Monday 21 January 2013

MOHONLAH, ALLAH AKAN MAKBULKAN……..


 Kata orang bijak-pandai, doa adalah senjata orang mukmin. Apabila berhadapan dengan masalah, atau menemui jalan buntu dalam sesuatu perkara, kita disaran berdoa dan berserah kepada Allah. Insyaallah permintaan kita akan dikabulkan. Allah berfirman: “Mohonlah kepada Ku nescaya Aku akan makbulkan…….” Begitulah Allah menyuruh kita meminta kepadanya. Berdoa dan berserah kepadaNya dalam apa jua masaalah yang kita hadapi lebih-lebih lagi ketika menemui jalan buntu dan tidak ada sebarang daya upaya kita untuk menyelesaikannya. Pengalamanku seperti dibawah menguatkan keyakinan bahawa Allah tetap membantu asal saja kita berdoa dan berserah kepadaNya.

Tanggal 22hb. Disember 2012, kira-kira jam 9.10 malam aku bersama isteri dan anak perempuanku Syafikah, bertolak dari Bandar Tasik Puteri, Rawang menuju ke Telok Panglima Garang, Selangor. Hajat hendak bermalam dirumah anakku Nurazreen disana kerana besok ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Hujan telah mula turun mencurah-curah sewaktu kami bertolak dari rumah. Oleh kerana aku masih kurang sihat, dan baru saja makan ubat petang tadi, isteri meminta untuk memandu. Walau pun hati berat dan bimbang juga kerana keadaan jalan dan hujan lebat, namun ku gagahi juga mengizinkannya. Sepanjang jalan melalui Lebuhraya LATAR, kemudian memasukki Lebuhraya Guthrie, hujan semakin lebat hingga kadangkala tidak nampak jalan dihadapan. Aku berpesan kepada isteri agar berhati-hati memandu kerana dalam keadaan hujan lebat sebegini macam-mcam boleh berlaku. Pada masa yang sama ku lihat meter minyak di’dashboard’ dihadapan jarum sudah hampir ke ‘E’.  Alamak! Macam mana ni?. Memang kesilapan ku, bisik dihati seorang diri. Sepatutnya aku telah siap isi minyak siang tadi sebelum bertolak. Mana nak cari stesyen minyak dikawasan ini, terutama dalam keadaan hujan lebat begini. Aku menunjuk meter minyak kepada isteri. Nampak sedikit kebimbangan diwajahnya. “Kita gagahlah sampai masuk lebuhraya PLUS kerana dekat tol Bukit Raja nanti ada Petronas“ aku memberitahu isteri. Dia mengangguk. Dalam pada itu aku sering juga mengerling meter minyak dihadapan. “Boleh lagi ni”  bisik hati kecilku seorang diri menyedapkan hati.

Jam 9.30 malam kami hampir sampai dipenghujung lebuhraya Guthrie dekat persimpangan Bukit Jelutong, Shah Alam sebelum menyusur ke lebuhraya PLUS menuju ke Klang. Dari jauh lagi nampak kenderaan lain berbalam-balam berhenti dihadapan. “Apa pulak dah ni? Ada accident ke?. Jem teruk nampak didepan?”. Ujarku apabila kami menghampiri deretan kenderaan yang sudah mula bertali arus. Jangkaan kami tepat sekali. Lebuhraya Guthrie sudah jem teruk. Kiri kanan kami bersesak-sesak kenderaan lain. Perjalanan kami terbantut. Pergerakan amat perlahan, dan sudah jadi “bumper-to-bumper”. Kenderaan kami macam mengesot sahaja. 

“Mungkin ada accident didepan kot?” aku mengagak.

“Lampu minyak dah menyala ni” tiba-tiba isteriku memecah kesunyian. Alamak!, apa pula bala ni?. Macam mana nak buat?. Aku memandang meter minyak. Memang lampu insyarat telah menyala, dan selagi tidak diisi minyak, lampu itu tak akan padam. Ku lihat jarum penunjuk pun telah jatuh kegarisan merah paras bawah. Kalau jem macam ni sekejap lagi habislah minyak dan kereta akan tersadai. Aku memandang muka isteri. Nampak jelas kerisauan diwajahnya.

“Takpalah, kita jalan lah pelan-pelan. Insyaallah boleh sampai ke Tol Bukit Raja ni” aku memberitahunya untuk menyedapkan hati.

Kami terus menyusuri bersama arus kenderaan lain yang bergerak perlahan bagaikan bertali arus. Hampir 20 minit baru kami sampai dipersimpangan susur masuk kelebuhraya PLUS untuk ke Klang dan satu lagi ke Shah Alam. Malangnya, semua kenderaan menghala ke Klang diarah oleh petugas lebuhraya supaya menukar arah ke Shah Alam. Jalan susur ke arah Klang juga diletaknya deretan kon menanda jalan ditutup kepada semua lalu-lintas. 

“Apa hal encik?” aku bertanya pekerja PLUS yang sedang bertugas.

“Persimpangan Bukit Jelutong dinaikki air!”  ujarnya. Ya Allah!. Ini masaalah besar ni. Bermakna kami terpaksa masuk mengharungi jem menghala Shah Alam melalui Jalan Batu Tiga untuk mencari stesyen minyak yang terdekat. Tapi, dengan lampu isyarat minyak yang sudah menyala, bolehkah kami bertahan? Aku tahu benar jalan menghala ke Shah Alam yang kami masukki itu memang selalu jem teruk! Dalam keadaan biasa pun sesak terutama waktu petang sewaktu orang balik kerja, ditambah pula bila keadaan hujan macam ni dan ada jalan lain yang ditutup. Aduhhhh….

Aku melihat isteriku diam. Mulutnya berkumat-kamit. Mungkin berdoa agaknya. Anakku si Syafikah ditempat duduk belakang mungkin tidak merasai kerisauan ini. Dah lama terlelap agaknya. Siap kedengaran berdengkur lagi! Aku juga tidak putus-putus berdoa kepada Allah minta supaya dicukupkan bekalan minyak sehingga kestesyen minyak dihadapan sana. Juga minta agar kami dijauhi dari sebarang masaalah dan kesulitan yang boleh merencatkan perjalanan kami. Apa juga ayat yang ku ingat terus ku baca, dan habis saja satu ayat disambung ayat lain, diselang-selangi zikir pendek bagi menenangkan kerisauan dihati. Minta agar Allah permudahkan segala urusan kami……..
Gambar hiasan

Jam sudah menunjukan hampir 10.00 malam ketika kami masih bersesak dalam deretan kenderaan menuju Shah Alam. Hujan masih lagi turun walau pun sudah tidak selebat tadi. Tiba-tiba isteri menjerit: “Eh, lampu isyarat minyak dah padam, dan jarum pun naik balik sedikit!” Aku terus memerhati meter minyak. Betul seperti kata isteri. Selepas hampir setengah jam lampu isyarat menyala tadi tiba-tiba padam balik. Ajaib jugak!. Aku memandang isteri, dan dia juga memandang balik seolah-olah tiada jawapan. Dalam hati aku terus berdoa: “Ya Allah, Engkau tolonglah kami. Jangan kau biarkan kami tersadai ditepi jalan ini!”. 

Jam 10.20 malam kami masih lagi tersekat-sekat ditengah aliran arus kenderaan menghala Shah Alam. Jalan sikit, berhenti. Masih ada kira-kira 1 kilometer lagi sebelum sampai persimpangan lampu isyarat berhampiran Bangunan Syabas untuk membelok ke kanan.  Banyak kenderaan yang tidak sabar memotong dari kiri akhirnya terhenti juga dihadapan akibat jalan sempit. Beberapa buah kenderaan juga kelihatan tersadai ditepi jalan akibat masalah injin ‘overheating’. Kami masih ditengah deretan beratus kenderaan yang sedang terperangkap dalam kesesakan paling teruk.

Tiba-tiba isteri memberi tahu: “Lampu minyak dah menyala balik!” Aku mengerling meter. Hati kembali risau, sambil mulut terus berkumat-kamit membaca apa yang patut. Agak lama kami terdiam. Apabila sampai dipersimpangan lampu isyarat dekat bangunan SYABAS, kami melencong kekanan masuk ke Shah Alam. Hati kecil ku berkata, biarlah kalau nak tersangkut ke apa ke, sekurang-kurangnya kami sudah masuk area Shah Alam.

“Lampu dah padam balik!” ujar isteri sekali lagi dengan nada gembira ketika sampai persimpangan Giant. Aku mengerling meter dan terus bersyukur. Aku rasa kembali bersyukur walaupun 10 minit masa berlalu rasa macam 10 jam. Kini kami melalui jalan disebelah Giant dan kira-kira 500 meter kehadapan kami lihat kesemua kenderaan yang masuk terpaksa berpatah balik.

“Ah, jalan tutup lagi!.Mesti banjir lagi disini” ujarku. Kami berpatah balik mengikut deretan kereta yang terpaksa membuat pusingan ‘U’ mengambil jalan menongkah arus untuk sampai laluan dihadapan bangunan Kolej PTPL. Untuk sampai kesitu, kami harus masuk kekawasan deretan rumah-rumah kedai dan pejabat, dan kemudian membelok keluar kekiri menghala ke Jalan Stadium. Sewaktu sampai disini jam sudah menunjukkan pukul 10.40 malam dan hujan pun sudah reda. Aliran kenderaan sudah tidak sesak seperti tadi lagi. Baru rasa lega dan boleh bernafas sikit. Aku berkira-kira, stesyen minyak paling hampir rasanya ialah selepas Bulatan Kayangan, di Lebuhraya Persekutan sebelah kiri menghala ke Klang.  Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati kami melalui bulatan Stadium menuju arah Bulatan Kayangan dan kemudian memasukki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang.

Akhirnya tepat jam 10.55 malam kami sampai ke stesyen Petronas di Lebuhraya Persekutuan. Fuhh….syukur! Alhamdullallah!. Rasa lega tidak terkata. Mulut tidak putus-putus menyebut ‘Alhamdulillah!’ sebagai puji-pujian kepadaNya yang telah memakbulkan permintaan kami dan menghindarkan kami dari mendapat kesulitan yang tidak diingini akibat kehabisan minyak ditengah jalan. Baru ku sedar rupanya kami telah memandu hampir 1 jam 25 minit dalam kesesakan dengan lampu isyarat minyak yang sekejap menyala dan sekejap padam, dan akhirnya kami sampai juga kestesyen minyak! Dari situ setelah mengisi minyak, kami terus memecut laju ke Klang. Singgah sebentar di Bukit Tinggi untuk makan nasi ayam di Restoran Andalas Corner kerana perut pun telah terasa lapar kerana kami belum makan sewaktu keluar dari rumah tadi. Jam hampir 12.00 tengah malam baru kami sampai dirumah Nurazreen di Telok Panglima Garang.

Aku sebenarnya merasa pelik. Sepanjang pengalaman  memandu kereta ini, sejak 6 tahun lalu, belum pernah aku alami keadaan semacam ini. Apabila lampu isyarat minyak sudah menyala, ianya tidak pernah padam lagi sehingga minyak diisi. Berdasarkan pengalaman juga itu tandanya kita ada kurang lebih setengah jam atau 40 minit sahaja untuk mengisi tangki. sebelum injin mati akibat kehabisan minyak. Tapi, mengapa dalam kejadian ini, kami yang memandu hampir satu setengah jam tanpa henti, dalam keadaan kesesakan jalan pulak, tidak pula menghadapi injin mati, malah meter minyak yang menyala boleh padam pula dan jarum penunjuk yang tadi sudah turun dibawah garisan merah tiba-tiba boleh naik pulak melebihi garisan bawah. Pelik juga jika memikirkan. Apa-apa pun aku bersyukur padaMu ya Allah kerana melancarkan perjalanan ku pada malam itu tanpa sebarang masalah yang tidak diingini. Sesungguhnyalah…..ENGKAU MAHA BESAR!!! Amin ya rabbal alamin!!

No comments:

Post a Comment