Monday 18 April 2011

PTPTN - talian hayat atau beban sepanjang hayat...........

Skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan sejak 1997 dulu, kini telah memasuki tahun keempat belas perlaksanaan. Skim kewangan untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk menyambung pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi didalam atau luar negara, amat dialu-alukan. Ianya semacam memberi nafas dan kelegaan kepada para pelajar terutama mereka dari keluarga miskin dan kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian diperingkat tinggi.




Kini setelah hampir 15 tahun skim ini berjalan, rata rata bekas pelajar pengajian tinggi yang ditemui, sama ada bekas pelajar IPTA atau IPTS, mengeluh mengenai beban membayar balik PTPTN. Apakah sebenarnya yang berlaku? Apakah mereka ini tidak bersedia untuk mambayar balik pinjaman dari tabung yang telah memberikan menafaat kepada mereka sewaktu belajar dahulu, atau adakah 'keculasan' mereka membayar balik disebabkan beberapa faktor-faktor lain?.


Mengikut sumber-sumber dari PTPTN sendiri, sejak diperkenalkan, kerajaan telah membelanjakan hampir RM33 billion untuk perlaksanaan skim ini. Bagaimana pun dari segi kutipan bayaran balik purata jumlah yang tertunggak setiap tahun ialah dalam lingkungan RM1.2 billion sehingga akhir tahun 2010. Ini menunjukkan proses bayaran balik agak 'slow moving' dan ramai diantara bekas pelajar yang agak culas untuk membuat bayaran balik secara berjadual. Kenapa hal ini berlaku? 

Kita ambil kira seorang anak muda yang baru tamat belajar dari sebuah institusi pengajian tinggi. Setelah berjaya mendapat segulong ijazah atau diploma, matlamat pertama yang harus mereka tumpukan ialah mencari pekerjaan yang setimpal dan setaraf dengan kelulusan yang mereka miliki. Mengikut perjanjian pinjaman, mereka diberi masa 6 bulan dari tarikh tamat belajar, untuk memulakan bayaran balik. Ini belum diambilkira tempuh yang lebih lama diperlukan untuk sesaorang bekas pelajar ini mengambil masa untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan setaraf dengan kelulusan yang diperolehi. Keadaan pasaran pekerjaan (job- employment market) semasa yang agak tepu (saturated) menambahkan lagi jumlah masa yang diperlukan untuk memasuki pasaran kerja.

Umum mengetahui, setelah memasuki alam pekerjaan, sesaorang pelajar selalunya akan terjebak dalam situasi baru yang akan 'membelitnya' dari segi kewangan dan perbelanjaan. Sudahlah rata-rata majikan memberikan gaji permulaan (starting salary) yang relatifnya rendah berbanding dengan mereka yang telah lama bertapak dijawatan itu, si anak muda itu terpaksa bertungkus lumus menghadapi komitmen-komitmen lain yang terpaksa dihadapinya. Ini termasuk komitmen keluarga bagi yang belum berkahwin atau membuat persediaan berkeluarga bagi yang akan berkahwin; membeli kenderaan; bayaran sewa rumah atau ansuran membeli rumah, kad-kredit dan lain-lain. Ini belum diambilkira kos tuntutan sara hidup yang memuncak sekarang terutama mereka yang bekerja dibandar-bandar besar. Kehidupan anak-anak muda ini kerapkali terhimpit dengan desakan-desakan hidup, dan inilah faktor yang menyebabkan bayaran balik PTPTN akan diletakkan agak terkebelakang dalam senarai komitmen-komintmen yang ada.

Walaupun pada hakikatnya, pihak PTPTN memperkenalkan jadual bayaran balik yang agak selesa, mesra peminjam dan tidak 'rigid', serta boleh diubahsuai mengikut kemampuan, namun rata-rata masih mengakui jumlah bayaran balik ini masih kurang selesa dan meragukan. Apa tidaknya seorang bekas pelajar yang telah membuat bayaran balik secara berjadual selama setahun, terkejut beruk mendapati baki pinjamannya hampir tidak bergerak langsung, jauh sekali untuk berkurangan. Apabila ditanya, pihak PTPTN menyatakan hal ini berlaku disebabkan 'caj perkhidmatan' yang dimasukkan sekali dalam perkiraan jumlah pinjaman. Mungkin perkara ini kurang difahami oleh sipeminjam.

Apa yang amat dikesali ialah faktor 'hidden cost' ini yang rata-rata membebankan peminjam. Walaupun skim pinjaman ini memberi pinjaman tanpa faedah, tidak seperti yang dikenakan oleh institusi pinjaman yang lain, namun faktor caj perkhidmatan ini telah membantut usaha yang telus untuk mengutip balik bayaran, dan dirasakan ianya amat membebankan peminjam. Apa yang amat diharapkan ialah ketelusan kerajaan untuk mengkaji semula skim ini, dan jika boleh ditukar status pinjaman kebantuan khusus atau subsidi dimana ianya boleh dianggap sebagai suatu bantuan 'direct' kerajaan untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan diperingkat pengajian tinggi, tanpa perlu bayaran balik.

Kita boleh mengambil contoh beberapa negara maju seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan beberapa negara Eropah yang memberi pendidikan percuma hingga peringkat universiti kepada warga mereka. Umum mengetahui kebanyakan negara-negara ini tidaklah mempunyai hasil masyhul yang banyak seperti kita. Mereka tiada hasil minyak, tiada balak dan pendapatan banyak bergantung pada hasil industri dan pertanian. Sedangkan negara kita kaya-raya dari segi hasil dan pendapatan.Rasa-rasanya dengan jumlah pendapatan tahunan kerajaan dari royalti minyak sahaja yang dianggarkan mencecah RM88 billion setahun sudah cukup untuk membiayai skim ini.

Jika kerajaan berkeupayaan mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi membiayai projek-projek mega, termasuk projek koridor wilayah dan pembelian peralatan ketenteraan yang menjangkau berbillion-billion ringgit, rasanya tidak salah jika perbelanjaan untuk pengajian tinggi ini juga dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Kita amat berharap agar PTPTN ini yang suatu ketika dulu dianggap sebgai 'talian hayat'  untuk anak muda menyambung pengajian keperingkat tinggi, tidak pada akhirnya hanya menjadi 'beban sepanjang hayat' untuk gulongan muda ini..............

No comments:

Post a Comment