Friday, 13 March 2015

Kalau Dah Terpaksa, Jadi Bomoh Pun Boleh...............



Ada orang kata menjadi dukun atau bomoh itu kebolehan turun temurun. Kalau dalam keturunan kita ada ahli keluarga yang pernah ada kebolihan menjampi serapah, atau membuat air penawar penyakit, maka besar kemungkinan kebolehan itu akan diperturunkan pula kepada salah seorang anak/cucu/cicitnya apabila orang itu meninggal. Tapi, saya tidak percaya itu semua. Bagi saya Itu adalah karut. Kalau ada pun mungkin secara kebetulan sahaja disebabkan minat untuk mencuba dan mengubati orang yang sakit....

Kebolehan berdukun yang dimaksudkan disini bukanlah dukun yang pakai serapah jampi, "Hei sana, Hei sini......" Pakai kuasa jin, pakai tangkal, pakai besi, ayam golek, kain kuning, pulut kuning, jampi atau sebagainya. Itu semua kan syirik! Menduakan Allah!. Tapi, dukun yang saya maksudkan disini adalah yang menggunakan ayat-ayat suci Quran sebagai jampi dan penawar ketika menghadapi musibah penyakit. Kita tahu semua penyakit datangnya dari Allah, dan kepada Dialah kita memohon kalau ingin ingin penyakit itu sembuh....

Kejadian berlaku kepada saya beberapa hari lepas. Jam menunjukkan 3.15 pagi apabila tiba-tiba isteri mengejutkan saya dari tidur. Saya bingkas bangun, ingatkan ada apa yang berlaku. Rupa-rupanya dia mengalami kesesakan nafas secara tiba-tiba. Rongga penafasan jadi seolah-olah sempit dan dia menghela nafas macam orang hampir lemas. Tercungap-cungap dia dihujung katil. dan asyik mengurut dada dan sekali sekala diselangi batuk yang bertalu-talu. Saya jadi panik dan tidak tahu apa yang harus dibuat. Ikhtiar yang ada hanyalah dengan menyapu minyak angin cap kapak dan cuba membantu, mengurut.bahagian-bahagian tertentu seperti belakang, tengkuk dan bahu. Tapi dia berterusan: "erk, erk, erk........berbunyi seperti orang membuang angin secara yang tidak lawas. Hampir setengah jam berlalu. Keadaannya masih sama. Tidak ada apa-apa perubahan. Saya menjadi bertambah rungsing...

Secara tiba-tiba saya teringat pesan arwah ibu dulu. Jangan lupa bacakan ayat-ayat suci AlQuran dan hembuskan kemukanya dua-tiga kali. Atau, bacakan pada air sejuk, kemudian beri dia minum dan sapukan separuh lagi kemukanya. Buatkan berulang-kali. Secepat kilat juga mesin projektor diminda saya menayang kembali gambar arwah Tokwan saya, Tokwan Lebai Hussin ketika mengubati orang sakit. Saya masih ingat begitulah kaedah dan cara dilakukannya. Insyaallah, segalanya akan sembuh, katanya. Tanpa membuang masa saya terus kebawah mengambil segelas air. Secara kebetulan air Yassin yang dibuat ketika bacaan Yassin beramai-ramai dirumah saya minggu lepas masih ada. Dengan segelas air Yassin itu saya duduk ditepi katil dan memulakan jampi saya. Dalam keheningan malam itu saya membulat tekad, penuh zuhud dan bermunajat dengan penuh yakin memohon pada Allah supaya disembuhkan penyakit isteri saya. Saya hanya baca beberapa surah dan ayat pendek yang saya tahu seperti Alfatehah, 3-Qul, dan ayat Kursi beberapa kali. Selesai dibacakan saya menghembus ke-dalam gelas air beberapa kali dan kemudian menyuruh isteri saya minum. Baki selebihnya saya suruh dia tuang ketapak tangan dan membasuh muka secara ala kadar.....
Alhamdullillah, selepas itu dia kembali tidur, dan tidurnya kali ini terus nyenyak dan sunyi sepi hingga kepagi Tiada lagi gangguan seperti sebelum ini seperti bunyi meracau-racau; batuk-batuk dan helaan nafas "erk, erk, erk" semuanya terus hilang.

Malam berikutnya perkara yang sama masih berulang. Kali ini ianya berlaku lebih awal lagi iaitu kira-kira jam 1.30 pagi. Saya baru sahaja hendak tidur waktu itu apabila melihat keadaan gangguannya sudah bermula. Lallu saya ulangi lagi apa yang saya buat malam sebelumnya. Alhamdullillah, selepas menerima 'rawatan' saya, dia terus tidur dengan nyenyaknya hingga kepagi. Malam ketiga, saya terus berwaspada. Bimbang kalau-kalau gangguan itu datang kembali. Tapi, Alhamdullillah tiada apa-apa berlaku dan tidur saya juga tiada diganggu hingga kepagi.

Bertambah yakin saya bahawa sebenarnya isteri saya tiada mengalami sebarang penyakit, tapi hanya "diganggu" dalam tidurnya. Isteri ada memberitahu saya keesokkan harinya yang dia merasa sesuatu yang pelik, dan seram sejuk ketika saya sedang membacakan ayat-ayat suci semalam. Katanya, kedengaran bunyi cicak juga saling bersahutan ketika itu, sesuatu yang amat jarang kedengaran. Dan ubat kepada gangguan-gangguan yang dialaminya itu tidak cukup kalau hanya pakai minyak angin atau ubat semput. Dan rawatan 'penyakit' seperti ini memerlukan kaedah perawatan secara Islam sepertimana telah saya praktikkan diatas.

Bagi menguatkan hujjah ini, keesokkan harinya saya membawa isteri saya ke Klinik Kerajaan di Batu Arang bagi memeriksa dan mendapat rawatan. Setelah dibuat ujian scan, di x-ray termasuk ujian darah, doktor mengesahkan isteri saya tiada apa-apa masaalah kesihatan. Syukur, Alhamdullillah !
Saya sesungguhnya amat yakin bahawa semua ini ujian Allah, dan setiap ujian yang Allah berikan tentunya ada penawarnya. Hanya kita yang perlu bermohon dan yakin dengan ketentuanNya.......Wallah hu alam,. .
Like ·

No comments:

Post a Comment