Friday, 20 April 2012

Cerita Si Pemecah Batu............


Sikap angkuh, bongkak, sombong dan sentiasa bercakap meninggi diri adalah sifat lumrah manusia. Sejak zaman azali lagi, manusia tidak pernah sunyi dari sifat-sifat negatif ini. Rasa diri hebat, rasa diri lebih baik dari orang lain, dan seolah-olah "Akulah yang lebih hebat dan terbaik daripada kamu....." sentiasa menjadi pegangan mereka. Rasa riak dan takabur juga adalah selari dengan sifat-sifat ini. Sebenarnya, ini adalah suatu jenis penyakit hati yang sukar diubati. Ubatnya, hanya satu!. Kalau kena gayanya, atau kalau 'bertemu buku dengan ruas' dengan sesaorang yang boleh mematahkan cakapnya, barulah orang seperti ini akan diam menikus, dan enggan bercakap tinggi lagi.

Orang seperti ini selalunya akan bercakap gah mengenai kehebatan dirinya. Kononnya, dialah yang maha bijak, dialah yang terbaik, dialah yang paling 'terer' dan dialah yang terkuat. Kalau dari segi kewangan, dialah yang paling kaya, berharta dan tak pernah langsung menghadapi kesulitan! Kalau dalam majlis-majlis, sifat bongkak dan meninggi diri ini akan lebih terserlah. Kalau bercakap tak pernah jatuh langsung. Ini semua adalah gara-gara menarik perhatian orang lain supaya menganggap dia yang hebat, gagah dan berjaya dalam semua hal.

Apa juga cerita yang dibawa, semua dia tahu. Dan dia dah ada pengalaman. Dan semua ceritanya menjurus kearah kesatu matlamat; untuk menunjukkan kejaguhan dan kehebatanya. Tak macam orang lain. Dia rasa dirinya hebat.....

Saya masih ingat pesanan seorang ustaz saya sewaktu dibangku sekolah dulu, ketika berceramah mengenai orang yang mempunyai sifat angkuh seperti ini. " Kalau berdepan dengan orang macam ni, mudah saja", kata ustaz. " Tanya dia....., dia keluar kedunia ni melalui saluran mana? Sama tak dengan orang lain semua yang keluar kedunia melalui suatu saluran sempit pada tubuh seorang wanita yang dinamakan 'kemaluan' . Kalau jawapannya 'ya', bagi tahulah kepadanya, kalau begitu tak payahlah bercakap meninggi diri, kerana manusia semuanya sama, keluar menerusi 'tingkap' yang sama........"

Bagi saya sifat angkuh dan meninggi diri ini sebenarnya diwarisi daripada Firaun, diperkuat dan diperkukuhkan dengan bantuan dan bisikan syaitan. Walau sehebat Firaun sekali pun yang merasa diri gagah sehingga berani mencabar kekuasaan Tuhan, akhirnya terkubur juga dengan cara yang hina dan memalukan!. Demikianlah sejarah mengajar kita bahawa manusia bersifat sebegini tidak akan kekal lama, dan lambat laun akan terkubur juga kelembah kehinaan dan kebodohan sendiri.


Saya teringat sebuah cerita dongeng Farsi yang pernah saya baca sewaktu zaman kanak-kanak dulu. Begini ceritanya :

" Pada zaman dahulu, ada seorang pemecah batu yang kerjanya setiap hari kebukit mencari bongkahan batu-batu besar untuk dipecahkan. Batu-batu yang kecil, selepas dipecahkan akan diisi kedalam pedati dan ditarik keldai untuk dijual kekota bagi tujuan membina bangunan.


Suatu hari yang panas terik, sewaktu penat bekerja, si pemecah baru berhenti sekejap berehat. Sewaktu duduk-duduk itu dia mendongak melihat kearah matahari yang terik memancar cahayanya. Lalu terlintas difikiranya, alngkah baiknya kalau aku dapat jadi matahari. Aku berkuasa dan boleh memancarkan cahaya seluruh alam ini.


Tiba-tiba dengan takdir Tuhan, dia pun bertukar menjadi matahari. Lalu memancarkan cahaya nya dengan begitu gagah sekali. Sekonyong-konyong lalu segumpal awan dihadapannya menutupi sebahagian cahayanya. Wah, ada lagi orang yang lebih gagah dariku, bisik hatinya. Begitu marah dia pada awan, lalu dia pun memohon untuk.menjadi awan. Dia pun bertukar menjadi segumpal awan dan berarak megah kesana sini.. Tetapi, tiba-tiba datang angin kencang yang meniup awan-awan tersebut kesuatu daerah lain. Wah, ingatkan aku yang berkuasa, rupanya ada orang lain lagi yang berkuasa, bisik hati kecilnya. Maka diminta pula untuk menjadi angin. Sekonyong-konyopng dia pun bertukar menjadi angin. Lalu bertiublah dia dengan laju seraya menunjukkan kuasanya.


Tiba-tiba dalam perjalanannya dia melintasi bongkahan batu besar diatas puncak gunung yang kelihatannya tidak langsung terjejas dengan tiupannya.  Aku ingatkan aku dah kuat, rupanya bongkahan batu ini lebih kuat dan teguh. Lalu dimintanya untuk menjadi batu-batu digunung. Maka dia pun bertukar manjadi sebuah bongkahan batu besar dipuncak gunung itu. Terasa megah dia berdiri disitu.


Tiba-tiba dirasanya kepalanya diketuk bertalu-talu. Tong!, tong!, tong!......aduh!, jeritnya kesakitan lalu mendongak. Rupanya, ada seorang pemecanh batu sedang memukul badannya. Ah... aku ingat aku sudah berkuasa tadi. Rupanya masih ada orang yang lebih berkuasa dariku. Kalau begitu biarlah aku menjadi pemecah batu.


Maka dia pun kembali menjadi pemecah batu....... "

Moral of the story: Janganlah kita berlagak dan menganggap bahawa kitalah yang terhebat didunia ini. Sesungguhnya akan ada orang lain yang lebih hebat dari kita........

No comments:

Post a Comment