Tuesday 5 July 2011

ASALKAN JADI.....STADIUM PUN, STADIUM LAH..............


Keputusan yang dibuat oleh pihak penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan agenda perhimpunan rakyat secara aman didalam stadium dilihat suatu keputusan yang bijak. Keputusan ini dibuat setelah penganjur mengadap DYMM Yang Di Pertan Agong di Istana Negara petang ini.  Majoriti menyambut baik keputusan ini, manakala segelintir lagi rakyat ada yang kurang berpuashati manakala segelintir lagi besikap berkecuali.  Bagi saya, keputusan ini patut diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka sebagai menghormati titah perintah DYMM Yang DiPertuan Agong yang mahukan agar kedua-dua pihak, BERSIH dan kerajaan, kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan sebarang kekusutan.

Apa yang penting kita harus melihat perkembangan ini sebagai suatu yang bersifat 'menang-menag' (win-win situation). Kesediaan DYMM berjumpa perwakilan dari BERSIH menunjukkan kesungguhan dan pengiktirafan baginda keatas kumpulan penganjur BERSIH ini. Ini adalah suatu penghormatan sebenarnya dan mempamerkan sikap bijak pihak istana yang amat jarang dapat kita lihat. Tindakan ini secara tidak langsung meletakkan Perdana Menteri dan kerajaan dalam suatu keadaan yang serba-salah. Mana tidaknya jika Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan BERSIH sebagai kumpulan haram. Mana mungkin DYMM sudi menerima rombongan perwakilan dari kumpulan haram? Bagi saya ini suatu kemenagan besar perjuangan rakyat!

Perwakilan BERSIH yang mengadap Agong juga dilihat amat sederhana dan dibuat menerusi pemilihan yang bijak. Ianya dianggotai oleh Dato' S. Ambiga, selaku Pengerusi BERSIH, Sasterawan Negara A. Samad Said (Pak Samad), dan Pengerusi JIM (Jemaah Islamiah Malaysia) Zaid Kamarudin. Tidak ada seorang pun wakil parti politik yang turut serta. Ini suatu langkah bijak dan dapat menjauhi sama sekali sebarang tomahan terutama dari pihak kerajaan bahawa tuntutan BERSIH berbau politik.

Paling penting bagi saya, keputusan yang dibuat menggambarkan kemenangan kepada rakyat, Perhimpunan akan diteruskan juga, walau pun dibuat dalam stadium, pada tarikh yang telah ditetapkan. Dengan ini 'momentum' kemaraan rakyat dilihat tidak terjejas, dan suara keramat rakyat akan terus bergema juga walau pun dari dalam stadium. Seluruh dunia akan menyaksikan nanti suara dari hati nurani rakyat yang mahukan perubahan terhadap sistem pilihanraya dinegara ini.

Perhimpunan ini sudah tentu dapat diadakan dalam keadaan yang lebih selesa dan tidak lagi diganggu polis. Peserta boleh memakai baju kuning untuk datang beramai-ramai ke stadium. Ini suatu perkembangan yang boleh memberi makna dan ruang yang lebih luas terhadap percambahan domokrasi BERSIH dan tuntutan reformasi piliharaya sepertimana yang dihajatkan.


Jauh sekali seperti sangkaan banyak pihak, terutama pihak kerajaan dan media massa arus perdana bahawa dengan perkembangan terbaru ini, kerajaan telah berjaya mengekang arus perhimpunan haram (kononnya) dari melanda Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini. Mereka meletakkan ini sebagai suatu kejayaan kerajaan. Mereka harus sedar bahawa obor tuntutan 8 perkara yang telah dinyalakan bagi menuntut sistem pilihan raya yang lebih adil, telus dan bersih sebenarnya akan terus menyala dan meniup semangat rakyat yang inginkan perubahan. Suara keramat rakyat kini akan terus mengimbau seseluruh dunia.

PM Najib nampaknya telah terperangkap dalam dilema sendiri apabila pihak istana bersetuju berjumpa wakil-wakil dari BERSIH. Ada juga pihak yang melihat ini sebagai suatu 'face saving device' (pelindung air muka) kepada pihak kerajaan yang nampaknya telah "tenggelam punca" dan tidak bermaya lagi menangani kemelut BERSIH ini sejak 2 minggu yang lalu sehingga memerlukan campurtangan DYMM Yang Dipertuan Agong. Apa tidaknya, pelbagai usaha 'kotor' telah dibuat seperti kempen 'memomokkan' BERSIH melalui media arus-perdana, melabelkan BERSIH sebagai haram, menggunakan polis untuk tindakan menahan dan menangkap aktivis dan ahli politik pembangkang, disamping menggunakan provokasi dari PERKASA dan Pemuda UMNO sendiri semata-mata untuk menggagalkan perhimpunan ini. Bagaimana pun hanya dengan sedikit kebijaksanaa keBawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung, semua ini telah dapat diatasi. Suatu pengajaran berharga kepada pihak kerajaan sebenarnya.

Kita tunggu perkembangan lanjut pada hari Sabtu ini, dan mungkin kita akan dapat melihat sendiri suara dan laungan keramat rakyat yang inginkan perubahan terhadap sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih yang terus bergema dari stadium nanti. Laungannya nanti akan terus bergema keseluruh pelusuk tanahair. Sama sama kita tunggukan. Insya Allah.............

No comments:

Post a Comment