Saturday 24 January 2015

KELUARGA LEBAI HUSSIN DAN AL-QURAN, BERPISAH TIADA............


Jika kita membicarakan mengenai keluarga arwah Lebai Hussin bin Hj. Tayib, seorang pemastautin di
Gambar hiasan
Kampong Bikan, Kulim, Kedah di sekitar era awal tahun 1900an dulu, tidak dapat tidak kita harus menyentuh tentang legasi keluarga besar beliau, dan keturunannya yang mempunyai hubungan kait dengan pembelajaran Al-Quran. Kita perlu menyentuh sedikit sebanyak mengenai pembudayaan pembacaan Al-Quran dikalangan keluarga arwah ini sejak dari awal lagi. Sama ada kita sedar atau tidak legasi kehidupan anak-anak & cucu-cucu Lebai Hussin sejak dulu-dulu lagi banyak yang berkait rapat dengan Al-Quran.

Cerita 'kisah cinta' dan pertemuan awal arwah Lebai Hussin & isterinya arwah Che Nah juga bermula sewaktu sama-sama belajar mengaji Quran di Yan, Kedah. Kebetulan Lebai Hussin belajar mengaji dengan arwah bapa kepada Che Nah yang bernama Hj. Deraeh yang merupakan seorang guru Al-Quran, di Yan, Kedah. Sudah tentu setiap hari mata berpandangan, dan dari situ cinta mereka berputik dan akhirnya mereka berkahwin. Selepas berkahwin pasangan ini merantau ke Kpg. Bikan juga berbekalkan ilmu mengajar Al-Quran yang dipunyai oleh kedua-duanya sehingga diterima penduduk setempat di Kpg. Bikan sebagai guru Quran untuk mengajar anak-anak dikampong. Mereka diterima bermastautin sehingga diberikan sebidang tanah untuk memulakan penghidupan baru.

Di Kpg. Bikan Lebai Hussin & isteri banyak menghabiskan masa bekecimpong sebagai tenaga pengajar Al-Quran. Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil dulu rumah pasangan ini tidak pernah sunyi dari suara anak-anak murid mereka membaca, mengalun dan menghayati Al-Quran. Pergilah pada waktu mana sekalipun, nescaya alunan anak-anak membaca Al-Quran tetap akan kedengaran seolah-olah sudah sebati dengan rumah kayu saiz sederhana separuh siap itu.

Arwah Lebai Hussin sendiri banyak mendapat punca rezeki dari mengubat orang kampong dengan jampi yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai penawar penyakit. Malah beliau juga sering diundang untuk membaca Al-Quran diatas kubur sebagai hadiah kepada simati. Menjadi amalan orang dulu-dulu, terutama bagi mereka yang sedikit berada, mengupah orang untuk mengaji diatas kubur saudara-mara mereka, terutama ibubapa yang baru meninggal dunia, sebagai sedekah dan fidiyah kepada simati. Bacaan Quran diatas kubur ini akan dilakukan secara bersaorangan atau bergilir (jika pembaca yang diupah lebih dari seorang), dilakukan secara 24 jam siang dan malam tanpa henti sehingga tamat 30 juzuk Al-Quran. Kadang-kala mengambil masa hampir seminggu. Saya masih ingat pernah menghantar bekalan makanan kepada arwah suatu ketika sewaktu beliau sedang mengaji diatas kubur di masjid Kpg. Bikan. Anda boleh bayangkan bagaimana cekal hati seaorang yang ditugaskan membaca Al-Quran diatas kubur, terutama diwaktu malam, bersaorangan diri dengan hanya bertemankan pelita minyak tanah atau lampu 'gasoline'. Tempat berteduh hanyalah sebuah bangsal kecil beratap nipah dan tidak berdinding dibina betul-betul diatas kubur simati. Tentunya sejuk menyucuk hingga ketulang terutama diwaktu malam, apa lagi jika hari hujan. Bagaimana pun amalan ini telah dihentikan apabila timbul percanggahan pendapat ulama yang mengatakan bahawa membaca diatas kubur itu hukumnya 'makruh'. Terdapat juga pihak yang menegahnya atas alasan ianya tidak pernah dilakukan dizaman Rasullallah, dan membaca Al-Quran bagi tujuan mensedekahkan kepada simati boleh dilakukan dimana-mana sahaja dan tidak semestinya diatas kuburan.

Cucu-cucu Allahyarham sedang membaca A-Quran

Dikalangan anak-cucu Allahyarham juga amalan membaca dan mendampingi Al-Quran ini juga banyak dilakukan. Mereka menjadikan amalam pembacaan ini sebagai 'budaya hidup' mereka. Anak-anak Abd Samad, contohnya (setakad yang saya masih ingat). Abang Sharif (atau Paklong Sharif, anak sulong Abd Samad) amat gemar membawakan pembacaan Al-Quran ini secara berlagu. Saya tidak pasti dimana beliau belajar, atau siapa gurunya, tetapi setiap kali beliau duduk-duduk berehat terutama diserambi rumah arwah Lebai Hussin, atau sebelum tidur, akan kedengaran alunan suaranya yang begitu    lunak merdu melagukan bacaan Al-Quran ini. Bacaan yang dibuat secara hafalan ini sungguh mempersonakan saya yang masih kecil waktu itu. Bagitu juga anak-anak Abd. Samad yang lain terutama Kak Jumaan @ Embun dan Kak Pah (Khalifah), diberitakan ketika zaman muda sering diundang memperdengarkan alunan lemak merdu suara mereka bagi memeriahkan majlis-majlis kenduri kahwin dan sebagainya sebagai qariah jemputan. Abang Ishak Abd Samad juga khabarnya pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan (tilawah) peringkat sekolah sewaktu kecil. Bagitu juga Abd. Manaf Abdullah, anak kepada arwah Abdullah bin Lebai Hussin pernah memasukki dan memenangi tilawah Al-Quran sewaktu bersekolah di Ipoh, Perak. Banyak lagi cucu/cicit Allahyarham yang berkecimpung dan menempa kejayaan dalam bidang pembacaan Al-Quran ini. Tapi, maaf saya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai penglibatan semua. Saya cuma percaya tentu ada ramai lagi cucu/cicit yang menempa kejayaan yang sama yang tidak dapat saya catitkan disini satu persatu.

Dari segi tenaga pengajar Al-Quran juga saya rasa ramai anak/cucu arwah Lebai Hussin yang berkecimpung dalam bidang ini. Bagaimanapun,  mengajar disini hanya dalam skala kecil, yang dibuat dirumah-rumah sendiri dengan membantu mengajar mengaji kepada anak-anak jiran. Bagaimana pun apa yang dapat saya ceritakan hanyalah bakat hasil legasi Lebai Hussin/Che Nah ini diperturunkan kepada arwah ibu saya, i.e Hjh. Halijah bt. Lebai Hussin. Beliau ketika hayatnya banyak mewarisi bakat dan ilmu dan ayahanda & bondanya sebagai pengajar Al-Quran. Seingat saya, rumah kami dikampong dulu juga tidak pernah sunyi dari suara budak-budak mengaji, baik petang ataupun malam. Malah dipenghujung hayat beliau, ada juga orang-orang dewasa (wanita) yang datang berguru dengan beliau terutama diwaktu pagi.

Begitulah hebatnya legasi kerabat Lebai Hussin dan Che Nah ini dalam mengajar dan mendampingi Al-Quran sejak dari dulu-dulu lagi. Cuma bagi saya tahap yang dicapai masih belum mencukupi. Kita masih belum mendengar ada mana-mana cucu/cicit/piut Lebai Hussin yang terpilih mencipta nama sebagai qari atau qariah mewakili daerah, negeri atau negara?. Atau ada mana-mana pihak yang terpilih sebagai hakim tilawah? Atau penghafaz Al-Quran yang terhebat? Sebagai seorang Hafiz atai Hafizah? Sama-samalah kita doakan akan kemunculan mereka.........