumpul duit-duit syiling untuk dibuat sedekah hari raya. Tak kira yang tua ke muda, siapa yang datang menziarah dia pada hari raya akan dihulurnya duit raya. Bukan banyak pun, hanya sekadar 30 sen atau 40 sen, tetapi beliau tetap mahu memberi....... Masih saya ingat waktu pagi raya, rumah kami akan dikunjungi oleh ramai kanak-kanak, bukan setakad sekitar Kpg Padang Ubi sahaja, tetapi kanak-kanak yang datang dari Kpg. Bikan dan Bikan Hulu. Semuanya kerana nak duit raya.........,.

Sebagai seorang guru mengajar  Quran, baktinya tiada tolok bandingnya. Hanya ketika penghujung hayatnya sahaja apabila keadaan kesihatan dan penglihatan yang sudah merosot membuatkan beliau tidak lagi mengajar Quran. Sebelum itu beliau sentiasa aktif menjadi guru mengajar Quran, dan ramai saudara mara termasuk anak jiran yang belajar mengaji serta menghabiskan 30 juzuk Quran dengannya. Saya masih ingat bab mengajar Quran ni, beliau tiada tandingnya sehingga ketika memasak didapur pun beliau akan menegur bacaan kita kalau tersilap........ Separuh dari Quran itu seperti telah sebati dalam dirinya......

Beliau dijemput kembali oleh Allah pada penghujung bulan April 2006. Hancur luluh perasaan hati saat kehilangan dia. Saya masih teringat sewaktu menghantar jenazah Allahyarmah kekubur, ketika kami mengusung jenazah menuruni bukit dalam perjalanan ketanah perkuburan di Masjid Kpg. Bikan, seorang anak muda awal 20an tiba-tiba muncul keluar dari arah rumah ditepi jalan, dan berlari-lari sambil mengenakan baju, bergegas merapati saya dibahagian depan keranda untuk turut mengusung.  "Abang dok tepi dulu........biar saya usung pula. Ini bahagian saya !!!..." katanya selamba. Saya yang sudah keletihan menyerahkan palang pengusung kepada beliau, dan dengan penuh semangat beliau mengusung jenazah sehingga kemasjid..

Dalam terpinga-pinga, hati turut berkata. Siapa pemuda ini? Mengapa beliau begitu beriya hendak mengusung, sehingga sanggup berlari mengejar kami dan tak sempat pakai baju? Apa hubungannya dengan Makndak Lijah sehingga membuat dia begitu tergesa-tegas dan bersemangat sekali untuk membantu?

Akhirnya, persoalan terjawab juga. Dia yang ku hampiri sewaktu sedang mengibas peluh dibadan setetelah selesai meratakan tanah dierkuburan itu, tiba-tiba menjawab: " Makndak Lijah ni guru mengajar Quran saya.. Banyak jasanya pada saya, bang. Walau pun saya tidak tinggal dikampong lagi, namun apabila mendengar dia telah tiada, saya bergegas pulang dan ingin memberi khidmat terakhir saya pada dia....." katanya penuh sayu. Terpegun saya seketika. Dihati kecil tertanya-tanya apakah akan ada orang yang akan berlari sebegini untuk mengusung jenazahku nanti apabila aku telah tiada.......? Oh ibu........jasa dan khidmat baktimu sebenarnya tidak pernah sia-sia..................

Begitulah luhur dan kerdilnya insan yang bernama Makndak Lijah. Hilangnya bagi kami seperti hilangnya sebutir bintang dilangit kehidupan. Malam-malam yang seterusnya sudah menjadi suram dik kehilangan kerlipan bintang ini. Akan sentiasa juga dikenang, khusunya bagi kami anak-anak cucunya serta bekas-bekas murid mengaji Quran yang pernah diasuhnya suatu ketika dulu.  Sebagai seorang ibu, pengasuh, pendidik, dan seorang pembimbing kepada kami, jasanya amat tidak ternilai. Beliau mempersiapkan kami untuk menjalani hidup sebagai orang dewasa yang berani menempuh pelbagai liku-liku  dan badai kehidupan. Benarlah seperti maksud pantu Melayu yang berbunyi:

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Waktu kecil ditimang ibu
Bila besar ditimang gelombang.......


Amin, dan Al-Fatihah untuknya..............

Sunday 4 December 2011

Perhimpunan Keluarga......Suatu Wadah Memperiratkan Silaturrahim Keluarga


Sudah lama saya tidak menulis diruangan ini. Hampir 3 bulan. Terlalu sibuk dengan urusan harian terutama hal perpindahan tempat kediaman, termasuk juga soal perpindahan rumah anak-anak.  Disamping itu, saya sekeluarga juga terlibat sebagai penganjur perhimpunan keluarga kali ini. Agak sibuk juga menguruskan hal-hal berkaitan persediaan perhimpunan tersebut, yang telah berjaya diadakan pada 26.11.2011 dan 27.11.2011 yang lalu. Alhamdullillah !. Sekarang semuanya sudah selesai. Sudah boleh bernafas kembali, kata orang.

Walaupun baru kembali dari perhimpunan keluarga di Pulau Pangkor, Perak, namun rasa letih dan sengal-sengal urat masih teraasa. Bagaimana pun, hati tercuit rasa gembira dan bangga, walaupun penat, melihat kehadiran seramai 96 orang ahli keluarga diperhimpunan tersebut, walaupun pada jangkaan awal kehadiran hanya sekitar 70 orang sahaja

Pada seluruh ahli keluarga yang telah turut hadir dan memberi sumbangan dan dan memeriahkan perhimpunan kali ini, pihak saya dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga. Anda sesungguhnya telah memperlihatkan semangat kekeluargaan yang sihat dan kental.  Tanpa kerjasama dan penglibatan anda semua tidak mungkin perhimpunan ini dapat dijalankan dengan lancar dan meriah sekali. Bagi mengadakan majlis perhimpunan yang besar sebegini, sudah tentulah akan terdapat pelbagai kelemahan dari segi penganjuran, serta perkara-perkara remeh yang sukar dijangkakan, terutamanya dari segi.penginapan, makanan & lojistik. Apa-apa pun, sebagai penganjur saya telah mengusahakan yang terbaik mungkin. Dan kami juga memohon ampun dan maaf jika masih terdapat apa-apa kekurangan atau perkara-perkara yang tidak memuaskan hati semua pihak.


Bagi saya perhimpunan tahunan seperti adalah wadah yang amat berharga untuk seluruh kaum keluarga. Masakan tidak. Bukannya senang hendak dikumpulkan seluruh ahli keluarga pada suatu masa dan disuatu tempat secara serentak. Kalau ada pun yang lepas-lepas perhimpunan kecil yang dapat diadakan hanyalah dimajlis-majlis kenduri kahwin atau jika ada kematian ahli keluarga. Tapi, perhimpunan yang diadakan pada kali ini, telah berjaya mengumpulkan ramai saudara mara, dari pelbagai pelusuk tanah-air i.e dari Perlis diutara, sehinggalah Johor diselatan. Semuanya datang dengan suatu hajat untuk bertemu dan bersantai bersama-sama disamping memgiratkan tali-silaturrahim sesama keluarga.

Bagi ahli keluarga generasi muda, inilah masa untuk berkenal mesra diatara adik-beradik, saudara-mara, pak saudara mak saudara dan sepupu-sepapat. Kalau tidak diperiratkan sebegini, pertalian keluarga akan menjadi rapuh dan renggang dan semakin jauh. Lama kelamaan, antara keluarga tiada langsung mengenali antara satu sama lain. Dan langsung timbul kesedaran tentang kaitan dan pertalian  sesama keluarga.



Disamping berjumpa dan beriadah bersama, seluruh ahli keluarga juga dapat bersama-sama mensedekahkan bacaan Yasin dan Tahlil kepada arwah-arwah saudara mara yang telah pergi mendahului kita. Sessi ceramah motivasi keluarga dan sessi pengkisahan sejarah keluarga juga dapat merapatkan silaturrahim dan memperjelaskan kefahaman tentang letak-duduk salasilah keluarga.

Disebelah siangnya, aktiviti 'out-door' seperti sukaneka kanak-kanak, dan aktiviti pantai diadakan. Kemuncak aktiviti pantai diadakan peraduan tarik-tali yang dipecahkan kepada 2 pasukan :, i.e kumpulan dari utara (mewakili saudara mara dari Kedah, Pulau Pinang & Perlis), melawan pasukan keluarga dari selatan (terdiri dari ahli keluarga yang datang dari Perak, Selangor, Wilayah Persekutan, Negeri Sembilan dan Johor). Keputusannya pasukan dari utara telah muncul sebagai juara.



Apa-apa pun, perhimpunan tahunan yang telah diadakan sejak 3 tahun berturut-turut ini, telah berjaya menanam kesedaran pada seluruh ahli keluarga tentang pentingnya kita kenal-mengenali antara satu sama lain, disamping menyemai dan memupuk persaudaraan dan kasih-sayang sesama keluarga. Jelas terpancar dari air-muka masing-masing pada hari terakhir perhimpunan, rasa gembira dan kepuasan, serta kenangan manis yang dibawa balik sebagai bingkisan kenangan untuk disimpan sebagai memori.......

Kita juga berharap kalau tiada aral merintang, kita akan berjumpa lagi ditahun hadapan ditempat dan persekitaran yang lain pula....................Insya Allah !!!

Thursday 18 August 2011

ALAHAI..............SPR !!!


Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengkaji transformasi piliharaya memang disambut baik oleh semua pihak. Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak. Sekurang-kurangnya, secara jujur kerajaan mengakui terdapat beberapa kepincangan yang masih menyelimuti sistem piliharaya kita.

Tapi soalnya sekarang, apakan kerajaan benar-benar jujur ingin melihat transformasi kearah penyucian sistem pilihanraya dibuat? Atau adakah kerajaan hanya ingin 'melepaskan batuk ditangga' dan mengaburi mata rakyat ekoran desakan dan tekanan oleh BERSIH 2.0 baru-baru ini? Rakyat masih skeptikal mengenai usaha ini. Ketelusan dan keikhasan kerajaan mesti dibuktikan dulu jika kerajaan benar-benar mahu menyakinkan rakyat, kerana rata-rata rakyat sudah hilang keyakinan keatas cara kerajaan mengendalikan sesuatu isu, terutama sikap dolak-dalih dan 'flip-flop' yang ditunjukkan oleh PM sendiri sewaktu mengendalikan isu BERSIH 2.0 baru-baru ini..

Masakan tidak, sejak mutakhir ini pelbagai 'kepincangan' dan 'kelemahan' yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) nampaknya telah terbongkar satu demi satu. Hampir saban hari ada saja bukti-bukti baru yang 'terburai' dan 'dilondehkan' oleh parti-parti pembangkang yang telah berusaha secara sendiri meneliti dan menyemak data-data dalam daftar pengundi yang ada demi untuk memastikan daftar pengundi terkini yang dipunyai oleh SPR bersih dari sebarang penyelewengan dan manupulasi.

Pelbagai pendedahan telah dibuat. Bermula dari isu 'pengundi hantu' yang telah lama disuarakan dan sehingga kini masih belum dapat diberi penjelasan yang menyakinkan oleh SPR. Kemudian isu pertindihan nama dalam daftar mengundi, hinggalah kepada pendaftaran dan penggunaan rakyat asing yang turut didaftar sebagai pengundi dibeberapa tempat strategik. Isu seorang pengundi yang mempunyai 2 identiti dan didaftarkan di 2 tempat yang berlainan sering menghantui kita. Jika ini belaku, bermakna si pengudi boleh mengundi 2 kali di 2 tempat berasingan. Juga tentang isu undi pos, dimana bukan sahaja terhad kepada anggota tentera dan polis sahaja, malah melibatkan seuruh kaum keluarga mereka juga didaftarkan sebagai pengundi pos!. Seluruh negara terkejut oleh pendedahan pihak pembangkang baru-baru ini bahawa terdapat bukti-bukti jelas tentang ujudnya komplot terancang untuk memenangkan pihak pemerintah dalam pilihanraya yang akan datang. Masakan tidak, sehingga ada bukti sebuah rumah kecil di Permatang Paun telah digunakan sebagai alamat pendaftaran untuk 16 orang pengundi,yang terdiri dari pelbagai bangsa.

Kemudian muncul pula beberapa orang bekas tentera yang membuat pengakuan bahawa mereka telah membantu mengundi dengan memangkah kertas undi pos sewaktu berkhidmat dulu bagi memenangkan BN. Kerja-kerja ini dilakukan mereka dibawah arahan bos-bos tertentu sehingga 'naik lenguh tangan'. Kemudian pecah pula berita yang menggemparkan seluruh rakyat dimana pemegang kad MyPR telah didaftar sebagai pemilih dan diberikan Mykad dalam keadaan yang amat mencurigakan. Dalam suatu kes di Selangor, seorang yang bernama Mismah yang memegang status penduduk tetap (PR) telah didaftar sebagai pengundi. Apabila kes ini terbongkar, status Mismah tiba-tiba bertukar dalam daftar SPR dari pemegang MyPR kepada Mykad dalam masa tak sampai pun 4 jam pada hari yang sama !.

Nampaknya sudah banyak yang terdedah. Sudah 'kantoi' kata budak-budak sekarang. Macam mana nak sembunyi lagi. Entah sudah berapa lama permainan kotor ini berlangsung, tidak dapat kita pasti. Apa yang pasti pilihanraya umum sudah hampir masuk yang ke13, tapi baru sekarang kita tahu cerita dan rahsia sebenarnya. Sudah lamalah agaknya rakyat negara ini tertipu dek permainan dan muslihat kotor pihak-pihak yang memerintah ini dalam usaha untuk mengekalkan kuasa. Kalaulah pendedahan ini tidak dibuat dan rahsia tidak terbongkar, tentulah semua rakya masih tidak sedar kelicikan dan tipu-muslihat yang sedang berlaku....


Tidak hairanlah para pemimpin BN sering melaungkan "Kita pertahankan Puterajaya!"; "Kita mesti ambil alih kuasa di Selangor walau dengan apa cara sekali pun......walau dengan apa senjata yang ada !". Rupanya inilah senjata mereka......

Pendedahan yang dibuat oleh PAS Selangor baru-baru ini amat mengejutkan kita. Mereka telah dapat membongkar kes dimana hampir 1,100 orang pegenang kad PR telah didaftarkan sebagai pengundi di Selangor, khususnya di Parlimen Ulu Selangor, Sabak Bernam dan Shah Alam. Apa nak jadi kepada negara kita kalau Mat Bangla, Mat Indon, Mat Burma dan Mat Kemboja didaftar sebagai pengundi. yang sah. Bolehkah dibiar mat-mat ini menentukan masa depan negara kita?. Sebenarnya, inilah 'game' yang sedang dimainkan oleh mereka-mereka yang berada ditampok kuasa dengan kerjasama pihak SPR dan JPN sendiri. Perasaan mengelabah takut kehilangan kuasa telah menyebabkan mereka sanggup 'menjual' negara sendiri....

Pihak SPR sebagai badan yang berkecuali sepatutnya memainkan peranan sebagai orang tengah dan berkecuali, nampaknya telah tersasar dari landasan asal dan dipergunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan demi untuk kelangsungan kuasa politik mereka.

SPR sendiri perlu dibangunkan dari tidur dan 'dipulihkan' seberapa segera............

Sunday 14 August 2011

CERITA LAWAK BULAN POSA (2) ..........................


Dua orang pengembara Mat Salleh, seorang lelaki dan seorang wanita,  sedang merayau-rayau dan menikmati keindahan hutan tropika di Malaysia. Bukan main suka lagi mereka dapat melihat keindahan hutan, terutama keindahan flora dan fauna yang belum tercemar, sambil mengambil gambar dan melihat unggas dan burung-burung yang berterbangan.

Tiba-tiba sewaktu menuruni suatu lembah, mereka terserempak dengan dua ekor beruang, seekor jantan dan seekor betina, yang juga sedang merayau mencari makan. Kedua-dua Mat Salleh itu tergamam. Tidak tahu apa nak dibuat. Bagaimana pun pengembara wanita itu masih sempat menyelamatkan diri dengan memanjat sebatang pokok berhampiran, manakala yang lelakinya tidak sempat berbuat apa-apa kerana jarak beruang-beruang itu dengannya sudah terlalu hampir. Lalu dia pun teringat pesan orang tua-tua. Kata mereka kalau terserempak beruang, jangan lari. Tetapi hendaklah berbogel dan mematikan diri seolah-olah tunggul kayu. Beliau lantas melucutkan beg sandang dan pakaian yang dipakai serta merta, dan berdiri  tegak mematikan diri dengan tangan mendepa, seolah-olah sebatang pohon mati.


Kedua-dua ekor beruang tadi terus menghampirinya. Si beruang jantan menghidu-hidu muncungnya kearah tubuh pengembara tadi, membelek-belek dicelah kangkangnya, dan berkata sesuatu kepada si betina. Beginilah kira-kira perbualan mereka:

Beruang jantan :  "Heran!,......tunggul mati yang macam ini pun masih ada buah. Tapi buahnya masih putik. Belum masak lagi. Tengok, masih kecil dan kulitnya pun masih berkedut-kedut........"

Beruang betina : "Tak pa lah, yang.......kita tunggulah sampai buah tu masak. Dua tiga hari lagi masaklah tu......."

Beruang jantan : "Oklah, dalam dua tiga hari lagi kita datang semula untuk petik"

Kedua-dua ekor beruang itu pun kemudian berlalu dari situ.

Si pengembara lelaki tadi menarik nafas lega. Rakannya yang memerhati dari atas pokok dengan cemas juga kemudiannya turn mendapatkannya. Nasib baik tidak diapa-apakan oleh beruang itu, fikir hati kecilnya. Setelah mengenakan balik pekaian dan mengambil beg ditanah, kedua-dua pengembara itu pun meneruskan perjalanan.

Setelah beberapa hari merayau-rayau didalam hutan itu, kedua-dua pengembara itu pun mengambil keputusan untuk keluar. Ketika menuruni lembah yang sama sewaktu dalam perjalanan keluar dari hutan, mereka terserempak sekali lagi dengan dua ekor beruang tadi. Kali ini tanpa membuang masa si pengembara lelaki dengan pantas memanjat pokok berhampiran untuk menyelamatkan diri. Maka tinggallah si pengembara wanita terkial-kial tidak sempat berbuat apa-apa. Tanpa membuang masa, dia pun melakukan  seperti apa yang dilakukan oleh teman lelakinya tempuh hari dengan cara berbogel dan mematikan diri. Terpacak dia berdiri disitu dalam keadaan bogel dengan tangan mendepa seolah-olah sebagai sebatang pohon mati..

Kedua-dua ekor beruang tadi menghampirinya. Si jantan terus menghidu-hidu tubuh wanita tadi dari atas kebawah. Kemudian lantas berkata sesuatu kepada si betina :

Beruang jantan : "Nasib kita kurang baiklah, yang......... Tengok, buah yang dulu sudah dipetik orang....dah tinggal bekas......."

Beruang betina : "Ala....kempunannya saya..."

Beruang jantan : "Tapi, tak pa......cuba tengok diatas ni ada dua biji buah yang baru. Tentu dah masak ranum ni...tengok kulit pun dah cekang !!!!"




( Pengarang :   Hahahaha.............!!!!. Jangan batal puasa............. )

Wednesday 10 August 2011

CERITA LAWAK BULAN POSA (1) ...............


Pak Ya dan Mak Piah tinggal di Sik, Kedah. Suatu hari mereka berdua naik bas ke Sungai Petani. Hajat Pak Ya nak beli kereta. Waktu tu harga getah tengah melambung tinggi. Sebagai penoreh, Pak Ya dengan Mak Piah baru merasa nikmat dari rezeki  yang  melimpah ruah dengan tiba-tiba. Wang hasil jualan getah dah agak banyak tersimpan. Jadi Pak Ya bawa Mak Piah ke Sungai Petani untuk membeli sebuah kereta. Kereta 'second-hand' pun jadilah, bisik hati kecil Pak Ya.

Sampai di Sungai Petani, mereka berdua pun pergilah ke sebuah kedai menjual kereta terpakai. Belek punya belek, dari satu kereta kesatu kereta yang banyak berderet diluar'show-room' kedai itu, Pak Ya tertarik dengan sebuah kereta Volkwagon model 1965. Kereta 'Wak segan" bisik hati Pak Ya. Setelah selesai membayar harga, cina kedai pun menyerah kunci dan Pak Ya bersama Mak Piah pun naiklah kereta untuk pusing-pusing sekitar bandar Sungai Petani. Nasib baik Pak Ya dah ada lesen. Dulu dia pernah kerja bawa lori hantar getah dan sekerap kepunyaan Hj. Ludin dikampongnya.

Dari Sungai Petani, Pak Ya membawa Mak Piah ke Bagan (Butterworth). Disamping makan angin, niat Pak Ya nak bawa Mak Piah bersiar-siar dengan 'kereta baru' mereka. Bukan main suka hati Mak Piah dapat makan angin ke Bagan. Tersengih menampakkan gigi karatnya yang bersentelkan tembakau cap labu.

Mereka berdua bercadang hendak ke Tanjong (Pulau Pinang). Pak Ya teringat waktu muda-muda dulu dia pernah ikut rombongan budak-budak kampong naik bas ke Pulau Pinang. Tapi...itu lama dah. Sampai di Bagan, Pak Ya memberhentikan kereta tepi jeti tunggu feri. Orang kata, kalau nak pi Pulau Pinang kena tunggu feri kat Bagan, bisik hati kecilnya. Maka tunggulah mereka berdua disitu. Setiap feri yang sampai, dieja namanya oleh Pak Ya. Tapi feri Pulau Pinang tidak juga kelihatan. Yang dok sampai feri Pulau Pangkor, Pulau Undan, Pulau Talang-Talang, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi. Mana feri Pulau Pinang?, soal hati kecil Pak Ya.

Setelah hampir 2 jam menunggu, Pak Ya dah rasa cemuih. Lutut pun rasa lenguh dan pungkoq pun dah naik kebaih. Dia lihat muka Mak Piah pun dah berpeluh-peluh. Tiada lagi wajah ceria seperti tadi.

"Jom la kita balik". ujar Pak Ya kepada Mak Piah yang duduk tercakong ditepi tembok. "Tak dak feri kot hari ni yang nak pi Pulau Pinang. Lain kali saja lah kita pi...." arah Pak Ya selamba pada Mak Piah.

Dia pun terus start kereta untuk balik. Sewaktu sampai di Padang Serai, tiba-tiba kereka yang dipandunya menghenjut beberapa kali dan kemudian injinnya mati secara tiba-tiba. Dicubanya hidupkan balik beberapa kali, namun tidak berjaya. Pak Ya jadi mengelabah. "Tadi, dok elok. Kenapa tiba-tiba buat hal pulak.." bisik hati kecilnya. Mak Piah disebelah terkebil-kebil, tak tahu nak kata apa. Setelah keluar dari kereta, Pak Ya berusaha menolak kereta itu ketepi jalan agar tidak mengganggu lalu-lintas. Dengan lagak sebagai seorang mekanik, Pak Ya terus kebahagian depan kereta untuk membuka bonet.

"Mak hang oi.!!!......." jerit Pak Ya dari depan kereta.

"Awatnya pulak?." disambut oleh Mak Piah dari dalam kereta, sambil membuka pintu untuk keluar.

"Aku ingat kita dah kena tipu la...... Celaka punya cina kedai jual kereta tadi !!!" Pak Ya terus merungut.   "Ada ke patut dia jual kat kita kereta yang injinnya tak pasang kuat. Tengok ni !!. Injinnya dah jatuh. Dah tak ada disini........." ujarnya sambil menunjukkan tempat injin dibonet depan. Disamping itu, beliau juga memandang-mandang sekitar kawasan kalau-kalau ada injin yang tercicir.

"Habis macam mana ni ? soal Mak Piah dengan muka cemas.

"Mak hang kena tunggu sini. Aku nak tumpang mana-mana kereta yang lalu untuk ke Sungai Petani nak cari cina penjual kereta tadi" cadang Pak Ya. Merah padam mukanya. Mak Piah kelihatan bertambah cemas.

Tiba-tiba sebuah lori kecil berhenti tidak jauh dari mereka. Pemandu lori itu, seorang lelaki India turun dan menghampiri mereka.

"Apa hal encik ?" tanya si pemandu tadi.

"Tarak la tambi. Ini kereta injin sudah jatuh. Saya tak boleh jalan. Apa macam mau bikin?...." tanya Pak Ya seraya menunjukkan kearah bonet depan yang ternganga.

Si India terpinga-pinga. Beliau lantas meminta kunci dari tangan Pak Ya dan membuka bonet belakang kereta. Setelah beberapa ketika membelek injin kereta tersebut, beliau lantas bersuara. "Ayo yo..... minyak sudah kering la. Apa macam injin mau jalan!!". sergah India itu. Beliau lantas kembali ke lorinya dan mengambil sebuah tong kecil berisi minyak dan menuangkan kedalam tangki kereta itu.

"OK, sekarang cuba start" pemandu India itu mengarahkan Pak Ya. Pak Ya terus masuk kekeretanya dan mencuba menghidupkan injin. Tiba-tiba saja injin kembali hidup. Berderum bunyinya bila pedal minyak di tekan.

" Banyak terima kasih la tambi" tersengih muka Pak Ya. "Kalau awak tarak berhenti tadi, saya pun tak tahu apa mau buat. Saya ingat sudah mau tinggal ini kereta disini. Nasib baik ada INJIN SPARE !!!" .

Si India tersengih...........


Friday 5 August 2011

TERKENANG SEMASA DULU ..................'PUASA ZAMAN KANAK-KANAK DIKAMPONG '......

Pekan Malau

Entah mengapa, setiap kali datang Ramadhan, memori lama sewaktu zaman kanak-kanak ketika menyambut Ramadhan dikampong sering berputar kembali diingatan. Sekitar tahun-tahun penghujung 50an dan awal 60an. Umurku waktu itu baru setahun jagung, dan masih dialam kanak-kanak. Kami sekeluarga tinggal di Kampong Padang Ubi, yang jaraknya lebihkurang 5 kilometer dari pekan Labu Besar, dalam daerah Kulim di Kedah. Ketibaan Ramadhan disambut bagaikan pesta seluruh desa, terutama bagi kanak-kanak sebaya aku. Apa tidaknya waktu itulah kami berpeluang merasa makanan yang enak-enak yang disediakan oleh ibu setiap petang sebagai juadah berbuka.  Tidak seperti dibulan-bulan lain, sewaktu bulan puasa juadah dan masakan ibu akan lebih istimewa. Seri muka, tepung talam, bingka, cucur badak, cucur udang adalah diantara juadah kegenmaran. Letih dan penat berpuasa tiada menjadi masalah asalkan dapat menikmati hidangan juadah istimewa masakan ibu setiapkali azan magrib berkumandang. Waktu itu tidak ada pasar Ramadhan seperti sekarang. Kalau hendak menikmati masakan dan juadah yang sedap-sedap, kenalah tunggu bulan puasa atau hari raya. Kadang kala jiran sebelah menyebelah rumah juga turut menyumbang juadah sepiring-dua. Dan inilah yang memeriahkan suasana berpuasa waktu itu. Amalan murni dan semangat kejiranan yang kental ini telah hampir pupus pada masa kini.

Masih ku ingat, sebagai galakan untuk menghabiskan puasa sehari, ibu dan ayah akan mensyaratkan hanya sesiapa yang lengkap berpuasa sehari suntuk sahaja yang dibenarkan duduk bersama ditempat makan menikmati hidangan berbuka bersama mereka. Sesiapa yang tidak puasa kenalah pergi jauh-jauh dan tidak mengganggu mereka yang berpuasa. Mereka yang tidak puasa kena tunggu sehingga selepas orang berbuka baru boleh menjamah makanan. Kadangkala kena pula buat kerja lain sewaktu orang berbuka seperti memasang pelita, menutup pintu dan jendela, menghalau itik kekandang atau menutup pintu reban. Kami yang berpuasa duduk bersila diatas tikar mengkuang mengelilngi juadah dan masakan yang disediakan. Hati terasa megah sekali dengan 'ganjaran' yang diberi!!. Tidak hairanlah kami adik beradik akan berlumba-lumba mengenapkan puasa setiap hari dan tidak mahu 'disisihkan' ketika waktu berbuka. Begitu hebat sekali ayah dan ibu 'mentarbiyah' serta mendidik kami supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan puasa.......

Meskipun kesempitan hidup dikampung yang diulit serba kekurangan, ibadat puasa tetap dijalani dengan gigih dan tidak kurang meriahnya. Ketiadaan bekalan lektrik waktu itu dengan hanya dicerahi pelita minyak tanah tidak sekali-kali melunturkan suasana bepuasa. Begitu juga bekalan air bersih yang hanya diperolehi dari perigi tua ditepi sawah, tidak pernah meruntun semangat kami untuk menjalani ibadat puasa dengan tabah. Kedatangan Ramadhan masih dapat dinikmati dalam suasana yang segar dan meriah. Masih ku ingat sewaktu hendak berbuka, amat sukar sekali mengenalpasti masuk waktu berbuka. Maklumlah waktu itu tiada jam, juga radio atau tv seperti sekarang untuk mendengar azan maghrib. Juga, tiada kedengaran laungan azan dari surau atau masjid seperti sekarang disebabkan ketiadaan bekalan letrik.Yang menjadi panduan hanyalah bunyi ketuk atau gendang dimasjid yang dipalu sewaktu masuk waktu bagi menandakan waktu berbuka. Itu pun kadang-kadang kedengaran dan kadangkala tidak disebab jarak yang agak jauh. Kadangkala ayah terpaksa meninjau-nijau keufuk barat bagi melihat cahaya matahari yang terbenam dan membuat tafsiran sendiri menentukan waktu berbuka. Ketika cuaca redup atau hari hujan, keadaan akan bertambah kusut. Kami sekeluarga akan terkapai-kapai sendiri mencari titik penentu waktu berbuka atau imsak.......

Suasana kampong yang damai

Waktu persekolahan berjalan seperti biasa walau dibulan puasa. Disebabkan jarak rumah ke Sekolah Kebangsaan Labu Besar agak jauh, kami terpaksa berjalan kaki pergi dan  balik. Masih ku ingat sewaktu darjah 1, disebabkan panas terik dan perit matahari sewaktu berjalan kaki pulang dari sekolah, pernah mencabar juga iman puasa. Dik keletihan dan dahaga yang melampaui hari biasa, pernah juga aku terus keperigi dibelakang rumah sebaik sahaja sampai kerumah dengan alasan mandi dan menyejukkan badan. Tapi, sewaktu mandi, 'seteguk dua air' akan masuk juga kerongga tekak bagi menghilang dahaga...... Bila balik rumah, buat muka selamba sahaja dan pura-pura letih berpuasa.......

Memori juga sering berputar ketika aku bersama abang (Ibrahim) menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual air sirap dan ais ketul dibulan puasa bagi menambah pendapatan dan mencari duit raya. Ketika cuaca panas membahang, minuman ber'ais' merupakan mimpi bagi kami penduduk desa waktu itu. Manakan tidak, dengan ketiadaan bekalan letrik dan peti sejuk, minuman ber'ais' amat sukar diperolehi. Ayah membantu dengan memesan ketulan ais dari Kulim yang dihantar setiap hari melalui perkhidmatan bas Syarikat Lian Hin Kongsi yang beroperasi dari Kulim kepekan Malau melalui kampong kami. Setiap hari, kami akan menunggu ketibaan ketulan ais melalui bas yang akan diturunkan di tepi simpang Kampong Padang Ubi. Bungkusan ais itu diliputi habuk-habuk kayu bagi mengelakkan ianya cair sewaktu dalam perjalanan. Sebaik sampai, ketulan ais itu akan dibawa balik kerumah dan dipotong menjadi ketulan-ketulan kecil untuk dijual. Abang kemudiannya akan mengisi ketulan-ketulan  ais itu kedalam kotak kayu yang diikat dipelantar basikal tua ayah. Kotak kayu itu juga diisi dengan serbuk-serbuk  kayu. Apabila siap, dia akan mengayuh untuk menjaja sekeliling kampung. Seketul ais boleh dijual dengan harga 15 sen. Jika cuaca panas, dagangan akan laris 'macam goreng pisang panas' dalam masa tidak sampai pun 2 jam. Dapat juga hasil jualan dalam 2 atau 3 ringgit sehari. Tapi, masalah akan timbul jika tiba-tiba hari hujan. Tiada siapa yang akan membeli ais ketul, dan abang akan pulang dengan kehampaan, sedangkan dagangan masih banyak dalam kotak. Waktu itulah pelbagai ikhtiar dibuat untuk 'menyelamatkan' ais yang berbaki, termasuk 'menanam'nya bersama serbuk kayu kedalam tanah bawah rumah bagi menghindarkan ianya cair !. Malangnya , selepas beberapa jam sahaja, apabila dikorek kembali, yang tinggal hanyalah serbuk-surbuk kayu sahaja.........

Suasana kemeriahan bulan Ramadhan juga sudah tentu tidak terlepas dari kemeriahan dan memori indah ketika mengerjakan solat terawih samaada di Masjid Kampong Bikan, atau di surau Kpg Padang Ubi yang teletak tidak jauh dari rumah. Kelibas Tok Siak Jusoh dan Abang Pin yang petah dan becok memarahi kami kerana buat bising mengganggu jemaah yang sedang bersolat masih jelas diingatan. Sebagai kanak-kanak, dunia hanya dipenuhi dengan bermain pelbagai maianan sewaktu orang lain sedang khusuk menyembah Allah. Main aci, main kejar-kejar, main 'cak-cilut' dan entah apa-apa lagi, masih segar diingatan hingga kini. Apabila jemaah hampir selesai solat, kami pun berkumpul beramai-ramai di'balai lintang' untuk menikmati hidangan 'moreh'. Pelbagai masakan dihidangkan seperti bihun, laksa,bubur kacang dan sebagainya untuk jemaah yang berterawih. Sebagai kanak-kanak, menu moreh setiap malam lebih penting dari jumlah raka'at terawih yang dikerjakan !!!

Selesai 'moreh', terutama apabila jemaah telah pulang kerumah masing-masing, kami yang tinggal disurau atau masjid akan memulakan pula apa yang dinamakan 'pesta pukul gendang syok'. Kami akan bergilir memukul gendang disurau dan masjid bagi mengingatkan jemaah untuk bersahur Berdentam-dentum gendang kulit kerbau dipalu, dengan tingkah dan alunan tertentu yang menerbitkan irama yang mengasyikan.

Apabila masuk minggu terakhir bulan Ramadhan, ibu akan sibuk pula menyediakan kuih untuk persiapan hari raya. Waktu ini kami sudah jarang kesurau atau kemasjid kerana perlu membantu ibu didapur seperti membakar kuih (menggunakan makeshift oven yang terdiri dari periuk besar yang diletakan bara api diatas dan dibawahnya).; menumbuk telur (untuk buat kuih bahulu) ; menumbuk dan menekan serbuk kacang hijau (untuk buat putu kacang) atau menebar kuih loyang (kuih ros) didalam kuali yang berisi minyak panas!!. Waktu ini, hati sudah pun dibuai riang gembira menanti suasana raya yang akan menjelang tiba. Selain membuat kuih, ibu juga akan membawa kami ke pekan Malau untuk beli kain buat baju untuk raya. Waktu ini kalau dapat sehelai baju baru dan sepasang kasut rubber sudah cukup megah, dan siap bergaya untuk menyambut hari raya.......
Bermain mecun suatu kemestian

Kemeriahan menyambut Syawal juga tidak terkecuali dengan bermain mercun. Setiap malam selepas sahaja waktu berbuka berdentam-dentum bunyi mecun disana sini, diselang-seli dengan dentuman kuat meriam-karbait sekali sekala terutama dari Kpg Bikan, sebagai tanda pesta untuk malam itu telah bermula. Nasib baik waktu itu belum ada lagi larangan bermain mercun seperti sekarang. Maka bebaslah kami bermain tanpa sekatan.

Akhirnya, tibalah hari raya yang ditunggu-tunggu. Diawal pagi lagi kami sudah bangun, siap bersarapan dengan pulut lemang atau ketupat berserta rendang. Kemudian pakai baju baru untuk kemasjid atau surau bagi menunaikan solat hari raya. Lepas solat, kami akan singgah dirumah tok & tokwan di Kampong Bikan atau dirumah kawan-kawan dan saudara mara untuk beraya. Dapat dulit raya  sekupang dua. Lepas itu, tunggu bas dekat simpang untuk ke pekan Malau untuk menonton wayang. Waktu itu di Malau ada sebuah panggung wayang (Federal Theater), satu-satunya panggung wayang yang ada di daerah itu waktu itu. Selesai menonton, singgah dulu dikedai cina penjual ais dipekan Malau untuk pekena ais kacang dan rojak sebelum naik bas balik kerumah.......

Monday 25 July 2011

BIJAKKAH TINDAKAN KITA ? .........


Sesiapa pun akan marah kalau dikatakan bodoh. Ianya dianggap suatu penghinaan yang paling kesat kepada kita, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan sesuatu perbuatan atau hasil tindakan kita sendiri. Kita mungkin akan hilang kesabaran, dan menyerang balik pihak yang berkata kepada kita itu tanpa usul periksa lagi. Tapi kalau sesuatu tindakan kita itu memang jelas tidak cermat, tidak dirancang dengan betul dan hasilnya tidak mencapai impak yang dikehendakki, maka apakah tindakan kita itu bijak namanya? Jika tidak disebut 'bodoh' sekali pun, hakikat sebenarnya kita boleh dikategorikan dalam gulongan orang yang bodoh, bebal, bangang atau apa saja yang sama makna dengannyanya. Perkataan-perkataan ini menggambarkan sesaorang yang kurang bijak, kurang cermat befikir serta mempunyai tahap  'IQ' yang amat rendah sama sekali. Berbuat sesuatu tanpa memikirkan implikasi jangka pendek dan panjang, serta membuat sesuatu secara membuta tuli tanpa mengambil kisah apa kesan yang akan berlaku selepas itu adalah jelas suatu perbuatan yang kurang bijak.........

Sama ada kita suka atau tidak, sebenarnya inilah yang sedang berlaku kepada kerajaan sekarang. Sejak mutakhir ini pelbagai tindakan kurang bijak dan tidak wajar dilakukan. Satu demi satu ianya dilakukan seolah-olah tanpa usul periksa dan tanpa dikaji dahulu implikasinya. Apakah teruk sangat daya pemikiran pemimpin-pemimpin kita sampai sudah tidak lagi dapat menggunakan akal fikiran yang waras? Apakah sudah tidak berupaya lagi kita memikir apa yang baik. dan apa yang buruknya sesuatu tindakan dan keputusan yang dibuat? Saya nampak kerajaan sekarang macam orang yang tenggelam punca. 'Buat itu tak kena buat ini tak kena'. Macam orang yang "sedang hampir lemas dihanyutkan air deras". Tidak tahu lagi apa yang perlu dibuat, terkapai-kapai dan tecungap-cungap sehingga sanggup berpaut kepada apa saja demi kelangsungan hidup dan 'survival' untuk terus benafas.........

Cara kita menangani isu perhimpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini, misalnya sedang menjadi perbualan hangat diseluruh dunia. Masakan tidak, cara kerajaan menangani isu itu dilihat amat lemah sekali. Sudahlah keseluruhan jentera kerajaan seperti polis dan  media dikerah bagi mengasak, mengugut, mengertak dan mengancam orang ramai dari menyertainya, pelbagai dakyah dan dakwaan juga dilemparkan bagi menakutkan rakyat agar tidak menyertai perhimpunan itu. Pemimpin-pemimpin kerajaan dilihat seolah-olah  'bergusti' 'bergumpal' dan 'bergelut' semata-mata mahu menggagalkannya. Walaubagaimana pun, disebalik menggunakan apa saja jentera keajaan yang ada, tapi hasilnya, BERSIH 2.0 berjalan juga. Rakyat turun juga ke jalanraya dan berarak.... Kerajaan macam terkebil2 tidak tahu apa lagi hendak dibuat. Apatah lagi bila seluruh dunia menyaksikan kebodohan dan kebebalan kita dalam menghadapi isu kebangkitan rakyat yang rata-rata hanya mahukan suatu reformasi dan perubahan terhadap sistem pilihanraya.. Itu sahaja. Mereka bukan menuntut ditukankan kerajaan. Bila seluruh dunia mengecam kita atas tindakan kasar pihak polis terhadap penunjuk perasaan itu, kita cepat-cepat pula menafikannya. Pihak polis dikerah berhempas pulas pula menyakinkan rakyat dan seluruh dunia bahawa mereka tidak bertindak kasar tehadap peserta demonstrasi. Maka ditunjuklah rakaman video-video terpilih yang menunjukkan 'kemesraan' polis terhadap rakyat yang berdemonstrasi. Tapi, rakyat tidak sebodoh itu. Mereka lantas bertanya mengapa polis mengambil  masa 2 minggu untuk menayangkan video, sedangkan rakyat sudah pun melihat bukti-bukti nyata tentang 'keganasan' dan 'kekasaran'  polis melalui gambar-gambar dan "video-clips" yang dipaparkan di internet seperti di 'you tube' yang mula dimuatkan sejak selesai perhimpunan itu lagi. Gambar-gambar ini ternyata yang lebih 'real' dan dimuatkan tanpa suntingan!!. Tindakan polis ini macam terdesak dan seluruh dunia seolah-olah mentertawakan kita........

Isu Teoh Beng Hock (TBH), pembantu politik kepada salah seorang ADUN diSelangor yang ditemui mati di Pejabat SPRM di Shah Alam juga ditangani dengan cara yang amat mendukacitakan sekali. Dulu, sewaktu diadakan 'inquest', pihak koroner mendapati TBH tidak dibunuh dan tidak membunuh diri. Ertinya, TBH ini mati dengan sendirinya.... Waktu itu, sudah ramai yang menyambut dingin dan  sinis keputusan tersebut. Kini, setelah Royal Commission of Inquiry (RCI) diadakan atas desakan orang ramai, pihak RCI pula mengeluarkan pendapat dan hasil siasatan yang menunjukkan TBH tidak dibunuh tetapi matinya dengan membunuh diri......  Apakah rakyat boleh menerima  keputusan ini? Apakan TBH yang sudah bertunang dan hampir melangsungkan perkahwinan dalam beberapa hari saja lagi sanggup terjun bangunan dan bunuh diri, hanya dengan sedikit asakan dan siasatan SPRM? Sekali lagi banyak pihak yang mempertikaikan keputusan ini dan menganggap sesuatu yang tidak wajar....Bukankah lebih wajar kalau keajaan sendiri mengambil tanggungjawab dari awal lagi tentang kematian tersebut yang berlaku sewaktu simati masih dibawah jagaan SPRM? Kerajaan boleh buat 'public appology' dan bayar sedikit pampasan kepada keluarga simati. Habis cerita.......

Paling terkini pula kes pengusiran peguam dari Peranchis, William Bourdon, yang dikatakan datang kenegara ini atas undangan SUARAM bagi menghadiri majlis ceramah dan penerangan kepada rakyat negara ini berkaitan kes dakwaan terdapat 'rasuah' dan bayaran 'kick-back' kepada segelintir pegawai kerajaan Malaysia berhubung pembelian 2 buah kapal selam Scorpene dari sebuah syarikat Peranchis pada tahun 2002 yang lalu. Kunjungannya hanya bertujuan memenuhi undangan SUARAM dan seterusnya memberi sedikit gambaran dan penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang kes tersebut yang telah difailkan di Mahkamah Peranchis dan akan didengar tidak lama lagi. Tiba-tiba pihak imigresen telah menahan dan mengusirnya pulang dalam tempuh tak sampai pun 48 jam setibanya di Malaysia. Apakah ini tindakan bijak? Pengusiran seorang peguam asing yang bertugas merintasi sempadan sudah tentu bakal membuka mata seluruh dunia dalam masa terdekat tentang ada sesuatu yang tidak kena dengan kita. Bagaimana kita boleh mengusir beliau keluar dengan tidak memberi apa-apa alasan pun? Beliau bukan penjenayah atau orang buruan mana-mana negara? Beliau adalah peguam professional antarabangsa yang datang kesini atas undangan rakyat kita  Dia datang untuk memberi taklimat dan maklumat terkini yang telah diperolehinya hasil siasatannya di Paris tentang kes rasuah yang dikatakan terbabit dengan pembelian kapal selam oleh negara kita. Itu saja. Tapi kenapa dia diusir? Bijakkah tindakan kita?

Tindakan ini pada saya amat tidak kena dan tidak wajar. Dalam kita berhasrat mahu menjadi negara maju, negara yang dihormati duipweringkat antarabangsa, kita pula bertindak seperti sebuah negara dunia ketiga yang kurang bertemaddun. Kita memperlihatkan diri kita kepada seluruh dunia tentang cara pemikiran kita yang masih kelas ketiga.  Macam mana masyarakat antarabangsa mahu menghormati kita kalau begitulah sikap kita?  Saya bimbang kalau selepas ini Bourdon yang diusir pulang akan memberitahu seluruh dunia tentang perihal perbuatan kita. Bolehkah kita pertahankan tindakan kita? Risiko nya amat besar. Mungkin komuniti antarabangsa akan mentertawakan kita. Kerajaan Peranchis sendiri boleh memanggil duta kita di Paris untuk memberi penjelasan tentang tindakan yang memalukan in.. Bagaimana kita nak tutup malu kita?


Bagi saya, semua ini tidak berlaku jika kita berfikir dulu secara bijaksana sebelum bertindak. Bertindak secara berpada-pada dan penuh rasional akan lebih menyelamatkan kita dari menanggung malu. Saya teringat sebuat cerita diogeng yang dimuatkan dalam buku bacaan sewaktu saya dalam darjah 2 disekolah rendah dulu. Ceritanya begini :"Dalam sebuah kampong, terdapat seorang hartawan yang kaya-raya. Beliau mempunyai banyak wang yang disimpan dalam tempayan dirumah. Disebabkan takut wang itu dilarikan pencuri, sikaya tadi telah menanam tempayan yang berisi wang itu dikebun pisang dibelakang rumahnya. Setelah siap menimbus dan meratakan tanah, sikaya tadi meletakkan sebuah papan tanda disitu yang bertulis : "Disini tidak ada wang ! ". Tanpa beliau sedari, sewaktu sedang menanam tempayannya tadi, perbuatan beliau sedang diintai oleh seorang budak nakal dalam kampong tersebut bernama Abu Jahal. Sebaik sahaja sikaya itu beredar dari situ, siAbu Jahal terus mengorek tanah  dikebun pisang tersebut, dan membawa keluar tempayan yang berisi wang yang disembunyikan oleh sikaya tadi. Selepas ditimbus semula tanah, beliau juga meletakkan sebuat papan tanda disitu yang bertulis: "Wang ini bukan Abu Jahal yang curi !!"

Hahaha......begitulah, kalau kita tidak berfikiran bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja. Akhirnya, kita sendiri yang ter'kantoi'..................

Thursday 14 July 2011

YANG LOREK ITU KENDI, YANG MERAH ITU SAGA.................


Saya telah mengikuti dengan penuh minat pelbagai polimik dan diskusi sejak beberapa minggu lalu mengenai Perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan baru-baru ini, terutama di laman Facebook. Pendapat pro dan kontra telah diluahkan oleh pelbagai pihak dilaman tersebut, terutama tentang 'kawajaran' perhimpunan ini PATUT diadakan disuatu pihak, dan 'kewajaran' kenapa perhimpunan ini TIDAK HARUS diadakan disuatu pihak yang lain. Bagaimana pun, perhimpunan telah selesai diadakan. Tidak perlulah kita panjangkan polimik ini. Terpulanglah pada persepsi anda sendiri samaada mentakrifkan ianya berjaya atau sebaliknya. Saya telah menyatakan pendirian saya menerusi tulisan-tulisan saya yang lalu diblog ini, dan saya tidak berhasrat mempengaruhi anda untuk bersama saya menyokong pendirian saya itu.

Tujuan saya menulis kali ini bukanlah untuk memperkatakan tentang BERSIH 2.0. Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang polimik yang telah terpapar dilaman-laman Facebook, dan komen-komen yang diberi berikutan dengan tulisan-tulisan pro dan kontra dipelbagai blog di internet. Ada yang menyokong dan memuji melangit mengenai perhimpunan yang diadakan itu, dan ramai juga yang menghentam dan mengkeji serta melepaskan rasa geram kenapa perhimpunan itu diadakan. Pelbagai alasan diberi oleh kedua-dua pihak. Tidak mengapa. Itu adalah pendapat dan pendirian masing-masing. Tidak kisahlah apa pun pendapat dan pendirianm anda. Tapi saya amat tersentuh cara mana penulisan itu dibuat. Banyak sangat serangan berbentuk peribadi dengan maki-hamun dan kata-kesat dan lucah dilekuarkan dilaman Facebook. Kenapakah hal ini jadi ? Adakah ini sudah menular menjadi budaya kita?.

Bukankah kita rata-rata berbangsa Melayu dan berugama Islam. Sebagai orang Melayu dan berugama Islam, rasa saya, kita tidak pernah pun diajar oleh ibu-bapa kita untuk mencemuh, dan memaki hamun orang lain, hanya kerana orang itu tidak sehaluan dengan pendirian kita. Bukankah kita bangsa Melayu yang sepatutnya amat halus dan tinggi budi pekertinya. "Bangsa Melayu itu jika bergaduh pun, santunnya masih terpelihara..." kata Sasterawan Negara Usman Awang, sewaktu membicarakan tentang ragam manusia Melayu. Apakah kita sudah hilang punca dan berlagak serba tahu sehingga kita sanggup mencerca orang lain. Sanggup memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar? Hilangkah sudah pertimbangan rasional kita dek marah yang teramat sangat hingga bersikap demikian?

Laman Facebook adalah suatu wadah baru yang diujudkan dialam siber untuk kita sebagai umat manusia menggunakannya secara bijaksana dan berhemah. Kita boleh berinteraksi, bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran untuk meluaskan pandangan dan pemikiran kita. Bukan untuk dijadikan wadah dan medan untuk menghentam orang yang tidak sealiran dengan kita. Bukan untuk mencaci, dan memaki hamun sesama manusia. Saya jadi pelik dan sedih bila ada orang yang tergamak sehingga sanggup menggunakan bahasa-bahasa kotor dan maki hamun seperti "f....k"(4 letter word), disamping perkataan-perkataan lain yang tidak kurang kesatnya, seperti : "GTH", "HJ"; "PM"; "Bodoh"; "Babi", "Bangang", dan entah apa-apa lagi. Maaf, saya sendiri tidak sanggup menulis kembali perkataan-perkataan kotor tersebut dan terpaksa hanya menggunakan "abbreviation" sahaja disini. Anda kena faham-faham sendiri le........

Berlainan pendirian dan berbeza pendapat adalah perkara biasa dan lumrah kehidupan. Sejak kecil lagi kita sesama kawan dan rakan juga sering berselisih faham dan berbeza pendapat. Dengan ibu bapa dan kaum keluarga juga kita sering berselisih pendapat, malah dengan rakan taulan, rakan sekolej dan rakan sekerja juga kita sering mempunyai pendapat berbeza. Tapi, janganlah jadikan perbezaan pendapat itu suatu perkara sirius sehingga 'mengizinkan' kita melafazkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kita tuturkan terhadap mereka.

Kalau kita tidak setuju BERSIH 2.0 diadakan, itu adalah pendapat kita. Orang lain mungkin tidak sependapat dengan kita. Mungkin bagi mereka BERSIH 2.0 itu suatu yang wajar diadakan. Masing-masing sudah tentu ada alasan sendiri. Begitu juga jika ada orang yang marah-marah kepada Pasukan Polis atas tindakan  yang dikatakan "agak keras" dan "keterlaluan" terhadap penunjuk perasaan. Biarkanlah. Itu hak mereka mengeluarkan pendapat. Kita juga ada hak kita "mempertahankan" pasukan polis atas sebab-sebab tersendiri, mungkin ada saudara mara kita, kaum kerabat kita berkhidmat dalam pasukan ini. Bukan semuanya polis tu jahat. Pepatah Inggeris ada menyatakan "One swallow doesn't make a summer...." Kalau betul pun polis yang bertindakan ganas hari itu, bukannya semua polis terlibat, Ramai lagi polis yang "baik" dan menjaga keselamatan kita terutama mengekang jenayah sehingga ada yang sanggup mengadai nyawa mereka sendiri! Tak perlulah kita marah-marah, dan maki hamun orang yang menghentam polis itu dengan kata-kata yang kesat dan keterlaluan. Bagi saya semua orang ada hak diatas pendapat masing-masing. Itu perkara biasa. Kita tidak boleh memaksa orang lain berpendirian sama dengan kita. Kalau dia bependirian berbeza dengan kita, hormatilah pendapatnya. Jangan diserang dengan kata-kata kesat dan maki hamun. Siapa kah kita yang berhak menuturkan kata-kata begitu kepadanya ??

Saya teringat kata-kata seorang bijak pandai: "We can always argue......., but don't quarrel. When we argue, we actually focus on facts, and not on personalities. When we quarrel, we lose focus on facts but hit on personalities..." Bagi saya kata-kata ini amat tepat sekali. Kita boleh berpolimik dan berdiskusi dan memberi pendapat, walau panjang berjela mana sekali pun.   "Until the cows come home......." kata perpatah Inggeris. Tapi selagi kita tidak menyentuh peribadi sesaorang, kita masih dianggap insan mulia yang berperibadi tinggi. Tapi kalau kita mula menggunakan taktik menyerang dengan menggunakan kata-kata kesat,  mencarut dan memaki orang lain, kita sebenarnya telah menampakkan diri kita sebagai kurang matang, tidak cerdik dan lemah pendirian. Jauh sekali menempatkan diri kita sebagai manusia Melayu yang penuh berhemah serta sopan santun. Ingatlah seperti pantun Melayu :

"Yang lorek itu kendi;
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi;
Yang indah itu bahasa..........."

Sunday 10 July 2011

BERSIH 2.0.........KINI KEBENARAN TELAH TERSERLAH........

Saya hanya mengikuti dari jauh perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan semalam. Diusia seperti sekarang saya tidak mempunyai kudrat lagi untuk turun bersama orang ramai kejalanraya bagi menuntut pembersihan sistem piliharaya dinegara ini, seperti mana yang dibuat oleh anak-anak muda semalam. Bagaimana pun, saya merasakan perjuangan itu amat dekat dihati saya. Walau pun tidak ikut serta, saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan ynag berlaku. Rasa saya, BERSIH 2.0 telah berjaya mencapai hasrat dan matlamatnya. Perhimpunan aman telah berjaya diadakan ditengah-tengah hambatan, hiruk-pikuk dan tindakan keras pihak kerajaan melalui polis untuk menggagalkan usaha ini. Polis dilihat telah menggunakan segala kekuatan yang yang ada semata-mata mahu menggagalkan suatu gagasan dari rakyat yang mahukan suatu reformasi dan pembersihan sistem piliharaya yang lebih adil. telus dan bersih. Apa pun semua pihak tahu polis tidak boleh dipersalahkan 100%. Mereka hanya memainkan peranan dan dipergunakan oleh  pihak kerajaan dan UMNO/BN dengan menggunakan 'kawalan jauh' (remote control) dimana kekunci remotenya hanya ada pada kerajaan dan PM Najib sendiri.


Melalui gambar-gambar yang tersiar, saya dapati perhimpunan yang diadakan amat berkesan dan besar impaknya terhadap demokrasi dinegara ini. Dalam deretan puluhan ribu manusia yang hadir berhimpun, saya dapati bukan sahaja anak muda Melayu yang turun, malah ramai juga anak muda dari keturunan Cina dan India yang turut serta. Bagi saya ini suatu petanda baik yang harus diakui semua pihak. Suatu sikap permaufakatan yang amat irat telah terjalin, kesemuanya untuk satu matlamat - menghidup demokrasi di Malaysia, khususnya pembaikpulihan sistem piliharaya. Saya jadi tergamam seketika apabila melihat barisan anak-anak muda Cina turut turun berduyun-duyun (sila rujuk gambar yang dilampirkan). Tidak kurang juga anak muda India. Hatta, melalui gambar video 'you tube' saya juga melihat amoi dan nyonya penjual buah ditepi jalan, dan apek tua pembawa teksi juga turut serta. Bukan sahaja anak muda Melayu yang keluar, seperti sangkaan kita, bahkan semua bangsa turun berdemonstrasi tanpa mengenal batas agama dan perbezaan kaum. Wajah-wajah inilah sebenarnya yang amat ditakuti oleh kerajaan BN. Kelibat 1 Malaysia yang turun kejalanraya akan menjadi igauan ngeri, lebih-lebih lagi ianya tidak menjelma dalam bentuk seperti yang dicanangkan oleh kerajaan, tapi wajah 1 Malaysia yang mahukan suatu sistem piliharaya yang adil, bersih dan telus dilaksanakan. Wajah-wajah yang kita lihat ini juga menafikan samasekali tomahan yang kononnya orang Melayu digunakan sebagai 'alat' untuk pihak lain, sedangkan pada realitinya semua yang turun berdemo adalah 1 Malaysia.

Puluhan ribu rakyat yang terun berduyun turun menceritakan segala-salanya. Bukan setakad 5,000 atau 6,000 orang seperti yang didakwa oleh Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam sidang medianya petang semalam selepas perhimpunan berakhir. Mengikut telahan dan pengamatan saya, angka sebenar yang keluar melebihi 50,000 orang sepertimana yang dilaporkan oleh phak BERSIH sendiri, Ini sudah tentu belum mengambilkira laporan dari ajensi berita Aljazeera yang disiarkan di TV semalam yang menyebut hampir 100,000 orang didakwa telah turun berhimpun dan berarak.

Bagi saya ini suatu persoalan yang baik untuk difikirkan bersama. Disebalik segala hambatan yang dikenakan oleh polis, sekatan-sekatan jalanraya yang diadakan dimerata tempat; penutupan jalan-jalan utama dan jalan masuk ke KL kawalan dan penutupan beberapa stesyen LRT; kempen menahan dan menangkap mereka yang berpakaian baju T dengan logo BERSIH, sekatan pengeluaran permit bas oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) serta dinafikan hak untuk mengggunakan Stadium Merdeka, perhimpunan masih dapat diteruskan dengan jumlah melebihi 50.000 orang yang hadir, bagi saya adalah suatu pencapaian besar. Ini belum diambilkira ugutan, ancaman dan tangkapan yang dilakukan oleh polis beberapa hari sebelum perhimpunan diadakan. Saya cuma tertanya, bagaimana rupanya kalau polis tidak buat sekatan dan hambatan dari awal. Sudah tentu target 300,000 seperti yang dinyatakan oleh BERSIh akan dapat dicapai.

Apa-apa pun, pihak kerajaan tidak harus berdiam diri dan seharusnya mengambil  iktibar dari perhimpunan yang telah diadakan ini. Kehendak dan aspirasi rakyat tidak harus dibiarkan begitu saja. Ibarat air yang mencurah turun dari lurah bukit, tidak boleh disekat atau bendung dengan tembok walau sekukuh mana sekalipun. Sampai masa sekatan dan tembok akan terburai pecah juga dek asakan air yang kian melimpah.

Begitulah kuasa rakyat. Suara keramat yang gemanya kini sudah mula mengimbau keseluruh pelusuk dunia. Khabarnya rakyat kita di Singapura, Melbourne, Sydney, Perth, Wellington, Seoul, Kaherah dan beberapa bandaraya utama dunia juga telah mula bangun menunjuk perasaan ditempat masing-masing. Kuala Lumpur tidak lagi bersendirian seperti tahun 2007 dahulu.........

Tuesday 5 July 2011

ASALKAN JADI.....STADIUM PUN, STADIUM LAH..............


Keputusan yang dibuat oleh pihak penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan agenda perhimpunan rakyat secara aman didalam stadium dilihat suatu keputusan yang bijak. Keputusan ini dibuat setelah penganjur mengadap DYMM Yang Di Pertan Agong di Istana Negara petang ini.  Majoriti menyambut baik keputusan ini, manakala segelintir lagi rakyat ada yang kurang berpuashati manakala segelintir lagi besikap berkecuali.  Bagi saya, keputusan ini patut diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka sebagai menghormati titah perintah DYMM Yang DiPertuan Agong yang mahukan agar kedua-dua pihak, BERSIH dan kerajaan, kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan sebarang kekusutan.

Apa yang penting kita harus melihat perkembangan ini sebagai suatu yang bersifat 'menang-menag' (win-win situation). Kesediaan DYMM berjumpa perwakilan dari BERSIH menunjukkan kesungguhan dan pengiktirafan baginda keatas kumpulan penganjur BERSIH ini. Ini adalah suatu penghormatan sebenarnya dan mempamerkan sikap bijak pihak istana yang amat jarang dapat kita lihat. Tindakan ini secara tidak langsung meletakkan Perdana Menteri dan kerajaan dalam suatu keadaan yang serba-salah. Mana tidaknya jika Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan BERSIH sebagai kumpulan haram. Mana mungkin DYMM sudi menerima rombongan perwakilan dari kumpulan haram? Bagi saya ini suatu kemenagan besar perjuangan rakyat!

Perwakilan BERSIH yang mengadap Agong juga dilihat amat sederhana dan dibuat menerusi pemilihan yang bijak. Ianya dianggotai oleh Dato' S. Ambiga, selaku Pengerusi BERSIH, Sasterawan Negara A. Samad Said (Pak Samad), dan Pengerusi JIM (Jemaah Islamiah Malaysia) Zaid Kamarudin. Tidak ada seorang pun wakil parti politik yang turut serta. Ini suatu langkah bijak dan dapat menjauhi sama sekali sebarang tomahan terutama dari pihak kerajaan bahawa tuntutan BERSIH berbau politik.

Paling penting bagi saya, keputusan yang dibuat menggambarkan kemenangan kepada rakyat, Perhimpunan akan diteruskan juga, walau pun dibuat dalam stadium, pada tarikh yang telah ditetapkan. Dengan ini 'momentum' kemaraan rakyat dilihat tidak terjejas, dan suara keramat rakyat akan terus bergema juga walau pun dari dalam stadium. Seluruh dunia akan menyaksikan nanti suara dari hati nurani rakyat yang mahukan perubahan terhadap sistem pilihanraya dinegara ini.

Perhimpunan ini sudah tentu dapat diadakan dalam keadaan yang lebih selesa dan tidak lagi diganggu polis. Peserta boleh memakai baju kuning untuk datang beramai-ramai ke stadium. Ini suatu perkembangan yang boleh memberi makna dan ruang yang lebih luas terhadap percambahan domokrasi BERSIH dan tuntutan reformasi piliharaya sepertimana yang dihajatkan.


Jauh sekali seperti sangkaan banyak pihak, terutama pihak kerajaan dan media massa arus perdana bahawa dengan perkembangan terbaru ini, kerajaan telah berjaya mengekang arus perhimpunan haram (kononnya) dari melanda Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini. Mereka meletakkan ini sebagai suatu kejayaan kerajaan. Mereka harus sedar bahawa obor tuntutan 8 perkara yang telah dinyalakan bagi menuntut sistem pilihan raya yang lebih adil, telus dan bersih sebenarnya akan terus menyala dan meniup semangat rakyat yang inginkan perubahan. Suara keramat rakyat kini akan terus mengimbau seseluruh dunia.

PM Najib nampaknya telah terperangkap dalam dilema sendiri apabila pihak istana bersetuju berjumpa wakil-wakil dari BERSIH. Ada juga pihak yang melihat ini sebagai suatu 'face saving device' (pelindung air muka) kepada pihak kerajaan yang nampaknya telah "tenggelam punca" dan tidak bermaya lagi menangani kemelut BERSIH ini sejak 2 minggu yang lalu sehingga memerlukan campurtangan DYMM Yang Dipertuan Agong. Apa tidaknya, pelbagai usaha 'kotor' telah dibuat seperti kempen 'memomokkan' BERSIH melalui media arus-perdana, melabelkan BERSIH sebagai haram, menggunakan polis untuk tindakan menahan dan menangkap aktivis dan ahli politik pembangkang, disamping menggunakan provokasi dari PERKASA dan Pemuda UMNO sendiri semata-mata untuk menggagalkan perhimpunan ini. Bagaimana pun hanya dengan sedikit kebijaksanaa keBawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung, semua ini telah dapat diatasi. Suatu pengajaran berharga kepada pihak kerajaan sebenarnya.

Kita tunggu perkembangan lanjut pada hari Sabtu ini, dan mungkin kita akan dapat melihat sendiri suara dan laungan keramat rakyat yang inginkan perubahan terhadap sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih yang terus bergema dari stadium nanti. Laungannya nanti akan terus bergema keseluruh pelusuk tanahair. Sama sama kita tunggukan. Insya Allah.............

Saturday 2 July 2011

BERSIH 2.0....., APA YANG TAKUT SANGAT ???..........


Keadaan sudah macam kelam kabut. Kerajaan nampak macam tenggelam punca. Suasana tidak semena-mena sudah menjadi panas dan tegang. Sana sini orang bercakap pasal Perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan pada 9hb Julai nanti. Belum apa-apa lagi polis sudah memulakan siri tangkapan. Ramai aktivis dan ahli-ahli politik khususnya pembangkang telah ditahan. Dipihak kerajaan pula, ramai ahli-ahli politik yang sudah bersiap untuk bersilat dan bergusti. Media dokongan kerajaan juga telah siap menyerang gerakan ini secara habis-habisan. Semuanya bertujuan hendak menggagalkan perhimpunan ini. Apa yang ditakuti sangat sebenarnya tentang perhimpunan ini? Penganjur BERSIH 2.0 telah berulang kali menyatakan perhimpunan ini akan diadakan secara aman. Mereka akan turun berarak secara aman. Tujuannya hanya untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong berkaitan ketidakpuashatian rakyat terhadap perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR selama ini. Itu saja. Tidak lebih dari itu.

Tapi, kenapa kerajaan, khususnya UMNO/BN takut sangat? Sampai mengelabah dan meroyan tak tentu pasal. Ibarat 'kucing mati anak' kata pepatah Melayu, 'berlari kesana tak kena, berlari kesini juga tak menjadi.' Apakah BERSIH 2.0 itu dilihat laksana 'lembaga hudoh' atau 'hantu jerangkung' yang paling digeruni? Sampai segala macam cara telah mula dibuat untuk menghalangnya?  Tidak cukup dengan asakan dari media arus-perdana agar rakyat menjauhi perhimpunan ini, berbagai kempen 'memomokkan' perhimpunan ini juga telah dilancar. Pihak polis pula terus beraksi menangkap dan menahan aktivis-aktivis perhimpunan yang rata-rata hanya memperjuangkan kebersihan dan reformasi pada sistem pilihanraya yang ada. Itu saja. Paling terakhir kini, mereka yang pakai baju kuning pula menjadi sasaran. Seolah-olah kerajaan 'fobia' dengan warna kuning yang menjadi lambang gerakan BERSIH!.


Bagi saya, perhimpunan ini hanyalah sekadar suatu manifestasi suara rakyat yang ingin berarak menunujukkan rasa tidak puashati terhadap kerajaan, teutamanya SPR tentang sistem perjalanan pilihanraya dinegara ini. Ianya tidak lebih dari itu. Ianya dianjurkan oleh sebuah NGO yang non-partisan, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. BN juga telah dijemput untuk turut serta, tetapi telah menolak jemputan tersebut dan kini nampak seolah-olah hanya disertai oleh parti-parti politik pembangkang sahaja. Kerana matlamatnya baik kepada semua pihak, ianya sudah tentu mendapat sokongan hebat dari rakyat, terutama parti-parti  pembangkang yang telah lama memperjuangkan isu ini. Matlamatnya tidak lain dari menyatakan rasa tidak puashati rakyat agar dilakukan reformasi segera keatas perjalanan sistem piliharaya dinegara ini yang harus lebih bebas, adil dan telus. Sebanyak 8 perkara dasar di perjuangkan, antaranya reformasi undi pos; pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat jari kekal bagi pengundi,, agihan peluang dan akses kepada media yang lebih bebas dan telus, dan beberapa tuntutan lagi.

Semua tuntutan ini adalah bersifat universal. Ianya bukan sesuatu yang luar-biasa atau bermotifkan politik seperti didakwa oleh kerajaan. Malah banyak negara-negara lain telah melanksanakannya. Jadi apa yang kita takutkan. Kita patut sokong, asal saja semua tuntutan ini memang sesuatu yang fitrah dan patut sangat diadakan dari dulu lagi. Kenapa kita mesti berhempas pulas menentangnya? Kenapa kita mesti desak agar perhimpunan ini dibatalkan kalau ianya adalah demi kebaikan bersama?

Tak perlulah PERKASA melalak tak tentu pasal menentang perhimpunan ini. Begitu juga Pemuda UMNO tak perlu bersilat sakan untuk menyatakan penentangan terhadap gagasan ini. Maha Guru Omar Din juga tidak perlu mengeluarkan ugutan dan ancaman yang berbaur hasutan, kononnya akan ada 'darah mengalir' jika perhimpunan ini diteruskan.

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran matang, berpendirian dan berpengetahuan luas, saya rasa kita patut menyokong gerakan yang dibuat oleh BESIH. Memang menjadi matlamat kita selama ini pun ingin agar piliharaya diMalaysia diadakan dalam keadaan yang telus, bersih dan adil. Bila pilihanraya diadakan dalam keadaan bersih, telus dan adil, pemilihan kepimpinan yang dibuat menerusi pilihanraya itu akan menjadi lebih 'legitimate' dan berintegeriti. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini ada pemimpin yang hanya menang disaat-saat akhir 'melalui saluran undi pos' yang entah dari mana datangnya. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini setiap kali piliharaya diadakan, penyalahgunaa kuasa oleh parti pemerintah mengekspolitasikan jentera dan jabatan-jabatan Kerajaan melobi undi dari rakyat. Hampir semua akses kepada media perdana dibolot oleh parti kerajaan sedangkan parti pembangkang tidak langsung diberi peluang bercakap dan menyampaikan matlamat perjuangan mereka kepada rakyat walau dengan sebaris ayat pun menerusi media perdana yang dibiayai dari wang rakyat.. Ugutan, rasuah dan sogokan menjadi teras dimana-mana pilihanraya. Parti politik pemerintah dengan sewenang-wenangnya menawarkan habuan dan janji manis bagi mendapatkan sokongan dan undi rakyat. Ini belum termasuk bab memperbaikki jalanraya, membersih longkang, membaikpulih bangunan dan mendirikan surau dan kuil yang selalu sibuk nak dibuat waktu nak adakan pilihanraya.....

Rakyat sedang memerhatikan ini semua. Rakyat bukan lagi bodoh dan kurang berpelajaran macam rakyat ditahun-tahuan 50an dan 60an dulu. Rakyat kini terdedah kepada pelbagai maklumat. Rangkaian 'internet' merintasi pelbagai lapisan masyarakat dan kini rakyat lebih  'berilmu' dan sudah boleh menilai apa yang betul dan apa yang salah.

Dengan mempamerkan sikap mengelabah dan ketakutan yang amat sangat seperti itu, pihak kerajaan sebenarnya menunjukkan kepada rakyat bahawa 'kerajaan itu lemah'. Sikap kurang cermat, berfikiran fakir sepeti itu boleh menghilangkan rasa hormat dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apa salahnya kalau BERSIH nak lakukan perhimpunan? Biarkanlah mereka berarak menunjukkan demonstrasi dan rasa tak puashati mereka. Pihak polis hanya perlu jaga ketenteraman dan kawal lalu-lintas. Itu saja.. Bukan lama  sangat pun. Selepas 2 atau 3 jam sebaik-baik sahaja serah memorandum, perhimpunan akan bubar dengan sendiri dan selesailah acara. Habis cerita. Yang dok bersilat sakan tu buat apa?

Dengan cara mengelabah dan ambil tindakan yang bukan-bukan sebegini, rakyat mula berfikir apakah benar pilihanraya selama ini penuh dicemari kekotoran, tidak adil dan tidak telus seperti yang didakwa oleh BERSIH. Rakyat mula menjadi syak wansangka, lebih-lebih lagi dengan tiadanya penjelasan konkrit dari kerajaan dan SPR tentang tuntutan-tuntutan ini? Adakah kerajaan selama ini menjalankan pilihanraya dengan "ada udang disebalik batu"? Adakah tindakan kerajaan bermati-matian menentang perhimpunan ini bermotifkan untuk 'menyembunyikan' sesuatu dari pengetahuan rakyat selama ini? Apakah kuasa yang diperolehi dari rakyat selama ini tidak 'legitimate' dan diperolehi 'menerusi pintu belakang?'

Alasan kerajaan yang perhimpunan bakal mengundang padah dan kerosakan ekonomi negara tidak lagi boleh diterima. Begitu juga alasan keselamatan. BERSIH 1.0 tahun 2007 dulu tidak ada pulak apa-apa kerosakan atau pergaduhan yang tercetus. Perarakan selesai dalam keadaan aman dan lancar. Jadi apa yang ditakutkan sangat? Ketakutan yang melanda kerajaan berkaitan isu perhimpunan ini sebenarnya menyakinkan kita tentang banyak sangat 'kotoran' yang sedang berlaku setiapkali pilihanraya diadakan. Rakyat merasai bahawa dipihak kerajaan kalau boleh 'kekotoran; ini mahu dikekalkan demi kesinambungan kuasa politik mereka. 

Seperti kata pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana bersalah".  Kalau kita takut kita akan nampak sangat macam orang bersalah, dan akan cepat mengelabah. Fikir-fikirkan lah............

Wednesday 22 June 2011

Memori Zaman Sekolah, Sepantas Masa Yang Berlalu................

                  

Sesekali berpeluang bertemu semula rakan-rakan lama dibangku sekolah dulu, hati bagai terusik mengingati pelbagai nostalgia lama. Dikotak fikiran bagai tertayang skrin gergasi yang memutar kembali kisah-kisah pahit manis, suka-duka ketika bersama dialam persekolahan; sama-sama meredah ranjau dan duri, sama-sama merasa pahit maung mengejar cita-cita; sama-sama berlari dan bekejaran dipadang dan sama-sama berdiri diatas meja setelah didenda guru kelas. Dunia terasa bagai dihias indah dengan ragam tersendiri waktu itu.  Kini setelah hampir 40 tahun belalu, tanpa pernah bersua muka, atau pernah berselisih dipersimpangan kehidupan setelah masing-masing membawa haluan sendiri, tiba-tiba kelibas wajah-wajah lama itu muncul semula. Tapi sayangnya, mereka itu bukan lagi wajah-wajah ceria anak remaja yang ditinggalkan dulu. Telah hilang entah kemana wajah-wajah ceria anak remaja yang pernah kita dampingi dulu. Mereka kini adalah insan-insan dewasa yang telah jauh berubah mengikut peredaran masa. Dihadapan kita kini adalah insan-insan dewasa yang telah matang seusia kita, dan penuh pengalaman setelah diuji pelbagai badai kehidupan. Rata-rata mereka adalah manusia yang telah mencapai pelbagai tahap kejayaan dalam kehidupan masing-masing. Mereka kini adalah orang-orang penting yang mengepalai kelompok atau unit dalam masyarakat mereka yang tersendiri.

Jadi, sedarlah kita sebenarnya masa begitu pantas berlalu tanpa kita sedari. Walau sepantas mana pun kita turut berlari mengejar masa yang belalu, namun tidak akan terkejar masa-masa silam yang telah berlalu dan kini terlipat indah dalam album kenangan.

Imaginasi sering rasa bagai tertipu setiapkali bertemu mereka. Walaupun difikiran kita masih terbayang wajah rakan-rakan yang sama sepertimana kita tinggalkan 40 tahun dulu. Sebenarnya, itu hanya impian dan khayalan kita semata. Wajah rakan-rakan, seperti juga kita, sudah jauh berubah, dan tidak lagi rakan-rakan seperti yang kita kenal dulu. Tiada lagi tawa riang anak-anak sekolah seperti dulu. Mereka sudah menjelma menjadi orang-orang dewasa yang mempunyai keperibadian dan riakmuka tersendiri dan bukan lagi suara riang sukaduka anak-anak sekolah seperti dulu.

Kita sebenarnya sedang menghadapi realiti kehidupan dan bukan lagi igauan fantasi masa silam. Walau sejauh mana sekali pun perjalanan kehidupan yang kita lalui, hakikatnya kita akan pulang kesatu jalan yang telah ditetapkan, iaitu jalan meniti batas-batas hari tua yang menuju kesudut senja.....Tidak ada perjuangan yang tidak ada noktahnya, dan tidak ada pelayaran yang tidak berakhir dihujung pelabuhannya.

Oleh itu amatlah elok kalau ketika kita menghampiri kehujung senja penghidupan ini, kita mengambil kesempatan ini bertemu semula insan-insan lama yang pernah kita dampingi suatu ketika dulu; pernah bermain, pernah belajar dan pernah bersendaloka bersama disuatu ketika dulu. Sekurang-kurangnya kita dapat duduk berbual dan bercerita tentang pengalaman masing-masing ketika dalam 'pelayaran'; bercerita tentang ombak. tentang badai yang pernah kita tempuhi, serta tentang istana ratu dan gunung mutiara yang pernah kita temui ketika dalam 'pelayaran' dulu.  Kita akan bercerita tentang berapa ramai rakan karib kita yang telah 'karam' ketika dalam pelayaran itu. Tentang berapa ramai juga yang telah 'tenggelam' dipukul ombak badai dan tidak lagi dapat bersama kita dihari ini. Sekurang-kurangnya secangkir doa dan sekalung Al-Fatihah dapat kita sumbangkan untuk mereka.

 Demikianlah tentang hakikat kehidupan. Ada baiknya peluang yang secebis ini kita gunakan sebaik mungkin bersama dengan mereka yang pernah bersama kita suatu ketika dulu. Bukan untuk bercerita dan mendabik diri dengan pencapaian masing-masing, atau mencanang kemegahan diri untuk tontonan orang lain. Tetapi untuk muhasabah diri dan mengirat silaturrahim sesama kita agar perjalanan seterusnya meniti sisa-sisa hidup dihujung senja ini akan menjadi lebih bermakna.........

Friday 10 June 2011

ANAK MUDA DAN POLITIK.........................


Jika ditinjau pendapat, rata-rata anak muda hari ini kurang berminat dalam politik. Bagi mereka politik adalah suatu 'taboo' (pantang) dan langsung tidak berminat hendak ambil tahu, apa lagi untuk memperkatakan mengenainya. Jesteru itu, kita lihat hari ini masih ramai gulongan muda yang telah melepasi umur 21 tahun, tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih (pengundi). Tidak kurang juga ramai yang bukan sahaja langsung tidak mahu ambil tahu, tapi menganggap politik adalah suatu dunia asing bagi mereka. Politik hanya untuk orang tua-tua dan orang yang minat dengan politik sahaja, dan tidak ada kena mengena dengan kehidupan harian mereka.

Cuba kita tinjau kelaman-laman Facebook, misalnya. Amat jarang kita temui anak muda yang mahu menulis sesuatu tentang politik dalam 'status' mereka. Kalau ada yang menulis pun, tidak ramai yang mahu beri komen. Kalau ada yang beri komen pun ramai yang cuba 'play-safe', dan tidak mahu menunjukkan 'kecenderongan' mereka. Apakah mereka takut pendapat mereka didengar orang lain? Atau adakah mereka takut pendapat mereka disanggah oleh pihak lain. Ternyata amat sedikit keberanian dan keyakinan diri untuk memperkatakan sesuatu berkaitan politik semasa.

Realitinya, mereka lebih selesa bercakap tentang dunia mereka sahaja tanpa menyedari yang politik juga sebenarnya adalah sebahagian dari dunia mereka. Mereka lebih selesa bercakap tentang dunia hiburan, misalnya. Siapa yang akan tersingkir dalam Akedemi Fantasia. Siapa yang bakal menang dalam Maharaja Lawak. Siapa yang bakal dinobatkan sebagai Imam Muda dalam siri popular tv. Dalam bidang sukan pula, mereka lebih selesa berbicara tentang keputusan Liga Perdana musim ini. Siapa yang akan menjadi juara. Pasukan mana yang akan mengungguli Liga Inggeris. Bolehkah Manchester United mengalahkan Chelsea?

Apabila saya bercakap mengenai anak muda, saya bermaksud mereka yang berusia diantara 21 hingga 40 tahun, dan telah cukup syarat bagi mendaftarkan diri sebagai pengundi. Apabila ditanya kenapa tidak mendaftar sebagai pengundi, ramai yang menjawab :"Saya tak minat dengan politik...."." Politik itu kotor...."." Politik itu lain tak ada asyik nak hentam orang itu, hentam orang ini; nak jatuhkan orang itu dan jatuhkan orang ini....". Itu persepsi sebahagian anak muda.

Sebenarnya politik ialah asam garam kehidupan kita. Politik adalah sebahagian dari kehidupan anak muda itu sendiri. Parti mana yang memerintah?  Bagaimana cara negara sedang diperintah? Apakah isu terkini yang dihadapi oleh rakyat? Gembirakah rakyat dengan keadaan sekarang? Atau adakah rakyat inginkan perubahan? Parti manakah yang menjadi pembangkang? Apakah pembangkang boleh diberi peluang dan berkeupayaan memerintah? Semuanya ini seolah-olah tidak penting bagi mereka.

Sebenarnya tanpa mereka sedari, politik juga mencakupi soal kehidupan harian mereka juga. Sepertimana mereka makan nasi setiap hari. Walaupun tidak suka nasi, tetapi mereka kena juga makan nasi, kerana itu adalah makanan asasi mereka. Kecualilah mereka tidak mahu lagi jadi orang Malaysia dan ingin pula jadi orang putih dengan makan kentang! Kata mereka juga politik itu kotor! Tapi bukan salah politik. Itu salah ahli politik. Ahli politik dan orang-orang politik yang mengotorkan politik. Sedangkan politik itu sendiri adalah bersih dan suci.

Saya juga sering disoal kenapa asyik-asyik tulis pasal politik dalam blog? Tak ada topik lain ke? Itu pandangan mereka. Tapi saya menulis kerana mengemari politik. Saya tidak mahu bersifat pemerhati bisu dalam politik. Apa orang angguk saya pun kena angguk. Saya juga ingin memberikan pandangan dan tanggapan saya sendiri dalam politik. Sama ada orang suka atau tidak suka dengan pandangan saya, itu soal kedua.


Bagi saya, anak muda hari ini harus belajar untuk menjadi dewasa. Bukan saja menjadi dewasa melalui perubahan fizikal dan tubuh badan, tetapi juga dewasa dari segi mental dan cara berfikir. Sebagai seorang warganegara yang nomal dan dianugerahi pula oleh Allah dengan kesihatan mental yang normal, kita harus berupaya menganalisa dan membuat rumusan berkaitan kedaan politik disekeliling kita. Sebagai penganut agama Islam, kita juga faham bahawa agama adalah 'add-din' (way-of-life). Agama itu mencakupi keseluruh ruang kehidupan. Dalam keseluruhan ruang kehidupan itu termasuklah politik Ianya menggambarkan suatu cara kehidupan kita. Kita berpolitik untuk menentukan cara kehidupan kita sendiri. Kita tentu ingat dalam solat lima waktu setiap hari kita sering membaca doa iftitah diawal solat, dimana salah satu ayatnya berbunyi : " Inna solah ti wanusuki wamah ya yawamama.........(sehingga habis), yang bermaksud :"Sesungguhnaya solatku, ibadahku, hidupku dan mati ku hanyalah untuk jalanMu...." Itu suatu pengakuan yang kita buat 5 kali sehari dihadapan Allah. Kehidupan kita mencakupi hal-hal dunia dan termasuk politik. Oleh itu janganlah kita berfikiran seperti sekular yang mengatakan agama lain dan politik itu lain.

Bila disebut pasal politik, bukanlah bermakna semua orang kena setuju dengan Kerajaan BN yang ada. Atau mesti sokong pembangkang atau PR. Pergunakanlah akal fikiran yang diberi Allah, untuk muhasabah dan analisa sendiri. Kita ada pelajaran. Tak kiralah setakad mana sekalipun pencapaian pelajaran kita, pergunakanlah ketajaman fikiran kita untuk menganalisis situasi disekliling kita. Orang yang bijaksana harus memilikki 'analytical thinking' dan bersifat kritis dalam sesuatu isu agar kita mendapat panduarah yang betul dalam perjalanan hidup kita.

Tak salah kalau kita menyokong parti pemerintah, kalau kita yakin betul yang parti pemerintah sedang memberikan layanan dan perkhidmatan yang baik kepada kita selaku rakyat dan pengundi yang memilih, dan kita yakin dengan kemampuannya. Juga, tidak salah kalau kita memilih parti pembangkang untuk diberi sokongan dan diundi dalam piliharaya. Itu hak kita yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Ini kan negara demokrasi. Apa yang penting ialah keupayaan kita membuat analisa dan mengambil keputusan sendiri.

Jesteru itu anak muda tidak harus bimbang untuk bersuara. Bersuara dan berpesan-pesanlah atas perkara kebaikan, insya Allah kita akan mendapat berkat dan ganjaran dariNya.............Amin!