Sunday, 11 March 2012

Kulim Yang Ku Kenali...........

Deretan kedai lama Pekan Kulim

Sudah agak lama tidak menjejak kaki kepekan kecil diutara semenanjung ini. Walau pun sekali sekala balik kampong, tapi disebabkan kesibukan masa, dan adanya jalan pintas yang menghubungkan lebuhraya terus kekampong, maka seringkali tiada lagi keperluan memasuki pekan kecil ini.  Disebalik kepesatan pembangunan dan perubahan yang berlaku terhadap pekan ini, ianya tidak pernah meluntur kenangan dan memori lama sewaktu menjadi penghuni didaerah ini suatu ketika dulu. Setiap kali menjejak kaki, terasa bagai 'menyusuri semula denai-denai kenangan' sewaktu zaman remaja dan zaman persekolahan dulu. Sejak memasuki kelas SMC (Special Malay Class) di Sekolah Tunku Abdul Malik, Kilang Lama, Kulim sekitar tahun 1962 dulu, dan seterusnya mengharungi zaman persekolahan menengah di Sekolah Sultan Badlishah dari  tahun 1965 hingga 1969, daerah ini tidak pernah terasa asing. Ianya banyak melakar kisah suka duka ketika mengharungi hidup sebagai seorang pelajar sekolah. Disinilah kami hidup, dan dipersekitaran inilah kami bermain dan belajar. Pekan kecil dan kawasan-kawasan persekitarannya adalah laksana 'padang permainan'  yang mencatat seribu kenangan.
Simpang menghgala kepasar sekarang


Pengkisahan ini akan dibataskan hanya untuk sekitar era tahun-tahun 60an sahaja, kerana selepas era ini saya sudah tidak menghuni didaerah ini lagi.  Bermula dengan menumpang dirumah bapa saudara dikuarters polis (belakang balai polis sekarang) dan kemudiannya menyewa rumah bersama kawan-kawan disekitar Kpg Tunku Putera, Kpg Syed Sheikh, Sg. Badak dan Sg. Limau (apabila bapa saudara bertukar kedaerah lain), daerah kecil ini sudah tidak asing lagi bagi kami. Pekan kecil ini menjadi tumpuan  penduduk kampong dari daerah-daerah berdekatan apabila keluar berbelanja seperti mendapatkan keperluan harian, menjual getah atau hasil pertanian lain, membeli barangan dan pakaian, menjamu selera, berhibur sehinggalah kepada keperluan berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.


Kulim, dipercayai mendapat nama dari sejenis pokok yang banyak terdapat didaerah ini suatu ketika dulu. Ianya dibuka oleh sekumpulan orang-orang dari Patani, Thailand yang menghuni kawasan itu sejak awal abad ke19 lagi. Kemudian, sekumpulan pelombongan Cina datang kesitu disebabkan tertarik dengan hasil bijih timah yang terdapat disitu dan membuka beberapa buah lombong. Antara kawasan terawal pemusatan lombong ini ialah kawasan Belakang Tebuk, Bukit Awi dan Keladi.. Awal tahun-tahun 1900an juga menyaksikan berlakunya 'Perang Nyonya Cantik' atau 'Perang Nonya' antara beberapa taukeh lombong berbangsa Cina di Kulim (akibat merebut perempuan simpanan). Mereka ini menggunakan pekerja-pekerja lombong masing-masing untuk bergaduh sesama sendiri. Hampir 3 tahun peperangan berlaku, akhirnya, pihak British masuk campur dan berjaya menteramkan keadaan. Kulim terus diletak dibawah pentadbiran kerajaan British selepas itu dengan meletakan seorang pegawai polis British. Sewaktu pendudukan tentera Jepun, Kulim menjadi salah satu markas dengan beberapa ketumbokan infantri Jepun berpusat disitu. Sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kulim terus ditadbirkan oleh British  melalui beberapa pegawai daerahnya dimana salah seorangnya ialah YTM Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj, bapa kemerdekaan kita.

Jam Besar

Bangunan jam besar, sebagai mercu tanda Kulim suatu ketika dulu, diresmikan pembukaannya pada bulan September 1957, beberapa minggu selepas negara mencapai kemerdekaan. Ianya dibina khusus bagi memperingati hari yang bersejarah itu.  Bersebelahan jam besar terletak padang Kulim dimana acara-acara besar dan warna-warni diadakan saban tahun seperti sambutan hari kemerdekaan, perhimpunan, acara sukan daerah hingga ke pertunjukan pentas disebelah malam. Antara bangunan-bangunan lama yang masih berdiri megah sehingga kini disekitar Kulim ialah bangunan pasar lama Kulim (1946), Sekolah St. Patrick (1933), Sekolah Sultan Badlishah (1948) dan hospital lama Kulim (1954).

Padang Kulim

Masih ku ingat antara kawasan yang menjadi tumpuan sewaktu zaman remaja dulu ialah stesyen bas Kulim yang terletak betul-betul diengah pusat bandar, bersebelahan bangunan pasar dan gerai buah2an. Deretan gerai menjual air-tebu, kacang rebus dan apam balik, serta mainan kanak-kanak terdapat dibersebelahan stesyen bas ini yang menjadi pusat tumpuan penumpang-penumpang bas dari luar daerah seperti Mahang, Baling, Padang Serai dan Serdang. Terdapat 3 panggung wayang ketika itu untuk melepas gian menonton wayang: Panggung Coronation, Cathay dan Kapitol (asalnya Lai Wah). Panggung-panggung ini menjadi tumpuan kami ketika itu, terutama apabila mendapat tiket percuma yang diedarkan kesekolah-sekolah ketika menyambut sesuatu perayaan. Kalau tidak pun, tayangan "cheapmatinee" (tiket harga murah) setiap pagi Sabtu menjadi tumpuan kami pelajar-pelajar sekolah ketika itu. Apa tidaknya dengan harga tiket hanya 25 sen bagi kelas 3 (barisan hadapan sekali) dapatlah kami menikmati filem-filem lama yang diulangtayang terutama filem-filem klasik inggeris termasuk filem-filem "cowboy".

'Nasi kandaq' terbaik waktu itu letaknya berhampiran stesyen bas, berhampiran tokong Cina. Tapak tersebut terletak berhampiran arked MARA sekarang (asalnya Sekolah Lelaki, Kulim yang kemudiannya dipindahkan ketempat lain).  Rasanya waktu itu kalau datang ke pekan Kulim dan tidak 'pekena nasi kandaq' disitu rasanya macam tak sah. Entah apa bahan yang diletaknya, bila rasa sekali lain lagi mahu lagi..... Mee rebus pulak yang tersohor terletak dideretan kedai berhadapan panggung Coronation, dan tidak jauh dari perhentian teksi.
Gereja Catholic Kulim dan disebelahnya pasaraya Yawata


Sebagai pelajar, tempat 'shopping' pakaian kami waktu itu ialah deretan kedai ala-bazar yang membarisi tepi jalan menghala kepanggung Kapitol. Disamping menyediakan kemudahan membeli pakaian, gerai-gerai bazar ini menawarkan harga yang berptutan dan boleh tawar-menawar. Terdapat juga kedai menjual ais-kacang tempat kami lepak-lepak waktu petang dipenghujung deretan kedai-kedai ini dibawah pohon-pohon 'cherry' yang rendang. Manakala satu-satunya kedai alattulis yang sering dikunjungi waktu itu tidak jauh dari situ ialah "The Night Book Store". Hanya terdapat 2 kedai gambar disekitar pekan waktu itu iaitu Chew Wah Photo dan Liew Chin Photo.

Dari pekan Kulim ke sekolah di Kilang Lama, tambang bas kuning ' The Kulim-Baling Transport  Co.' cuma 15 sen. Itu pun kalau turun betul-betul depan sekolah. Kalau nak jimat duit, turun saja di pekan Kilang Lama cuma bayar 10 sen. Pekan Kilang Lama mempunyai 'round-about' terkecil didunia (kini telah diganti lampu isyarat). Turun bas boleh lepak-lepak dulu dikedai mamak bawah pokok 'cherry' ditepi simpang  tiga sambil makan ais-kacang, atau singgah kedai mamak Hamzah pekena roti canai. Kemudian baru jalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 500 meter.


Demikian sedikit gambaran Kulim sewaktu dulu-dulu. Tapi kini, segalanya telah banyak berubah.  Wajah pekan kecil yang aman damai seperti dulu telah banyak 'hilang' dihambat arus kepesatan pembangunan. Saya hanya mampu mendongak dan memandang menerusi tingkap kereta setiap kali lalu didaerah ini, kerana apa yang saya cari dan 'rindu' seperti dulu semuanya telah hilang ditelan arus masa.............

14 comments:

  1. Saya pon orang Kulim dan kni menetap di Seri Kembangan.Anak Hanzah tu satu kelas dengan saya pada tahun 1966.

    ReplyDelete
  2. Oh ye ke? Anak Hamzah tu sapa nama? Ada sorang jugak yang sama kelas dgn saya......

    ReplyDelete
  3. Saya pun org kulim. La ni duduk kat Seri Iskandar Perak. Sekolah Tunku Malik & Badlishah jugak tapi junior banyak pd u.
    Kedai Mamak HAmzah dah tak dak dah. Nasik Kandaq Tokong dah bukak restoran besaq dekat dekat tu jugak... saya sampai la ni kalau balik mesti mkn dia dulu.

    ReplyDelete
  4. Anak mamak hamzah nama dia razak..classmate kat STAM.
    ABC sebelah tu mamak salleh.

    ReplyDelete
  5. Kenai tak abang saya...Mohd Wazir Hashim 63 std 1

    ReplyDelete
  6. Saya tahun 64 std 1. Chegu garang Mr Malaka

    ReplyDelete
  7. HM Malakar, guru kelas saya Darjah 5 pada tahun 1979..garang gilerrr...

    ReplyDelete
  8. HM Malakar, guru kelas saya Darjah 5 pada tahun 1979..garang gilerrr...

    ReplyDelete
  9. saya orang kg junjong..dh 26 tahun bekerja di pwelis.rindu zaman2 tahun 80an..rindu pada cwndol mamak dekat stesen bas kulim..terlalu banyak kenangan..sekiranya saya berkesempatan balik kg junjong.pekan kulim pasti saya akan kunjungi..t/kasih kerana kerana sudi berkonsi pwngelaman dengan kami.

    ReplyDelete
  10. saya orang kg junjong..dh 26 tahun bekerja di pwelis.rindu zaman2 tahun 80an..rindu pada cwndol mamak dekat stesen bas kulim..terlalu banyak kenangan..sekiranya saya berkesempatan balik kg junjong.pekan kulim pasti saya akan kunjungi..t/kasih kerana kerana sudi berkonsi pwngelaman dengan kami.

    ReplyDelete
  11. Lawat facebook kampung tunku putra...kot ada yang kenai..

    ReplyDelete
  12. Lawat facebook kampung tunku putra...kot ada yang kenai..

    ReplyDelete
  13. Pada masa tu, saudara cakap ada gerai jual kacang rebus? Masih ada lagi gerai jual kacang rebus tu hingga sekarang?

    ReplyDelete
  14. Assalamualaikum.Sy lahir di junjung, kulim. Bersekolah rendah di junjung dan SM Badlishah Kulim. Keluarga sy pindah ke Kulim tahun 1987.Lepas kawin 1997.sy pindah ke Tikam Batu kg asal arwah ayah. Trm kasih saudara kongsi kisah dan gambaq lama Kulim. Menggamit memori tempat sy membesar..

    ReplyDelete