Thursday 23 October 2014

Siri 3 - Menyusuri Salasilah Keluarga Lebai Hussin bin Hj. Taib - Keluarga: ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN

Siri  3

Siri ketiga pengkisahan ini akan saya teruskan dengan penceritaan mengenai keluarga ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN..

KELUARGA ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN (1913  -  1986)

1.1        Anak kedua LEBAI HUSSIN bernama ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN, dilahirkan di Yan, Kedah,
Gambar Allahyarhamah HALIMAH
Gambar Halimah

dibesarkan di Yan, dan kemudian mengikut ayah dan ibunya berpindah ke Kpg. Bikan, Kulim pada awal tahun-tahun 20an. Meniti zaman remaja bersama abang dan adik-adik yang lain di Kpg. Bikan, kemudian bekerja sebagai penoreh getah di Ladang Bagan Sena, Kulim. Beliau berkahwin dengan seorang wanita dari Kpg. Jarak, Ara Kuda, Seberang Perai bernama HALIMAH dan dikurniakan dengan 4 0rang anak.

1.2       ISMAIL terkenal dikalangan ahli keluarga sebagai Pak Ngah MAEL, manakala dikalangan rakan-rakan, jiran dan sahabat handai beliau lebih mesra di panggil MAEL GUNTING disebabkan profesionnya sebagai tukang gunting rambut. Bertubuh agak kurus dan tinggi, berkulit cerah dan mewarisi rambut yang tipis dibahagian tengah sepertimana ayahandanya juga. Berpewatakan lembut dan agak pendiam tetapi amat menyukai kanak-kanak dan gemar melayani kerenah mereka, terutama anak-anak saudara dan cucu-cucu.

1.3       Suatu sifat yang sukar dilupakan apabila memperkatakan tentang Pak Ngah ISMAIL ialah tentang sifat pemurah, kasih sayang, kecintaan dan kegemarannya melayan kanak-kanak, tak kira anak siapa; baik anak-anak penakannya atau cucu-cucunya. Beliau boleh duduk mengusik dan menyakat kanak-kanak berjam-jam lama, dan memberi mereka pelbagai gelaran lucu seperti "Mek Bup", "Awang Hut" dll. Anda kena cari sendiri siapa kanak-kanak itu sekarang. Masih juga terbayang dingatan tentang kegemaran beliau secara rutin membawa seorang dua anak-penakan atau cucu-cucunya dengan menaikki basikal atau motorsikal untuk bersiar-siar, dan kemudian singgah kekedai untuk membeli sedikt makanan ringan atau jajan sebelum pulang kerumah. Aktiviti ini beliau lakukan hampir setiap hari sejak zaman muda hinggalah kesaat-saat penghujug usianya. Bagi kami pula anak-anak saudara lelakinya, 'kenikmatan' yang kami sering rasai dari sifat pemurah dan kasih-sayangnya ialah sering dapat bergunting rambut secara percuma apabila kekedai guntingnya. Tak cukup itu kami kadangkala diberi pula 'wang saku' untuk membeli minuman selepas bergunting dikedainya. Jika hampir nak raya, dikedainya sibuk dengan pelanggan, beliau akan bawa balik peralatan dan perkakas gunting rambut untuk gunting rambut kami dibawah pokok rambutan didepan rumahnya, walaupun pada pagi hari raya.

1.4        Pasangan ISMAIL dan HALIMAH ini pada awalnya berkerja sebagai penoreh getah di Ladang Bagan Sena, Kulim. Kemudian berhijrah ke Ladang Pelam, Baling, Kedah sekitar tahun 1949 apabila
Gambar anak & menantu & cucu ISMAIL sewaktu zaman muda dikampong.
Sebahagian anak-cucu ISMAIL
ISMAIL diterima memasukki perkhidmatan Special Constable (SC) diladang tersebut bersama dengan saudara-maranya yang lain. Setelah berhenti dari perkhidmatan di Ladang Pelam pada penghujung tahun 1954, beliau mengusahakan kedai jahitan dan gunting rambut di pekan Malau. Bagaimana pun perniagaan ini hanya dapat bertahan sekitar 4 tahun sahaja, dan beliau berpindah balik ke kampong halamannya di Kpg. Bikan. Atas ikhsan beberapa orang ahli keluarga, beliau diberikan sebidang tanah untuk mendirikan rumah yang terletak di Kpg. Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada sekitar tahun 1958. Setelah berpindah ke Kpg. Padang Ubi, beliau membuka kedai gunting rambut di pekan lama Labu Besar, sehinggalah beliau menghadapi masalah penglihatan (i.e mata semakin kabur) dan tidak dapat meneruskan lagi profesion itu dipenghujung tahun-tahun 70an. Beliau kemudiannya mengusahakan pula kedai runcit yang terletak di simpang-empat Kpg. Padang Ubi sehinggalah kesihatan beliau mulai terganggu pada pertengahan tahun-tahun 80an. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1986, hanya beberapa bulan selepas isterinya HALIMAH yang mendahuluinya menyahut panggilan Illahi.

ANAK-ANAK ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN

1.5        Hasil perkahwinan ISMAIL dengan isterinya HALIMAH, mereka dikurniakan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan.

1.5.1     Anak yang sulong bernama ABDULLAH @ HAMID BIN ISMAIL dilahirkan di Ladang Bagan Sena, Kulim, sekitar tahun 1943. Bersekolah Melayu dan pernah berkhidmat dalam angkatan Tentera. Beliau berkahwin dengan seorang wanita dari Permatang Bendahari, Seberang Perai bernama AISHAH dan dikurniakan 5 orang anak: NORHISHAM; NOR JALILLAH; ZURAIDAH; ZANARIAH dan ZULKIFLI. Selepas bersara dari Tentera, ABDULLAH kembali menetap di Kulim dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Beliau kini telah berpisah dengan isterinya AISHAH dan bertemu jodoh pula dengan seorang persara guru bernama HABIBAH dan masih menetap di Kulim sehingga kini.

1.5.2      Anak kedua ISMAIL bernama MOHD YUSOF BIN ISMAIL, lahir pada tahun 1947, bersekolah Melayu di Labu Besar, kemudian menyambung pelajaran ke Sek. Tuanku Abd. Rahman (STAR), Ipoh
Gambar kebanyakan anak cucu ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN ketika menghadziri Hari Keluarga di Pulau Pangkor pada Nov. 2011 (Maaf, ada seorang sahaja yang bukan dari salasilah ISMAIL, iaitu yang berdiri paling kanan (bertudung biru....)
Sebahagan anak-cucu ISMAIL

hingga tamat Tingkatan 5. Selepas tamat Senior Cambridge, melanjutkan pelajaran ke Institut Teknonoji MARA (sekarang dikenali sebagai UiTM) dalam bidang 'Business Studies'. Beliau pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat di Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kuantan dan kini telah bersara dari perkhidmatan dan menetap di Jeniang, Kedah. MOHD. YUSOF mendirikan rumah-tangga dengan seorang wanita dari Jeniang, Gurun, Kedah bernama FAUZIAH dan dikurniakan 5 orang anak: YUSFIZA; YUFIHAZANI; YUSHAFIZAL; YUSRITA dan YUSFAZHAN.

1.5.3      Anak ketiga bernama HASNAH @ ASNAH BINTI ISMAIL, lahir pada tahun 1950, bersekolah Melayu di Labu Besar dan kemudian berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai pertalian keluarga disebelah ibunya bernama MOHD. KAMAL yang berasal dari Tasek Gelugor, Seberang Perai. Beliau pernah merantau mengikut suaminya yang bertugas sebagai anggota tentera, dan dikurniakan 8 orang anak: FUJIYANA; FADZLEY; FUJIYATI; KASORGI; RAWANA; FADLIZAT; NABILA dan JUNAIDI. HASNAH yang kini telah berpisah dengan suaminya, sekarang tinggal bersama anak-anaknya dan menetap di Bukit Beruntong, Rawang, Selangor.

1.5.4      Anak bongsu ISMAIL bernama SALBIAH BINTI ISMAIL, lahir pada tahun 1958, berkahwin dengan seorang lelaki dari Arau, Perlis bernama ROSLA @ ROSLI dan kini menetap di Kangar, Perlis. Beliau dikurniakan 3 orang anak: ROSALINA; MOHD. NAJMI dan  MOHD. HANIFSUFI.

RANGKAIAN HUBUNGAN DENGAN ANAK-CUCU-CICIT ISMAIL

1.6       Walaupun Pak Ngah ISMAIL telah tiada, legasi beliau patut kita teruskan dengan mengekalkan perhubungan dengan anak-anak dan cucu-cicit allahyarham. Di FB saya terdapat beberapa orang cucu allahyarham yang bergiat secara aktif di FB, antaranya: Yusfiza Md Yusoff, Yusfihaizal Md Yusoff, Yusfihazani Md Yusoff ( semuanya anak kepada MOHD. YUSOF); Zuraidah Abdullah (anak kepada ABDULLAH), Zanna Kamal, Wana Mohd Kamal, Fujiyati Mohd Kamal (anak kepada Asnah @ Hasnah) dan Rosalina Rosla, Nazme Rosla, dan Mohd Hanifsufi (anak kepada SALBIAH). Anda boleh 'add' mereka ini dalam 'list friends' anda dan lebarkan jaringan interaksi anda dengan saudara-mara kita.....!

Sambungan di Siri 4  :    SALASILAH KELUARGA RAMLI BIN LEBAI HUSSIN

Carta salasilah keluarga ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN
Carta Salasilah keluarga
·

2 comments:

  1. saya mohd rafi bin othman adalah cucu abd samad bin lebai husin..minta no hp tuan..no hp saya 0175584833

    ReplyDelete
  2. Mohd Rafi ni anak siapa? Emak nama Jumaan ke? No hp saya 019-3577164. Kalau call x jwb, sila sms atau whatsap.....

    ReplyDelete