Monday 14 January 2013

Kenangan Masuk Darjah 1 Tahun 1959 Sekolah Kebangsaan Labu Besar, Kulim

Gambar hiasan
Masih ku ingat dengan jelas awal Januari 1959, pagi-pagi lagi aku sudah bangun. 'Excited' bukan main. Maklumlah hari pertama nak kesekolah. Sejuk menggigil air perigi dibelakang rumah ketika mandi tidak menjadi soal. Apa yang penting bagiku mulai hari itu aku akan menjadi seorang murid. Aku akan mula bersekolah macam abangku dan juga rakan-rakan yang lain. Selepas mandi, aku bergegas naik kerumah untuk pakai baju dan seluar sekolah yang baru dijahit ibu. Sepasang baju kemeja putih dan seluar pendek berwarna biru tua. Juga sepasang kasut rubber putih dan stokin putih. Didapur, mak menyiapkan sarapan pagi - sekeping lempeng berisi kelapa parut (peknga kata orang-orang Kedah). cicah gula, dan secawan kopi panas. Selepas mengalas perut, ayah sudah siap menanti dihalaman rumah dengan basikal tuanya. Aku terus mencelapak naik keatas pelantar besar basikal ayah dan ayah mengayuh basikalnya membawa aku kesekolah. Hati gembira bukan kepalang.....

Hari masih pagi lagi sewaktu kami sampai ke Sekolah Kebangsaan Labu Besar, satu-satunya sekolah dikampongku yang terletak kira-kira 7 kilometer sahaja dari rumah. Ketika dijalanan ku dapati ramai juga kanak-kanak lain berjalan berbondong-bondong kesekolah. Setengahnya berjalan kaki dan ada juga yang berbasikal. Yang lelakinya memakai kemeja putih, berseluar pendek biru tua, kebanyakannya telah kelihatan lusuh dan ramai juga yang memakai songkok hitam, manakala murid perempuan memakai baju kurung putih dan kain warna biru tua. Disekitar kawasan sekolah ku lihat ramai budak-budak lain sudah sampai. Bagi murid-murid yang baru masuk, kebanyakannya dihantar oleh ibubapa masing-masing. Rata-rata murid-murid ini, termasuk yang telah lama bersekolah, tidak memakai kasut atau sepatu kesekolah. Paling tidak hanya berselipar jepun, dan kebanyakan berkaki ayam. Waktu itu kebanyakan orang, baik yang dewasa atau kanak-kanak kesana sini hanya dengan berkaki ayam sahaja. Mungkin juga kerana waktu itu kasut dikira sebagai barangan mewah dan ramai yang tidak mampu membelinya. Mungkin juga dik kerana ramai datang dari kampung-kampung yang lebih jauh dipendalaman seperti Terus Gading, Bikan Ulu, Selarong, Padang Patong, Banggol Berangan, Jubai dan Bagan Sena. Keadaan jalan kekampung-kampung ini becak bila hujan dan berdebu bila hari panas menyebabkan ramai yang memilih untuk berkaki ayam. Ada sesetengah murid terpaksa mengharung air apabila hari hujan, atau banjir sebelum sampai sekolah. Kalau ada kasut baru pun, kasut terpaksa disimpan dalam beg. Bagi murid-murid baru macam aku masih terpinga-pinga dengan dunia persekolahan yang masih asing.

Jam 7.30 pagi loceng sekolah dibunyikan dari pejabat Guru Besar. Loceng besar ala loceng aiskerim yang diperbuat dari tembaga dan dibunyikan dengan cara mengoyangkannya. Kami disuruh beratur buat dua barisan, tangan atas bahu kawan dihadapan. Semua murid, termasuk murid lama dan baru, beratur mengikut kelas masing-masing. Kami kemudian diminta menyanyi lagu "Negaraku" dan lagu kebangsaan Negeri Kedah "Alah selamatkan sultan". Kami yang baru masuk terpinga-pinga, tak tahu lagu apa yang dinyanyi dan sekadar berdiam diri kerana itulah kali pertama kami mendengan lagu-lagu itu dinyanyikan.
Sewaktu Darjah 4 (1962)

Aku ditempatkan di Darjah 1A, diblok baru, disebelah pejabat guru besar. Ada 2 kelas sahaja diblok tersebut. Kelas yang satu lagi dihuni oleh murid-murid Darjah 5 & 6, berkongsi sebuah bilik darjah yang disekat ditengahnya dengan dinding mudahalih. Murid-murid yang lain termasuk Darjah 1B ditempatkan dibangunan lama, iaitu bangunan asal sekolah diseberang jalan yang merupakan sebuah bangunan yang diperbuat dari kayu, bertiangkan kayu bulat, berdindingkan separuh papan dan separuh buluh yang dianyam dan berbumbungkan atap rumbia. Lantainya hanyalah tanah biasa dan tidak bersimen manakala bangku dan meja murid diperbuat dari kayu hutan yang dibelah menjadi leper seperti papan. Empat atau lima orang murid berkongsi satu bangku dan sebuah meja. Bagaimana pun kami diblok baru bernasib baik mendapat meja dan bangku kayu seorang satu yang diatur berbaris panjang . Pelajaran pertama pagi  itu dikendalikan oleh seorang guru perempuan (dah tak ingat nama) iaitu memperkenalkan kami dengan huruf-huruf konsonan : "a,i,u,e,e tanda,o" Cikgu siap berdiri didepan kelas memegang kad besar tertera huruf-huruf ini. Kami diajar untuk sebut: 'a' ayam, 'i' ikan, 'u' udang dan seterusnya.

Peralatan tulis yang diperkenalkan kepada kami waktu itu hanyalah sebatang pensil, 'sharpener' yang kami panggil "germit", getah pemadam, pembaris dan sekotak crayon warna (lilin warna). Berebut kami membelinya dibilik sebelah pejabat Guru Besar. Pensil pula akan digunakan sehingga pendek sehingga tidak boleh diasah lagi. Waktu itu ramai murid terutama di Darjah 4,5,. dan 6 masih dimenggunakan papan-batu untuk tulis menulis, tapi bagi kami yang baru masuk bernasib baik telah dibekalkan dengan beberapa buah buku tulis. Bagi buku bacaan pula, kami hanya dipinjamkan buku-buku bacaan asas oleh pihak sekolah untuk melatih kami mengeja dan membaca.

Untuk pelajaran kira-kira (sekarang dipanggil matematik) kami diminta oleh guru untuk membawa apa saja bahan yang boleh dibuat mengira. Tidak kiralah sama ada biji getah, biji asam jawa, batang aiskrim, lidi penyapu, atau batang pokok kapal terbang yang dipotong pendek-pendek. Aku juga masih ingat kaedah pelajaran sifir yang diajar secara berlagu bagi memudahkan kami menghafalnya. Berlumba-lumba kami tekun menghafal sifir takut jika tidak dapat menghafalnya, kena berdiri atas bangku.

Beberapa orang guru ditugaskan mengajar kami. Malangnya aku sudah tidak dapat ingat lagi nama-nama mereka. Yang aku masih ingat ialah Cikgu Sham bin Kadim, yang juga merupakan Guru Besar ketika itu. Beliau juga kerap masuk mengajar, dan pelajaran yang diajarnya ialah bacaan. Masih ku ingat disebabkan sering memperolehi markah yang tinggi dalam ujian terutama bacaan, berita ini telah sampai ketelinga ayahku. Tanpa ku sedari rupanya Cikgu Sham adalah sahabat karib ayahku dan setiap perkembangan mengenai pelajaran ku disekolah akan sampai ketelinga ayah. "Baguih la, kalau macam tu. Hang belajaq la sungguh-sungguh. Nanti boleh masuk sekolah orang putih....." pesan ayah sewaktu menceritakan tentang kejayaan ku kepada mak. Mak hanya tersengih.

Untuk belanja waktu rehat disekolah, biasanya mak akan memberi wang 20 sen sehari. Itu pun kalau dia ada duit. Kalau tidak hanya 10 sen sahaja. Kalau bawa bekal dari rumah, duit belanja tidak diberi lagi. Waktu itu, sebungkus nasi lemak daun pisang hanya berharga 10 sen. Air sirap 5 sen segelas, dan kuih atau kacang kuda rebus hanya 5 sen. Waktu rehat, berebut-rebut kami membeli makanan dikantin sekolah yang letaknya diseberang jalan berhampiran bangunan lama tadi.  Bangunan kantin hanyalah merupakan sebuah bangsal kayu kecil beratap nipah dan berdinding separuh papan. Tidak ada ruang disediakan untuk murid duduk dan makan  sepertimana kantin-kantin sekarang. Murid yang hendak membeli makanan perlu pergi ke'tingkap' yang disediakan untuk memesan dan mengambil makanan. Lepas itu pandai-pandailah sendiri mencari tempat menikmati makanan.  Menu kegemaran waktu itu ialah 'nasi lemak tok lang'. Ketika menghampiri bangunan kantin akan terdengar murid-murid memekik "nasik lemak toklang satu! nasik lemak toklang satu!"..Namun begitu, disamping jualan makanan dikantin, ramai juga murid-murid yang membawa makanan untuk dijual dalam kelas, terutama nasi lemak, mihun dan kacang rebus. Bukan setakad itu sahaja, malahan buah-buahan hasil kampong pun banyak yang dibawa dan dijual kepada rakan-rakan sekelas, seperti mangga, rambutan, manggis, jambu dsbnya. Dipercayai disamping mencari wang belanja sekolah, murid-murid ini selalunya tidak dibekalkan dengan wang saku sebagai belanja sekolah. Mungkin disebabkan kesempitan hidup! Maka jalan terakhir ialah untuk menjual apa sahaja yang mereka perolehi dirumah, termasuk mambawa makanan lebih untuk dijual dan mendapat sedikit wang untuk belanja sekolah!.

 Masih ku ingat juga selain makanan yang dibeli dikantin, terdapat juga susu bantuan dibawah skim bantuan makanan berkhasiat dari Kerajaan. Kami dikehendakki membawa bekas berupa cawan atau kole kesekolah bagi mengisi susu bantuan ini. Apabila hampir waktu rehat, loceng dibunyikan, dan kami pun berbaris disebelah pejabat Guru Besar dimana seorang pekerja telah siap membancuh susu tepung didalam sebuah periok besar dan mengagihkan kepada setiap murid dengan mengsi kedalam cawan, atau kole yang dibawa. Sedap tak terkata waktu itu bila dapat menikmati susu cair macam tu. Maklumlah, masa itu susu cair sebegini adalah makanan istimewa yang sukar diperolehi.......

Aku masih ingat dalam masa tidak sampai sebulan bersekolah, aku telah menjadi salah seorang murid yang sering digunakan guru untuk menjadi contoh kepada murid lain. Apa tidaknya, semua ujian yang diberi, sama ada mengeja, atau mengira, aku sering muncul murid yang bermarkah tertinggi. Kalau bab tulisan dan lukisan, kerapkali tulisan dan lukisanku akan ditampal didinding kelas sebagai contoh untuk diikuti murid-murid lain. Cikgu akan memuji aku didepan murid-murid lain. Rasa kembang juga bila sering dipuji begini. Apalagi setiap kali peperiksaan, aku pasti mendapat nombor satu dalam kelas. Dan nombor satu dalam kelas ini sudah menjadi semacam hak mutlak aku sepanjang bersekolah disini dari darjah 1 hingga ke darjah 3, sehinggalah aku terpilih kesekolah 'orang putih' di Kulim selepas memasukki darjah 4 dibawah skim 'Special Malay Class' (SMC) mulai awal 1962..

Pelajaran senaman paling kami suka, kerana waktu itulah kami dibenarkan keluar bilik darjah dan bermain dipadang sekolah. Tapi kerapkali juga pelajaran senaman bertukar menjadi sesi cabut rumput ' temuchut' dipadang sekolah. Mungkin waktu itu tidak ada tukang kebun sekolah atau mesin memotong rumput. Jadi seringkali kami dikerah mencabut rumput terutama apabila ada acara yang akan diadakan dipadang sekolah.


Waktu pulang dari sekolah waktu tengah hari, ayah tidak lagi datang menjemput. Terpaksa balik sendiri dengan berjalan kaki bersama abang dan beberapa orang rakan yang lain. Secara kebetulan abang di Darjah 5 bersebelahan kelasku.  Kerapkali aku akan keluar kelas lebih awal, dan terpaksa menunggu dia diluar bilik darjah. Waktu perjalanan balik kami akan mengikuti jalan yang berdebu bila musim panas, dan becak bila hujan. Kadangkala kami mengikuti jalan-pintas melalui kawasan kebun getah estet Bukit Sedim untuk mengelak dari cuaca panas terik.
Sek. Kebangsaan Labu Besar (masakini)


Sepanjang bersekolah di darjah 1, aku banyak mempelajari perkara-perkara baru yang tidak ku kenali dalam hidup sebelum ini. Soal disiplin dibilik darjah, pergaulan dengan rakan-rakan, bangun dan menghormati guru bila guru masuk kebilik darjah, berbaris ketika hendakkan sesuatu, patuh pada masa apabila loceng dibunyikan dan sebagainya. Aku juga belajar mengenal erti displin apabila ada yang kena rotan atau berdiri atas bangku jika gagal mematuhi arahan atau disiplin sekolah. Disepanjang darjah 1 juga dua peristiwa penting berlaku disekolah itu, iaitu sambutan hari kemerdekaan peringkat sekolah dimana pelbagai pertunjukan dan pameran diadakah disekolah. Dan satu lagi ialah konsert sekolah dimana murid-murid (terutama darjah 4, 5 dan 6) berpeluang menujukkan bakat, lakonan, nyanyian dan sebagainya. Walaupun aku masih kecil waktu itu dan tidak terlibat dengan semua aktiviti itu, namun sebagai penonton kecil, ianya banyak memberi kesan kepada pemikiran, pengetahuan dan pengalaman dalam mematangkan hidup ini.

Ketika merenung kembali kenangan lama ini, aku kerap terkenang juga rakan-rakan sekelas yang sama-sama bersekolah dahulu sewaktu di Sekolah Kebangsaan Labu Besar. Antaranya yang masih ku ingat nama ialah Md. Zaki Ahmad, Aziz Abd. Rahman, Abd. Wahab Shaari, Asma Ismail, Asma Hj. Wahab, Habsah, Juriah, Rohani, Abdullah Sani, Ahmad Saperti, Md.Isa, Abidin Chin, Yusof Awang, Khatijah Che Lah, Khalid Muhamad, Asma Saad, Aziz Mahmud, Muhamad Ghoni Din. Disamping itu ramai lagi yang telah ku lupa nama-nama mereka. Mereka inilah yang menjadi rakan sebaya dan pemberi motivasi dan pembimbing untuk kejayaan ku dalam menjalani kehidupan seterusnya. Tidak ku pasti dimana mereka sekarang berada, sama ada masih bernafas dan sedang meniti usia-usia senja seperti ku juga, atau telah pulang menemui Penciptanya. Hanya Allah jua yang mengetahui segala-galanya...............




3 comments:

  1. Tahniah ..... sesuatu yang menarik untuk dikenang bersama... sy sekarang bertugas di sekolah kebangsaan Labu Besar. Antara nama yang disebut dlam tulisan anda juga saya kenali. Walaupun saya generasi baru di Labu Besar.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi membaca coretan saya. Nukilan ini sebenarnya hanyalah cebisan petikan dari apa yang masih tersimpan dimemori sehingga kini. Mungkin banyak telah berubah dari segi pembelajaran dan teknik belajar yang diterima oleh murid. Tapi, apa-apa pun ini adalah pengalaman saya lalui yang tidak mungkin saya lupa selagi hayat dikandung badan.........

    ReplyDelete
  3. alhmdulilah trima kasih atas blogger ini... saya budak baru belajar byk lgi xthu selok belok walaupn diktakn anak jati labu besar, hehehe....

    ReplyDelete