Wednesday 22 October 2014

Siri 1 - Menyusuri Salasilah Keluarga Keturunan LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB

Siri  1

Siri pengkisahan keluarga ini adalah mengenai asal-usul dan salasilah keturunan keluarga saya disebelah datuk lelaki saya bernama LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.  Beliau merupakan penduduk lama yang bermastautin di Kampong Bikan, dalan kareah Bagan Sena, Kulim, Kedah. Kalau ada orang-orang lama yang pernah menetap atau berurusan di kampong ini sekitar tahun-tahun 20an hingga ke 60an, tentu mengenali beliau.  Siri pengkisahan sejarah keluarga ini adalah mengenai sejarah keluarga beliau, sejarah dizamannya, dan juga warisan anak-cucu cicit beliau yang ada hingga kehari ini.

Saya membahagikan siri pengkisahan ini kepada 9 siri; tiap-tiap satu khusus mengenai setiap anak beliau.  Jikalau ada sebarang pertanyaan, komentar atau kemusykilan mengenai siri pengkisahan ini harap dapat di masukkan dipenghujung setiap siri itu untuk perhatian saya.

Saya bernama MOHD SALLEH BIN HASHIM, kini seorang persara Kerajaan dan  tinggal di Rawang, Selangor. Siri pengkisahan ini adalah mengenai keluarga saya yang bernasabkan disebelah datuk saya iaitu LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.  Ibu saya bernama HALIJAH BINTI LEBAI HUSSIN adalah salah seorang anak kepada LEBAI HUSSIN.  Mengikut salasilah keturunan ini saya adalah dari jenerasi ketiga jika dikira selepas LEBAI HUSSIN.  Ikutilah siri pengkisahan seterusnya :-


ASAL-USUL HJ. TAIB DAN KEDATANGAN BELIAU KE SEMENANJUNG

1.1      Siri pengkisahan mengenai salasilah keluarga ini saya mulakan bermula dengan moyang saya yang bernama HJ. TAIB @ TAYIB, iaitu bapa kepada LEBAI HUSSIN.  Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai beliau. Apa yang diketahui ialah HJ. TAIB berasal dari Tanah Jawa (sekarang dikenali sebagai Pulau Jawa, Indonesia). Beliau dikatakan merantau dan 'membawa diri' dari kampong halamannya di Jawa ketika masih muda disebabkan sedikit 'perselisihan' keluarga, kemudian merantau ke semenanjung Tanah Melayu (Malaya, waktu itu). Punca perselisihan faham sepertimana saya dimaklumkan oleh arwah LEBAI HUSSIN sewaktu saya masih kecil ialah atas pembahagian harta pusaka, dan kemudian meleret sehingga isu naik haji, dimana mengikut ceritanya HJ. TAIB (sewaktu di Tanah Jawa masih belum haji lagi) dikatakan telah disisih keluarganya dan tidak berpuashati diatas layanan keluarganya keatas dirinya, lantas beliau mengambil keputusan membawa diri kenegara seberang (Semenanjung Tanah Melayu). Peritiwa ini berlaku pada sekitar awal kurun ke19 iaitu sekitar awal tahun-tahun 1800an.

1.2       Bagaimana pun, ada pelbagai teori dan pendapat yang memberikan sebab musabab lain mengapa
Gambar illustrasi wajah Pengeran Dipenegoro (anak kepada Sultan Hamangkubowono III)
Ilustrasi wajah Pengeran Diponegoro
HJ. TAIB 'lari' meninggalkan Pulau Jawa dan bukan disebabkan perselisihan keluarga semata. Dan terdapat juga asas-asas yang kukuh dari penceritaan orang-orang yang terdahulu tentang teori yang mengaitkan beliau sebagai seorang anak raja berketurunan ningrat dari kesultanan Hamangkubuwono III yang bersemayam di daerah Jogja, Jawa Tengah. Sekitar tahun 1820 berlaku penaklukan Belanda keatas tanah-tanah jajahan kesultanan ini. Jika kita lihat dari sudut sejarah Jawa, memang terdapat pergelutan dikalangan keluarga diraja Jawa sekitar waktu itu, selepas Sultan Hamangkubuwono III dijatuhkan oleh penjajah Belanda yang mula mengambil-alih kuasa di Jawa. Anak lelaki beliau Pengeran Diponegoro bangun memberontak untuk mengembalikan takta dan tanah jajahan yang dirampas. Beliau melancarkan perang keatas Belanda dan perang ini dinamakan Perang Diponegoro yang berlangsung dari tahun 1825 hingga 1830. Perang ini antara perang yang memakan korban paling banyak dalam sejarah Jawa. Diponegoro akhirnya tewas, ditangkap dan dibuang ke Makasar dan kemudian mangkat disana. Seluruh keluarga diraja menghadapi suasana cemas ketika itu, ramai yang melarikan diri, kaum keluarga terutama anak-anak lelakinya seramai 17 orang ramai yang bercempera lari membawa diri, akibat diburu pihak Belanda. Ada kemungkinan HJ. TAIB salah seorang darinya, menyamar sebagai orang biasa dan melarikan diri ke Semenanjung bagi mengelak asakan pihak Belanda dan memberi pelbagai alasan bagi 'menutupi' rahsia sebenar. Bagaimana pun, semua ini hanyalah teori yang masih tidak dapat dibuktikan dengan kukuh berdasarkan fakta-fakta sejarah yang boleh dipercayai.


1.3      Di Semenanjung, HJ. TAIB dikatakan pada awalnya bertapak di daerah Sabak Bernam, Selangor; kemudian merantau ke daerah Tg. Piandang, Perak dan akhirnya terus menetap di Yan, Kedah. Beliau berkahwin dengan wanita tempatan (tidak diketahu namanya) dan memperolehi 4 orang anak lelaki. Beliau diberitakan hanya berjaya ketanah suci Mekkah untuk menunaikan fadhu haji selepas menetap di Semenanjung. Anak-anak lelakinya seramai 4 orang bernama AHMAD, MOHAMMAD, HASSAN dan HUSSIN.  Dari anak-anak lelakinya inilah sebenarnya nasab saya bermula.


ANAK-ANAK HJ. TAIB

1.5      Anak lelaki sulongnya AHMAD dikatakan menetap di daerah Tg. Piandang, Perak. Ramai anak/cucu/cicitnya merantau dan bermustautin sekitar Tg. Malim, Perak hingga ke daerah Sg. Choh, di Selangor. Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai salasilah keturunan keluarga ini, sehinggalah baru-baru ini saya berjaya menemui beberapa individu yang boleh dikaitkan dengan salasilah keturunan AHMAD ini. Antaranya ialah rakan di Facebook saya MOHD ZUHRI BIN ZAID, dan seorang lagi bernama ZAWAWI BIN ZAID; kedua-duanya adalah anak kepada ZAID dan cucu kepada AHMAD, dan merupakan anak-saudara kepada LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB.

1.6      Manakala MOHAMAD berkahwin dengan seorang wanita di daerah Seberang Perai (SOFIAH BT MOHD NAJIB @ UDOH), dan menetap disana. Mereka dikurniakan 6 orang anak; dimana yang sulongnya seorang perempuan bernama MAZNAH (a.k.a MAK CHAQ) dikalangan saudara-mara dan pernah tinggal di Labu Besar, Kulim. MAZNAH berkahwin sebanyak 2 kali; kali pertama dengan suami bernama WAHAB dan mendapat 2 orang anak iaitu DIYAH dan seorang lagi lelaki bernama SAAD @ HASIM. Perkahwinan kedua dengan suami bernama HASHIM dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama KHATIJAH. Selain MAZNAH, adik-beradiknya yang lain ialah SALMA (menetap di Taiping, Perak); OSMAN; SALLEH; dan SELASIAH semuanya menetap di Seberang Perai khususnya di kawasan Samagagah, Permatang Pauh; Seberang Perai, manakala yang bongsu ZAINAB mengikuti suaminya yang bekerja sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM) merantau; dan akhir sekali menetap di Taman Sri Serdang, Selangor. Dari salasilah ZAINAB ini saya berjaya mengesan 4 orang anak-anaknya, ZAINAL ABIDIN, ISMAIL, NORELAH dan FADZILAH. Anak sulong FADZILAH bersama suami bernama SHAHIDAN adalah seorang rakan di Facebook saya bernama FATIN BELLA. Anda yang mempunyai akaun FB boleh 'add' nama ini dalam senarai 'friends' anda untuk meluaskan jaringan saudara-mara kita.

1.7     Anak HJ. TAIB yang ketiga HASSAN masih tidak dapat kami jejakki sehingga kini. Tidak ada sebarang petunjuk dimana keluarga ini bertapak ketika ini. Dan, jika ada sesiapa diantara kita yang ada maklumat mengenai salasilah keturunan HASSAN, bolehlah berkongsi di FB agar kita semua dapat sama-sama mengenali mereka lebih dekat.

LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB  (1987  -  1969)

1.8      Anak HJ. TAIB yang bongsu LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB adalah merupakan datuk dan
Gambar Arwah Che Nah binti Hj. Deraeh ketika dilanjut usia
Gambar CHE NAH sewaktu dihujung usia
moyang  dalam salasilah keluarga saya hari ini. Beliau merupakan fokus saya untuk siri pengkisahan sejarah ini. LEBAI HUSSIN dikatakan lahir disekitar tahun 1887 di Yan, Kedah. Sewaktu zaman mudanya beliau banyak mengikuti bapanya bekerja sebagai nelayan pantai, bertani dan bertukang rumah ketika waktu-waktu tidak kelaut. Beliau bertemu jodoh dengan CHE NAH BINTI HJ. DERAEH dari kampong yang sama, iaitu anak kepada guru Quran ditempat dia belajar mengaji. Beliau bersama CHE NAH kekal sehingga keakhir hayat, dan dikurniakan seramai 8 orang anak terdiri dari 5 lelaki dan 3 perempuan.


1.9      LEBAI HUSSIN mempunyai bentuk tubuh badan yang agak tinggi, tegap dan berkulit cerah. Beliau memilikki raut wajah yang sirius tetapi mudah tersenyum dengan bahagian rambut yang agak nipis dibahagian depan. Sayang sekali, saya sebagai cucu-cicitnya tidak ada menyimpan gambar wajahnya. Jika ada sesiapa yang menyimpan gambar atau kelibat wajahnya sekali pun harap dapat 'download' disini untuk tatapan kita semua. Apa yang kita ada sekarang hanyalah gambar dari keratan akhbar Berita Harian bertarikh Sept, 1957 yang menyiarkan gambar beliau melakukan upacara 'membasuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman Putera (Perdana Menteri Malaya, waktu itu) yang diadakan di Kulim selepas YTM Tunku kembali ketanah air dengan jayanya selepas misi menuntut kemerdekaan dari Kerajaan British.

  (Gambar sebelah keratan akhbar Berita Harian            Gambar dari keratan akhbar Berita Harian tahun 1957 menunjukkan Arwah Lebai Hussin sedang melaksanakan upacara 'membasuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman Putra AlHaj di Kulim, Kedah selepas YTM Tunku selamat pulang dengan jayanya dalam misi menuntut kemerdekaan dari kerajaan British.
    terbitan tahun 1957, yang menunjukkan
    Allahyarham Lebai Hussin sedang melaksanakan
    upacara 'basuh kaki' YTM Tunku Abd. Rahman)


 1.10     LEBAI HUSSIN bersama isteri tinggal di Yan, Kedah sehingga mendapat anak yang kelima. Selepas itu timbul keinginan pasangan ini untuk berhijrah mencuba nasib dirantau orang. Tempat pertama yang menjadi persinggahan mereka ialah di Sg. Punti, dalam daerah Serdang, Kedah. Saya tidak tahu tahun berapa mereka berpindah, tetapi mengikut cerita dari nenek saya (CHE NAH) sendiri, mereka mula merantau dengan berjalan kaki dan waktu itu bangunan Stesyen keretapi Sungai Petani sedang dalam pembinaan. Saya membelek-belek lipatan sejarah dan terjumpa fakta yang menunjukkan bangunan stesyen keretapi Sungai Petani hanya siap dan dibuka pada tahun 1914.

BERPINDAH KE KAMPONG BIKAN, KULIM

1.11    Di Serdang, Kedah pasangan ini membuka perniagaan kedai makan dengan dibantu beberapa orang anak yang sedang membesar. Bagaimana pun perniagaan ini tidak dapat kekal lama dan hanya dapat bertahan sekitar hampir 3 tahun sahaja. Kemudian mereka mendapat berita bahawa di Kpg. Bikan, Kulim, Kedah, penduduk-penduduk disana amat memerlukan seorang guru Al-Quran bagi mengajar anak-anak mengaji. Pasangan ini kemudiannya menyahut panggilan ini dan berpindah ke Kpg. Bikan, dan diberikan sebidang tanah berhampiran jalan masuk kekampong tersebut bagi mendirikan rumah.

1.12     Bertolak dari situ bermulalah kehidupan mereka sebagai penduduk di Kpg. Bikan dengan kedua-dua suami isteri ini berperanan sebagai guru mengajar Al-Quran setiap petang dan malam. Setiap hari dan setiap malam rumah yang baru didirikan dipenuhi dengan meriah oleh ramai anak-anak yang belajar mengaji. Disamping mengajar mengaji, LEBAI HUSSIN juga menjadi tukang-rumah secara sambilan; membuat kerja-kerja kampong, bertani dan juga mengubati penyakit-penyakit ringan yang dialami oleh penduduk-penduduk kampong dengan berkat jampi dari ayat-ayat Al-Quran.

ANAK-ANAK LEBAI HUSSIN DAN CHE NAH

1.13    Perkongsian hidup LEBAI HUSSIN dengan isterinya CHE NAH telah dianugerahi Allah dengan 8 orang anak; 5 lelaki dan 3 perempuan. Senarai nama anak-anaknya seperti berikut:
1) ABD. SAMAD
2) ISMAIL
3) RAMLI
4) RAMLAH
5) HALIJAH
6) ABDULLAH
7) HASHIM
8) PUTEH

1.14     Dari 8 orang anak ini, 2 orang anaknya meninggal sewaktu masih muda. RAMLAH meninggal sewaktu melahirkan anak ketiga, manakala HASHIM meninggal sewaktu berusia diawal 20an dan masih bujang, dalam suatu tragedi berdarah yang berlaku pada tahun 1953 dimana beliau terkena tembakan pengganas komunis sewaktu keluar memburu ayam-hutan bersama beberapa orang rakan. Insya Allah, episod ini akan diceritakan dengan lebih detail dalam siri-siri yang akan datang.............

1.15    LEBAI HUSSIN meninggal dunia pada 15 Oktober 1969 dalam usia hampir 80 tahun, manakala isterinya CHE NAH meninggal pada tahun 1991 dalam usia yang mencecah hampir 95 tahun..........AL-FATEHAH KEPADA KEDUANYA !!!


Bersambung di Siri 2. -   SALASILAH KELUARGA ABD. SAMAD BIN LEBAI HUSSIN

No comments:

Post a Comment