Thursday 14 July 2011

YANG LOREK ITU KENDI, YANG MERAH ITU SAGA.................


Saya telah mengikuti dengan penuh minat pelbagai polimik dan diskusi sejak beberapa minggu lalu mengenai Perhimpunan BERSIH 2.0 yang diadakan baru-baru ini, terutama di laman Facebook. Pendapat pro dan kontra telah diluahkan oleh pelbagai pihak dilaman tersebut, terutama tentang 'kawajaran' perhimpunan ini PATUT diadakan disuatu pihak, dan 'kewajaran' kenapa perhimpunan ini TIDAK HARUS diadakan disuatu pihak yang lain. Bagaimana pun, perhimpunan telah selesai diadakan. Tidak perlulah kita panjangkan polimik ini. Terpulanglah pada persepsi anda sendiri samaada mentakrifkan ianya berjaya atau sebaliknya. Saya telah menyatakan pendirian saya menerusi tulisan-tulisan saya yang lalu diblog ini, dan saya tidak berhasrat mempengaruhi anda untuk bersama saya menyokong pendirian saya itu.

Tujuan saya menulis kali ini bukanlah untuk memperkatakan tentang BERSIH 2.0. Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang polimik yang telah terpapar dilaman-laman Facebook, dan komen-komen yang diberi berikutan dengan tulisan-tulisan pro dan kontra dipelbagai blog di internet. Ada yang menyokong dan memuji melangit mengenai perhimpunan yang diadakan itu, dan ramai juga yang menghentam dan mengkeji serta melepaskan rasa geram kenapa perhimpunan itu diadakan. Pelbagai alasan diberi oleh kedua-dua pihak. Tidak mengapa. Itu adalah pendapat dan pendirian masing-masing. Tidak kisahlah apa pun pendapat dan pendirianm anda. Tapi saya amat tersentuh cara mana penulisan itu dibuat. Banyak sangat serangan berbentuk peribadi dengan maki-hamun dan kata-kesat dan lucah dilekuarkan dilaman Facebook. Kenapakah hal ini jadi ? Adakah ini sudah menular menjadi budaya kita?.

Bukankah kita rata-rata berbangsa Melayu dan berugama Islam. Sebagai orang Melayu dan berugama Islam, rasa saya, kita tidak pernah pun diajar oleh ibu-bapa kita untuk mencemuh, dan memaki hamun orang lain, hanya kerana orang itu tidak sehaluan dengan pendirian kita. Bukankah kita bangsa Melayu yang sepatutnya amat halus dan tinggi budi pekertinya. "Bangsa Melayu itu jika bergaduh pun, santunnya masih terpelihara..." kata Sasterawan Negara Usman Awang, sewaktu membicarakan tentang ragam manusia Melayu. Apakah kita sudah hilang punca dan berlagak serba tahu sehingga kita sanggup mencerca orang lain. Sanggup memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar? Hilangkah sudah pertimbangan rasional kita dek marah yang teramat sangat hingga bersikap demikian?

Laman Facebook adalah suatu wadah baru yang diujudkan dialam siber untuk kita sebagai umat manusia menggunakannya secara bijaksana dan berhemah. Kita boleh berinteraksi, bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran untuk meluaskan pandangan dan pemikiran kita. Bukan untuk dijadikan wadah dan medan untuk menghentam orang yang tidak sealiran dengan kita. Bukan untuk mencaci, dan memaki hamun sesama manusia. Saya jadi pelik dan sedih bila ada orang yang tergamak sehingga sanggup menggunakan bahasa-bahasa kotor dan maki hamun seperti "f....k"(4 letter word), disamping perkataan-perkataan lain yang tidak kurang kesatnya, seperti : "GTH", "HJ"; "PM"; "Bodoh"; "Babi", "Bangang", dan entah apa-apa lagi. Maaf, saya sendiri tidak sanggup menulis kembali perkataan-perkataan kotor tersebut dan terpaksa hanya menggunakan "abbreviation" sahaja disini. Anda kena faham-faham sendiri le........

Berlainan pendirian dan berbeza pendapat adalah perkara biasa dan lumrah kehidupan. Sejak kecil lagi kita sesama kawan dan rakan juga sering berselisih faham dan berbeza pendapat. Dengan ibu bapa dan kaum keluarga juga kita sering berselisih pendapat, malah dengan rakan taulan, rakan sekolej dan rakan sekerja juga kita sering mempunyai pendapat berbeza. Tapi, janganlah jadikan perbezaan pendapat itu suatu perkara sirius sehingga 'mengizinkan' kita melafazkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kita tuturkan terhadap mereka.

Kalau kita tidak setuju BERSIH 2.0 diadakan, itu adalah pendapat kita. Orang lain mungkin tidak sependapat dengan kita. Mungkin bagi mereka BERSIH 2.0 itu suatu yang wajar diadakan. Masing-masing sudah tentu ada alasan sendiri. Begitu juga jika ada orang yang marah-marah kepada Pasukan Polis atas tindakan  yang dikatakan "agak keras" dan "keterlaluan" terhadap penunjuk perasaan. Biarkanlah. Itu hak mereka mengeluarkan pendapat. Kita juga ada hak kita "mempertahankan" pasukan polis atas sebab-sebab tersendiri, mungkin ada saudara mara kita, kaum kerabat kita berkhidmat dalam pasukan ini. Bukan semuanya polis tu jahat. Pepatah Inggeris ada menyatakan "One swallow doesn't make a summer...." Kalau betul pun polis yang bertindakan ganas hari itu, bukannya semua polis terlibat, Ramai lagi polis yang "baik" dan menjaga keselamatan kita terutama mengekang jenayah sehingga ada yang sanggup mengadai nyawa mereka sendiri! Tak perlulah kita marah-marah, dan maki hamun orang yang menghentam polis itu dengan kata-kata yang kesat dan keterlaluan. Bagi saya semua orang ada hak diatas pendapat masing-masing. Itu perkara biasa. Kita tidak boleh memaksa orang lain berpendirian sama dengan kita. Kalau dia bependirian berbeza dengan kita, hormatilah pendapatnya. Jangan diserang dengan kata-kata kesat dan maki hamun. Siapa kah kita yang berhak menuturkan kata-kata begitu kepadanya ??

Saya teringat kata-kata seorang bijak pandai: "We can always argue......., but don't quarrel. When we argue, we actually focus on facts, and not on personalities. When we quarrel, we lose focus on facts but hit on personalities..." Bagi saya kata-kata ini amat tepat sekali. Kita boleh berpolimik dan berdiskusi dan memberi pendapat, walau panjang berjela mana sekali pun.   "Until the cows come home......." kata perpatah Inggeris. Tapi selagi kita tidak menyentuh peribadi sesaorang, kita masih dianggap insan mulia yang berperibadi tinggi. Tapi kalau kita mula menggunakan taktik menyerang dengan menggunakan kata-kata kesat,  mencarut dan memaki orang lain, kita sebenarnya telah menampakkan diri kita sebagai kurang matang, tidak cerdik dan lemah pendirian. Jauh sekali menempatkan diri kita sebagai manusia Melayu yang penuh berhemah serta sopan santun. Ingatlah seperti pantun Melayu :

"Yang lorek itu kendi;
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi;
Yang indah itu bahasa..........."

No comments:

Post a Comment