Tuesday 28 October 2014

Siri 7 - Menyusuri Salasilah Keluarga Lebai Hussin bin Hj. Taib - Keluarga ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN

Siri 7

 ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN  (1928  -  2013)
..
Anak keenam LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB dan CHE NAH BINTI  HJ. DERAEH bernama ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Teh LAH atau Tok Teh LAH dikalangan anak-anak saudara/cucu-cucu saudara, serta saudara-mara. Beliau amat dikenali atas sifat kemesraan dan keperihatinan yang sering ditunjukkan, terutama terhadap anak-anak saudara, apatah lagi beliau merupakan satu-satunya anak LEBAI HUSSIN yang berpendapatan tetap dan bekerja dengan Kerajaan sejak zaman mudanya. Jadi, kepada beliaulah saudara-mara akan bergantung harap jika memerlukan bantuan, terutama bantuan kewangan jika menghadapi sesuatu masalah.  Beliau lahir pada tahun 1928 di Yan, Kedah, dan merupakan anak LEBAI HUSSIN yang paling akhir sekali dilahirkan disana. Malah sewaktu keluarga ini berpindah ke Serdang, Kedah dan kemudian ke Kampong Bikan, beliau dikatakan masih bayi lagi (baru merangkak) dan ketika sampai di Kampong Bikan, beliau baru sahaja berusia sekitar 3 tahun.

KEHIDUPAN AWAL & PERWATAKAN

1.         ABDULLAH adalah juga diantara anak-anak LEBAI HUSSIN yang banyak mewarisi sifat-sifat ayahnya dari segi raut wajah, tingkah laku dan cara pertuturan. Beliau memilikki tubuh yang tegap, tinggi dan berkulit cerah, serta berambut sedikit kerinting terutama dizaman mudanya. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Labu Besar, (waktu itu belum sekolah kebangsaan lagi) sehingga Darjah 4. Selepas habis sekolah, beliau membantu ayah dan ibunya membuat kerja-kerja kampong seperti bercucuk-tanam dan bersawah padi. Beliau juga pernah membuat pelbagai kerja kampong demi membantu ayah dan ibunya mencari rezeki.  Saya masih terkenang hingga hari ini cerita beliau kepada saya tentang keperitan dan kesulitan hidup yang beliau alami sewaktu zaman remajanya, iaitu sekitar tahun-tahun 30an dan sehingga zaman kependudukan Jepun. Beliau pernah bersama abang-abangnya mengambil upah memotong tebu, dan mencabut ubi kayu bagi diisi kedalam kereta lembu untuk dibawa ke pekan Labu Besar.

MEMASUKKI PERKHIDMATAN POLIS

2.          Bagaimana pun nasib mengubah kehidupannya apabila diterima memasukki perkhidmatan polis sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel (atau Mata-Mata seperti yang dikenali pada masa itu), ketika berusia 21 tahun. Beliau dikatakan mencuba nasib dalam suatu pemilihan di Balai Polis, Kulim bersama seorang lagi abangnya iaitu ISMAIL BIN LEBAI HUSSIN.  ISMAIL bagaimana pun gagal dalam pemilihan tersebut. Beliau mula menjalani latihan sebagai anggota Polis di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Jalan Semarak) sekitar awal 1949. Semenjak tarikh tersebut bermulalah kerjaya dan kehidupan nya sebagai anggota polis. Selepas tamat latihan kepolisian di Kuala Lumpur, beliau dihantar bertugas buat pertama kalinya ke Muar, Johor. Selain bertugas di Balai Polis Muar, beliau juga pernah dihantar bertugas dibeberapa balai polis dalam daerah Muar seperti Pagoh, Lenga dan Bukit Kepong. Malah sewaktu insiden serangan pengganas komunis keatas Balai Polis Bukit Kepong yang berlaku pada bulan Februari 1950, beliau dikatakan pada awalnya dijadualkan bertugas dibalai tersebut, tetapi pada saat-saat akhir seorang rakannya meminta untuk menggantikan tempatnya di Bukit Kepong. Dan ketika serangan itu berlaku, rakan beliau itu turut terkorban dalam serangan dan trajedi berdarah itu.

PERKAHWINAN

3.          ABDULLAH berkahwin ketika masih bertugas di Johor, iaitu sekitar tahun 1952. Pasangannya ialah seorang gadis pilihan keluarga yang berasal dari Sungai Limau, Lunas, Kedah bernama CHE YAH. Dan dengan CHE YAH perkahwinan mereka kekal sehingga akhir hayat, dan dikurniakan dengan 9 orang anak.

KEHIDUPAN SEBAGAI ANGGOTA POLIS

Gambar sebahagian anak-anak ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN (gambar lama). 2 orang darinya telah meninggal dunia. Dari kiri: ROSNI; berdiri dibelakang MOHD YUSOF ABDULLAH (arwah); dan paling kanan ROSLAN BIN ABDULLAH (arwah), dan duduk diatas kerusi saya tak pasti.......(siapa-siapa tolong bagi pencerahan?)
Anak-anak ABDULLAH semasa kecil
4.           Hampir 6 tahun ABDULLAH bertugas di Daerah Muar, dan akhirnya pada awal tahun 1956, berkat doa ayahandanya LEBAI HUSSIN yang tidak mahu anaknya itu bertugas terlalu lama jauh dirantau orang, beliau ditukarkan kembali ke kampong halamannya di Kulim Kedah. Selain di Balai Polis Kulim, beliau juga pernah dihantar bertugas di beberapa balai polis lain dalam daerah Kulim, antaranya di Junjong dan Sungai Kob. Pada tahun 1962 ABDULLAH ditukarkan pula ke Singapura (Comonweath Drive, Singapura), dan selepas berada disana lebihkurang 3 tahun, dan selepas Singapura terpisah dari Malaysia pada tahun 1965, beliau ditukarkan balik ke semenanjung dan bertugas di Ipoh Perak. Tahun 1969 menyaksikan beliau ditukarkan kembali ke Kulim, Kedah, sekali lagi beliau ditugaskan dibeberapa buah Balai Polis di daerah Kulim, antaranya Padang Serai, Serdang dan Labu Besar. dan disini beliau mengakhiri perkhidmatannya pada tahun 1983 setelah mencapai umur persaraan 55 tahun.

Gambar terakhir penulis bersama ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN sewaktu penulis menziarahinya dirumahnya di Kpg. Bikan, Kulim, Kedah beberapa hari selepas Hari Raya Puasa tahun 2012.
Gambar terakhir ABDULLAH bersama penulis
5.           Selepas bersara dari pasukan Polis, beliau menetap di Kampong Bikan, diatas sebidang tanah yang terletak bersebelahan rumah arwah bapanya dahulu yang dibeli sewaktu masih dalam perkhidmatan lagi. Beliau yang pernah mengerjakan fardhu Haji ke Mekkah bersama isterinya banyak menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai persara Kerajaan dikampong halamannya, Kampong Bikan. Selepas tahun 2000 kesihatannya telah mula terganggu, dan beliau kembali kerahmatullah pada usia 85 tahun pada bulan Disember 2013.   Isterinya CHE YAH, walau bagaimana pun masih ada dan masih menetap ditempat yang sama dalam usia yang sudah lanjut.

ANAK-ANAK ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN


6.           Menerusi perkahwinannya dengan CHE YAH, beliau dikeurniakan dengan 9 orang anak, iaitu 5 lelaki dan 4 perempuan. Malangnya, dari jumlah 9 orang anak yang lahir, hanya 4 orang sahaja yang masih kekal sehingga hari ini. Manakala yang lainnya telah pergi dahulu menemui Illahi, sama ada meninggal sewaktu dilahirkan, atau meninggal sewaktu zaman kanak-kanak & remaja. Malah ABDULLAH BIN LEBAI HUSSIN adalah satu-satunya anak LEBAI HUSSIN yang mempunyai anak yang paling ramai meninggal dunia sewaktu kecil -  iaitu seramai 5 orang.

7.         Senarai anak-anaknya beliau adalah seperti berikut :

Keluarga besar ABD. MANAF ABDULLAH dan isteri ASBAH YUSOF.
Keluarga ABD. MANAF
7.1       ABDUL MANAF BIN ABDULLAH, merupakan anak sulong beliau, lahir pada tahun 1953, pernah bersekolah di pelbagai tempat (sewaktu mengikuti bapanya berpindah) dan paling terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, sehingga Tingkatan 5. Pernah bertugas sebagai Juruteknik dengan Jabatan Kerjaraya dan terlibat dalam projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat Antara Gerik dan Jeli, Kelantan, dan ditempatkan di Gerik, Perak. Selepas tamat pembinaan beliau ditempatkan pula di Pulau Pinang. Berkahwin dengan ASBAH YUSOF yang bersal dari Johor dan keluarga ini kini menetap di Kulim, Kedah setelah ABD MANAF bersara dari perkhidmatan kira-kira 3 tahun yang lalu. Anak-anak mereka seramai 5 orang, terdiri dari 2 lelaki dan 3 perempuan : HAFIMAS; HAFIZAN; NORHAFINA; NORHAFI ALIA; dan NORHAFI SYAHMI.

7.2         Anak kedua & ketiga pasangan ABDULLAH dan CHE YAH merupakan pasangan yang dilahirkan kembar iaitu ABDUL LATIF dan ABDUL RASHID lahir sekitar tahun 1954. Bagaimana pun usia kedua-duanya tidak lama dan meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.

7.3         Anak keempat UMI KALTHUM BINTI ABDULLAH, lahir pada tahun 1955, dan pernah merantau dan bersekolah dimerata tempat mengikut ayahnya; dan kini menetap di Kulim, Kedah. Beliau yang bertugas sebagai Jururawat di Kementerian Kesihatan berkahwin dengan seorang pemuda dari Kpg. Padang Ubi  KAMARUDDIN @ ISMAIL dan dikurniakan dengan 7 orang anak, 5 lelaki dan 2 perempuan :  KHAIRUL NIZAM; NURUL HASNIZA; NURUL HASNITA; KHAIRUL ANUAR; KHAIRUL AMRI; KHAIRUL IZHAM dan KHAIRUL IKHWAN.

7.4          Anak kelima bernama NUR HASHIMAH BINTI ABDULLAH, meninggal sewaktu masih kanak-kanak.

7.5          Anak keenam MOHD YUSOF BIN ABDULLAH (yang lebih mesra dengan panggilan "Atan"), lahir dan dibesarkan di Kulim. Beliau telah pun memasukki alam persekolahan di Kulim, bagaimana pun usianya tidak panjang dan beliau meninggal pada usia sekitar 10 tahun.

7.6         Anak ketujuh ROSNI BINTI ABDULLAH, kini menetap di Gelugor, Pulau Pinang. Beliau berkahwin dengan seorang pemuda dari Kampong Bikan bernama OMAR yang kini bertugas di Jabatan Laut Semenanjung, bertempat di Pulau Pinang. Pasangan ini dikurniakan 4 orang anak; 2 lelaki dan 2 perempuan : SYAFWAN; SAZWAN; SAZLINA dan SAZRINA..

7.7         Anak kelapan ROSLAN BIN ABDULLAH juga meninggal sewaktu masih kanak-kanak.

7.8         Anak bongsu & kesembilan bernama NURJALILLAH BINTI ABDULLAH kini menetap di Bukit Mahkota, Bangi, Selangor. Beliau yang berpendidikan dari Uitm Shah Alam berkahwin dengan ZAIDI yang berasal dari Perlis.. Kini suri-rumah sepenuh masa dan dikurniakan dengan 4 orang anak; kesemuanya lelaki : ANIQ FARHAN; ANIQ ZAKWAN; ANIQ AKMAL dan ANIQ NURHAZIN.

No comments:

Post a Comment