Friday 16 December 2011

Ibulah syurga............


Tercuit juga rasa apabila membaca blog Aliah Abdullah bertajuk: KAKAK DUA DUA, yang memaparkan pengalaman beliau bersama kakak menerima layanan dan gelaran khusus dari bonda tercinta : KAKAK DUA DUA. Gelaran itu kini menjadi kenangan kepada mereka berdua sehingga kehari ini. Sebagai anak dan orang yang rapat dengan Allahyarhamah, gelaran yang asalnya usikan mesra begitu sebenarnya bukanlah suatu yang pelik dari Allahyarhamah bonda. Beliau semula jadi bersifat penyanyang dan sukakan kanak-kanak, terutama dari kalangan anak-cucu dan cicit serta saudara mara terdekat.

HALIJAH BT. LEBAI HUSIN, atau lebih mesra dipanggil Makndak Lijah dikalangan saudara-mara dan sahabat handai, adalah seorang wanita kampung anak kelima dari pasangan suami isteri LEBAI HUSIN BIN TAIYEB dan CHE NAH BT. HJ. DERAEH. Wanita yang berasal dari seorang gadis kampong ini tidak pernah menjejakkan kakinya dimana-mana juga sekolah. Pelajaran 'formal' yang pernah diikutinya hanyalah setakat belajar mengaji Quran dari bapanya LEBAI HUSIN dan ibunya CHE NAH yang   mengajar Quran di Kpg. Bikan, Kulim, Kedah pada era tahun-tahun 40an dan 50an. Pengalaman awal hidup wanita ini dalam keadaan serba-kekurangan dan kesempitan, ditambah lagi kegagalan pada perkahwinan pertamanya, menjadikan wanita ini begitu sabar, gigih, dan tabah dalam kehidupannya, dan tidak pernah mengenali erti putus-asa. Setiap liku-liku kehidupan ditempuhnya dengan tekun dan sabar disamping sentiada pasrah pada takdir dan ketentuanNya.

Paling ku ingat prinsip hidupnya tentang pelajaran. Walaupun diri sendiri tidak pernah kesekolah, Allahyarhamah sentiasa mengambil berat tentang pelajaran kepada anak-anaknya. Saban hari kami diperingatkan oleh Allahyarhamah supaya rajin belajar. Rajin baca buku. Katanya, pelajaran itu yang akan menjmin hidup kamu dimasa depan. Masihku ingat sewaktu sedang tekun mentela'ah pelajaran bagi menduduki peperiksaan SRP (LCE waktu itu) dan SPM (Senior Cambridge sewaktu ditingkatan 5), Allahyarhamah turut berjaga malam bersama-sama saya dan abang. Beliau akan menyediakan kopi panas untuk kami. Walau pun kami sudah tidur, beliau tetap berjaga malam, kadangkala membetulkan bantal atau selimut kami, atau menyuluh dan menyucuh nyamuk yang kekenyangan yang hinggap didinding setelah menghisap darah kami.....

Dalam menjaga keperluan asas dan makan minum kami, beliau tidak pernah putus asa untuk berusaha walaupun hidup sentiasa dibelenggu kekurangan dan kemiskinan. Pernah sewaktu kami balik sekolah dalam hujan lebat dengan pakaian yang basah lencun dan dalam kelaparan, beliau bersusah payah kebelakang rumah mencabut ubi kayu untuk direbus, buat makanan kami dicicah dengan kelapa parut bersama kopi panas........ Beliau pernah bangun tengah malam sekitar jam 3.00 pagi hanya bagi menyediakan roti canai yang diuli dan ditebarkan diatas belakang dulang yang diterbalikkan hanya kerana anak-anak yang baru pulang dan tetamu yang dibawa bersama belum makan.  

Dari segi pekerjaan membantu suami menyara keluarga, beliau tidak memilih kerja. Apa saja kerja pernah dibuatnya. Dari menoreh-getah, mengusahakan sawah mulai mencabut semaian, menanam, merumput dan seterusnya mengetam padi biasa saja dilakukannya. Pernah juga membuat kuih untuk jualan, mengambil upah mengayam tikar mengkuang, membuat bakul, sehingga kepada berniaga secara kecil-kecilan, menjual kain ke kawasan perumahan estet dan sebagainya. Semuanya dibuat demi menyara dan menyekolahkan anak-anaknya.

Masih ku ingat suatu ketika sewaktu kami bersekolah menengah di Kilang Lama, Kulim. Perbelanjaan bulanan agak tinggi. Apa tidaknya, bukan setakat belanja persekolahan perlu ditanggung, tapi bayaran pas bulanan untuk tambang bas berulang-alik dari kampong ke Kilang Lama sebanyak RM13 seorang sebulan harus juga disediakan. Kadangkala hampir seminggu kami tidak dapat pergi sekolah kerana tiada duit tambang sedangkan pas harus dibeli dulu sebelum boleh menaikki bas. Allahyarhamah dengan gigih berusaha agar kami terus dapat bersekolah dengan menjual anak-anak ayam (yang belum sempat membesar), atau kadangkala terpaksa menjual kepingan getah yang masih basah (hasil menoreh dikebun orang) kerana bimbang pelajaran anak-anaknya terjejas.

Limpahan kasih sayangnya kepada anak-menantu, termasuk cucu-cucu dan juga sanak-saudara bagaikan air yang mengalir dan tidak pernah terputus. Masih saya ingat ketika menjelang hari raya, beliau sibuk mengumpul duit-duit syiling untuk dibuat sedekah hari raya. Tak kira yang tua ke muda, siapa yang datang menziarah dia pada hari raya akan dihulurnya duit raya. Bukan banyak pun, hanya sekadar 30 sen atau 40 sen, tetapi beliau tetap mahu memberi....... Masih saya ingat waktu pagi raya, rumah kami akan dikunjungi oleh ramai kanak-kanak, bukan setakad sekitar Kpg Padang Ubi sahaja, tetapi kanak-kanak yang datang dari Kpg. Bikan dan Bikan Hulu. Semuanya kerana nak duit raya.........,.

Sebagai seorang guru mengajar  Quran, baktinya tiada tolok bandingnya. Hanya ketika penghujung hayatnya sahaja apabila keadaan kesihatan dan penglihatan yang sudah merosot membuatkan beliau tidak lagi mengajar Quran. Sebelum itu beliau sentiasa aktif menjadi guru mengajar Quran, dan ramai saudara mara termasuk anak jiran yang belajar mengaji serta menghabiskan 30 juzuk Quran dengannya. Saya masih ingat bab mengajar Quran ni, beliau tiada tandingnya sehingga ketika memasak didapur pun beliau akan menegur bacaan kita kalau tersilap........ Separuh dari Quran itu seperti telah sebati dalam dirinya......

Beliau dijemput kembali oleh Allah pada penghujung bulan April 2006. Hancur luluh perasaan hati saat kehilangan dia. Saya masih teringat sewaktu menghantar jenazah Allahyarmah kekubur, ketika kami mengusung jenazah menuruni bukit dalam perjalanan ketanah perkuburan di Masjid Kpg. Bikan, seorang anak muda awal 20an tiba-tiba muncul keluar dari arah rumah ditepi jalan, dan berlari-lari sambil mengenakan baju, bergegas merapati saya dibahagian depan keranda untuk turut mengusung.  "Abang dok tepi dulu........biar saya usung pula. Ini bahagian saya !!!..." katanya selamba. Saya yang sudah keletihan menyerahkan palang pengusung kepada beliau, dan dengan penuh semangat beliau mengusung jenazah sehingga kemasjid..

Dalam terpinga-pinga, hati turut berkata. Siapa pemuda ini? Mengapa beliau begitu beriya hendak mengusung, sehingga sanggup berlari mengejar kami dan tak sempat pakai baju? Apa hubungannya dengan Makndak Lijah sehingga membuat dia begitu tergesa-tegas dan bersemangat sekali untuk membantu?

Akhirnya, persoalan terjawab juga. Dia yang ku hampiri sewaktu sedang mengibas peluh dibadan setetelah selesai meratakan tanah dierkuburan itu, tiba-tiba menjawab: " Makndak Lijah ni guru mengajar Quran saya.. Banyak jasanya pada saya, bang. Walau pun saya tidak tinggal dikampong lagi, namun apabila mendengar dia telah tiada, saya bergegas pulang dan ingin memberi khidmat terakhir saya pada dia....." katanya penuh sayu. Terpegun saya seketika. Dihati kecil tertanya-tanya apakah akan ada orang yang akan berlari sebegini untuk mengusung jenazahku nanti apabila aku telah tiada.......? Oh ibu........jasa dan khidmat baktimu sebenarnya tidak pernah sia-sia..................

Begitulah luhur dan kerdilnya insan yang bernama Makndak Lijah. Hilangnya bagi kami seperti hilangnya sebutir bintang dilangit kehidupan. Malam-malam yang seterusnya sudah menjadi suram dik kehilangan kerlipan bintang ini. Akan sentiasa juga dikenang, khusunya bagi kami anak-anak cucunya serta bekas-bekas murid mengaji Quran yang pernah diasuhnya suatu ketika dulu.  Sebagai seorang ibu, pengasuh, pendidik, dan seorang pembimbing kepada kami, jasanya amat tidak ternilai. Beliau mempersiapkan kami untuk menjalani hidup sebagai orang dewasa yang berani menempuh pelbagai liku-liku  dan badai kehidupan. Benarlah seperti maksud pantu Melayu yang berbunyi:

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Waktu kecil ditimang ibu
Bila besar ditimang gelombang.......


Amin, dan Al-Fatihah untuknya..............

No comments:

Post a Comment