![]() |
Gambar hiasan |
Dunia muzik tanahair begitu hampir dengan saya sejak kecil lagi. Entah mengapa, dan saya tidak tahu
apa sebenar puncanya. Masih ku ingat waktu kecil
dulu, mak selalu menegur. “Hang ni hewan sangat aihhh!”. Ini berlaku bila saya
suka sangat ketuk-ketuk lantai, meja atau apa saja ketika duduk-duduk berehat, dengan mulut yang
sering menyanyi entah apa-apa lagu. Selalu sangat suka bergendang, kata orang-orang utara!. Saya faham ‘hewan’
yang dimaksudkan disini bukanlah haiwan (binatang) tapi suatu bahasa kiasan
orang-orang utara kepada sesaorang yang suka sangat berlagu atau sukakan hiburan.
Tapi,
itulah saya. Muzik amat dekat dijiwa
saya sejak kecil. Tidak tahu macam mana boleh jadi begini kerana setahu saya
dalam keluarga, baik disabelah emak atau ayah, tiada seorang pun yang bergiat
dalam muzik kalau nak dikatakan ada faktor keturunan. Majoriti mereka orang kampong
biasa, manalah ambil tahu sangat mengenai muzik. Seingat saya sejak dari kecil amat meminati
lagu dan muzik. Apa sebenarnya yang mendorong, saya kurang pasti. Mendengar radio
dan menikmati lagu-lagu menjadi kegemaran saya . Walaupun ketika itu tiada
radio dirumah, saya boleh tunggu berjam-jam dalam semak tepi rumah jiran
semata-mata mahu mendengar rancangan pilihan diradio. Radio jiran pula dibuka
kuat-kuat, jadi tiada masalah untuk tumpang mendengar. Saya boleh menghafal
setiap bait dan senikata lagu yang sering berkumandang dicorong radio tanpa
masaalah. Sebut sahaja lagu apa, siapa penyanyinya semuanya saya ikuti dengan
teliti.
Kalau ada pertunjukan pentas, pancaragam ke, ghazal pati ke, atau
pertunjukan dirumah kenduri disekitar kampong, saya tidak akan lepas peluang.
Siap duduk melangut bawah pentas lagi!. Masih ku ingat sewaktu awal tahun-tahun
60an dulu, sewaktu itu usia baru menjangkau sekitar 13 – 14 tahun, saya mula berjinak belajar bermain gitar secara sendiri-sendiri walaupun hanya dengan gitar buatan sendiri..
Secara
kebetulan demam pop yeh yeh sedang
melanda negara waktu itu. Saya juga tidak terkecuali melibatkan diri
dalam arus yang melanda itu bersama rakan-rakan sebaya dikampong. Biasalah, sebagai anak-muda yang sedang meningkat dewasa ketika itu, saya begitu cepat terpengaruh dengan apa jua 'genre' muzik waktu itu. Dengan berbekalkan peralatan muzik seperti gitar dan drum buatan sendiri, kami
menubuhkan ‘band’ atau kumpulan muzik sendiri. Gitar diperbuat dari barang-barang buangan
seperti papan/papan lapis yang dibentuk serta disapu cat atau ‘varnish’;
serta talinya dari dawai brek basikal yang dipintal halus. Manakala untuk
‘drum’ pula kami menggunakan tong drum lama yang disapu cat dan dialas kain
atau guni dibahagian dalam bagi mengurangkan bunyi gemerincingnya
apabila dipalu. Setiap malam bila ada
kelapangan kami akan berlatih muzik dibawah pokok rambutan didepan rumah. Anda
boleh bayangkan dengan keadaan serba kekurangan dan kedhaifan, ketiadaan
peralatan dan bekalan letrik, kami masih berupaya menyerikan suasana dan pernah
dijemput membuat pertunjukan dirumah-rumah kenduri sekitar kampong. Sungguh lucu! Tapi, itulah hakikatnya.
Allahyarham ayahanda saya (Hj. Hashim
Abdullah) melihat perkembangan ini
dengan teliti. Mungkin atas rasa simpati atau kasihan melihat anaknya yang amat
meminati muzik dalam keadaan yang begitu
dhaif dan serba kekurangan, lantas dia sendiri berusaha menghasilkan sebuah
gitar untuk saya. Sebenarnya, kalau nak dibelikan sebuah gitar baru, gitar
“kapok” atau jenis “akaustik” di ‘The Night Bookstore’, Kulim harganya adalah sekitar RM98 sahaja. Tapi, waktu itu
mana mampu mengeluarkan wang sebanyak itu. Atas rasa kasih sayang seorang ayah,
yang dia sendiri pun tidak begitu arif tentang alat muzik itu apa lagi untuk
bermain, tetapi mengambil inisiatif dan berusaha gigih membuatkan sebuah gitar
untuk saya. Saya masih ingat hampir seminggu
lamanya arwah ayah bertungkus lumus dibantu oleh saya dan kekanda Ibrahim memotong dan membentuk sebatang kayu pulai
hingga menjadi sebuah gitar , siap di’varnish’ dan dipasang tali. Dan inilah
kali pertama saya memasang tali gitar yang sebenar. Dan dengan gitar inilah saya berlatih bersama
kawan-kawan, dan membawa kesana kemari memperdengarkan muzik saya.
Apabila saya meningkat dewasa dan bersekolah menengah di Kilang
lama, Kulim langkah menjadi lebih panjang. Sewaktu diTingkatan 4, saya
menyertai berapa rakan sekelas menganggotai sebuah band yang dianggotai oleh
beberapa orang anak anggota polis di
Jalan Panchor, Kulim yang diberi nama D’SATRIA.
Band ini adalah merupakan bank ke-2 (2nd liner) kepada band utama Kulim
waktu itu THE VAGABOND, yang agak terkenal dan pernah membuat rakaman beberapa
kali di Radio Malaysia Pulau Pinang, Dengan
band ini saya sempat untuk beberapa ketika membuat pertunjukan pentas
dibeberapa majlis kenduri didaerah Kulim.
Antara tempat yang saya masih ingat ialah diJunjong, Naga Lilit, Bagan Sena dan
Sungai Ular. Tapi, usia band ini tidak bertahan lama kerana selepas habis
tingkatan 5, semua anggota bercempera membawa haluan masing-masing. Saya
sendiri berhijrah ke Kuala Lumpur selepas itu dan tiada mempunyai peluang dan
ruang lagi untuk meneruskan hobi ini.
Seorang rakan pernah memberitahu saya sewaktu
kami berbual mengenai hobi ini: “ Kamu ni silap aliran le! Sepatutnya kamu
tidak ambil kursus pengangkutan (transport study), tetapi kursus seni muzik atau seni “performing arts” dimana2 pusat pengajian
dulu........” Mungkin ada juga kebenarannya. Tapi, waktu dulu mana ada pusat pengajian yang menawarkan kursus ini seperti sekarang.
Bakat yang ada pada saya mungkin kini diambilalih oleh anak ketiga saya,
Mohd Shahril Izat bin Salleh yang kini bergiat secara sepenuh masa sebagai pemuzik profesional di
Kuala Lumpur. Kata pepatah Melayu:
“Kemana tumpah kuah kalau tidak kenasi.......”