Tuesday 28 October 2014

Siri 8 - Menyusuri Salasilah Keluarga Lebai Hussin bin Hj. Taib - Cerita HASHIM BIN LEBAI HUSSIN

Bahagian 8

HASHIM BIN LEBAI BUSSIN (1932 - 1953)

1.         Siri pengkisahan ini tidak akan lengkap rasanya jika saya tidak menceritakan secara rengkas mengenai riwayat hidup anak ketujuh LEBAI HUSSIN BIN HJ. TAIB dan CHE NAH BINTI HJ. DERAEH bernama HASHIM BIN LEBAI HUSSIN. Saya mengatakan rengkas kerana masa hayatnya terlalu pendek, iaitu beliau meninggal ketika umurnya baru sahaja menjangkau 21 tahun. Dan, tidak seperti biasa, catatan pengkisahan kali ini tidak ada iringan gambar, tidak ada carta salasilah keluarga kerana sewaktu meninggal dunia beliau masih bujang dan tidak meninggalkan sebarang waris.

KEHIDUPAN AWAL DI KAMPONG

2.          HASHIM BIN LEBAI HUSSIN dilahirkan di Kampong Bikan, Kulim, Kedah pada tahun 1932, merupakan anak pertama LEBAI HUSSIN dan CHE NAH yang dilahirkan di kampong Bikan. Beliau lebih dikenali sebagai Pakcik HASHIM atau Tokcik HASHIM dikalangan anak-anak dan cucu-cucu saudara. Mungkin ramai juga anak-anak dan cucu-cucu saudara yang lagnsung tidak mengenalinya, atau mengetahui keujudannya kerana waktu kematiannya telah lama berlalu. Beliau menjalani hidup dari zaman kanak-kanak sehingga meningkat remaja sebagai pemuda kampong dan banyak berkawan dengan rakan-rakan sebayanya dikampong. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Labu Besar sehingga Darjah 4, kemudian berhenti sekolah dan membantu ayah dan ibunya membuat kerja-kerja kampong bagi menambah rezeki keluarga. Diwaktu lapang, beliau gemar menghabiskan masa bersama rakan-rakan mengetah dan memikat burung; menjala dan memukat ikan disungai, dan mendenak atau memburu ayam hutan disekitar kawasan hutan berhampiran.

TABI'AT DAN PERWATAKANNYA

3.          Dari segi fizikal, beliau mempunyai tubuh yang agak kecil dan kurus, berkulit cerah dan menampakkan raut wajah yang seakan-akan sama abang-abangnya juga. Beliau gemar bercerita dan bergurau, terutama dengan abang-abang dan kakak-kakaknya, serta juga anak-anak saudara yang masih kecil waktu itu. Menurut cerita arwah ibu saya, beberapa hari sebelum kejadian yang meragut nyawanya, iaitu dalam bulan Februari 1953, beliau ada datang kerumah ibu saya (kakaknya) di Ladang Pelam. Waktu itu ibu saya tinggal dikuarters ladang tidak jauh dari pekan Malau. Tanpa disedari itu adalah kunjungannya buat kali terakhir. Saya masih bayi lagi waktu itu (baru berusia 10 bulan), sedangkan abang saya (Ibrahim) sudah pun berusia sekitar 4 tahun. Puas juga dia melayan kerenah Ibrahim yang amat nakal waktu itu, memanjat dibelakangnya serta menyuruh dia merangkak seperti kuda manakala Ibrahim memanjat dibelakangnya persis orang menunggang kuda. Berderai-derai ketawanya bila Ibrahim jatuh tergolek kelantai. Meriah dan mesra betul gelagat orang dua beranak itu.

4.           Kesempitan dan keperitan hidup keluarga LEBAI HUSSIN dan CHE NAH waktu itu amat menyentuh perasaan HASHIM. Sebagai anak muda dia berazam sejak kecil untuk memperbaikki nasib keluarga. Malah, beberapa kali dia memberitahu ayah dan ibunya yang dia berhasrat untuk membantu dan menyara kehidupan ayah dan ibunya selagi ada hayat mereka. Mengikut cerita arwah ibu saya juga, anak lelaki paling bongsu LEBAI HUSSIN ini memang agak manja dengan ibunya CHE NAH. Kerapkali beliau akan berbaring dipangkuan ibunya bila ada kesempatan walaupun setelah besar panjang. Pada suatu ketika, sewaktu umurnya baru mencecah belasan tahun, sewaktu duduk-duduk dan berbaring dipangkuan ibunya, beliau pernah berkata kepada ibunya (mungkin dalam nada bergurau). Dailog antara mereka saya nukilkan kembali disini :

CHE NAH : "Hang ni dah besaq panjang, tak mahu pi mana-mana ke cari kerja, HASHIM?"
HASHIM: (Dengan selamba) "Tak mau mak. Nak duduk rumah saja jaga mak & ayah....."
CHE NAH : "Habis, tak kan tak mahu cari kerja? Nanti macam mana nak sara anak-bini ?"
HASHIM : "HASHIM tak mahu kahwin ! "
CHE NAH : " Habis......tak mahu kerja, dan tak mahu kahwin, hang nak jadi apa HASHIM?"
HASHIM : "Tak jadi apa mak.......Saja nak duduk saja jaga mak & ayah. Mak tengoklah nanti !. HASHIM akan tetap menyara mak & ayah selagi ada umur mak dan ayah didunia ini......."

5.           Dan, benarlah seperti apa yang dijanji. Selepas kematiannya, kehidupan LEBAI HUSSIN dan CHE NAH agak sedikit terbela dengan adanya bayaran saguhati dan pampasan secara bulanan yang dibayar oleh Kerajaan British pada waktu itu terhadap waris-waris mangsa kekejaman komunis, walau pun jumlahnya tidaklah besar.

TRAGEDI BERDARAH FEBRUARI 1953

6.           Sejak tahun 1948 lagi, ancaman pengganas komunis kian meningkat. Hampit saban hari ada saja berita mengenai serangan pengganas komunis berlaku dimana saja. Mereka menyerang dan merosakkan lombong-lombong bijih; estet-estet, bangunan-bangunan kerajaan termasuk balai-polis, jalan keretaoi dan lain-lain lagi. Hasrat mereka hanya satu, ingin melumpuhkan keseluruhan pentadbiran dan ekonomi negara waktu itu. Kejadian tembak menembak dan pembunuhan anggota keselamatan dan juga orang awam juga sering berlaku disana sini dan hampir setiap hari.

7.           Di kampong Bikan juga keadaan tidak terkecuali. Pihak Kerajaan juga telah mengeluarkan arahan agar orang-orang kampong lebih berhati-hati dan tidak memasukki kawasan hutan secara sesuka hati. Pihak komunis diberitakan amat khuatir dengan tindakan beberapa perisik Kerajaan yang menyamar sebagai petani, penoreh, peladang dan pemburu memasukki kawasan hutan bagi mendapatkan maklumat sulit mengenai pergerakan mereka. Pihak komunis juga menganggap pihak ini sebagai musuh dan ancaman besar terhadap perjuangan mereka. Mana-mana orang yang dilihat memasukki kawasan hutan dan tidak diketahui tujuan yang jelas, akan dipandang dengan penuh rasa curiga.

8.        Bagaimana pun bagi HASHIM dan beberapa rakannya, arahan dan amaran pihak Kerajaan itu sedikit pun tidak diendahkan. Apatah lagi kawasan hutan disekitar Kampong Bikan adalah kawasan mereka. Mereka telah biasa dengannya. Malah mereka sudah bertahun-tahun keluar masuk hutan tersebut tanpa ada sebarang masalah. Akhirnya pada suatu pagi yang hening dalam bulan Februari 1953, HASHIM bersama 3 orang lagi rakannya bernama ABU, WAHAB, dan seorang lagi (yang saya tak ingat namanya) telah memasukki kawasan hutan Sungai Merbuk (dikenali juga sebagai Bukit Ha) yang terletak dipinggir Kampong Bikan dengan tujuan berburu ayam hutan. Mereka tidak membawa sebarang senjata kecuali beberapa bilah parang dan pisau kecil (buat sembelih ayam), sangkar ayam denak dan sedikit makanan. Hari masih pagi lagi sewaktu mereka melangkah masuk kehutan. Bagaimanapun, kira-kira jam 11 pagi, sewaktu menuruni sebuah bukit, terdengar beberapa das tembakan dari kawasan berhampiran, dan WAHAB yang kebetulan sedang berada didepan sekali ketika itu tiba-tiba jatuh tersungkur ketanah dengan darah membuak-buak keluar dari perutnya. Melihat keadaan cemas itu yang lain terus melompat melarikan diri. Sewaktu melarikan diri inilah HASHIM yang berada agak terkebelakang terkena tembakan dibahagian dada. Dia jatuh berhampiran sebuah tunggul banir. Walaupun tercedera didada, dengan seribu kepayahan dia berusaha untuk mengensot dan merangkak untuk bersembunyi dibalik sebatang pokok yang tumbang. Sedangkan 2 orang lagi rakan mereka terus melarikan diri tanpa menoleh kebelakang lagi dan pulang kekampong. Mungkin disebabkan terlalu terkejut diatas kejadian yang berlaku, dan ketakutan yang amat sangat, kedua-dua rakan itu terus pulang kerumah tanpa memberitahu sesiapa pun tentang kejadian itu.

9.            Hanya sekitar jam 4 petang barulah kejadian itu diketahui oleh orang-orang kampong. Apa lagi heboh dan riuh rendahlah sekampong. Tabuh dan gendang dimasjid pun dipukul bertalu-talu memberitahu seluruh kampong tentang kejadian yang berlaku. Hanya selepas waktu asar barulah sekumpulan orang-orang kampong ditemani beberapa anggota polis dari Sg. Kob dan Kulim masuk kehutan untuk mencari mayat. Mayat WAHAB dijumpai tergelimpang ditempat dimana dia terkena tembakan, manakala mayat HASHIM dijumpai beberapa meter dari tempat itu tersorok dibelakang sebatang pohon yang tumbang. Terdapat kesan-kesan titisan darah ditanah menunjukkan yang HASHIM masih berusaha merangkak dan menyembunyikan diri walaupun setelah terkena tembakan.

10.           Hampir waktu magrib barulah terak polis yang membawa mayat-mayat itu sampai di simpang empat Kampong Bikan dimana orang ramai, termasuk kaum keluarga dan saudara-mara berkumpul dan menunggu. CHE NAH seperti orang yang hilang akal meraung dan meronta-ronta dengan memanjat belakang terak polis bagi melihat mayat anaknya yang terbujur kaku. Seorang anak lelakinya pula iaitu ISMAIL siap berlari pulang mengasah parang dan ingin masuk kehutan pada petang itu juga bagi mencari saki-baki pengganas yang menembak adiknya itu. Mereka bagaimana pun berjaya ditenteramkan oleh orang kampong yang berada disitu. Kedua-dua jenazah kemudiannya dibawa ke hospital Kulim untuk 'post-mortem' dan hampir larut malam baru ianya dikembalikan untuk dikafankan, disembahyang dan dikebumikan ditanah perkuburan Masjid Kampong Bikan.

KEHIDUPAN SELEPAS KEMATIANNYA

11.          Walaupun diselubungi duka yang teramat selepas kematian HASHIM, keluarga LEBAI HUSSIN dan CHE NAH meneruskan kehidupan seperti biasa selepas kematiannya. Wang pampasan dan saguhati yang diterima setiap bulan dari pihak Kerajaan menjadi sedikit penawar kepada duka yang dihadapi. Bayaran ini terus diterima oleh LEBAI HUSSIN sepanjang hayatnya, dan disambung pula oleh isterinya CHE NAH sepanjang hayatnya, selepas LEBAI HUSSIN meninggal dunia.

12.          Walaupun kematiannya HASHIM bukan sebagai seorang perwira atau anggota keselamatan yang berjuang menentang kekejaman komunis, namun dipihak kerajaan British beliau tetap dianggap sebagai wira dan mangsa kekejaman komunis. Jika hari ini anda ke Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD), Kulim, anda akan dapat melihat namanya terukir bersama-sama senarai anggota keselamatan lain yang gugur didaerah Kulim sewaktu menentang komunis sekitar zaman dharurat (maklumat ehsan dari adinda saya BAHARON HASHIM).

Sambungan di Siri 9 (Siri Akhir) - SALASILAH KELUARGA PUTEH BINTI LEBAI HUSSIN

No comments:

Post a Comment