Sunday 24 April 2011

POLITIK ORANG MELAYU................

 Saya tertarik dengan saranan beberapa pemimpin politik supaya orang Melayu, khususnya yang berada diluar UMNO, bersatu dibawah satu gagasan yang boleh dinamakan 1Melayu atau 1Bumi. Bunyinya agak gah dan hebat sekali.  Akhbar arus perdana Utusan Malaysia, dalam suatu rencana baru-baru ini menyeru agar orang Melayu bersatu bagi menghadapi apa yang disifatkan sebagai 'suatu pakatan penyatuan orang-orang Cina dibawah DAP bagi tujuan merampas kuasa politik dari orang-orang Melayu'. Kegusaran ini diukur dari keputusan beberapa pilihraya sejak mutkhir ini, khususnya piliharaya DUN Sarawak, yang menurut mereka menunjukkan  petanda jelas masyarakat Cina tidak lagi mahu bersama BN, dan kini beralih arah untuk memberi sokongan kepada pembangkang, khususnya DAP.

Dato Seri Najib selaku PM dan Presiden UMNO bagaimana pun menyanggah gagasan ini dan berkata ianya bukan datang dari pihak kerajaan. Apa lagi ianya dilihat bertentangan dengan semangat '1Malaysia' yang dipelopori oleh Najib sendiri. Namun, natijahnya, orang tidak akan dapat memisahkan pendapat sebegini dengan UMNO, apa lagi saranan dan gesaan tersebut dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia yang umum mengetahui adalah 'lidah tidak resmi'  kepada UMNO dan dimilkki oleh parti terbesar orang-orang Melayu itu sendiri.

Saya melihat isu ini sebagai suatu permainan yang berbahaya (playing a dangerous game)'. Apa tidaknya, kenyataan racist seperti ini boleh mencetuskan konflik pekauman yang tegang dan membahayakan keselamatan negara, Sudah ada suara-suara sumbang yang mahu orang Melayu bangkit dan bersatu dibawah satu gagasan bagi menentang apa yang disifatkan sebagai suatu rancangan tersusun orang-orang Cina untuk mendominasi politik negara berlandaskan DAP, dan seterusnya mahu menghakis kuasa politik orang-orang Melayu. Gagasan itu melihat orang-orang Cina sebagai telah berjaya menguasai ekonomi, dan kini berhasrat menguasai politik negara pula. Apakah gesaan seperti ini wajar? Apakah dengan kebangkitan sokongan kaum Cina kepada politik pembangkang ini bermakna politik orang Melayu telah terhakis?


Melihatkan kelibat sokongan orang-orang Cina kepada parti pembangkang, khususnya DAP dalam arus politik mutakhir ini, ternyata masing-masing sudah gelabah. Apakah selama ini orang-orang Cina tidak pernah menyokong BN? Sejak berapa dekad lamanya sejak medeka sehingga ke era Dr. Mahathir sebagai PM, sokong orang-orang Cina kepada BN dilihat amat kukuh. MCA sebagai parti dukungan orang-orang Cina dilihat amat berkesan mengembeling pemusatan sokongan orang-orang Cina kepada BN. Kenapa setelah sampai ke era Mahathir, Pak Lah dan kemudian era Najib sekarang sebagai PM, sokongan itu dilihat sudah mula terhakis? Sudah tentu ada sesuatu perkara yang menyebabkan perubahan ini berlaku.

Jangan dikatakan orang Cina, orang Melayu sendiri banyak yang sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan BN sekarang. Seorang pengundi Melayu pernah memberitahu saya: "Saya akan undi apa sahaja asalkan bukan BN", tegas dan sinis sekali bunyinya. Tapi, adakah kita hendak persalahkan orang Melayu itu sendiri jika mereka mempunyai persepsi demikian? Bagi saya, ini adalah soal moral pemimpin yang sering dibangkitkan. Bukan sahaja isu rasuah, penyelewengan, pengkayaan kroni yang sering diperkatakan, tetapi soal moral dan kualiti kepimpinan Melayu itu sendiri.


Saya tertarik untuk berkongsi pandangan seorang blogger, Aspan Alias didalam tulisan diblognya, yang saya petik seperti dibawah :



Misalnya orang Melayu tidak akan memberikan sanjungan kepada pemimpin yang di belengu dengan persepsi yang dia seorang yang selalu mengadakan ‘bed-side briefing’ misal kata. Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Husein Onn dan Dr Mahathir sendiri dipandang sebagai seorang pemimpin macho dan tidak nampak segelumit isteri mereka kedepan dengan begitu nyata. Itu lah sifat orang Melayu dan juga kepada mana-mana bangsa di dunia ini.
Nama isteri Lee Kuan Yew hanya di kenali semasa beliau meninggal dunia tahun yang lepas. David Cammeroon tidak nampak di bayangi oleh isterinya walau pun beliau adalah seorang pemimpin kuasa besar dunia. Untuk membuat teguran seperti ini bukanlah suatu yang mudah untuk dilakukan tetapi oleh kerana keadaan sudah terlalu jauh tersasar maka mahu tidak mahu terpaksa juga ditulis dan diperingatkan mana-mana pemimpin kita yang mereka sedang menjaga amanah rakyat.



Orang-Orang Melayu sebenarnya telah bengkak dan terhiris hatinya. Apakan tidaknya, pemimpin yang diberi mandat hari ini rata-rata tidak menunjukkan ketelusan dan dilihat 'rakus' dalam mengaut keuntungan peribadi dan untuk kaum keluarga sendiri. Mereka yang rata-rata hidup dengan gaya mewah, istana atau bungalow tersergam, kereta yang menjalar sedangkan majoriti rakyat masih dibelit dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Beberapa isu besar yang membelit kerajaan hari ini masih tinggal tidak terjawab. Contohnya, isu ketirisan bantuan untuk bumiputra; isu peruntukan besar untuk projek Permata Negara anjuran Rosmah; isu wang royalti Petronas; isu kapal selam; isu pembunuhan model Mongolia; isu kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani; isu skandal PKFZ; isu tape V.K.Lingam; isu pembinaan kekayaan Taib Mahmud dan banyak lagi. Saya masih ingat pengakuan Tun Dr. Mahathir, selaku mantan PM bahawa "UMNO is rotten to it's core", atau UMNO itu telah terlalu 'busuk' sehingga ke akar umbi, Jadi, apa lagi yang hendak diharapkan dari UMNO kalau sudah kepringkat itu..

Bagi kita orang-orang Melayu kebanyakannya, kita sudah merasa 'mual' dan jengkel dengan perkara-perkara ini. Apa yang sebenarnya kita impikan adalah sebuah negara yang aman, kaya dan makmur, dimana kekayaannya dikongsi secara bersama dengan telus dan jujur. Pemimpin mesti tidak sahaja bersih, tetapi mesti sentiasa dilihat bersih. Apa jua kekusutan dan kekalutan yang berlaku sekarang harus ditangani dan diberi penyelesaian segera. Kata orang putih : "Enough is enough.............".

No comments:

Post a Comment