Friday 5 August 2011

TERKENANG SEMASA DULU ..................'PUASA ZAMAN KANAK-KANAK DIKAMPONG '......

Pekan Malau

Entah mengapa, setiap kali datang Ramadhan, memori lama sewaktu zaman kanak-kanak ketika menyambut Ramadhan dikampong sering berputar kembali diingatan. Sekitar tahun-tahun penghujung 50an dan awal 60an. Umurku waktu itu baru setahun jagung, dan masih dialam kanak-kanak. Kami sekeluarga tinggal di Kampong Padang Ubi, yang jaraknya lebihkurang 5 kilometer dari pekan Labu Besar, dalam daerah Kulim di Kedah. Ketibaan Ramadhan disambut bagaikan pesta seluruh desa, terutama bagi kanak-kanak sebaya aku. Apa tidaknya waktu itulah kami berpeluang merasa makanan yang enak-enak yang disediakan oleh ibu setiap petang sebagai juadah berbuka.  Tidak seperti dibulan-bulan lain, sewaktu bulan puasa juadah dan masakan ibu akan lebih istimewa. Seri muka, tepung talam, bingka, cucur badak, cucur udang adalah diantara juadah kegenmaran. Letih dan penat berpuasa tiada menjadi masalah asalkan dapat menikmati hidangan juadah istimewa masakan ibu setiapkali azan magrib berkumandang. Waktu itu tidak ada pasar Ramadhan seperti sekarang. Kalau hendak menikmati masakan dan juadah yang sedap-sedap, kenalah tunggu bulan puasa atau hari raya. Kadang kala jiran sebelah menyebelah rumah juga turut menyumbang juadah sepiring-dua. Dan inilah yang memeriahkan suasana berpuasa waktu itu. Amalan murni dan semangat kejiranan yang kental ini telah hampir pupus pada masa kini.

Masih ku ingat, sebagai galakan untuk menghabiskan puasa sehari, ibu dan ayah akan mensyaratkan hanya sesiapa yang lengkap berpuasa sehari suntuk sahaja yang dibenarkan duduk bersama ditempat makan menikmati hidangan berbuka bersama mereka. Sesiapa yang tidak puasa kenalah pergi jauh-jauh dan tidak mengganggu mereka yang berpuasa. Mereka yang tidak puasa kena tunggu sehingga selepas orang berbuka baru boleh menjamah makanan. Kadangkala kena pula buat kerja lain sewaktu orang berbuka seperti memasang pelita, menutup pintu dan jendela, menghalau itik kekandang atau menutup pintu reban. Kami yang berpuasa duduk bersila diatas tikar mengkuang mengelilngi juadah dan masakan yang disediakan. Hati terasa megah sekali dengan 'ganjaran' yang diberi!!. Tidak hairanlah kami adik beradik akan berlumba-lumba mengenapkan puasa setiap hari dan tidak mahu 'disisihkan' ketika waktu berbuka. Begitu hebat sekali ayah dan ibu 'mentarbiyah' serta mendidik kami supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan puasa.......

Meskipun kesempitan hidup dikampung yang diulit serba kekurangan, ibadat puasa tetap dijalani dengan gigih dan tidak kurang meriahnya. Ketiadaan bekalan lektrik waktu itu dengan hanya dicerahi pelita minyak tanah tidak sekali-kali melunturkan suasana bepuasa. Begitu juga bekalan air bersih yang hanya diperolehi dari perigi tua ditepi sawah, tidak pernah meruntun semangat kami untuk menjalani ibadat puasa dengan tabah. Kedatangan Ramadhan masih dapat dinikmati dalam suasana yang segar dan meriah. Masih ku ingat sewaktu hendak berbuka, amat sukar sekali mengenalpasti masuk waktu berbuka. Maklumlah waktu itu tiada jam, juga radio atau tv seperti sekarang untuk mendengar azan maghrib. Juga, tiada kedengaran laungan azan dari surau atau masjid seperti sekarang disebabkan ketiadaan bekalan letrik.Yang menjadi panduan hanyalah bunyi ketuk atau gendang dimasjid yang dipalu sewaktu masuk waktu bagi menandakan waktu berbuka. Itu pun kadang-kadang kedengaran dan kadangkala tidak disebab jarak yang agak jauh. Kadangkala ayah terpaksa meninjau-nijau keufuk barat bagi melihat cahaya matahari yang terbenam dan membuat tafsiran sendiri menentukan waktu berbuka. Ketika cuaca redup atau hari hujan, keadaan akan bertambah kusut. Kami sekeluarga akan terkapai-kapai sendiri mencari titik penentu waktu berbuka atau imsak.......

Suasana kampong yang damai

Waktu persekolahan berjalan seperti biasa walau dibulan puasa. Disebabkan jarak rumah ke Sekolah Kebangsaan Labu Besar agak jauh, kami terpaksa berjalan kaki pergi dan  balik. Masih ku ingat sewaktu darjah 1, disebabkan panas terik dan perit matahari sewaktu berjalan kaki pulang dari sekolah, pernah mencabar juga iman puasa. Dik keletihan dan dahaga yang melampaui hari biasa, pernah juga aku terus keperigi dibelakang rumah sebaik sahaja sampai kerumah dengan alasan mandi dan menyejukkan badan. Tapi, sewaktu mandi, 'seteguk dua air' akan masuk juga kerongga tekak bagi menghilang dahaga...... Bila balik rumah, buat muka selamba sahaja dan pura-pura letih berpuasa.......

Memori juga sering berputar ketika aku bersama abang (Ibrahim) menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual air sirap dan ais ketul dibulan puasa bagi menambah pendapatan dan mencari duit raya. Ketika cuaca panas membahang, minuman ber'ais' merupakan mimpi bagi kami penduduk desa waktu itu. Manakan tidak, dengan ketiadaan bekalan letrik dan peti sejuk, minuman ber'ais' amat sukar diperolehi. Ayah membantu dengan memesan ketulan ais dari Kulim yang dihantar setiap hari melalui perkhidmatan bas Syarikat Lian Hin Kongsi yang beroperasi dari Kulim kepekan Malau melalui kampong kami. Setiap hari, kami akan menunggu ketibaan ketulan ais melalui bas yang akan diturunkan di tepi simpang Kampong Padang Ubi. Bungkusan ais itu diliputi habuk-habuk kayu bagi mengelakkan ianya cair sewaktu dalam perjalanan. Sebaik sampai, ketulan ais itu akan dibawa balik kerumah dan dipotong menjadi ketulan-ketulan kecil untuk dijual. Abang kemudiannya akan mengisi ketulan-ketulan  ais itu kedalam kotak kayu yang diikat dipelantar basikal tua ayah. Kotak kayu itu juga diisi dengan serbuk-serbuk  kayu. Apabila siap, dia akan mengayuh untuk menjaja sekeliling kampung. Seketul ais boleh dijual dengan harga 15 sen. Jika cuaca panas, dagangan akan laris 'macam goreng pisang panas' dalam masa tidak sampai pun 2 jam. Dapat juga hasil jualan dalam 2 atau 3 ringgit sehari. Tapi, masalah akan timbul jika tiba-tiba hari hujan. Tiada siapa yang akan membeli ais ketul, dan abang akan pulang dengan kehampaan, sedangkan dagangan masih banyak dalam kotak. Waktu itulah pelbagai ikhtiar dibuat untuk 'menyelamatkan' ais yang berbaki, termasuk 'menanam'nya bersama serbuk kayu kedalam tanah bawah rumah bagi menghindarkan ianya cair !. Malangnya , selepas beberapa jam sahaja, apabila dikorek kembali, yang tinggal hanyalah serbuk-surbuk kayu sahaja.........

Suasana kemeriahan bulan Ramadhan juga sudah tentu tidak terlepas dari kemeriahan dan memori indah ketika mengerjakan solat terawih samaada di Masjid Kampong Bikan, atau di surau Kpg Padang Ubi yang teletak tidak jauh dari rumah. Kelibas Tok Siak Jusoh dan Abang Pin yang petah dan becok memarahi kami kerana buat bising mengganggu jemaah yang sedang bersolat masih jelas diingatan. Sebagai kanak-kanak, dunia hanya dipenuhi dengan bermain pelbagai maianan sewaktu orang lain sedang khusuk menyembah Allah. Main aci, main kejar-kejar, main 'cak-cilut' dan entah apa-apa lagi, masih segar diingatan hingga kini. Apabila jemaah hampir selesai solat, kami pun berkumpul beramai-ramai di'balai lintang' untuk menikmati hidangan 'moreh'. Pelbagai masakan dihidangkan seperti bihun, laksa,bubur kacang dan sebagainya untuk jemaah yang berterawih. Sebagai kanak-kanak, menu moreh setiap malam lebih penting dari jumlah raka'at terawih yang dikerjakan !!!

Selesai 'moreh', terutama apabila jemaah telah pulang kerumah masing-masing, kami yang tinggal disurau atau masjid akan memulakan pula apa yang dinamakan 'pesta pukul gendang syok'. Kami akan bergilir memukul gendang disurau dan masjid bagi mengingatkan jemaah untuk bersahur Berdentam-dentum gendang kulit kerbau dipalu, dengan tingkah dan alunan tertentu yang menerbitkan irama yang mengasyikan.

Apabila masuk minggu terakhir bulan Ramadhan, ibu akan sibuk pula menyediakan kuih untuk persiapan hari raya. Waktu ini kami sudah jarang kesurau atau kemasjid kerana perlu membantu ibu didapur seperti membakar kuih (menggunakan makeshift oven yang terdiri dari periuk besar yang diletakan bara api diatas dan dibawahnya).; menumbuk telur (untuk buat kuih bahulu) ; menumbuk dan menekan serbuk kacang hijau (untuk buat putu kacang) atau menebar kuih loyang (kuih ros) didalam kuali yang berisi minyak panas!!. Waktu ini, hati sudah pun dibuai riang gembira menanti suasana raya yang akan menjelang tiba. Selain membuat kuih, ibu juga akan membawa kami ke pekan Malau untuk beli kain buat baju untuk raya. Waktu ini kalau dapat sehelai baju baru dan sepasang kasut rubber sudah cukup megah, dan siap bergaya untuk menyambut hari raya.......
Bermain mecun suatu kemestian

Kemeriahan menyambut Syawal juga tidak terkecuali dengan bermain mercun. Setiap malam selepas sahaja waktu berbuka berdentam-dentum bunyi mecun disana sini, diselang-seli dengan dentuman kuat meriam-karbait sekali sekala terutama dari Kpg Bikan, sebagai tanda pesta untuk malam itu telah bermula. Nasib baik waktu itu belum ada lagi larangan bermain mercun seperti sekarang. Maka bebaslah kami bermain tanpa sekatan.

Akhirnya, tibalah hari raya yang ditunggu-tunggu. Diawal pagi lagi kami sudah bangun, siap bersarapan dengan pulut lemang atau ketupat berserta rendang. Kemudian pakai baju baru untuk kemasjid atau surau bagi menunaikan solat hari raya. Lepas solat, kami akan singgah dirumah tok & tokwan di Kampong Bikan atau dirumah kawan-kawan dan saudara mara untuk beraya. Dapat dulit raya  sekupang dua. Lepas itu, tunggu bas dekat simpang untuk ke pekan Malau untuk menonton wayang. Waktu itu di Malau ada sebuah panggung wayang (Federal Theater), satu-satunya panggung wayang yang ada di daerah itu waktu itu. Selesai menonton, singgah dulu dikedai cina penjual ais dipekan Malau untuk pekena ais kacang dan rojak sebelum naik bas balik kerumah.......

No comments:

Post a Comment