Sunday 21 September 2014

Nasib keluarga.......takdir atau pilihan?.........


Kadang kala bila dikenangkan kembali aku kerap menjadi sedih dan pilu. Sedih mengenangkan keadaan
kaum keluargaku dan dari salasilah keturunanku, baik disebelah ibu (sebelah Lebai Husin bin Taib) atau ayahku (Abdul @ Abdullah bin Ishak) yang tiada seorang pun berpeluang berpelajaran tinggi. Maksud aku disini ialah belajar kepringkat yang lebih tinggi dari kebiasaan waktu itu, iaitu rata-rata anak-anak Melayu terutama dikampong-kampong hanya bersekolah setakad darjah 3 atau 4 sekolah Melayu sahaja. Tidak ada seorang pun kaum keluargaku yang berjaya menghantar anak kesekolah menengah, hatta kepringkat lebih tinggi lagi.


Jika diamati, memanglah diakui hidup pada masa itu (i.e sekitar tahun-tahun 40an & 50an) tidak seperti sekarang ini.  Kemudahan persekolahan masih tidak banyak dan rata-rata kaum keluarga masih diulit kesempitan hidup. Kata orang, nak makan pun susah, apatah lagi nak memikirkan soal pelajaran anak-anak? Tapi, itulah hakikat sebenarnya. Kesedaran untuk memberi pelajaran secukupnya pada anak-anak, dan sanggup bersusah-payah kerana pelajaran anak-anak masih ditahap yang paling rendah. Jesteru, jadilah mereka manusia-manusia biasa yang terus menerus hidup dikampong-kampong dalam serba kemiskinan dan kedhaifan walaupun beberapa jenerasi berlalu.

Apabila aku mula meningkat dewasa, baru ku sedar.  Seluruh kaum keluarga tiada langsung yang mengambil berat menyekolahkan anak hingga peringkat yang lebih tinggi selain tamat darjah 6 sekolah Melayu. Dua tiga jenerasi sebelum ku tiada langsung kesedaran menyekolahkan anak keperingkat lebih tinggi. Bagi mereka anak-anak bila habis belajar setakad darjah 6 atau sebelum tahap itu pun sudah disuruh berhenti dan membantu menringankan kerja-kerja kampong.. Nak dikatakan tiada kemudahan waktu itu, memanglah tiada kemudahan macam sekarang. Nak belajar jauh sikit dari rumah pun payah. Tapi kalau kita tengok era-era 40an dan 50an, ramai juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka kesekolah tinggi, hatta sampai ada yang ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Dato' Abd. Razak Seremban (SEDAR), Sekolah Tun Fatimah, Johor Bharu, just tio  name a few. Kenapa tiada langsung dari keluargaku yang berfikiran demikian. Memangkah faktor kewangan merupakan penyebab mengapa mereka tidak berupaya menyekolahkan anak kepringkat yang lebih tinggi selain tamat darjah 6 sahaja. Tapi orang lain pun sama juga. Kita hairan melihat ramai juga anak-anak Melayu keluaran sekolah menegnah era tersebut yang berjaya dalam hidup menjawat jawatan penting waktu itu. Kalau tidak tentu ada bapa-bapa saudara kita yang bertugas sebagai pegawai daerah, pegawai penting di Jabatan Kerajaan, Malayan civil service (MCS)  dan sebagainya?

Yang dapat aku ingat kesedaran menghantar anak belajar lebih tinggi ini hanya lahir apabila sampai keringkat aku sebagai anak-anak, i.e era awal 60an baru ada. Sebelum tu tak ada langsung. Bagaimana kita mahu menrobah nasib keluarga kalau soal pelajaran ini diambil mudah. Kita mengharap tuah  datang sendiri  menggolek. Tapi, kalau tidak dipecahkan ruyong, masakan kita dapat sagunya?

Masih ku ingat sewaktu aku mendapat tawaran belajar ke sekolah inggeris dalam tahun 1961 dulu pun ramai pihak, terutama orang-orang kampong yang mencemuh. Tak kurang juga yang memberitahu ayah : " Buat apalah hantar anak belajaq tinggi-tinggi, Bang Hashim!. Teruk belanja tu. Baik suruh mereka berhenti saja dan ajak menoreh bersama kita. Kan itu lebih baik. Dapat juga menringankan beban kita dan menambah pendapatan! ". Tapi, ayah tetap degil !. Tidak mahu langsung dia mendengar cakap-cakap orang kampong. Bagi dia, biar dia susah, biar dia kurang makan asalkan  pelajaran anak-anaknya dapat diteruskan. Dia sanggup bergadai bergolok untuk menyekolahkan kami.  Walaupun dia sendiri hidup dalam serba kedhaifan dan kesempitan, dan hanya bersekolah setakad darjah 4 sekolah Melayu sahaja, namun azamnya biarlah semua anak-anaknya mencapai tahap yang lebih tinggi dalam pelajaran berbanding dirinya. Biarlah pelajaran mengubah nasib keluarga dan jenerasi keturunannya akan datang.

Dan, benarlah seperti harapan dan impiannya untuk memberi kami-anak-anaknya pelajaran secukupnya. Alhamdullillah !, berkat usaha gigih ayah yang tidak mengenal susah-payah dan jerih-perih dalam menyara persekolahan kami, kami kini berjaya juga menjadi manusia yang berilmu dan dapat merubah nasib keluarga serta memberi sumbangan bakti kepada masyarakat dalam bidang masing-masing. Amat sukar dibayangkan jika ayah patah semangat sewaktu kami masih kecil dulu, dan menerima bulat-bulat 'hasutan' orang-orang ampong yang kurang bersetuju kami menyambung pelajaran keperingkat lebih tinggi, tentunya kami kini hanya menjadi orang-orang yang bekerja biasa dikampong dan masih diulit pelbagai kesempitan hidup. Rasanya, pasti ramai anak-cucunya yang masih bekerja sebagai petani, penoreh getah atau pengait kelapa-sawit.........

Sesungguhnya, benarlah seperti kata para alim ulama'. Allah tidak akan mengubah nasib sesaorang kecuali orang itu mengubah nasibnya dengan tangannya sendiri..........





No comments:

Post a Comment